Friday, 19 September 2008

PEMBEBASAN TERESA KOK BELUM TEBUS DOSA KERAJAAN BN ~ Ref Malaysiakini


Pembebasan Teresa Kok siang tadi tidak dapat menebus dosa kezaliman kerajaan BN mengurung tahanan ISA tanpa dibicarakan.
Kini masih ada puluhan tahanan ISA yang dizalimi bertahun-tahun lamanya. Kesalahan mereka tidak pernah dibuktikan di mana-mana mahkamah. Hanya mahkamah kezaliman kerajaan BN sahaja yang 'membicarakan' mereka secara 'ghaib' membolehkan tahanan ISA ini merengkok di dalam penjara ISA yang mempunyai seribu satu macam penyiksan.
Corak siksaan ini berbeza-beza dari seorang tahanan dan tahanan lain. Mengikut bekas-bekas 'pelajar' ISA ini antaranya Shaari Sungip, Malik Hussin, Dr Badrul Amin, Mohamad Sabu dan lain-lain penyiksaan ini berbagai ragam ada penyiksaan mental, spiritual dan fizikal. Ada yang di'torture' dengan berita-berita bohong, fitnah dan sebagainya. Bacalah buku-buku mengenai tahanan ISA yang banyak dikarang oleh 'Professor' ISA ini.
Sehingga ini ada tahanan yang ditahan lebih 6 tahun ada yang baru sahaja ditahan iaitu Raja Petra Kamaruddin. Ada ditahan kononnya ahli Jemaah Islamiah, KMM, Agen Asing dan sebagainya. Tetapi semuanya sama sahaja iaitu tidak pernah dibicarakan.
Ramai juga tahanan ISA yang sehingga ke hari ini masih tertanya-tanya mengapa mereka ditahan sedangkan mereka sendiri tidak pernah mendengar nama Jemaah Islamiah dan KMM. Ini termasuk salah seorang 'graduan' ISA iaitu Nik Adli Nik Abdul Aziz yang tidak pernah mendengar nama KMM tetapi tiba-tiba beliau dituduh sebagai Ketua KMM dan dizalimi selama bertahun-tahun di Kamunting.
Sesungguhnya kezaliman ini bukan sahaja keatas tahanan ISA tetapi juga kepada dihadapi oleh ayah, ibu, isteri dan anak-anak tahanan ISA. Mereka dipisahkan selama-lama bertahun-tahun dengan keluarga mereka. Saya ingin bertanya sanggupkan Dolloh, AlnAjib dan sesiapa sahaja berpisah dengan ayah,ibu, anak dan isteri bertahun-tahun lamanya.
Lebih menyayat hati ada ayah yang dinafikan hak untuk bersama anaknya yang sedang nazak. Sehingga anaknya menghembuskan nafas terakhir kerajaan zalim ini terus menekan tahanan ISA dengan melengah-lengahkan kepulangan bapaknya menziarahi jenazah anak yang tersayang. Siapakan yang lebih zalim dari kerajaan yang ada sekarang? Cuba jawap pertanyaan saya.
Isteri dan anak-anak kehilangan tempat berpaut, tidak ada sumber rezeki untuk hidup, anak membesar tanpa ayah, isteri dahagakan kasih sayang suami dan seribu satu macam masalah yang semuanya mesti dipertanggungjawabkan kepada kerajaan BN. Dosa ini siapa yang menanggungnya selain dari mereka yang berkuasa sekarang.
Malangnya bulan Ramadhan ini sekali lagi menyaksikan puak-puak kejam bagaikan perangai lanun ini masih bongkak dan angkuh terus menahan tahanan ISA ini.
Dari itu janganlah mendabik dada menyatakan kerajaan BN amat bertimbangrasa dan adil sehingga membebaskan Teresa Kok sedangkan di sana begitu ramai lagi anak, isteri, ayang dan ibu tahanan ISA terus menanti kepulangan insan tersayang yang masih dikurung di dalam bilik 6 X 8 di Kamunting.
Ayuh rakyat Malaysia khasnya orang Islam, mari kita bermunajat dalam bulan Ramadhan ini berdoa kepada Allah agar kerajaan Pakatan Rakyat dapat ditubuhkan agar kita tidak terus dizalimi dan ditekan oleh kerajaan yang ada sekarang.


Tuesday, 16 September 2008

SOKONG PENUH KENYATAAN MEDIA ANWAR


Saya yakin dan percaya bahawa apa yang diperkatakan oleh Anwar dalam sidang media tadi adalah benar dan perlu diambil perhatian oleh Perdana Menteri Malaysia demi masa depan rakyat dan negara. Saya menyokong langkah yang diambil oleh Anwar yang tidak menamakan ahli-ahli parlimen BN yang telah bersetuju menyertai Pakatan Rakyat atas dasar keselamatan dan tindak balas dari BN.

