Sunday, 7 September 2008

ANCAMAN KEPADA MELAYU - RENUNGKAN ~ Ref Malaysiakini


Entah mengapa sejak kebelakangan ini sudah timbul ‘keberanian’ luar biasa daripada pelbagai pihak untuk mempertikaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara perkara yang semakin lantang menjadi perdebatan atau perbahasan ialah mengenai Perkara 153 berhubung keistimewaan orang Melayu.

Walaupun pihak-pihak yang berbuat demikian amat memahami ia sesuatu yang sensitif namun mereka tidak mempedulikan itu semua.

Sebaliknya satu demi satu hujah mereka keluarkan bagi menggugat apa yang sudah terpahat dalam Perlembagaan. Persoalannya wajarkah perkara seumpama itu terus menjadi pertikaian? Tidakkah ia sepatutnya dihormati memandangkan ia adalah satu Perlembagaan negara?

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Meloya, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD.RAZAK, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz secara terus terang menyifatkan, apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah.

Malah katanya, kegagalan orang Melayu untuk berhujah mengenai intipati apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga menjadi punca pihak lain mampu mempertikaikan apa yang sudah diperuntukkan.

Selain itu pada pandangan Dr. Sham Rahayu sikap generasi baru yang mahu memperjuangkan kesamarataan antara kaum juga turut menyebabkan segala yang ditetapkan oleh Perlembagaan mengenai orang Melayu semakin ‘terancam’.

Mingguan: Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara dalam Perlembagaan terus dipertikaikan?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji sentimen sesetengah pihak pada masa ini ia memang menunjukkan mereka mahu melihat apa yang ada dalam Perlembagaan dan kemudian mempertikaikan kewujudannya tanpa mahu memahami kenapa ia diwujudkan. Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa. Bagi saya, dalam demokrasi ada ruang bagi membolehkan perkara dalam Perlembagaan diperbincangkan tetapi bukan sampai ke tahap yang boleh menggugat Perlembagaan itu sendiri. Ini termasuklah perbincangan yang menjurus ke arah provokasi seperti hendak membuang peruntukan Perlembagaan yang sedia ada.

Apakah peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan itu keterlaluan melindungi orang Melayu sehingga menjejaskan bangsa-bangsa lain?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji Suruhanjaya Reid, ia mengatakan kalau kita mengambil hak Melayu secara tidak terancang ia boleh meruntuhkan pembinaan bangsa dan negara. Atas sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak mengatakan bahawa Perkara 153 memberi kelebihan melampau kepada orang Melayu.

Ini kerana sistem tersebut mesti bergerak dengan hak-hak munasabah terhadap bangsa lain. Suruhanjaya Reid merujuk salah satu terma Perlembagaan ialah menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta menjaga hak-hak munasabah terhadap bangsa lain, jadi apabila kita menjaga kepentingan Melayu ini tidak bermakna kita mengabaikan bangsa lain. Untuk membina sebuah negara yang aman dan damai serta mewujudkan kestabilan politik kita memerlukan kesaksamaan dan keadilan.

Tetapi apa yang ditonjolkan seolah-olah orang Melayu mendapat segala-galanya sedang bangsa lain tidak mendapat apa-apa?

DR. SHAM RAHAYU: Saya berpendapat mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?

Kalau kita mengkaji laporan Suruhanjaya Reid mengenai Perlembagaan, kelebihan kepada orang Melayu diberikan sejak 1948. Pada tahun itu, orang British sendiri tidak pernah menyentuh soal Melayu dan Islam. Ini kerana ia menjadi subjek yang terlalu sensitif kepada British. Namun dalam masa yang sama terdapat terma bahawa bangsa lain tidak diabaikan.

Kenapa baru sekarang semua ini hendak dipertikaikan sedangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan?

DR. SHAM RAHAYU: Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri. Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153.

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan. Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan.

Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi? Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik. Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud. Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara. Bagaimanapun kalau boleh soal mengenai Melayu ini tidaklah dibincangkan dalam suasana terlalu panas atau penuh provokasi. Tetapi dalam masa yang kita sudah tidak mampu menyembunyikan segala-galanya di bawah karpet. Masyarakat kita sudah mengetahui isi kandungan Perlembagaan. Oleh itu orang Melayu terutama pemimpin kita harus pandai berhujah dan memahami Perlembagaan tanpa sentimen politik.

Kita harus pisahkan antara isu politik dengan isu Perlembagaan. Kita perlu berbincang soal Perlembagaan secara akademik dan intelektual bukan provokasi. Saya lihat dari semasa ke semasa semakin banyak peruntukan Perlembagaan mengenai orang Melayu diganggu gugat. Dahulu ia bermula dengan Perkara 152 iaitu mengenai bahasa Melayu dan sekarang Perkara 153 pula.

Kalau pencabulan ini terus dibiarkan, ia akan menyebabkan porak peranda kerana sistem pentadbiran negara dan kestabilan politik akan terancam.
Dalam soal pemain dalam menjayakan peruntukan sedia ada, apakah ia berpunca dari kelemahan pelaksanaan?

DR. SHAM RAHAYU: Saya bersetuju kalau orang mengatakan masalah kita bukan dengan sistem tetapi pemain. Bagi saya membiarkan peruntukan-peruntukan itu dibincangkan secara provokatif mendatangkan masalah lebih besar. Dalam soal ini pemain harus memastikan peruntukan itu dijalankan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Perlembagaan. Selain itu, mereka juga harus memantau sejauh mana peruntukan itu dilaksanakan.

Para pemain dalam sistem ini perlu berubah dan melihat balik apa yang mereka buat itu bertepatan dengan tujuan atau objektif Perlembagaan atau tidak. Ini bagi mengelakkan Perlembagaan hanya menjadi kosmetik.

Kalau Perlembagaan itu hendak dihormati ia harus dilaksanakan, masalahnya tidak ada penguatkuasaan jika ia dilanggar. Walaupun Perlembagaan bukanlah kanun keseksaan tetapi kita sudah membina satu konvensyen atau adat Perlembagaan yang harus dihormati.
Atas sebab itu kita memerlukan penguatkuasaan yang tegas ke atas pencabulan Perlembagaan. Kalau kita dilihat lemah dalam soal ini sudah pasti ada pihak yang akan melakukan provokatif untuk menolak apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di kalangan generasi muda adalah jelas mereka tidak menghiraukan mengenai pencabulan Perlembagaan ini?

DR. SHAM RAHAYU: Tidak dapat dinafikan bahawa generasi baru memperjuangkan kesamarataan. Saya setuju dengan pandangan bahawa akibat daripada perjuangan inilah berlakunya pencabulan Perlembagaan. Justeru kita harus melihat agenda di sebalik tindakan berkenaan.

Adakah asas kesamarataan itu menjadi benda yang kukuh? Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita. Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil. Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau. Jadi tidak perlulah lagi dipersoalkan mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini. Bagi saya mereka yang membangkitkan isu berkenaan mempunyai agenda politik.

Kenapa orang Melayu selalu dilihat bersalah apabila mempertahankan hak Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apologetik. Orang Melayu terlalu berdiplomatik dengan sifat kemelayuan, sedangkan Melayu sebenarnya kuat dan hebat, tetapi sekarang ini kita terlalu apologetik. Sikap apologetik dan diplomatik, sikit-sikit minta maaf menyebabkan orang naik tocang. Sikap ini kalau dilakukan terlalu kerap orang akan bosan. Saya rasa faktor utama mengapa hak orang Melayu di sisi Perlembagaan sering dipersoalkan ialah tidak tegas dari segi penguatkuasaan dan sifat apologetik. Inilah dua karakter yang menyebabkan Perkara 153 dipijak, menyebabkan kedudukan orang Melayu dipijak sehingga orang Melayu rasa bersalah dan malu untuk mengaku kita sebenarnya ada keistimewaan.

Sekarang ini ada pula Melayu liberal yang juga mahu supaya diwujudkan kesamarataan?

