Friday, 4 January 2008

Program GMI diteruskan malam Sabtu ini


Walaupun tidak mendapat permit polis, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tetap akan mengadakan perhimpunan aman Malam Solidariti untuk Mangsa ISA di Dataran Merdeka di ibunegara, Sabtu ini mulai jam 8 malam.

Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya menjangka 100 hingga 200 orang akan menghadiri perhimpunan tersebut yang antara lain untuk menyalakan lilin sebagai tanda simpati kepada mangsa tahanan ISA.

Katanya, pada 28 Disember lalu, GMI telah memohon permit dari Ibupejabat Polis daerah Dang Wangi untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Ketua Polis daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman dalam jawabannya semalam, menolak permohonan tersebut.

Beliau memberikan lima sebab penolakan tersebut, iaitu GMI bukan sebuah pertubuhan berdaftar; tidak mengemukakan surat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan perhimpunan itu akan menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Perhimpunan GMI itu juga, menurut ACP Mohamad Zulkarnain, akan menyebabkan gangguan lalulintas dan keselamatan terhadap pengguna jalanraya lain.

Kemuka rayuan

Mohamad Zulkarnain juga menyatakan, dari maklumat yang diperolehi oleh pihak polis, terdapat kumpulan tertentu yang akan mengambil kesempatan untuk menimbulkan keadaan tidak tenteram dan tidak selamat kepada orang ramai yang menyertai perhimpunan tersebut.

"Kami telah membuat rayuan. Sama ada rayuan diterima atau tidak, perhimpunan akan tetap diadakan," kata Syed Ibrahim dalam sidang media di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH) ibunegara hari ini.

Hadir sama ialah Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrul Amin Bahron dan Setiausaha Agung Parti Sosiali Malaysia (PSM), S Arulchelvam.

Syed Ibrahim berkata, ia merupakan program aman yang tidak langsung mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Program tersebut, tambahnya, bertujuan untuk memperingati dan menunjukkan sokongan moral terhadap semua tahanan ISA dan keluarga mereka.

"Kita sudah tahu lima pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA pada 13 Disember lalu. Kita juga sudah tahu terdapat empat tahanan ISA yang dibebaskan pada 19 Disember lalu setelah ditahan lebih lima tahun.

Hak asasi manusia

"Tetapi kita juga harus sedari bahawa masih ada lebih 20 tahanan yang telah ditahan memasuki tahun keenam. Penahanan tanpa bicara, tanpa peluang pembelaan dan tanpa perlu pembuktian dalam tempoh yang tidak menentu, merupakan satu kezaliman," katanya.

GMI, kata Syed Ibrahim, sebagai badan yang bertanggungjawab, juga mahukan keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat dan negara.

Namun GMI, katanya, berpendirian keamanan dan kesejahteraan tidak pula boleh menggadai dan mencabuli hak asasi manusia dan keadilan.

Sementara itu, Dr Badrul Amin berkata, polis menolak permohonan tersebut kerana untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

Katanya, PKR tetap menyokong program tersebut kerana parti itu menentang sebarang kezaliman ke atas rakyat seperti penggunaan ISA.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59