Ini terbukti apabila sebaik sahaja Parti Maju Sabah (SAPP) membuat kritikan kepada BN, Presidennya, Yong Teck Lee terus disiasat kerana didakwa mengamalkan rasuah. Saya menyokong penuh tindakan PR yang mengambil jalan selamat berlandaskan undang-undang negara dan menghormati Seri Paduka Baginda Yang Dipertua sebagai ketua negara. Kita faham bahawa BN akan menggunakan segala ikhtiar dan cara untuk mengagalkan rancangan ini. Saya mengharapkan Pak Lah dapat bertemu dengan Anwar secepat yang mungkin seperti yang diminta oleh Pakatan Rakyat. Pertemuan ini sangat penting untuk rakyat dan negara kerana ia menjadi titik tolak peralihan kuasa yang licin dan teratur.

Sebagai seorang yang berjiwa besar seseorang pemimpin mesti menerima hakikat bahawa suatu hari beliau akan meninggalkan kuasa dan pangkatnya tidak kira samada secara sukarela atau di'hukum' oleh rakyat.

Pak Lah mesti bersedia untuk bertemu dan Anwar dan pemimpin PR lain demi masa depan negara, bangsa dan agama. Tidak ada gunanya berkeras sedangkan diri sendiri ditolak penyokong sendiri dan PR. Malah rakyat juga menunjukkan reaksi yang sama berdasarkan kepada beberapa kajian badan bebas yang jelas membuktikan peratusan sokongan kepada Pak Lah merudum umpama merudumnya indeks BSKL.

Pertemuan kedua-dua pemimpin ini mesti direalisasikan secepat mungkin bagi memulihkan konflik negara kita yang semakin parah dari segi politik, ekonomi, sosial dan segalanya. Dengan kerajaan baru Insya Allah segala permasalahan ini dapat diperbetulkan. Sekarang inipun negara kita sudah terkena tempias ketidaktentuan politik, ekonomi dan pentadbiran negara kerana kedegilan Pak Lah yang berkeras mahu meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri. Inilah masalahnya yang berlaku dalam politik Malaysia apabila pemimpin perasan dirinya hebat dan tetap disokong oleh rakyat. Sedangkan sebenarnya beliau sudah dicemuh dan dikeji oleh rakyat kerana kelemahan, kecuaian dan kelembapan pemerintahannya.

Diharapkan Pak Lah tidak menjadikan agenda kepentingan politik sendiri mengatasi kepentingan negara, agama dan bangsa.

Kami sebagai rakyat merayu kepada Pak Lah supaya sedar dan insaf akan situasi sebenar di mana dirinya sudah ditolak oleh rakyat dan seluruh kepimpinan politik di dalam negara samada dari PR ataupun BN.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka


Saturday, 13 September 2008

BANTAHAN PENAHANAN DI BAWAH ISA ~ Ref Malaysiakini


Saya membantah sekeras-kerasnya penahanan 3 orang rakyat Malaysia yang ditahan di bawah ISA semalam. Sesungguhnya penahanan ketiga-tiga mereka merupakan pencabulan terhadap hak asasi manusia, kebebasan akhbar dan hak rakyat untuk bersuara.

Blogger terkenal Raja Petra Kamaruddin (RPK) ditahan dirumahnya pada jam 1.10 tengahari dan seorang lagi wartawan Sin Chiew Daily, Tan Hong Cheng ditahan di rumahnya di Bukit Mertajam jam 8.30 malam, manakala Ahli Parlimen Seputeh dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, YB Teresa Kok ditahan pada jam 11.18 malam tadi semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya

Penahanan ketiga-tiga rakyat merdeka ini merupakan episod malang yang terus menambahkan rekod buruk Malaysia di mata dunia.ISA adalah akta zalim yang mesti dihapuskan dengan segera. Ianya sering digunakan untuk kepentingan politik pemerintah.Walau sebesar mana kesalahan seseorang itu, Islam memberikan peluang untuk yang dituduh membela diri. Tahanan tanpa bicara seperti ISA adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan.Di dalam Islam orang Murtad sekalipun diberi peluang untuk bertaubat dan membela diri. Si murtad dinasihatkan kembali kepada Islam. Setelah semua prosesnya berjalan dan si murtad enggan bertaubat juga, barulah hukuman dikenakan.

ISA jelas bertentangan dengan Islam di mana tahanan ditahan tanpa bicara dengan tidak dibenarkan membela diri di mana-mana mahkamah terbuka.Walau sejahat mana sekalipun, si tertuduh tidak dikira bersalah selagi beliau tidak dibicarakan di mahkamah dan dibuktikan kesalahan oleh hakim dan beliau dibenar untuk membela diri semasa perbicaraan dijalankan.

Saya juga kesal kerana penahanan wartawan Sin Chiew Daily dikatakan kerana melaporkan kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail semasa kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Malangnya Ahmad Ismail yang membuat kenyataan berbaur perkauman itu tidak pula ditahan hanya dikenakan tindakan pergantungan keahlian Umno sahaja.Apakah pemimpin Umno dan BN mempunyai imuniti dan kekebalan walaupun membuat kenyataan berbaur perkauman seperti yang dilakukan oleh Ahmad Ismail. Ahmad hanya dikenakan hukuman digantung keahlian Umno sahaja.

Ini merupakan sikap double standard kerajaan BN yang membuat hukuman hanya kepada musuh politiknya sahaja.Jika benar Ketiga-tiga mereka ini bersalah hadapkan mereka ke mahkamah kerana saya yakin masih banyak akta-akta lain selain dari ISA yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka. Antaranya akta hasutan dan sebagainya.