DR. SHAM RAHAYU: Kelompok ini yang menjadi racun, saya sebut ini adalah Melayu yang makan Melayu, Melayu yang menjadi racun kepada Perlembagaan. Tidak mustahil mereka yang mencetuskan semua ini. Mereka yang nak jadi juara memperjuangkan hak sama rata, tanpa memahami sejarah Perlembagaan secara semangatnya. Mereka melihat Perkara 153 itu seolah-olah membawa pandangan buruk kepada Melayu, mereka rasa keistimewaan itu macam bantuan kepada orang cacat, benda yang buruk kepada orang Melayu. Ini menjadikan orang memijak Perlembagaan. Mereka ini tali barut yang menjadikan Perkara 153 dan orang Melayu sendiri bencikan keistimewaan Melayu. Kita tidak menafikan perkembangan mutakhir ini menunjukkan wujud dua Melayu iaitu Melayu liberal dan Melayu Perlembagaan..

Kita lihat suara untuk kesamarataan ini semakin berkumandang tetapi ia seolah-olah menjurus kepada bidang tertentu sahaja?

DR. SHAM RAHAYU: Masalah ini tidak akan selesai selagi kumpulan yang tidak berpuas hati ini menyatakan dengan jelas apa sebenarnya yang mereka mahukan. Kita lihat dalam pengambilan anggota polis terbuka kepada semua kaum tetapi adakah kaum bukan Melayu berminat menyertainya. Kita tidak pasti apa benda dan sektor mana yang mereka inginkan. Kalau nak juga keistimewaan Melayu ditarik balik tunjukkan bahawa keistimewaan ini telah menafikan mereka daripada mendapat hak-hak yang munasabah termasuk dari sudut ekonomi dan politik. Tunjukkan, barulah kita fikir Perlembagaan itu layak diubah.

Adakah Doktor melihat ada agenda lain di sebalik timbulnya cakap-cakap mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini?

DR. SHAM RAHAYU: Saya melihat isu bukan agenda saja-saja atau demi kepentingan bangsa tetapi lebih kepada agenda politik. Sepatutnya semua pihak mesti membezakan antara politik dengan Perlembagaan. Jika kita lihat kedudukan bukan Melayu terutama dari sudut politik dan ekonominya amat memberangsangkan dan bukan sedikit kalangan mereka yang kaya raya di sebalik wujudnya Perkara 153 ini. Saya tidak nampak apa salahnya dalam sistem itu, cuma mekanisme itu yang perlu dilihat balik dan saya rasa Perkara 153 tidak boleh dikompromi dalam membina bangsa Malaysia. Kita tidak boleh potong Perkara 153 sampai bila-bila pun, kerana bangsa kita memerlukan safeguard (pengawalseliaan) iaitu Perlembagaan untuk mengawal Melayu.

Kita mesti ingat di dunia hanya di Malaysia yang wujud Melayu begini, di Indonesia sudah tidak ada, di Afrika Selatan juga tidak ada identiti Melayu sebegini. Kita yang masih tulen dan mempunyai keistimewaan kalau hendak dilihat Melayu di Singapura apa agaknya yang mereka ada.

Mungkinkah semua ini berpunca daripada kelalaian di pihak pelaksana Perlembagaan itu sendiri?

DR. SHAM RAHAYU: Saya tidak fikir kerajaan semasa begitu prihatin dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan. Jika diikutkan misalnya Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi kerajaan memperkenalkan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walaupun untuk menarik balik dasar itu melibatkan kerugian dari aspek perbelanjaan kewangan tetapi kalau hendak menghormati Perlembagaan kita kena kembali kepada dasar lama. Jika tidak orang akan melihat dasar Kabinet bercanggah dengan Perlembagaan, bercanggah dengan sejarah dan kehendak Suruhanjaya Reid itu sendiri.

