Wednesday, 12 March 2008

UMNO TERUS BERCAKARAN


BN merudum, Radzi dipersalahkan


Sekumpulan pemimpin Umno Perlis hari ini mendesak setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad melepaskan jawatannya susulan krisis yang berlanjutan di negeri Indera Kayangan dan kekalahan calon Umno di seluruh negara.

Krisis itu yang muncul secara terbuka hujung tahun lepas menjadi makin tegang dan tidak menentu menjelang saat-saat akhir hari penamaan calon 24 Februari lalu.Kini krisis itu menimbulkan konflik baru apabila kerajaan negeri gagal dibentuk walaupun BN Perlis mengulangi kemenangan besar dalam pilihanraya umum Sabtu lepas.

Dalam sidang media mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini, ketua penerangan Umno Perlis Datuk Hashim Suboh mendakwa Radzi campurtangan dalam proses penubuhan kerajaan negeri dan pelantikan Menteri Besar.

Beliau, yang juga timbalan ketua Umno bahagian Kangar, mendakwa Radzi mempengaruhi pihak istana agar tidak mengeluarkan watikah pelantikan semula Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar."Radzi juga mempengaruhi Perdana Menteri supaya tidak melantik Shahidan sebagai menteri besar,” dakwa Hashim lagi.

Hashim mendakwa mewakili badan perhubungan Umno Perlis serta mendapat restu Shahidan dan sokongan timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Zahidi Zainal Abidin, ketua wanita negeri Datuk Mastika Junaidah Hussin, ketua pemuda negeri Datuk Rozabil Abdul Rahman, dan ketua puteri Rozienna Ahmad.

Selain Rozabil, hadir sama di sidang media itu adik Shahidan, Datuk Ismail Kassim yang menang di parlimen Arau.Restu ShahidanMenurut Hashim lagi, pucuk pimpinan Umno negeri itu telah menemui presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung perkara tersebut.

"Kami menemui perdana menteri di Seri Perdana pada hari Ahad dan Isnin lalu untuk meminta Abdullah menggantikan Radzi dengan orang lain yang lebih berwibawa."Bagaimanapun, sehingga hari ini kami belum menerima sebarang berita mengenai perkara tersebut," katanya.

Hashim menambah, Shahidan merestui beliau mengadakan sidang media tersebut."Sehingga jam 5.15 petang ini, isu pelantikan menteri besar Perlis yang baru belum diselesaikan kerana campur tangan Radzi."Kita dimaklumkan (bahawa) perdana menteri telah bersetuju sepenuhnya supaya Shahidan kekal menerajui kepimpinan kerajaan negeri Perlis," kata Hashim lagi.Menurutnya, Umno Perlis kecewa kerana tindakan Radzi menyebabkan kemelut ini belum dapat diselesaikan.

Hashim mendakwa, Radzi yang juga ahli parlimen Kangar, menjadi antara punca utama kekalahan Umno di lima negeri lain.Ketewasan besar ini kerana, katanya, Radzi lebih memfokuskan kepada masalah remeh-temeh di Perlis sedangkan tanggungjawabnya sebagai setiausaha agung meliputi seluruh negara.Antaranya, kata Hashim, masalah pengurusan parti yang lemah termasuk banyak poster parti yang tidak sampai ke peringkat bahagian-bahagian di seluruh negara.

"Radzi merupakan setiausaha agung Umno yang paling lemah pernah dimilik oleh parti ini.Punca kekalahan calon"Kita mendesak Umno di tempat lain agar bersama kita mendesak supaya perdana menteri menggantikan Radzi dengan orang lain."Kita (Umno Perlis) menyokong Abdullah walau apapun yang terjadi," katanya lagi.

Hashim berkata, Radzi harus dipertanggungjawabkan terhadap kemelut dan kekalahan calon-calon Umno di seluruh negara.Katanya, Radzi sepatutnya sedar mengenai perkara itu, dan mengambil tindakan meletak jawatan sebelum orang lain menuding jari kepadanya.Sementara itu, Ismail pula berkata, campur tangan Radzi bermula sejak sebelum hari penamaan calon lagi.

Malah, katanya, Radzi bertindak memilih sendiri senarai calon parlimen Arau dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah parlimen berkenaan.Radzi juga, dakwa Ismail lagi, mengumumkan calon-calon yang akan bertanding sedangkan Shahidan selaku pengerusi Umno negeri yang sepatutnya berbuat demikian.