Mengapa digunakan akta zalim ini untuk menahan mereka.Saya juga menggesa kerajaan supaya tidak menjadikan ISA sebagai senjata untuk menyelamatkan kerajaan BN yang sedang dilanda seribu satu masalah.

Saya agak sangsi, apakah siri tangkapan ini menjadi permulaan kepada Operasi Lalang 2 yang pernah menjadi penanda aras kezaliman kerajaan BN seperti yang dilakukan pada tahun 1997 itu. Pada masa itu pemimpin Umno bercakap berapi-api meniupkan semangat Melayu tetapi yang kena tahan adalah pemimpin PAS dan beberapa orang ahli Team B Umno.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Melaka


Friday, 12 September 2008

KJ PERTAHAN PAK MERTUA UNTUK SELAMATKAN DIRI ~ Ref Malaysiakini


Khairy Jamaluddin (KJ) adalah antara orang yang paling takut jika sekiranya Pak Mertua kesayangan beliau, Pak Lah tumbang pada pemilihan akan datang. Ini kerana masa depan politik beliau betul-betul bergantung kepada pak mertuanya. Tanpa Pak Mertuanya itu kita tahu di mana kedudukan KJ sekarang.

Beliau menang jawatan Naib Ketua Pemuda pada pemilihan lalu kerana tiada yang berani menentangnya kerana lawannya tahu jika mereka menentang KJ sudah pasti karier politik mereka malap malah mungkin terus padam. Oleh kerana itu mereka memberikan KJ kemenangan percuma.

Oleh sebab itulah KJ dilihat pergi kesana kemari sekarang untuk berkempen mempertahankan Pak Mertuanya dan dirinya juga. KJ masih mencari ilham masa yang sesuai untuk mengumumkan keputusan bertanding Ketua Pemuda. Mungkin KJ takut untuk berbuat demikian kerana kedudukan Pak Mertuanya juga terumbang-ambing akibat desakan kuat pihak akar umbi supaya Pak Mertuanya meletakkan jawatan.

Salah satu sebab Pak Mertuanya tidak meletakkan jawatan lebih awal adalah kerana untuk memberikan peluang kepada KJ mengukuhkan kedudukan dalam politik Umno sebelum Pak Mertua pencen dari jawatan Presiden Umno. Sebab itulah Pak Lah menunggu sehingga 2010 baru dan berundur.

Inilah masalahnya apabila kerajaan dan parti dibuat seperti milik sendiri macam harta pusaka sendiri sehinggakan rakyat merana dan menderita mereka tidak kisah yang penting aku mesti terus berkuasa. Inilah yang dikatakan mabuk kuasa.

Semalam KJ secara terang-terang menyarankan supaya perubahan dilakukan di peringkat pucuk pimpinan UMNO tidak akan menyelesaikan segala masalah yang berlaku dalam parti itu.

Sebaliknya, beliau menegaskan, perubahan pucuk pimpinan parti memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk mengkaji bagaimana kaedah memenangi semula hati rakyat dan keseluruhan ahli parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Maknanya KJ tidak mahu ada perubahan pada pucuk pimpinan parti sebab katanya perubahan tidak menyelesaikan masalah.

Apakah beliau tidak nampak betapa lemahnya Pak Mertuanya memerintah negara. KJ bukan tidak nampak, tetapi KJ takut dirinya ghaibul ghuyub bersama-sama dengan Pak Mertuanya kalau mertuanya itu pencen awal.


Monday, 8 September 2008

ALI RUSTAM ULAMA' BESAR MALAYSIA ~ Ref Malaysiakini


Orang Umno mempertikaikan kewibawaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kata mereka siapa yang beri gelaran ulama' kepada beliau. Tuan Guru angkat diri sendiri jadi ulama' dan macam-macam lagi penghinaan dan tuduhan yang dilemparkan kepada Tuan Guru.

Saya pun hairan mengapa beriya-iya benar orang Umno ini marahkan Tok Guru digelar ulama'. Mengapa dengki sangat mereka dengan gelaran tersebut sedangkan mereka juga mempunyai ulama' besar seperti Ulama' tersohor Islam Hadhari dan juga pengasas ajaran Islam Hadhari Al Fadzil As-Syeikh Abdullah Ahmad Badawi yang juga terkenal di seluruh pelusuk negara kita.

Bukankah Ulama' Abdullah bijak dan tinggu ilmunya sehingga boleh bersalam dengan perempuan, pegang bahu Amoi, boleh pergi majlis tari-menari, konsert dan bermacam-macam lagi. Sudah tentu ilmu dan ijtihadnya tinggi sehingga boleh menghalalkan semua itu.

Jadi apa yang hendak dipelikkan jika ramai dari rakyat Malaysia malah seluruh dunia mengiktiraf bahawa Tuan Guru adalah ulama'.

Malah di negeri Melaka sendiri, kita ada ulama' yang tidak kurang hebatnya iaitu As-Syeikh Mohd Ali Rustam Al Ketami yang juga terkenal dengan kezuhudannya. Beliau juga sama hebat lebih kurang dengan Al Badawi sehingga Al Ketami boleh mengeluarkan fatwa bersalam dengan wanita bukan muslim tidak salah kerana tidak naik nafsu syahwat.

