Friday, 23 May 2008

BN GAGAL TUNAIKAN JANJI SELEPAS 50 TAHUN. PR BARU PERINTAH KURANG 100 HARI BERILAH PELUANG UNTUK MEREKA TUNAIKAN JANJI


Janji-janji Pakatan Rakyat dalam manifesto pilihan raya umum lalu memang menarik perhatian umum terutamanya para pemimpin BN. Daripada konsep negara kebajikan sehinggalah janji menurunkan harga minyak; janji-janji itu memang meletakkan BN dalam keadaan sukar.
PAS dan KeADILan di beberapa negeri seperti Selangor memberikan tawaran tambahan buat rakyat selain manifesto parti dan tawaran lima perkara di peringkat nasional.

Tawaran-tawaran tambahan Pakatan Rakyat di peringkat negerilah yang banyak menjadi sasaran politik BN.

Sebab itu sekarang BN menggunakan senjata medianya untuk mengelirukan rakyat kononnya PR gagal menunaikan janji mereka di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan. Saban hari 'lagu' ini dimainkan di dalam media cetak dan elektronik.

Sedangkan kerajaan PR baru berumur tidak sampai 100 hari.(Dari tarikh angkat sumpah). Berilah mereka peluang.

BN muncul dengan manifesto pilihan raya bertemakan "Selamat, Aman, Makmur". Bagaimanapun manifesto BN itu tidak menarik perhatian sebahagian rakyat kerana ia adalah pengulangan janji-janji BN yang tidak tertunai sejak 4 hingga 53 tahun lalu.

Oleh kerana itulah, sejak hari pertama Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di lima buah negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor; para pemimpin BN khususnya Umno beriya-iya mahukan segala janji dalam manifesto Pakatan Rakyat ditunaikan. Antara tujuannya adalah untuk memberitahu rakyat bahawa bukan sekadar BN, malah Pakatan Rakyat pun gagal melaksanakan janji-janji pilihan raya mereka.

Mereka tidak peduli sama ada Pakatan Rakyat baru sehari, seminggu, sebulan ataupun 90 hari menerajui negeri berbanding setengah abad pemerintahan BN. Apa yang penting janji-janji itu perlu dilaksanakan segera, tanpa lengah dan tanpa mempedulikan apa saja termasuk perjanjian, peraturan dan undang-undang yang mereka gubal sendiri ketika mentadbir negeri.

Sikap kebudak-budakan ini tidaklah sukar untuk difahami. BN khususnya Umno belum lagi reda dengan kejutan tsunami politik yang melanda. Rasa malu dan getir kehilangan kuasa tidak mudah reda. Umno sendiri terumbang-ambing dengan kemelut politik dalaman yang tidak kesudahan.

Sehubungan itu, apa juga isu yang ada walau sekecil mana cuba dieksploitasi untuk mengalihkan perhatian umum terhadap masalah yang mereka hadapi.

Bagi para penyokong dan aktivis Pakatan Rakyat, janganlah pula menari mengikut gendang yang dipukul Umno dan BN. Ingatlah, empat daripada lima negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat masih lagi bertatih mengukuh tapak. Realitinya, semua kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat berjaya mengharungi mehnah besar sepanjang 60 hari pentadbirannya.

Kelicinan proses transmisi pentadbiran empat negeri terbabit perlu mendapat pujian. Itu lebih utama daripada janji-janji manifesto yang sebenarnya boleh dan mampu dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran.

Belum melaksanakan sebahagian kandungan manifesto ekoran kekangan undang-undang, birokrasi pentadbiran, ketiadaan peruntukan tahunan dan sebagainya bukan bererti memungkiri janji.

Masa yang cukup diperlukan untuk merealisasikan janji-janji manifesto itu. Pengubahsuaian yang dilakukan oleh pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor dalam pelaksanaan janji-janji manifestonya dibuat berdasarkan realiti dan keadaan semasa.

Langkah ini bukan bermakna Pakatan Rakyat memungkiri janji tetapi lebih mengamalkan kaedah usul fiqh - "jika tidak dapat semua, jangan tinggal semua".

Banyak 'sampah sarap' yang ditinggalkan bekas pentadbiran BN negeri perlu dibersihkan sebelum janji-janji manifesto dilaksanakan.

Ambil sahaja contoh perjanjian bekalan air yang ditandatangani kerajaan negeri dan syarikat terbabit sehari sebelum pilihan raya umum; dan kering kontangnya peruntukan RM500,000 bagi setiap Adun BN untuk belanja pembangunan bagi tempoh setahun, tetapi dihabiskan dalam masa dua bulan!

Ini tidak termasuk sikap murah hati bekas pemimpin badan kebajikan isteri wakil rakyat Selangor (Balkis) yang mendermakan hampir RM10 juta wang derma agensi kerajaan negeri kepada persatuan kebajikan isteri menteri kabinet!

Kita yakin dalam tempoh lima tahun pentadbirannya, kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakan janji-janji pilihan rayanya.

Dan antara janji-janji manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat Selangor yang tidak langsung disentuh BN adalah:
* memastikan semua pemimpin bersih daripada rasuah* menyiasat penyelewengan pentadbiran tanah dan sumber negeri* menghentikan projek-projek membazir dan rugi* memastikan ketelusan pentadbiran negeri* menghentikan campur tangan politik dalam perniagaan dan* melarang ahli-ahli exco terlibat dalam perniagaan.

Janji-janji pilihan raya di atas lebih utama dilaksanakan sekarang berbanding tawaran-tawaran kebendaan untuk rakyat (yang boleh dilaksanakan secara berperingkat) kerana ia akan menjadikan pemimpin-pemimpin Umno negeri seperti 'cacing-cacing kepanasan'.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59