Saya percaya jika banyak sangat orang persoalkan sesuatu dasar yang ada kait mengait dengan Perlembagaan maka pasti ada silapnya. Semua pihak patut lihat balik apa yang tak kena dan sepatutnya kita pulihkan perkara-perkara yang tidak betul ini secepat mungkin.
Berikut petikan Perkara 153 Perlembagaan

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.
(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
Jangan prejudis kepada perkara 153
Senarionya sekarang Melayu cuma mempertahankan hak dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang sama bukan Melayu menuntut tambahan hak, adakah ini bermakna akan berlaku kesamarataan yang sekali gus menjejaskan hak orang Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apa yang kita faham akan sampai satu tahap di mana demokrasi seumpama barat yang menekankan kesamarataan akan berlaku di negara ini. Tetapi untuk proses tersebut menjadi kenyataan tidak diketahui bila masanya. Saya percaya tempoh 51 tahun biar pun ada pihak yang berpendapatan sudah tiba masanya untuk kesamarataan namun hakikatnya tempoh tersebut belum mencukupi. Paling penting untuk kita fikirkan ialah apabila tiba masa tersebut apa akan jadi kepada Perlembagaan kita?

Bukankah ketika itu Perlembagaan akan menjadi kosmetik?

DR. SHAM RAHAYU: Itu yang saya maksudkan. Kalau sampai ke tahap itu pasti akan timbul cadangan supaya Perkara 153 dimansuhkan daripada Perlembagaan. Mungkin kita akan sampai ke satu tahap di mana orang Melayu sendiri rasa tidak perlu lagi keistimewaan atau pun sampai satu tahap kerajaan kata kita tidak mampu mempertahankan Melayu lagi, mungkin satu kerajaan lain yang akan berkata begitu, maka ketika itu lepaslah orang Melayu macam anak ayam. Apabila berlaku keadaan seperti itu tentunya akan menimbulkan ketidakstabilan politik. Sebabnya saya melihat sejarah, mungkin orang kata apa yang dah berlaku biarkan berlalu, tetapi ada juga yang berkata, jika kita tidak belajar dari sejarah maknanya kita akan mencipta sejarah kejatuhan kita.

Walaupun Perlembagaan kita dikatakan living document, boleh berubah dari semasa ke semasa tetapi sebenarnya kesamarataan itu yang Suruhanjaya Reid mahu. Kalau kita baca semula laporan Suruhanjaya Reid sampai satu tahap tidak akan ada beza antara kaum-kaum di negara ini. Saya rasa ia terlalu ideal. Sampai macam mana kulit saya tidak akan jadi putih macam orang Cina, orang India tidak akan jadi sawo matang macam orang Melayu. Masalahnya sampai ke satu tahap kita bimbang Perlembagaan menjadi perhiasan dan ini yang perlu dimainkan oleh pihak yang menjaga Perlembagaan ini.

Jangan sampai satu tahap sama rata dan itu boleh membahayakan Perlembagaan dan kestabilan politik kita. Kita mencipta satu bentuk sistem Perlembagaan yang unik dan tiada mana-mana contoh Perlembagaan di dunia yang mempunyai ciri-ciri Perlembagaan kita. Cuma Malaysia sahaja di dunia ini ada Yang di-Pertuan Agong. Apabila saya baca laporan Suruhanjaya Reid saya tertanya-tanya adakah mereka faham keadaan di Malaysia ini atau mereka menggunakan minda Inggeris untuk menilai bangsa-bangsa yang ada.

Boleh Doktor berikan contoh wujudnya minda Inggeris dalam Suruhanjaya Reid?

DR. SHAM RAHAYU: Contohnya mereka berkata keistimewaan orang Melayu untuk substantial number of years – banyaknya itu amat subjektif, adakah 50 tahun cukup untuk membina bangsa kita, adakah 50 tahun cukup untuk orang Melayu matang. Kalau diikutkan sekarang memang orang Melayu itu matang tetapi dari segi keupayaan yang sebenar bolehkah orang Melayu berdiri. Sebab itu Perkara 153 ini tidak boleh dilepaskan kerana menyedari orang Melayu belum sampai ke tahap itu. Saya tertanya-tanya apa sangat yang bukan Melayu hendak sebenarnya. Adakah mereka tidak mendapat peluang pekerjaan, adakah mereka tidak mendapat kepentingan ekonomi, apa sangat yang disusahkannya tentang Perkara 153 ini. Lebih menyedihkan lagi apabila ada orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankan kedudukan Melayu.