Jadi saya harap orang Umno lepas ini boleh angkat Al Badawi dan Al Ketami menjadi ulama' besar dan selepas ini kemungkinan mereka akan dipanggil untuk menyampaikan ceramah agama di seluruh dunia dan dijemput untuk membincangkan hukum hakam dan menyelesaikan masalah umat Islam seluruh dunia.

Nukilan : Syeikh Al Tehelli


Sunday, 7 September 2008

ANCAMAN KEPADA MELAYU - RENUNGKAN ~ Ref Malaysiakini


Entah mengapa sejak kebelakangan ini sudah timbul ‘keberanian’ luar biasa daripada pelbagai pihak untuk mempertikaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara perkara yang semakin lantang menjadi perdebatan atau perbahasan ialah mengenai Perkara 153 berhubung keistimewaan orang Melayu.

Walaupun pihak-pihak yang berbuat demikian amat memahami ia sesuatu yang sensitif namun mereka tidak mempedulikan itu semua.

Sebaliknya satu demi satu hujah mereka keluarkan bagi menggugat apa yang sudah terpahat dalam Perlembagaan. Persoalannya wajarkah perkara seumpama itu terus menjadi pertikaian? Tidakkah ia sepatutnya dihormati memandangkan ia adalah satu Perlembagaan negara?

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Meloya, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD.RAZAK, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz secara terus terang menyifatkan, apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah.

Malah katanya, kegagalan orang Melayu untuk berhujah mengenai intipati apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga menjadi punca pihak lain mampu mempertikaikan apa yang sudah diperuntukkan.

Selain itu pada pandangan Dr. Sham Rahayu sikap generasi baru yang mahu memperjuangkan kesamarataan antara kaum juga turut menyebabkan segala yang ditetapkan oleh Perlembagaan mengenai orang Melayu semakin ‘terancam’.

Mingguan: Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara dalam Perlembagaan terus dipertikaikan?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji sentimen sesetengah pihak pada masa ini ia memang menunjukkan mereka mahu melihat apa yang ada dalam Perlembagaan dan kemudian mempertikaikan kewujudannya tanpa mahu memahami kenapa ia diwujudkan. Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa. Bagi saya, dalam demokrasi ada ruang bagi membolehkan perkara dalam Perlembagaan diperbincangkan tetapi bukan sampai ke tahap yang boleh menggugat Perlembagaan itu sendiri. Ini termasuklah perbincangan yang menjurus ke arah provokasi seperti hendak membuang peruntukan Perlembagaan yang sedia ada.

Apakah peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan itu keterlaluan melindungi orang Melayu sehingga menjejaskan bangsa-bangsa lain?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji Suruhanjaya Reid, ia mengatakan kalau kita mengambil hak Melayu secara tidak terancang ia boleh meruntuhkan pembinaan bangsa dan negara. Atas sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak mengatakan bahawa Perkara 153 memberi kelebihan melampau kepada orang Melayu.

Ini kerana sistem tersebut mesti bergerak dengan hak-hak munasabah terhadap bangsa lain. Suruhanjaya Reid merujuk salah satu terma Perlembagaan ialah menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta menjaga hak-hak munasabah terhadap bangsa lain, jadi apabila kita menjaga kepentingan Melayu ini tidak bermakna kita mengabaikan bangsa lain. Untuk membina sebuah negara yang aman dan damai serta mewujudkan kestabilan politik kita memerlukan kesaksamaan dan keadilan.

Tetapi apa yang ditonjolkan seolah-olah orang Melayu mendapat segala-galanya sedang bangsa lain tidak mendapat apa-apa?

DR. SHAM RAHAYU: Saya berpendapat mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?

Kalau kita mengkaji laporan Suruhanjaya Reid mengenai Perlembagaan, kelebihan kepada orang Melayu diberikan sejak 1948. Pada tahun itu, orang British sendiri tidak pernah menyentuh soal Melayu dan Islam. Ini kerana ia menjadi subjek yang terlalu sensitif kepada British. Namun dalam masa yang sama terdapat terma bahawa bangsa lain tidak diabaikan.

Kenapa baru sekarang semua ini hendak dipertikaikan sedangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan?

DR. SHAM RAHAYU: Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri. Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153.

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan. Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan.

Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi? Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik. Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud. Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara. Bagaimanapun kalau boleh soal mengenai Melayu ini tidaklah dibincangkan dalam suasana terlalu panas atau penuh provokasi. Tetapi dalam masa yang kita sudah tidak mampu menyembunyikan segala-galanya di bawah karpet. Masyarakat kita sudah mengetahui isi kandungan Perlembagaan. Oleh itu orang Melayu terutama pemimpin kita harus pandai berhujah dan memahami Perlembagaan tanpa sentimen politik.

Kita harus pisahkan antara isu politik dengan isu Perlembagaan. Kita perlu berbincang soal Perlembagaan secara akademik dan intelektual bukan provokasi. Saya lihat dari semasa ke semasa semakin banyak peruntukan Perlembagaan mengenai orang Melayu diganggu gugat. Dahulu ia bermula dengan Perkara 152 iaitu mengenai bahasa Melayu dan sekarang Perkara 153 pula.