"Calon yang diumumkan oleh Radzi tidak muncul pada hari penyerahan watikah untuk jadi calon dan mereka juga bukanlah calon dalam senarai Shahidan," katanya lagi.


Shahidan disekat jadi MB Perlis

Penubuhan kerajaan negeri Perlis tertangguh hingga ke hari ini kerana dipercayai wujudnya usaha untuk menghalang pelantikan semula Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai menteri besar.Malaysiakini difahamkan, puak yang bertelagah dengan Shahidan berusaha untuk mendapat persetujuan pucuk pimpinan Umno pusat supaya melantik adinda Raja Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, sebagai menteri besar yang baru.

Dalam pilihanraya umum Sabtu lalu, Syed Razlan dipindahkan dari kerusi parlimen Arau untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh dan menang dengan majoriti 2,572 undi.Ini bermakna pertelagahan dalam Umno Perlis antara puak Shahidan dengan puak ahli parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, yang juga setiausaha agung Umno, masih berterusan - dan kini masuk ke babak baru.

Dalam pilihanraya umum tersebut, Barisan Nasional (BN) pimpinan Shahidah, mencatatkan kemenangan besar, dengan memenangi ketiga-tiga kerusi parlimen - Kangar, Arau dan Padang Besar dan 14 daripada 15 kerusi DUN. BN negeri hanya tewas di kerusi DUN Simpang Empat.

Calonnya, Zahari Bakar tewas kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi sahaja. BN bagaimanapun berjaya merampas kembali Sanglang yang dipegang PAS selama dua penggal.Sementara itu, seorang pemimpin Umno Perlis, Datuk Abu Bakar Ismail berkata, tidak harus wujud masalah seumpama itu kerana Shahidan telah menerajui Umno untuk menang besar dalam pilihanraya Sabtu lalu.

Ada campur tangan?Beliau yang juga ketua penerangan Umno bahagian Arau berkata, sepatutnya tidak berlaku penangguhan penubuhan kerajaan negeri kerana masalah pemilihan menteri besar.

Ditanya sama ada penangguhan penubuhan kerajaan negeri itu berpunca di peringkat Umno pusat atau di peringkat istana, beliau berkata:"(Shahidan) adalah ketua parti yang diiktiraf pucuk pimpinan, dan menang besar dalam pilihanraya umum, proses (seterusnya) ialah dapatkan watikah pelantikan menteri besar dan ahli exco, mengadap Raja dan (diikuti dengan upacara) pelantikannya.

"Di samping itu, tegas Abu Bakar berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi raja perlembagaan dan oleh itu tidak seharusnya timbul soal campurtangan pihak istana dalam penubuhan kerajaan negeri dan pelantikan menteri besar.

Oleh itu, katanya, jika proses penubuhan kerajaan negeri terus tertangguh, maka akan timbul pelbagai spekulasi, termasuk anggapan berlakunya campurtangan istana dalam soal tersebut.

Pertelagahan antara dua pemimpin Umno Perlis itu menyebabkan pindaan besar dilakukan terhadap senarai calon pilihanraya yang dikemukakan oleh Shahidan. Penyelesaian dicapai melalui 'formula Putrajaya' di mana pengagihan calon dibuat berasaskan nisbah lima penyokong Shahidan dan 10 orang Radzi bagi peringkat DUN.Shahidan, yang sebelumnya digugurkan dari senarai calon, dikekalkan bertanding di kerusi lamanya di Tambun Tulang.

Radzi dan Datuk Azmi Khalid pula kekal di kerusi parlimen masing-masing di Kangar dan Padang Besar.Walaupun persetujuan telah dicapai tetapi ia tetap mencetuskan rasa tidak puas hati dan bantahan di kalangan calon-calon awal yang terpaksa digugurkan.Susulan ketegangan yang berlarutan itu, ramai penyokong Shahidan termasuk beberapa anggota exco kerajaan negeri yang terpaksa digugurkan dan digantikan dengan orang Radzi (kanan).

Mereka yang digugurkan termasuk Azihani Datuk Ali (Sena), Datuk Bakar Ismail (Pauh), Bakar Saad (Kuala Perlis) dan Azam Rashid (Kayang).Sementara Zahari Bakar (Simpang Empat) dan Khairy Hassan (Mata Ayer), yang merupakan bekas setiausaha politik Azmi, dikekalkan.Dan Syed Razlan dipindahkan bertanding di DUN Pauh.

Melalui perjanjian itu juga Shahidan akan dilantik menjadi menteri besar untuk tempoh dua tahun dan kemudiannya digantikan oleh Syed Razlan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59