Monday, 14 January 2008

Permohonan minta Haidar dan dua anggota, tarik diri



Siasatan suruhanjaya diraja terhadap klip video Lingam bermula pagi ini dengan permohonan peguam yang mewakili pemimpin PKR yang meminta supaya tiga anggota suruhanjaya itu menarik diri.

Peguam M Puravelan, yang mewakili pemimpin PKR - yang Datuk Seri Anwar Ibrahim, R Sivarasa dan Sim Tze Tzin - memohon supaya pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dua anggotanya - Datuk Shim Lip Kiong dan Datuk Zaitun Zawiyah Puteh - menarik diri daripada menganggotai suruhanjaya tersebut.

Haidar merupakan bekas Hakim Besar Malaya manakala Steve Shim adalah bekas Hakim Besar Sabah dan Zaitun pula merupakan bekas peguamcara negara.

Puravelan berkata, keanggotaan mereka dalam suruhanjaya tersebut boleh menimbulkan percanggahan kepentingan kerana jawatan yang mereka sandang sekarang serta perilaku mereka sebelum ini.

Menurutnya, Hadir merupakan anggota lembaga amanah Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir dijangka dipanggil sebagai saksi.

Puravelan menambah, Haidar dan Shim juga pernah menganggotai panel hakim yang mendengar kes kontroversi yang membabitkan Lingam. Nama Steve Shim juga turut disebut dalam klip video Lingam tersebut.

Zaitun pula terbabit dalam pendakwaan kes salahguna kuasa terhadap Anwar. Klip video itu juga menyebut tentang perbicaraan kes tersebut.

Haidar tidak berkata apa-apa berhubung permohonan tersebut manakala Shin berkata beliau memerlukan masa untuk menimbangkannya.

Seorang lagi anggota, bekas Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar, berkata, penarikan balik keanggotan mereka membabitkan banyak isu kerana kelima-lima anggota suruhanjaya diraja itu diberi mandat oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan siasatan tersebut.

Terserah kepada suruhanjaya

Selepas berbalas hujah serta penjelasan dari ketiga-tiga anggota terbabit, Puravelan berkata, beliau menyerahkan kepada suruhanjaya tersebut untuk membuat keputusan berhubung permohonannya itu.

Haidar, Steve Shim dan Zaitun kemudiannya memutuskan bahawa tiada alasan yang sah untuk mereka menarik diri sebagai anggota suruhanjaya diraja itu.

Shim dan Zaitun berkata mereka akan hanya menarik diri jika tidak dapat menjalankan tugas tersebut dengan sempurna.

Buat masa ini, kata Shim, beliau tidak perlu menarik diri daripada suruhanjaya tersebut, tetapi akan berbuat demikian jika timbul keperluannya kemudian.

Zaitun pula menjelaskan kedudukannya sebagai pendakwa dalam kes Anwar.

"Saya mengendalikan beberapa kes yang membabitkan Anwar. Ia adalah tugas seorang kakitangan awam tetapi keputusannya dibuat oleh mahkamah, bukan saya. Saya beri jaminan jika saya merasakan tidak dapat menjalankan tugas saya, saya akan menarik diri," katanya.

Haidar pula berkata: “Saya bercakap bagi pihak diri saya, bahawa tiada alasan yang sah untuk saya menarik diri.”

Siasatan hari ini bermula dengan keterangan tiga pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan seorang kakitangan syarikat keselamatan siber.

Anggota lain suruhanjaya diraja itu ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim. Ketua Pengarah Bahagian Perundangan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menjadi setiausaha suruhanjaya tersebut.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59