Kalau pencabulan ini terus dibiarkan, ia akan menyebabkan porak peranda kerana sistem pentadbiran negara dan kestabilan politik akan terancam.
Dalam soal pemain dalam menjayakan peruntukan sedia ada, apakah ia berpunca dari kelemahan pelaksanaan?

DR. SHAM RAHAYU: Saya bersetuju kalau orang mengatakan masalah kita bukan dengan sistem tetapi pemain. Bagi saya membiarkan peruntukan-peruntukan itu dibincangkan secara provokatif mendatangkan masalah lebih besar. Dalam soal ini pemain harus memastikan peruntukan itu dijalankan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Perlembagaan. Selain itu, mereka juga harus memantau sejauh mana peruntukan itu dilaksanakan.

Para pemain dalam sistem ini perlu berubah dan melihat balik apa yang mereka buat itu bertepatan dengan tujuan atau objektif Perlembagaan atau tidak. Ini bagi mengelakkan Perlembagaan hanya menjadi kosmetik.

Kalau Perlembagaan itu hendak dihormati ia harus dilaksanakan, masalahnya tidak ada penguatkuasaan jika ia dilanggar. Walaupun Perlembagaan bukanlah kanun keseksaan tetapi kita sudah membina satu konvensyen atau adat Perlembagaan yang harus dihormati.
Atas sebab itu kita memerlukan penguatkuasaan yang tegas ke atas pencabulan Perlembagaan. Kalau kita dilihat lemah dalam soal ini sudah pasti ada pihak yang akan melakukan provokatif untuk menolak apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di kalangan generasi muda adalah jelas mereka tidak menghiraukan mengenai pencabulan Perlembagaan ini?

DR. SHAM RAHAYU: Tidak dapat dinafikan bahawa generasi baru memperjuangkan kesamarataan. Saya setuju dengan pandangan bahawa akibat daripada perjuangan inilah berlakunya pencabulan Perlembagaan. Justeru kita harus melihat agenda di sebalik tindakan berkenaan.

Adakah asas kesamarataan itu menjadi benda yang kukuh? Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita. Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil. Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau. Jadi tidak perlulah lagi dipersoalkan mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini. Bagi saya mereka yang membangkitkan isu berkenaan mempunyai agenda politik.

Kenapa orang Melayu selalu dilihat bersalah apabila mempertahankan hak Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apologetik. Orang Melayu terlalu berdiplomatik dengan sifat kemelayuan, sedangkan Melayu sebenarnya kuat dan hebat, tetapi sekarang ini kita terlalu apologetik. Sikap apologetik dan diplomatik, sikit-sikit minta maaf menyebabkan orang naik tocang. Sikap ini kalau dilakukan terlalu kerap orang akan bosan. Saya rasa faktor utama mengapa hak orang Melayu di sisi Perlembagaan sering dipersoalkan ialah tidak tegas dari segi penguatkuasaan dan sifat apologetik. Inilah dua karakter yang menyebabkan Perkara 153 dipijak, menyebabkan kedudukan orang Melayu dipijak sehingga orang Melayu rasa bersalah dan malu untuk mengaku kita sebenarnya ada keistimewaan.

Sekarang ini ada pula Melayu liberal yang juga mahu supaya diwujudkan kesamarataan?

DR. SHAM RAHAYU: Kelompok ini yang menjadi racun, saya sebut ini adalah Melayu yang makan Melayu, Melayu yang menjadi racun kepada Perlembagaan. Tidak mustahil mereka yang mencetuskan semua ini. Mereka yang nak jadi juara memperjuangkan hak sama rata, tanpa memahami sejarah Perlembagaan secara semangatnya. Mereka melihat Perkara 153 itu seolah-olah membawa pandangan buruk kepada Melayu, mereka rasa keistimewaan itu macam bantuan kepada orang cacat, benda yang buruk kepada orang Melayu. Ini menjadikan orang memijak Perlembagaan. Mereka ini tali barut yang menjadikan Perkara 153 dan orang Melayu sendiri bencikan keistimewaan Melayu. Kita tidak menafikan perkembangan mutakhir ini menunjukkan wujud dua Melayu iaitu Melayu liberal dan Melayu Perlembagaan..

Kita lihat suara untuk kesamarataan ini semakin berkumandang tetapi ia seolah-olah menjurus kepada bidang tertentu sahaja?

DR. SHAM RAHAYU: Masalah ini tidak akan selesai selagi kumpulan yang tidak berpuas hati ini menyatakan dengan jelas apa sebenarnya yang mereka mahukan. Kita lihat dalam pengambilan anggota polis terbuka kepada semua kaum tetapi adakah kaum bukan Melayu berminat menyertainya. Kita tidak pasti apa benda dan sektor mana yang mereka inginkan. Kalau nak juga keistimewaan Melayu ditarik balik tunjukkan bahawa keistimewaan ini telah menafikan mereka daripada mendapat hak-hak yang munasabah termasuk dari sudut ekonomi dan politik. Tunjukkan, barulah kita fikir Perlembagaan itu layak diubah.

