Wednesday, 12 December 2007

ANGGOTA SURUHANJAYA DIRAJA PITA LINGAM DIUMUMKAN


Kuala Lumpur : 5 orang ahli Suruhanjaya Diraja mengenai pita VK Lingam, diketuai Bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohamed Noor diumumkan hari ini.

Ahli-ahli lain adalah Bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak,Steve Shim; Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mahadev Shankar; Bekas solicitor-general Zaitun Zawiyah Puteh dan Ahli Sejarah serta Pesuruhjaya Suhakam, Khoo Kay Kim.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Abdullah Sani Hamid bertindak sebagai Setiausaha.

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembentukan Suruhanjaya itu hari ini.

Menurutnya, bidang tugas suruhanjaya tersebut ialah:

- Untuk menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video berkenaan;

- Untuk menyiasat dan mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video tersebut, kepada siapa dia sedang bercakap dan orang-orang yang disebut dalam perbualan itu;

- Untuk menyiasat dan menentukan kebenaran isi kandungan percakapan dalam klip video tersebut;

- Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa salahlaku oleh orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video tersebut; dan

- Untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video itu sekiranya orang atau orang-orang itu didapati telah melakukan sebarang salah laku.

Suruhanjaya berkenaan dikehendaki menyiapkan siasatannya dan mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh tualiah dikeluarkan.

Menurut kenyataan itu lagi, Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 5 Disember lalu telah membincang dan bersetuju dengan keanggotaan suruhanjaya tersebut, bidang tugasnya dan tempoh siasatan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, Seri Paduka telah memperkenan penubuhan suruhanjaya siasatan mengenai rakaman klip vIdeo yang mengandungi imej seorang yang dikatakan sebagai peguambela dan peguam cara berbual melalui telefon mengenai urusan pelantikan hakim-hakim, mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), berkuatkuasa mulai hari ini.


KAMI TINDAK GENTAR


Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK) menegaskan bahawa kami tidak gentar menghadapi apa jua tekanan dan tidak pula lemah menghadapi apa jua rintangan yang bakal di hadapkan oleh pemerintah yang zalim kepada kami.

DPPBK telah bersedia menghadapi segala kemungkinan terutama semasa kempen PRU ke 12 ini. Kami tahu bahawa BN akan menggunakan segala 'bala tentera' mereka yang dibiayai oleh rakyat seperti SPR, Polis, KEMAS, Jabatan Penerangan, RTM, TV3 dan sebagainya.

DPPBK menyeru sekelian rakyat Malaysia supaya tidak mengHALALkan segala wang ringgit kita yang kita bayar melalui cukai yang digunakan oleh kerajaan BN melalui SPR, Polis, KEMAS, RTM dan sebagainya untuk mengalahkan kita pada Pilihanraya Umum nanti.

Biar mereka jawab di hadapan Allah di akhirat di Hari Kemudian.

Jangan kamu ingat wahai pemimpin angkuh BN Islam Hadhari bahawa tindakan kamu menangkap dan memenjara pemimpin kami akan melemahkan semangat kami.

Kami ada Allah yang sudah pasti membantu kami, manakala kamu ada syaitan dan iblis yang sentiasa membantu kamu supaya meneruskan kezaliman ke atas pencinta Islam seperti kami.

Jika kamu berjaya mengekang kami di dunia, nescaya kamu tidak akan dapat membela diri di hadapan Allah di hari yang tiada gunanya kuasa dan harta benda. Kuasa yang ada pada kamu hari ini hanyalah sedikit jika hendak dibandingkan dengan kuasa Allah. Bahkan kuasa kamu ini akan dicabut oleh Allah bila kamu menemui ajal nanti. Ketika pangkat dan kuasa kamu tidak akan dapat membantu kamu lagi.

Kami pula tetap yakin dan istiqamah bahawa perjuangan kami akan diteruskan oleh semua pencinta Islam. Seribu yang pergi sejuta akan tumbuh dan meneruskan perjuangan suci para nabi ini.

Justeru itu, kepada semua ahli-ahli PAS dan penyokong PAS jangan kamu gentar untuk berdepan dengan musuh. Kita berjuang atas landasan kebenaran. Kita tidak mencari musuh. Kita masih berjuang atas landasan Muwajahah Silmiyyah.

Pedulikan segala bentuk provokasi dan jangan mudah terpedaya dengan khabar angin yang cuba memerangkap kita. Jangan undur ke belakang walaupun kita sekarang digertak dengan peristiwa penangkapan pimpinan kita.

Kepada pencinta keadilan yang lain mari kita sama-sama berganding bahu tanpa mengira agama dan bangsa. Tujuan kita hanya satu untuk menghapuskan kezaliman. Mari kita susun langkah bersama untuk menghancurkan kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang. Kita kalahkan mereka dengan memenangi kerusi-kerusi parlimen dan DUN sebanyak mungkin.

Pada masa itu baru mereka tahu bahawa kuasa dan pangkat yang ada pada mereka tidak kekal dan bila-bila masa boleh terlepas.


HIMPUNAN 'GEGAU' MELAKA, SELURUH AHLI DAN PENYOKONG DISERU HADIR


Seluruh ahli dan penyokong PAS Negeri Melaka diharapkan dapat menghadirkan diri pada Himpunan Gegau Melaka pada 16 Disember ini bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Balai Islam Telok Mas.