Adakah ia mungkin disebabkan oleh kaum-kaum lain percaya bahawa kaum Melayu diberi keistimewaan keterlaluan sehingga hak menjejaskan hak mereka?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau hendak kata mereka tidak mendapat legitimate interest (perkataan yang digunakan dalam Suruhanjaya Reid), kita sendiri lihat kedudukan kaum-kaum lain di Malaysia sekarang ini. Adakah mereka tidak diberi peluang sedangkan mereka boleh ‘survive’ malah dalam banyak bidang mereka amat berjaya. Kalau Melayu tidak diberi kedudukan ini adakah Melayu boleh survive, itu yang penting dan mesti kita tengok.

Saya juga tertanya-tanya adakah selama ini negara kita tidak aman dengan adanya keistimewaan orang Melayu. Adakah kita tidak gembira berada di Malaysia hanya kerana adanya 153 ini. Persoalannya apa susah sangat dengan 153.

Dalam buku Chinese Dilemma dan Chinese Contributions mereka bangkitkan tentang peranan mereka, sememangnya kita terima peranan mereka membangunkan Bank Negara misalnya, tapi mereka kena ingat ini adalah negara mereka dan itu adalah sumbangan mereka. Apa yang mereka tidak dapat di negara ini. Sistem pendidikan misalnya kita lihat Singapura hanya ada satu sistem, tetapi di sini semuanya ada. Perpaduan bangsa kita seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al-Attas umpama jalur-jalur besi yang tidak boleh nak dicairkan kerana adanya prejudis. Adakah 153 menjadi satu isu untuk mereka prejudis kepada Melayu, saya rasa itu tidak adil untuk bangsa Melayu.

Sepatutnya mereka kena tunjukkan sejauh mana benarnya Dasar Ekonomi Baru telah menyekat legitimate interest mereka, kalau Lim Kit Siang kata orang Cina tidak diberi peluang sila perjelaskan peluang apa.

Mingguan Meloya

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

7 Comments:

Nostradamus said...

A Tribute to RPK For Your Dreams. (Suatu Penghormatan kepada RPK atas Impian Mu)
---------------------------------

The latest news about RPK in Malaysiakini and Malaysia Today, that he would be detained under the ISA have moved me to dedicate this speech by one of the great Freedom Fighters in the world, Martin Luther King Jr. " I Have a Dream" to him.

(Berita terbaru tentang RPK di Malaysiakini dan Malaysia Today, bahawa beliau akan ditahan dibawah ISA telah mengharukan hati saya untuk mendedikasikan ucapan oleh seorang Pejuang Kebebasan Dunia, Martin Luther King Jr. bertajuk "Saya ada Impian" kepada beliau.)

Let us reminiscent over it at http://patek1472.wordpress.com

(Marilah kita mengenangkan tentangnya di http://patek1472.wordpress.com )

Anonymous said...

siapa yang selalu jolok sarang tebuan?

Anonymous said...

Sebagai seorang "Melayu liberal", saya menyokong konsep kesamarataan, kerana tanpanya tiada wujud transpirasi. Kata Dr, Melayu sebenarnya kuat, apa gunanya kalau menyorok belakang NEP yang sebenarnya memberi keistimewaan kepada golongan Melayu yang tertentu seperti UMNO, apa gunanya keistimewaan itu jika bangsa kami mundur kerana wujudnya NEP ini. Apa gunanya kami kuat berjuang untuk keistimewaan kalau kami sebenarnya nampak LEMAH di mata orang lain. Kaum lain kerja bersungguh sungguh kerana NEP, kerana mereka tahu jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan mundur. Sedar akan hakikat Dr. Janganlah menjadi umat yang dipandang rendah. Bangsa Malaysia = Melayu Cina India Kadazan Iban dan sebagainya. Jangan kami menjadi satu-satunya kaum yang jalan menggunakan tongkat manakala kaum lain sedang kuat berlari.