Adakah Doktor melihat ada agenda lain di sebalik timbulnya cakap-cakap mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini?

DR. SHAM RAHAYU: Saya melihat isu bukan agenda saja-saja atau demi kepentingan bangsa tetapi lebih kepada agenda politik. Sepatutnya semua pihak mesti membezakan antara politik dengan Perlembagaan. Jika kita lihat kedudukan bukan Melayu terutama dari sudut politik dan ekonominya amat memberangsangkan dan bukan sedikit kalangan mereka yang kaya raya di sebalik wujudnya Perkara 153 ini. Saya tidak nampak apa salahnya dalam sistem itu, cuma mekanisme itu yang perlu dilihat balik dan saya rasa Perkara 153 tidak boleh dikompromi dalam membina bangsa Malaysia. Kita tidak boleh potong Perkara 153 sampai bila-bila pun, kerana bangsa kita memerlukan safeguard (pengawalseliaan) iaitu Perlembagaan untuk mengawal Melayu.

Kita mesti ingat di dunia hanya di Malaysia yang wujud Melayu begini, di Indonesia sudah tidak ada, di Afrika Selatan juga tidak ada identiti Melayu sebegini. Kita yang masih tulen dan mempunyai keistimewaan kalau hendak dilihat Melayu di Singapura apa agaknya yang mereka ada.

Mungkinkah semua ini berpunca daripada kelalaian di pihak pelaksana Perlembagaan itu sendiri?

DR. SHAM RAHAYU: Saya tidak fikir kerajaan semasa begitu prihatin dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan. Jika diikutkan misalnya Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi kerajaan memperkenalkan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walaupun untuk menarik balik dasar itu melibatkan kerugian dari aspek perbelanjaan kewangan tetapi kalau hendak menghormati Perlembagaan kita kena kembali kepada dasar lama. Jika tidak orang akan melihat dasar Kabinet bercanggah dengan Perlembagaan, bercanggah dengan sejarah dan kehendak Suruhanjaya Reid itu sendiri.

Saya percaya jika banyak sangat orang persoalkan sesuatu dasar yang ada kait mengait dengan Perlembagaan maka pasti ada silapnya. Semua pihak patut lihat balik apa yang tak kena dan sepatutnya kita pulihkan perkara-perkara yang tidak betul ini secepat mungkin.
Berikut petikan Perkara 153 Perlembagaan

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.
(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
Jangan prejudis kepada perkara 153
Senarionya sekarang Melayu cuma mempertahankan hak dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang sama bukan Melayu menuntut tambahan hak, adakah ini bermakna akan berlaku kesamarataan yang sekali gus menjejaskan hak orang Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apa yang kita faham akan sampai satu tahap di mana demokrasi seumpama barat yang menekankan kesamarataan akan berlaku di negara ini. Tetapi untuk proses tersebut menjadi kenyataan tidak diketahui bila masanya. Saya percaya tempoh 51 tahun biar pun ada pihak yang berpendapatan sudah tiba masanya untuk kesamarataan namun hakikatnya tempoh tersebut belum mencukupi. Paling penting untuk kita fikirkan ialah apabila tiba masa tersebut apa akan jadi kepada Perlembagaan kita?

Bukankah ketika itu Perlembagaan akan menjadi kosmetik?

DR. SHAM RAHAYU: Itu yang saya maksudkan. Kalau sampai ke tahap itu pasti akan timbul cadangan supaya Perkara 153 dimansuhkan daripada Perlembagaan. Mungkin kita akan sampai ke satu tahap di mana orang Melayu sendiri rasa tidak perlu lagi keistimewaan atau pun sampai satu tahap kerajaan kata kita tidak mampu mempertahankan Melayu lagi, mungkin satu kerajaan lain yang akan berkata begitu, maka ketika itu lepaslah orang Melayu macam anak ayam. Apabila berlaku keadaan seperti itu tentunya akan menimbulkan ketidakstabilan politik. Sebabnya saya melihat sejarah, mungkin orang kata apa yang dah berlaku biarkan berlalu, tetapi ada juga yang berkata, jika kita tidak belajar dari sejarah maknanya kita akan mencipta sejarah kejatuhan kita.

Walaupun Perlembagaan kita dikatakan living document, boleh berubah dari semasa ke semasa tetapi sebenarnya kesamarataan itu yang Suruhanjaya Reid mahu. Kalau kita baca semula laporan Suruhanjaya Reid sampai satu tahap tidak akan ada beza antara kaum-kaum di negara ini. Saya rasa ia terlalu ideal. Sampai macam mana kulit saya tidak akan jadi putih macam orang Cina, orang India tidak akan jadi sawo matang macam orang Melayu. Masalahnya sampai ke satu tahap kita bimbang Perlembagaan menjadi perhiasan dan ini yang perlu dimainkan oleh pihak yang menjaga Perlembagaan ini.

