Monday, 4 February 2008

Klip Lingam: Lebih ramai hakim dibabitkan


V Thirunama Karasu - adik lelaki peguam Datuk VK Lingam - hari ini mendakwa, ada lagi hakim-hakim yang mempunyai hubungan rapat dengan abangnya itu, ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini.

Beliau menyebut nama hakim-hakim - selain bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin dibangkitkan sebelum ini - ketika memberi keterangan pagi ini.

Mereka termasuk bekas hakim Mahkamah Rayuan - Datuk Lamin Yunus dan Datuk Mokhtar Sidin - serta seorang hakim Mahkamah Rayuan yang masih berkhidmat, Datuk Low Hop Bing.

Thirunama mula memberi keterangan pada jam 11.10 pagi sebagai saksi ke-18 pada hari ke-13 sesi siasatan suruhanjaya diraja itu.

Dalam kenyataan saksinya yang dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut sebelumnya, juruelektrik berusia 50 tahun ini mendakwa, Lingam menghantar fail guaman ke rumah Eusoff pada lewat malam antara 1995 hingga 1996, membeli telefon, dompet dan beg tangan berjenama untuk Eusoff dan malah pernah berniat untuk membeli rumah untuk Eusoff.

Bagaimanapun, sesetengah daripada keterangan Thirunama hari ini adalah bahagian-bahagian di dalam kenyataan saksinya yang telah ditolak oleh suruhanjaya diraja itu sebelum ini.

Hanya dua daripada 21 muka surat kenyataan Thirunama yang diterima, yang terhad kepada hubungan rapat Lingam dengan Eusoff.

Bahagian yang ditolak oleh suruhanjaya tersebut, termasuk bahagian mengenai hubungan Lingam dengan hakim-hakim lain, selain daripada Eusoff.

Turut ditolak ialah cerita Thirunama mengenai bagaimana Lingam memaksanya berlakon gila selepas beliau membuat pengakuan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai aktiviti abangnya semasa satu siasatan dijalankan pada 1998.

Hantar sup

Menjawab soalan peguamnya, Wee Choo Keong, Thirunama mendedahkan bahawa beliau telah memandu kereta untuk membawa menghantar abangnya ke rumah bekas Ketua Hakim Negara itu sebanyak tujuh atau lapan kali.

Katanya, beliau pernah pergi bersendirian ke rumah Eusoff untuk menghantar kek dari sebuah kedai kek, sebuah beg bimbit dan tiga mangkuk sup.

Ditanya sama ada beliau tahu tujuan Lingam ke rumah Eusoff, Thirunama menjawab: “Beliau (Lingam) memberitahu saya yang beliau ada kes penting. Beliau menyebut sesuatu mengenai Ayer Molek tetapi saya tidak tahu apakah itu Ayer Molek.”

Thirunama berkata, beliau pernah melihat Eusoff makan malam di rumah Lingam sebanyak dua kali dan sekali lagi apabila Ketua Hakim Negara itu datang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Lingam dan isterinya yang akan mendapatkan rawatan perubatan di Amerika Syarikat.

“(Kali pertama adalah) adalah pada 1995, bila Lingam meminta saya menyusun beberapa buah meja dan kerusi serta membersihkan rumahnya. Malam itu, saya nampak Eusoff dan isterinya, Datuk Lamin Yunus dan isterinya datang untuk makan malam," katanya.

Ini bercanggah dengan keterangan Lingam sebelum ini bahawa beliau dan Eusoff pernah pergi ke rumah masing-masing sekali saja pada 1995, iaitu pada hari terbuka Hari Raya dan Deepavali.

Thirunama juga berkata, beliau bercakap dengan Eusoff sebanyak empat kali - termasuk sekali melalui telefon Lingam - apabila dia menghantar hadiah ke rumah bekas Ketua Hakim Negara itu. Satu daripadanya ialah apabila beliau menghantar beg bimbit dan dompet kepada Eusoff.

“Beliau menjemput saya masuk ke dalam (rumah). Saya letak beg tersebut atas meja makan dan dia melihat beg tersebut. Beliau memberitahu saya yang beliau sangat letih kerana baru balik dari London - dari Porchester Gate,” katanya, sambil menambah Lingam memberitahunya bahawa jutawaan Tan Sri Vincent Tan memiliki sebuah rumah di kawasan mewah di pinggir bandar London.

