Friday, 13 June 2008

DEMO KENAIKAN HARGA MINYAK : BERSEDIA UNTUK HADAPI KEMUNGKINAN DI HALANG


Para peserta demonstrasi membantah kenaikan harga minyak anjuran Pemuda Pakatan Rakyat besok diharap bersedia dengan kemungkinan di halang oleh Polis. Demo yang dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang di hadapan Masjid Kg Baru sudah pasti diganggu oleh Polis kerana Ketua Polis Kuala Lumpur Sabtu Othman sendiri telah memberi amaran akan menutup jalan-jalan menghala ke Kg Baru.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Nazri Ariffin berkata sebarang kemungkinan akan berlaku dalam perhimpunan tersebut. Kita menjangkakan kemungkinan Polis akan bertindak ganas antaranya menyembur air kimia, bom asap dan menangkap para peserta demonstrasi.

"Jadi saya menasihatkan semua peserta demo supaya sentiasa mematuhi arahan pimpinan dan Unit Amal yang akan bertugas mengawal suasana dan pada masa yang sama memberikan arahan-arahan terkini".

"Pemuda mesti mengekalkan disiplin dan akhlaq yang baik seperti yang telah ditunjukkan pada demonstrasi anjuran Bersih November tahun lalu" kata Nazri yang juga merupakan Penolong Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil.

Sabtu berkata antara 1,500 hingga 2,000 anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Rela akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghalang perarakan itu."Anggota polis dari balai polis daerah Dang Wangi dan Sentul juga akan berkawal di sekitar kawasan tersebut. "Kita akan tutup beberapa jalan yang menghala ke kawasan (masjid), itu jika perlu," katanya, lapor Bernama.

Muhammad berkata pihak penganjur perhimpunan itu tidak memohon permit daripada ketua polis daerah dan hanya sekadar menghantar surat makluman sahaja."Menyertai perhimpunan tanpa permit adalah salah dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius ke atas mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Sabtu lalu, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub mengumumkan acara perarakan sejauh lebih dua kilometer itu. Sehubungan itu, polis telah memanggil setiausaha Pemuda PAS Sabki Yusoff dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, untuk membincangkan perkara tersebut.Angkatan Muda PKR (AMK) juga menyatakan kesediaannya menyertai perarakan tersebut kelmarin.

Perhimpunan ini dipercayai yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti-parti pembangkang selepas pengumuman kenaikan harga minyak secara mendadak Rabu lalu.Dalam kenyataannya Selasa lalu, AMK menggesa semua ahli Pemuda Pakatan dari seluruh negara menghadirinya.Sejak minggu lalu, beberapa demonstrasi kecil diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Setiausaha AMK Zulfikar Ali Ariffin menganggarkan kira-kira 3,000 orang akan hadir esok bersama ketua-ketua pergerakan Pemuda Pakatan - Salahuddin Ayub, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan wakil Pemuda DAP.Menurut Zulfikar, AMK juga meminta setiap negeri agar menghantar wakil bagi menyertai perhimpunan itu nanti.

"13 Jun adalah titik tolak untuk rakyat turun sama-sama pada 12 Julai nanti," kata Zulfikar.Beliau berkata AMK meminta kerjasama polis dan memberi jaminan perarakan itu akan berlangsung secara aman.

Sumber Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59