Jangan sampai satu tahap sama rata dan itu boleh membahayakan Perlembagaan dan kestabilan politik kita. Kita mencipta satu bentuk sistem Perlembagaan yang unik dan tiada mana-mana contoh Perlembagaan di dunia yang mempunyai ciri-ciri Perlembagaan kita. Cuma Malaysia sahaja di dunia ini ada Yang di-Pertuan Agong. Apabila saya baca laporan Suruhanjaya Reid saya tertanya-tanya adakah mereka faham keadaan di Malaysia ini atau mereka menggunakan minda Inggeris untuk menilai bangsa-bangsa yang ada.

Boleh Doktor berikan contoh wujudnya minda Inggeris dalam Suruhanjaya Reid?

DR. SHAM RAHAYU: Contohnya mereka berkata keistimewaan orang Melayu untuk substantial number of years – banyaknya itu amat subjektif, adakah 50 tahun cukup untuk membina bangsa kita, adakah 50 tahun cukup untuk orang Melayu matang. Kalau diikutkan sekarang memang orang Melayu itu matang tetapi dari segi keupayaan yang sebenar bolehkah orang Melayu berdiri. Sebab itu Perkara 153 ini tidak boleh dilepaskan kerana menyedari orang Melayu belum sampai ke tahap itu. Saya tertanya-tanya apa sangat yang bukan Melayu hendak sebenarnya. Adakah mereka tidak mendapat peluang pekerjaan, adakah mereka tidak mendapat kepentingan ekonomi, apa sangat yang disusahkannya tentang Perkara 153 ini. Lebih menyedihkan lagi apabila ada orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankan kedudukan Melayu.

Adakah ia mungkin disebabkan oleh kaum-kaum lain percaya bahawa kaum Melayu diberi keistimewaan keterlaluan sehingga hak menjejaskan hak mereka?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau hendak kata mereka tidak mendapat legitimate interest (perkataan yang digunakan dalam Suruhanjaya Reid), kita sendiri lihat kedudukan kaum-kaum lain di Malaysia sekarang ini. Adakah mereka tidak diberi peluang sedangkan mereka boleh ‘survive’ malah dalam banyak bidang mereka amat berjaya. Kalau Melayu tidak diberi kedudukan ini adakah Melayu boleh survive, itu yang penting dan mesti kita tengok.

Saya juga tertanya-tanya adakah selama ini negara kita tidak aman dengan adanya keistimewaan orang Melayu. Adakah kita tidak gembira berada di Malaysia hanya kerana adanya 153 ini. Persoalannya apa susah sangat dengan 153.

Dalam buku Chinese Dilemma dan Chinese Contributions mereka bangkitkan tentang peranan mereka, sememangnya kita terima peranan mereka membangunkan Bank Negara misalnya, tapi mereka kena ingat ini adalah negara mereka dan itu adalah sumbangan mereka. Apa yang mereka tidak dapat di negara ini. Sistem pendidikan misalnya kita lihat Singapura hanya ada satu sistem, tetapi di sini semuanya ada. Perpaduan bangsa kita seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al-Attas umpama jalur-jalur besi yang tidak boleh nak dicairkan kerana adanya prejudis. Adakah 153 menjadi satu isu untuk mereka prejudis kepada Melayu, saya rasa itu tidak adil untuk bangsa Melayu.

Sepatutnya mereka kena tunjukkan sejauh mana benarnya Dasar Ekonomi Baru telah menyekat legitimate interest mereka, kalau Lim Kit Siang kata orang Cina tidak diberi peluang sila perjelaskan peluang apa.

Mingguan Meloya


JANGAN BIMBANG AHMAD ISMAIL SUDAH TENTU TIDAK BERSALAH~ Ref Malaysiakini


Timbalan Ketua Polis Negara, Ismail Omar berkata siasatan terhadap Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera yang didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan adalah mengikut prosedur biasa.

Beliau berkata, pihak polis sedang menyiasat kenyataan Ahmad yang dikatakan berunsur hasutan namun enggan mengulas lanjut tentang perkembangan siasatan berkenaan yang disifatkan masih terlalu awal.

“Siasatan terhadap kes ini merupakan siasatan biasa dan mengikut prosedur biasa, kalau hasutan kita akan siasat bawah Akta Hasutan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Timbalan Ketua Polis Negara di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, semalam.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK) yakin Ahmad tidak akan dikenakan sebarang tindakan kerana Pak Lah sendiri pun seolah-olah menyokong kenyataan Ahmad yang dibuat ketika berkempen pada Pilihanraya Kecil Permatang Pauh bulan lalu.

Cuma Najib sahaja yang beriya-iya memohon maaf tanpa usul periksa sedangkan kesemua Ketua Umno Bahagian di Pulau Pinang dan Pak Lah sendiri menyokong ketegasan Ahmad yang tidak mahu memohon maaf.

Jadi tidak perlulah Ismail Omar hendak membuat kenyataan tentang siasatan tersebut sebab orang kampung semua sudah tahu keputusannya. Jarang sekali pemimpin Umno akan dikenakan tindakan atas apa juga kenyataan yang dibuat walaupun berbakul-bakul laporan Polis dibuat keatas kenyataan tertentu oleh pemimpin tertentu sebelum ini.


