Thursday, 3 July 2008

Akuan pembabitan pejabat Najib


PKR mempunyai satu akuan berkanun yang mengaitkan pembabitan pejabat Datuk Seri Najib Razak dengan dakwaan liwat terbaru yang dilaporkan kepada polis Sabtu lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hari ini kita ada satu pengakuan bersumpah daripada seseorang yang belum kita dedahkan yang tahu bahawa memang ada pakatan dan perencanaan yang melibatkan pejabat timbalan perdana menteri untuk menghina saya," kata penasihat PKR semalam dalam program ceramah penjelasan isu panas tersebut.

Menjelaskan tindakannya berlindung di rumah duta Turki selama 36 jam mulai pagi Ahad, Anwar berkata beliau sebenarnya enggan berbuat demikian sehingga dipaksa selama beberapa jam oleh pemimpin-pemimpin PKR. Tambahnya, beliau enggan berbuat demikian kerana bimbang dituduh "tidak bersama rakyat" dan "tidak berani menghadapi cabaran dan ujian."

Mantan timbalan perdana menteri itu juga berkata dakwaan itu tidak menakutkannya kerana ia tidak berlaku.Beliau mengulangi kenyataannya semalam bahawa dakwaan jenayah itu muncul selepas pihak berkuasa dapat menghidu strateginya untuk mengumumkan akan bertanding dalam satu pilihanraya kecil dan juga kemasukan empat ahli parlimen BN dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum itu beliau mengulangi lagi dakwaan awalnya di sidang media petang tadi, bahawa wujud penglibatan Najib bersama isterinya Rosmah Mansor dan pegawainya Khairil Anas Yusof dalam dakwaan pemuda yang membuat laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan.Beliau turut mengulangi laporan polisnya di Shah Alam - mendakwa peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan terlibat dalam pemalsuan laporan kedua kes beliau ditumbuk oleh Tan Sri Rahim Noor pada 1998, ketua polis negara waktu itu.

Anwar mendakwa lagi, beliau mempunyai bukti Mohd Saiful berhubung dengan Musa dan Rosmah sebelum muncul dakwaan tersebut.Ucapannya selama hampir sejam itu diikuti pemaparan imej-imej individu-individu berpengaruh, termasuk Najib dan isterinya, yang disebutkan dalam ucapannya.

Selain imej Abdul Gani, Musa, Khairil Anas dan Mohd Saiful, imej-imej demonstrasi Gerakan Reformasi 1998 dan perhimpunan Bersih tahun lalu turut ditayangkan di skrin besar di belakang Anwar. Dalam program tersebut, kira-kira 10,000 penyokong Anwar hadir di Stadium Melawati di Shah Alam untuk mendengar sendiri ucapan tokoh pembangkang tersebut.Selain tayangan imej, turut dinaikkan kain pemidang besar, dianggarkan bersaiz 5 x 5 meter, di bahagian atas, belakang pentas utama .

Pemidang itu memaparkan imej mata lebam Anwar akibat dibelasah Rahim sedekad lalu dengan tulisan berhuruf besar "jangan biarkan ini berlaku lagi." Tiga pemidang berimej yang sama dalam saiz lebih kecil digantung di dalam stadium itu. Sebelum Anwar menyampaikan ucapannya pada 10.20 malam, program yang dipengerusikan oleh ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, dimulakan dengan ucapan dua naib presiden PKR - Sivarasa Rasiah dan Mohd Azmin Ali.

Sewaktu Anwar tiba, kira-kira jam 10 malam, mereka beramai-ramai berdiri bersama ribuan penyokong menyanyikan lagu Negaraku (foto bawah). Teriakan "reformasi" bergema di stadium itu sebanyak tiga kali - dimulakan dengan Anwar sendiri sebagai menandakan berakhirnya program tersebut menjelang 11.30 malam.

Barisan pemimpin utama pembangkang yang hadir di pentas termasuklah menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kerajaan negeri Ronnie Liu, speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Teng Chang Khim, timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali, setiausaha agungnya Datuk Salehuddin Hashim dan pengerusi PSM Dr Mohamad Nasir Hashim.

Program yang bermula jam 9.10 malam itu mula dihadiri orang ramai kira-kira setengah jam lebih awal.Selain risalah berita perkembangan terkini kes itu, turut diedarkan di situ poster program perhimpunan besar anjuran Protes pada Ahad ini di depan Amcorp Mall, Petaling Jaya bagi membantah kenaikan harga minyak.

Beberapa pemimpin negara semalam termasuk Najib menafikan pembabitan mereka dalam dakwaan ini.Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, yang bergambar dengan Mohd Saiful, hari ini menolak andaian kerajaan BN sengaja mengadakan konspirasi bagi membunuh karier politik Anwar.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59