Vicky said...

Ok,saya seorang yang berbangsa India setuju 153 diwujudkan..Hujah tadi memang benar tapi....boleh tolong jawab soalan-soalan ini tak???

1)Mengapa kebanyakan Melayu masih merempat di kampung dan dibandar..Kerja kuli terlampau banyak??..But anehnya,mengapa segelintir sahaja kaya raya..Macam late Naza?Macam Taib(menteri baru)..Taib tu bukannya dari keluarga taikun..tapi camana dia jadi kaya raya sampai boleh export USD bejuta juta??Camana pulak si Mahatir..Bapak Mahatir bukanya kaya..Ehh.takanlah Doktor boleh jadi kaya sekelip mata..Buka kaya sikit tapi terlampau lampau..Oklah..Camana Menteri menteri UMNO..Naik je Kabinet..Lepas 5 Tahun jadi jutawan..Ahh Yang baru,Brother bukit bendera..fuyoh,,harta bertan tan..Rumah cam istana..Dia cipta Microsoft Office cam bill gate ke...
(Melayu tamak nilah yang kita nak buang,makan senang tapi kedekut-berapa banyak masjid late Naza bina ye??Berapa banyak pulak si Taib bina??Boleh bagi jumlah Zakat dia bagi ke??I rasa tak sampai berapa sen pun)

2)Kenapa pulak Tok Guru Nik Aziz masih boleh tinggal kat rumah kampung.Pakai Merc 20tahun??..Kenapa masih tak kaya pun lepas 20 tahun jadi CM??..Hai Muhidin,Ghani,Tajol,Mokhtar,Rajah Brooke Melayu Serawak semua boleh jadi kaya sekelip mata..Bukan sebarang kaya pulak tuu..

Kesimpulan..

Soal hak melayu,brother tak perlu risau..Tak boleh hilang punya..I,India pun tak suka bagi semua kat Cina..Melayu tak sombong dan bertimbang rasa..I pun hidup pasal orang melayu tolong I,harap Cina memang mati cepat I buat bisnes..Yang nak ubah tu,tender kerajaan dibahagikan antara kompeni melayu yang layak..Bukan sekor je dapat..Menteri,anak menteri,saudara kena ban terus dapat kontrak kerajaan..Ini pun dah ok brother..

Harta yang melimpah tak tentu pasal dari ahli politik,wajib dirampas lepas habis tempoh berkhidmat..Anwar fight inilah masa 1998..Dia cadang nak gubal akta ni masa jadi Menteri Kewangan..Dia syorkan kat kabinet buat undang -undang..Hai ,terus kena tendang..Kenapa susah nak paham yang Anwar tu nak majukan orang-orang melayu yang tertindas..Nak bantu kontractor Melayu yang dah ditelan saudara Menteri-menteri UMNO...

OK,Yang agen-agen anti 153 tu biarkan..Dia boleh menyalak je..Biarkan dia buat forum kat BAR..Dia boleh cakap je..Keputusan kat PM melayu dan Raja Melayu..Kenapa nak risau beb..

So tolong Jawab dan Fikirkan..Jangan takut..Kuasa Muktamad ditangan orang Melayu..Oh ya..yang bagi temuduga tu..Jadi ahli akedemik tulin yeh..jangan melatah tak tentu pasal..U ni bau UMNO kuat sangat...I tahu ,you risau hilang kontrak..Tapi jangan pulak pasal wang,you cakap macam Hang Tuah..Pakai otak sikit beb..153 takan hilang,,Itu khayalan kamu je..Ini bukan soal politik..Ini soal perut..Rakyat dah mula merempat beb..Beras dah naik,minyak dah naik..You pulak buat cerita hak melayu nak hilang..Oii..sudahlah.Boleh Blah..

http://malaysian-spirit.blogspot.com

Anonymous said...

to "anonymous 07/09/08 14:42"melayu liberal",

i am a malaysian. ok ok, i am of chinese ethnicity (it still matters now huh?).