Saturday, 6 September 2008

16 SEPT KEMANA SELEPAS ITU? ~ Ref Malaysiakini


Bagi rakyat biasa, tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 Sepetember sudah lama dilupai, ia tidak pernah dikenang sebagaimana menyambut tarikh kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun. Media arus perdana juga jarang menyorot tarikh penting itu, tiada juga berita mengenainya disiarkan sama ada dalam bentuk berita mahu pun dokomentari di televisyen bagi memperingati nostalgia 16 September itu.

Tiba-tiba kini tarikh 16 Sepetember menjadi sebutan semua apabila dipilih Ketua Umum KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai tarikh ‘deadline’ pembentukan kerajaan Persekutuan Malaysia yang baru. Malah kerajaan negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat seperti Pulau Pinang dan Kelantan telah bersetuju untuk mengistiharkan tarikh tersbeut sebagai cuti umum dinegeri masing-masing, cadangan itu tidak dipersetujui oleh kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional – BN.

Menurut teorinya, pada tarikh itu, 30 orang ahli parlimen BN meninggalkan parti itu untuk menyertai gabungan baru Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat kini dianggotai KeADILan, DAP dan PAS. Gabungan ini mempunyai 82 ahli parlimen manakala BN mempunyai 140 kerusi didalam parlimen yang mempunyai 222 anggota itu. Dengan perhijrahan 30 ahli parlimen BN ke Pakatan Rakyat menjadikan kedudukan kerusi parlimen barubah kepada 112 Pakatan Rakyat dan BN 110, dengan kelebihan satu kerusi itu membolehkan kuasa pemerintahan bertukar tangan. BN menjadi pembangkang manakala Pakatan Rakyat menjadi pemerintah.

Andainya fenomena ini berlaku, maka berakhirlah pemerintahan Perikatan/BN selama 51 tahun penuh suka duka. Pakatan Rakyat menjanjikan perkongsian kuasa yang adil diantara kaum-kaum di Malaysia tanpa menjejaskan kontrak sosial yang telah diterima semua kaum sebelum ini. Bagi penulis, apa-apa status qua yang seperti Agama Rasmi, Bahasa Melayu, hak istemewa Orang Melayu/bumiputera dan sebagainya tidak wajar dipinda andainya Pakatan Rakyat Berkuasa. Begitu jugalah meminda penggunaan Bahawa Melayu pada nama jalan umpamanya tidak perlu ditambah dengan bahasa-bahasa lain ia adalah tidak perlu dan hanya suatu tindakan membazir yang ditentang selama ini.

Mengubah pana tanda nama jalan sepatutnya bukanlah keutamaan kepada Pakatan Rakyat, kerana perkara utama kita tidak bersetuju dengan BN bukanlah mengenai isu tersebut tetapi menyetuh isu yang lebih besar seperti ketidakadilan, salahgunakuasa dan sebagainya. Jika sekadar mengubah tanda jalan kampung, lebih baiklah tidak perlu menukar kerajaan kerana BN telah menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan betul. Dan bahasa Malaysia telah difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Sepanjang penulis mengikuti program Anwar, penulis dapati idea Anwar amat jelas memperjaungkan sebuah kerajaan yang adil, telus untuk semua kaum tanpa mengusik kontrak sosial sedia ada. Ertinya tiada apa yang berubah apabila Pakatan Rakyat berkuasa, yang berubah hanya pendekatan dalam menangani isu –isu rakyat, pengagihan kekayaan negara yang lebih adil, pembenterasan rasuah, salahguna kuasa, penyalahgunaan harta awam dan sebagainya. Anwar tidak menyebut langsung, Pakatan Rakyat akan mengubah secara drastik negara ini menjadi negara lebih sifat Malaysia, Malaysian ! atau lebih Islamik sifatnya atau lebih kebaratan!.

Ini bermakna Malaysia selepas 16 Sept akan ujud sebagaimana keujudanya hari ini tetapi dengan pendekatan pemerintahan yang lebih telus, tanpa rasuah dan salahguna kuasa serta tanpa seribu satu macam keburukan yang dilakukan Umno sepanjang 51 tahun pentadbiranya. Justeru kerana Anwar, beliau boleh mendamaikan PAS-DAP yang mempunyai dasar perjuangan berbeza, matlamat perjuangan berbeza. Perbezaan perjuangan PAS-DAP itu tentunya akan terus menjadi tercabar selepas berkuasa, Ia adalah cabaran kepada Anwar selepas pembentukan kerajaan Malaysia Baru nanti.

Namun sebelum itu, rakyat sedang memerhatikan apakah tindakan yang dibuat oleh dua kerajaan negeri, iaitu Kerjaan KeADILan di Selangor dan kerajaan DAP di Pulau Pinang, jika tersilap langkah harapan untuk Pakatan Rakyat akan musnah semuanya … ini sudah tentu berkaitan dengan survival Melayu dan Islam di kedua –dua negeri itu. Melayu sebagai penduduk majoriti sudah tentulah mereka tidak mahu melihat survival mereka terhakis dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat, Ini kerana undi yang diberi kepada Pakatan Rakyat adalah untuk menentang pembaziran, salahgunakuasa dan segala macam kebonrakan BN semata-mata, ia sudah tentu tidak akan mengizinkan perkara-perkara lain diubah sesuka hati!.

darigaunghati


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59