Monday, 10 December 2007

Jangan sokong pemerintah zalim – Haron Din



Ayer Molek : Timbalan Musryidul Am PAS, Dato’ Prof. Dr Haron Din mengingatkan umat Islam jangan menyokong golongan zalim yang memerintah Malaysia sekarang.

”Jangankan menyokong, condong pun tidak boleh” kata Dr Haron Din.

”Pemerintah yang memerintah sekarang jelas melakukan kezaliman dimana kezaliman paling besar ialah syirik kepada Allah contohnya upacara mengalungkan bunga di Tugu Negara yang diamalkan oleh pemimpin sekarang” tegas beliau.

Menurut beliau juga, Majlis Fatwa Negeri Selangor dan Wilayah sudah lama mengeluarkan fatwa ianya haram dan fatwa tersebut di gazetkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

”Malangnya kerajaan Islam Hadhari melanggarnya, jadi siapa yang menyokong kerajaan syirik, mereka turut sama dapat sahamnya”.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di rumah Hj Karim Mohamad di Ayer Molek di sini Ahad lalu.

Dr Haron juga kesal dengan sikap kerajaan yang tidak menghiraukan kesengsaraan rakyat yang menderita akibat kenaikan harga barang. Beliau dengan sinis mentafsir BN sebagai – Barang Naik, Bila Naik – Baru Naik, Berapa Naik – Banyak Naik.

”Begitu juga dengan kadar tol yang turut naik yang jelas membebankan rakyat. Kerajaan tunduk kepada syarikat yang mengendalikan lebuh raya dengan menandatangani kontrak berat yang sebelah. Akhirnya rakyat yang menderita.” tambah beliau.

Selain itu, Dr Haron turut kesal dengan kegagalan syarikat Petronas milik kerajaan yang gagal membayar zakat dengan hasil minyak yang diklasifikan sebagai harta rikaz.

”Petronas untung RM42.6 bilion untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, kalau kita anggarkan setahun Petronas boleh dapat RM85.2 bilion, malangnya Petronas tidak pernah membayar zakat seperti di jawab di dalam sidang parlimen“ kata Dr Haron.

Ini kerana katanya, kerajaan yang memerintah hari ini tidak mementingkan hukum Islam sehinggakan majoriti syarikat-syarikat besar di Kuala Lumpur tidak membayar zakat.

Ceramah anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Ayer Molek tersebut telah mendapat sambutan di luar dugaan. Turut berceramah bersama beliau pada malam itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.


BEBASKAN MOHD SABU


Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil sangat kesal dengan penangkapan Naib Presiden PAS, Haji Mohd Sabu semalam. Sesungguhnya penangkapan itu membuktikan bahawa demokrasi telah mati di Malaysia.

Alasan penangkapan beliau kerana dikatakan menyertai perhimpunan haram merupakan suatu alasan remeh dan tidak berasas kerana perlembagaan negara memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

Kami menggesa Polis membebaskan Haji Mohd Sabu tanpa syarat. Jika tidak sudah pasti negara kita dilihat sedang menuju ke arah pemerintahan negara polis dan kuku besi.


AYUH KE MAHKAMAH JALAN DUTA


Seluruh rakyat Malaysia diseru bersama-sama turun ke Mahkamah Jalan Duta pagi ini untuk menunjukkan bantahan terhadap kerajaan zalim Islam Hadhari yang menangkap dua orang pemimpin Bersih yang menuntut pilihanraya bebas dan bersih.

Rkyat diseru berkumpul seawal mungkin di mahkamah Jalan Duta dengan memakai t-shirt Bersih atau sekurang-kurangnya baju kuning.

"Mohamad Sabu, Tia Chua dan lain-lain ditahan semata-mata kerana menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Hari ini, kita buktikan solidariti kita dengan mereka. Pastikan kehadiran kita untuk mengiringi mereka dengan memakai t-shirt Bersih atau sekurang-kurangnya baju kuning," demikian kenyataan Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS Pusat.

Mohamad Sabu ditangkap pihak polis di Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

Tian Chua pula telah ditangkap oleh Ketua Inspektor Koh Fei Chew dari Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di Pejabat Suaram di Johor Bahru, jam 5:15 petang semalam.

Kedua-dua mereka dipercayai ditangkap di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis.


Perhimpunan Bersih: Mat Sabu, Tian Chua dan 12 lagi ditahan


Polis semalam melancarkan gerakan menahan dua pemimpin tinggi pembangkang dan berbelas orang lagi yang mengambil bahagian dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu.

Pemimpin terkemuka PAS, Mohamad Sabu ditahan di Perak manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula ditahan di Johor.

Ketika dihubungi pada jam 4.45 petang semalam, isteri Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini bahawa suaminya sedang dibawa oleh polis dari Ipoh ketika beliau selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya.

Manakala Tian Chua pula ditahan di luar pejabat Suaram di Johor Bahru pada jam 5.15 petang oleh sepasukan polis dari Kuala Lumpur.

Seorang pemimpin PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengesahkan tangkapan para penyokong Bersih di beberapa buah negeri.

Seramai 14 orang ditahan mengikut Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram. Sepuluh daripada mereka ditangkap lebih awal ekoran perhimpunan tersebut dan dibebaskan dengan ikatjamin polis.

Ikatjamin mereka berakhir pada hari Isnin dan mereka yang ditahan hari ini dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.

Difahamkan majoriti mereka yang ditahan itu adalah anggota pasukan pengawal dari parti PAS yang ditugaskan untuk mengawal lulintas dan menjaga disiplin orang ramai ketika perhimpunan anjuran Bersih itu.

Gerakan tangkapan hari ini diadakan menjelang satu lagi perhimpunan yang dirancang diadakan Selasa ini di mana Bersih mahu menyerahkan memorandum bantahan kepada Parlimen.

Bersih mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan yang dijadual dibentangkan pada hari berkenaan, yang jika diluluskan, akan membolehkan tempoh perkhidmatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dilanjutkan setahun lagi. Pindaan tersebut bertujuan melanjut tempoh perkhidmatan anggota SPR kepada 66 tahun.

Larangan perhimpunan

Pada 10 November lalu, kira-kira 40,000 orang menyertai perhimpunan Bersih untuk menuntut diadakan pilihanraya yang bersih dan adil.

Mereka berhimpun di luar Istana Negara dan memorandum telah diserahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wakil istana, sebelum bersurai secara aman.

Walaupun perhimpunan itu pada umumkan berjalan secara aman, tetapi pihak polis bertindak menembak gas pemedih mata dan pancutan air kimia untuk menyuraikan orang ramai di stesen LRT Masjid Jamek.

Menurut laporan, 29 orang ditahan sewaktu perhimpunan tersebut dan 24 daripadanya dibebaskan pada hari yang sama.

Perhimpunan Bersih itu diikuti oleh satu lagi perhimpunan tiga minggu kemudiannya di mana 30,000 penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) membanjiri Kuala Lumpur kerana membantah dakwaan berlakunya diskriminasi kaum dan agama.

Minggu lalu, 31 penyokong Hindraf didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dalam perhimpunan 25 November, di mana 16 daripada mereka turut menghadapi menyertai perhimpunan haram.

Tindakan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan berterusan hari ini apabila lapan orang, termasuk lima orang peguam, ditahan kerana menyertai perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia di Kuala Lumpur.

Di samping itu, difahamkan, pemimpin PKR, N Gobalakrishnan akan menjadi orang yang ke-32 didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok atas tuduhan cubaan membunuh, berkaitan dengan perhimpunan Hindraf itu.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59