Himpunan anjuran Jentera Pilihanraya Negeri (JPN) Melaka ini akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Antara lain Himpunan 'Gegau' ini bertujuan untuk menyuntik semangat juang para petugas pilihanraya bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurut Pengarah JPN Melaka, Mejar(B) Jasme Tompang, setiap kawasan di minta menghantar sekurang-kurangnya 200 orang peserta di kalangan semua peringkat parti samada pemuda, muslimat atau ahli-ahli biasa.

"Kita akan himpunkan seluruh jentera di peringkat akar umbi bagi memastikan semua petugas bersiap sedia dan sentiasa peka dengan arahan pimpinan".

"Insya Allah himpunan ini akan menaikkan semangat kita semua dan kita akan 'gegau' Melaka dengan gerakerja yang tersusun, berdisiplin dan terancang" tegas Jasme dengan semangat.

Jasme juga berkata nama 'gegau' dipilih sebagai tema adalah kerana ianya bermaksud gegar yakni PAS Melaka ingin mengegarkan BN Melaka di samping ingin menggegarkan ahli dan penyokong PAS agar bangkit dengan semangat untuk menentang BN dalam pilihanraya kana datang.

Difahamkan himpunan ini julung kali di adakan selepas Pilihanraya Umum 2004.


MALAYSIA SAH NEGARA POLIS



Penahanan beramai-ramai pemimpin pembangkang dan aktivis NGO di Parlimen semalam membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Polis. Penahanan secara borong tanpa alasan yang kukuh di tempat di mana demokrasi subur iaitu di Parlimen mengesahkan bahawa kerajaan BN hari ini adalah sebuah kerajaan drakonian yang tidak langsung mengendahkan sistem demokrasi yang mereka sendiri laung-laungkan.

Polis yang menjadi 'barua' kerajaan BN menangkap sesiapa sahaja yang mereka suka hatta jurukamera yang bertugas pun mereka tangkap. Ini berlaku keatas jurukamera TVPAS.com baru-baru ini ketika peristiwa penangkapan Naib Presiden PAS, Hj Mohammad Sabu.

PAS Melaka mengutuk sekeras-kerasnya dan kesal tindakan mutakhir kerajaan yang menahan beberapa pimpinan kami serta pimpinan lain yang mahu menghantar memorandum Bersih kepada ahli-ahli parlimen semalam.

Kesucian parlimen sebagai lambang demokrasi di sebuah negara seperti Malaysia dinodai dengan peristiwa penangkapan Dato' Mustafa Ali di pintu masuk bangunan Parlimen.

Parlimen adalah lambang demokrasi dan mereka yang datang itu pula bukan untuk berhimpun. Mereka datang sebagai rakyat untuk pergi ke parlimen dan secara kebetulan pula semalam berlangsung perbahasan berkaitan pemanjangan tempoh perkhidmatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada 65 kepada 66 tahun.

Kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Badawi sebenarnya sekarang telah hilang pertimbangan akibat penentangan rakyat secara terang-terangan terhadap isu kehakiman yang hancur; kenaikan harga barang; sistem pilihanraya yang kotor dan tidak telus dan lain-lain isu.

PAS Melaka menuntut kerajaan Malaysia membersihkan nama negara yang terjejas teruk di mata dunia dengan membebaskan semua tahanan tersebut dengan tidak mendakwa mereka di mana-mana mahkamah.

Jika sekiranya tahanan di dakwa mana-mana mahkamah selepas ini maka sahlah negara kita adalah negara Polis yang rakus.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka


SEMUA TAHANAN DI BEBASKAN


KUALA LUMPUR : Pembebasan kesemua 24 tahanan bermula petang sehingga malam ini merupakan satu kejayaan pusingan pertama Bersih sekaligus menutup tirai pesta penangkapan di parlimen hari ini.

Lapan daripadanya adalah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali; penganalisis pilihan raya Malaysia, Wong Ching Huat; Koordinator Suaram, Yap Swee Seng; wakil CIJ,V. Gayathri; Mien dan Pengurus Pengiklanan Harakah, Mokhtar Rozaidi jam 6 petang tadi.

Manakala, baki 16 yang lain antaranya terdiri daripada Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, AJK PAS Pusat Dr Lo' Lo Haji Ghazali dan Dr Mohd Nasir (PSM).

Menurut kenyataan Suaram kepada Harakahdaily, kesemua yang terlibat akan melaporkan diri sekali lagi di Mahkamah Jalan Duta pada jam 9 pagi, 18 Disember 2007 (Selasa).

Walaupun berlaku penangkapan, namun objektif Bersih tercapai apabila berjaya mengadakan sidang media di pekarangan lobi parlimen pada jam 11.40 pagi tadi dan serentak dengan itu menyerahkan memo Bersih kepada ahli-ahli parlimen pembangkang untuk disampaikan kepada ahli parlimen yang lain termasuk Perdana Menteri.

Memo tersebut secara asasnya membantah pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk melanjutkan perkhidmatan Pengerusi SPR daripada 65 kepada 66 tahun yang dipercayai mempunyai motif untuk memberi peluang kepada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjawat jawatan itu semula.

Seterusnya secara tidak langsung Bersih beranggapan bahawa pelanjutan perkhidmatan Rashid adalah untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang dan menafikan peluang pembangkang untuk menang serta dalam masa yang sama mencabul hak rakyat untuk mengundi secara bijaksana dalam pilihan raya kelak.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59