Wednesday, 16 January 2008

Suruhanjaya teliti surat-menyurat Dzaiddin dengan Dr M


Suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini menumpukan kepada surat menyurat antara Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2001.

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman hari ini diminta mengesahkan surat-surat Mohamed Dzaiddin dengan Dr Mahathir pada masa tersebut. Samsudin, selaku KSN, mempunyai pengetahuan mengenai surat-surat sulit.

Dalam sepucuk surat bertarikh 2 Oktober 2001, Mohamed Dzaiddin mencadangkan lima nama kepada Dr Mahathir untuk pelantikan tersebut. Mereka adalah Peguamcara Negara ketika itu, Datuk Heliliah Yusof; Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ramly Ali dan Datuk Ahmad Maarop, dan peguam Andrew Chew dan Zainudin Ismail.

Bagaimanapun, sepucuk lagi surat dihantar oleh Samsudin kepada Dr Mahathir yang mengandungi senarai nama lima orang yang harus dipertimbangkan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Suruhanjaya diraja itu diberitahu, apabila Dr Mahathir menjawab surat Mohamed Dzaiddin mengenai calon-calon yang dipilih, nama Chew dan Zainudin telah digugurkan dan digantikan dengan Datuk Sulaiman Daud dan Datuk VT Singham, kedua-duanya dari senarai yang dikemukakan oleh Samsudin.

Samsudin memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa beliau tidak pasti mengapa Chew dan Zainuddin tidak dipilih.

“Saya tidak tahu, Itu adalah keputusan perdana menteri," katanya.

Samsudin juga berkata, beliau tidak kenal peguam Datuk VK Lingam tetapi mengenali ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan yang ditemui dalam urusan tugasnya.

Mengganti orang Dzaiddin

Senarai nama calon yang dikemukakan oleh Mohamed Dzaiddin adalah penting kerana Lingam telah dirakamkan bercakap mengenainya dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dalam perbualan telefon. Mohamed Dzaiddin bersara pada 2003 dan digantikan oleh Ahmad Fairuz, yang bersara Disember lalu.

Dalam video tersebut, Lingam memberitahu Ahmad Fairuz bahawa nama Zainudin telah digugurkan kerana beliau "mengkritik" kenaikan pangkat Ahmad Fairuz’ sebagai Hakim Besar Malaya dan pelantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Tiga lagi nama dalam senarai yang dikemukakan Mohamed Dzaiddin semuanya kini menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Video itu juga menunjukkan Lingam menyuarakan kebimbangannya bahawa Ketua Hakim Negara Mohamed Dzaiddin telah meletakkan 'orang-orangnya' untuk mengisi jawatan-jawatan tinggi dalam badan kehakiman.

Perbualan tersebut adalah mengenai mustahaknya Ahmad Fairuz - Hakim Besar Malaya ketika itu dan memegang jawatan No. 3 dalam badan kehakiman - dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan (No 2) dan kemudiannya sebagai Ketua Hakim Negara (No 1).

Perbualan Lingam itu juga termasuk rujukan kepada Vincent Tan, rakan rapat perdana menteri ketika itu (Dr Mahathir) dan Tengku Adnan Tengku Mansor, yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mereka sepatutnya berbincang dengan Dr Mahathir mengenai pelantikan hakim-hakim.

Samsudin memberitahu hari ini bahawa beliau tidak pasti bagaimanakah Lingam mendapat tahu mengenai surat-menyurat Mohamed Dzaiddin dengan Dr Mahathir.

Siasatan suruhanjaya itu bersambung selepas waktu makan tengahari.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59