Thirunama berkata, beliau juga mendapat tahu yang salah seorang pemandu Lingam telah menjemput Eusoff dari lapangan terbang Subang.

Mengenai percutiaan Lingam-Eusoff ke New Zealand pada 1994, Thirunama berkata, Lingam memberitahunya bahawa beliau "berlepas bersama (dengan Eusoff) dari Malaysia", dan bukannya "terserempak" di sana, seperti yang diberitahu oleh kedua-duanya kepada suruhanjaya tersebut sebelum ini.

Beliau mendakwa telah menasihatkan Lingam supaya jangan membingkai gambar-gambar percutian mereka itu.

“Saya beritahu beliau ‘Anne (abang dalam Tamil), jangan jadi bodoh dengan membingkai gambar-gambar tersebut atau menunjukkannya. orang akan datang tahu'. Gambar-gambar tersebut tidak pernah dibingkaikan," kata Thirunama, disambut gelak ketawa para hadirin.

'Setiausaha ancam dedah'

Dalam kenyataan saksinya, Thirunama mendakwa beliau diberi wang RM1,200 untuk membeli sebuah telefon bimbit dari Mutiara Telecommunication - ketika itu dimilik Vincent Tan - untuk Eusoff.

Dalam keterangannya hari ini, Thirunama juga mendedahkan bahawa beliau telah diminta membeli sebuah telefon bimbit untuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mokhtar.

Thirunama bekerja dengan Lingam antara tahun 1995 dan 1996, termasuk melaku kerja-kerja di firma guaman Lingam di mana dia mengenali setiausaha Lingam, Jeyanthi, yang menguruskan lawatan Lingam ke New Zealand.

“Dia menemui Lingam untuk mengambil sekeping cek. Bekas pengerusi Mahkamah Perindustrian, Satchianandan memberitahu saya, dia (Jeyanthi) menimbulkan banyak masalah pada Lingam dan dia (Jeyanthi) mahu mendedahkan banyak perkara mengenai (Lingam dan) hakim-hakim," dakwa Thirunama.

Mengenai Vincent Tan pula, Thirunama mendakwa, Lingam telah mengenalinya sejak tahun 70-an lagi kerana beliau pernah ternampak jutawan tersebut di rumah keluarganya di Seapark, Petaling Jaya.

Anggota pesuruhjaya diraja itu beberapa kali menegur Wee supaya jangan menyimpang dan mengemukakan soalannya berkaitan empat bahagian dalam kenyataan saksi Thirunama, yang diputuskan boleh diterima.

Para peguam yang mewakili Eusoff, Tan dan Lingam turut membantah beberapa kali soalan yang dikemukakan oleh Wee.

Pada satu ketika, apabila Thirunama menyebut nama Mokhtar, Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Haidar Mohd Noor kelihatan tidak jengkel dan menegur Wee.

Sambil menegaskan perlunya perkara tersebut digali sedalam-dalamnya, Wee menjawab: "Ini adalah ibu semua siasatan, jika tidak kita akan memerlukan satu lagi siasatan (untuk menyiasat rasuah dalam kehakiman)."

Bagaimanapun, Haidar berkata, peguam itu tidak boleh membangkitkan apa-apa sahaja dalam siasatan tersebut.

Kemudiannya, seorang lagi anggota suruhanjaya tersebut, Datuk Steve Shim bertanya kepada Wee sama ada perlu untuk mengheret personaliti-personaliti lain ke dalam siasatan tersebut dan sama ada peguam tersebut berhasrat untuk memanggil mereka sebagai saksi.

“Jika dibenarkan, saya mahu Datuk Low Hop Bing dan Datuk Mokhtar Sidin dipanggil,” kata Wee tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai pembabitan Low.

Nama Low disebut dalam kenyataan saksi Thirunama tetapi ia bukan dalam bahagian yang diterima oleh suruhanjaya tersebut.

‘Saya 100% tidak gila’

Sebelum itu, Thirunama memberitahu suruhanjaya diraja tersebut bahawa beliau 100 peratus yakin bahawa orang dalam videlo klip tersebut adalah Lingam.

"Saya boleh kenal dari bahasa badannya, kelantangan dia bercakap, pergerakannya, dia teruja dalam perbualan tersebut dan perkataan ‘correct, correct, correct’ - selalu digunakannya ketika saya berkerja dengannya," katanya.