i am humbled by your views. if there are more fellow malay friends like you aroundm, i'd personally be happier :-) having said that, i recognize the significance of article 153 of the constitution.

for this blog owner (and indeed a whole lot of other malay-based blogs and politicians) they seem to forget that art153 argues for protection of special rights for the malays AND AND AND bumiputras of sabah & sarawak. where are they now econmically? they are worse of than most of the poorest malays in the peninsular.

how many of these bumiputras of sabah&sarawak have not even seen cities, developments etc...much less owning tvs and cars? they are still running in their "underpants".

while those fcuker umno-putras are hollering "ketuanan melayu", i thought the others (me included) are trying the sell the "ketuanan rakyat" to the people? for this "ancaman" article to be posted in a PAS blog seem out-of-place. since when religion has taken on a racial context? i am a buddhist, and buddhism is race-blind. so is christianity. and i know, so is islam. so go figure.

undeniable fact: past 50 years under BN has crippled the malays physically and mentally. these poor folks are not to blame. and for any chinese- or indians- chauvinists to stand in the way of help being extended to them, is downright evil. but i'd like to as, as you rightly have done so, UNTIL WHEN?

pru12 has started the ball rolling...

silently, i agree that malays should be the "taikor" but taikors should be taking care of "younger brothers". is that being done now? not under BN, no.

CARMANIO.

Anonymous said...

Siapa yang soalkan hak keistimewaan orang Melayu?. Ataupun Dr. rasa yang dibangkit tentang 153, mesti anti-melayu?. Sebenarnya tidak ada pihak yang soalkan 153. 153 disebutkan kerana ia telah disalah gunakan untuk monopoly kuasa oleh satu pihak selama 51 tahun.Hak orang-orang melayu adalah diperlihara dalam perlembagaan. Tapi yang sebenarnya dalam kerajaan yang bermoral dan beragama adalah menjadi tanggungjawab sebagai seorang manusia untuk memelihara dan menolong seorang manusia yang lemah(miskin).Sekarang ini ada pihak gunakan 153 untuk politik perkauman selama 51 tahun. Pada masa yang sama tak ada yang berubah dalam banyak hal, kenapa?. Kita perlu tanya diri sendiri, salah siapa bila kita sokonng pihak yang mahukan perkauman dan yang pada masa yang sama  kebas semua kekayaan negara untuk keluarga dan diri sendiri dan juga huru harakan negara ini semacam negara yang tak ber undang-undang atas nama perkauman..Orang-orang inilah yang luahkan kata-kata perkauman untuk 51 tahun dan berjaya berkuasa hingga kini. Kita harus ingat, jangan ada pandangan perkauman, Islam tidak benarkan perkauman. Kita harus pandang dari segi morality sebagaimana yang diajarkan oleh agama. Yang lemah dan miskin harus ditolong, tak kira warna kulit. Kita semua harus insaf, bahawa masalah negara kita ini adalah disebabkan kegagalan kita memahami bahawa perkauman adalah salah dan membawa kemusnahan. Kita semua ciptaan Tuhan. Dalam mata Tuhan kita semua adalh sama saja, tak ada beza.

Anonymous said...

Dr ni nampak macam pejuang melayu...tapi cam mana rata-rata orang melayu tak mampu buang tongkat.Siapa yang suruh melayu bertongkat kalau tak umno.habis hari dia seorang yang dapat.Melayu tak hilang apa-apa pun...yang dok bagi hilang tu umno.Melayu kaya segera ramai..melayu miskin segera pun ramai.Dua dua tertipu.Yang berjaya melayu umno..raja-raja pelahap,isi tembolok diri.Tanya Dr mana pegi Bahasa melayu,mana pegi budaya melayu,mana pegi maruah melayu.Mungkin dia lebih tahu.Pandai buat bising, tapi tak bersungguh...nak cari glamour...sudahlah diam lebih baik.Ajarlah anak-anak di universiti tu sampai pandai-pandai belaka,macam Anwar...tak jemu jaga hak rakyat.

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59