Sunday, 27 January 2008

58 ditahan polis di perhimpunan aman Protes Kenaikan Harga Barang






KUALA LUMPUR, 26 Jan (Hrkh) - Seramai 58 orang ditahan termasuk Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ketua Penerangan parti KeADILan, Tian Chua ekoran satu perhimpunan aman anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga barangan di KLCC dan sekitar Jalan Ampang.

Turut ditahan ialah penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM), Aruchelvan dan Dr Osman Nasir dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dr Badrul Amin Bahrun.

Daripada keseluruhan yang ditahan, sepuluh adalah wanita.

Kesemua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Tangkapan bermula kira-kira jam 2.45 petang apabila enam orang ditahan di hadapan Suria KLCC biarpun belum berlaku perhimpunan.

Enam orang yang ditahan ialah anggota Unit Amal Wangsa Maju. Sementara itu Dr Hatta, Tian Chua dan seorang peguam, Johnson Chong ditahan semasa mengada satu sidang media di sebuah restoran berhadapan Kedutaan Australia, Jalan Yap Kwan Seng, tidak berapa jauh dari bangunan KLCC.

Semasa tangkapan tersebut Dr Hatta kelihatan terjatuh dari meja makan.

Dalam pada itu, walaupun tiada perhimpunan di kawasan KLCC, ia dikawal rapi anggota polis termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan pasukan Rela. Tangkapan berakhir kira-kira 4.30 petang.

Sementara itu Dr Hatta semasa mengadakan sidang media di restoran itu tidak dapat menyatakan sama ada perhimpunan itu berjaya ataupun tidak.

Bagaimanapun katanya, melihat kepada situasi di sekitar KLCC ia menampak keadaan yang agak kecoh dan tidak teratur.

"Bagaimanapun ia tidak membahayakan keselamatan orang ramai, sebenarnya Protes kecewa kerana pihak polis bertindak melampau; kami difaham kira-kira 1000 anggota polis ditugaskan hari ini dan ia menyebabkan suasana tidak selesa dan tanda tanya kepada orang ramai" katanya.

Walhal beliau berkata perhimpunan yang dirancang itu akan berjalan dengan aman dan tidak menimbulkan kesan negatif kepada orang awam.

Malah dakwanya tindakan tersebut membazirkan sumber kerajaan.

"Jika sumber hebat sebegini dikerah untuk mengesan penjenayah atau mencari kanak-kanak yang hilang, saya rasa ia boleh menyelesaikan beberapa kes jenayah yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Mereka yang ditahan melaungkan slogan "reformasi" dan "hidup rakyat" ketika dibawa ke IPK Kuala Lumpur dengan trak polis.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59