Ini mendorong Haidar untuk mencelah: “Sebagai seorang adik, beliau boleh memberi gambaran terbaik mengenai abangnya."

Lingam telah mempertikaikan keterangan Thirunama dan laporan awal yang dibuatnya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang mendakwa adiknya itu adalah seorang pesakit mental.

Bilik mahkamah menjadi gamat apabila Mahadev Shankar bertanya kepada Thirunama bagi memperjelaskan perkara tersebut.

“Adakah kami gila?” tanya Mahadev kepada Thirunama.

“Saya 110 peratus pasti yang saya tidak gila. Itu adalah satu tuduhan yang serius terhadap saya," jawab Thirunama sambil tersenyum.

Apabila Eusoff diminta masuk ke bilik mahkamah untuk dicam, Thirunama berdiri dengan tiba-tiba dalam kadang saksi dan berkata: "Anda seorang Tun, saya amat menghormati anda."

Beliau kemudiannya mengesahkan bahawa Eusoff adalah orang yang ditemuinya ketika menghantar hadiah ke rumah bekas Ketua Hakim Negara itu.

Menjawab soalan peguamnya Wee Choo Keong, Thirunama mengulangi bahawa beliau tidak mengalami gangguan mental, khayalan ataupun diletakkan di bawah pemerhatian psikiatrik.

Laporan polis

Terdahulu, Mahadev merujuk kepada keterangan Lingam kepada suruhanjaya itu bahawa Thirunama memberikan kenyataan kepada BPR kerana beliau (Lingam) enggan memberikan wang kepada Thirunama.

Mahadev menarik perhatian bahawa Lingam turut memberitahu suruhanjaya itu yang peguam M. Manoharan, bertindak bagi pihak Thirunama, telah menghubungi Lingam dan menuntut supaya diberikan wang, satu dakwaan yang dinafikan oleh Thirunama.

"Itu tidak benar. Semasa Manoharan menghubungi abang saya, saya sedang berada di pejabat Manoharan. Manoharan katakan kepada saya yang abang saya
beritahunya banyak kali bahawa keadaan mental saya tidak stabil," kata Thirunama.

Semasa Haidar bertanya jika terdapat keterangan bagi menunjukkan Thirunama bukanlah mengalami keadaan mental tidak stabil, Wee berkata beliau ada sepucuk surat daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) yang menyatakan UMMC tidak pernah mengeluarkan laporan perubatan yang menyebut Thirunama telahpun dirujuk ke hospital itu untuk pemerhatian mental, sepertimana yang didedahkan oleh Lingam.

"Sebenarnya UMMC telahpun membuat laporan polis mengenai kenyataan bahawa UMMC mengeluarkan laporan perubatan berhubung keadaan mental Thirunama," kata Wee.

Mano sedia beri keterangan

Sementara itu, Bernama melaporkan, peguam M Manoharan yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan dalam siasatan suruhanjaya diraja berhubung klip video Lingam.

Manoharan telah menghantar surat kepada setiausaha suruhanjaya itu melalui peguamnya Karpal Singh.

Karpal berkata, Manoharan perlu menjawab dakwaan Lingam beberapa hari lalu semasa siasatan, bahawa Manoharan yang menjadi peguam kepada adiknya Thirunama Karasu telah meminta sejumlah wang sebagai bayaran untuk menarik balik satu laporan BPR.

Laporan itu dikatakan berkaitan pembabitan Lingam dalam sistem
kehakiman.

Menurut Karpal yang ditemui pemberita di perkarangan mahkamah di Kuala Lumpur, pihaknya juga memohon supaya Lingam dipanggil semula untuk soal balas.

Manoharan, 47, bersama empat pemimpin lain Hindraf - P Uthayakumar, 47; V Ganabatirau, 35; K Vasantha Kumar, 35; dan R Kengadharan, 41; ditahan di bawah ISA mulai 13 Disember tahun lalu.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

azhar said...

Hari ini dunia kehakiman di Malaysia punah , hancur , rosak binasa hanya kerana kecintaan dunia , pangkat , harta , harapan kita agar Allah tunjukkan balasanNya ketika dunia ini seperti yang menimpa Dato Moktar Abdullah agar pengajaran menjadikan manusia berpatah balik menuju kebenaran ..

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59