Friday, 7 December 2007

TEMUBUAL BERSAMA KETUA PENERANGAN PAS MELAKA



Ikuti temubual wartawan Lajnah Penerangan Melaka dengan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.

1-Apakah isu yang akan dibawa oleh PAS khususnya untuk negeri Melaka dalam pilihan raya yang akan datang?

Sebenarnya memang banyak isu yang boleh diketengahkan kepada masyarakat antaranya isu babi, isu pembaziran, isu wang zakat, isu tanah wakaf, isu peminggiran orang melayu, isu kelemahan kerajaan negeri dan agensi-agensinya dan lain-lain.

Saya anak ulas dua isu sahaja iaitu isu babi dan isu pembaziran.

Dalam isu babi, kerajaan negeri dilihat gagal memuaskan rakyat samada Orang Melayu atau Orang Cina. Mengapa sesudah 50 tahun penternakan babi tersebut dijalankan baru sekarang kerajaan negeri mahu bertindak. Apakah sebelum ini najis babi itu tidak berbau dan tidak menjejaskan alam sekitar. Bukan Orang Melayu sahaja yang susah dengan masalah ini Orang Cina juga terlibat sama. Najis babi ini mengandungi kandungan logam yang membahayakan semua orang.

Kita hairan juga mengapa penternak-penternak dibiarkan menjalankan penternakan mereka tanpa bimbingan dan bantuan untuk memelihara alam sekitar, lesen tidak diberikan, kuantiti binatang perliharaan tidak dihadkan, penguatkuasaan tidak dilaksanakan. Ini jelas membuktikan kerajaan Melaka adalah sebuah kerajaan yang lembap dan lemah. Semua tindakan yang diambil oleh mereka dalam isu babi baru-baru ini adalah tindakan politik untuk menarik sokongan kedua-dua belah pihak iaitu Orang Melayu dan Cina.

Orang Tionghua di Melaka kena faham bahawa PAS tetap akan membenarkan penternakan babi di mana-mana negeri yang akan diperintah oleh PAS seperti di Kelantan. Tidak ada masalah kalau semua pihak bersedia mengikut undang-undang yang ada. Kalau undang-undang yang ada tidak menguntungkan Orang Tionghua kita akan kaji dan mungkin kita boleh pinda untuk kepentingan masyarakat Tionghua di sesuatu negeri.

Kita harap rakyat samada Orang Melayu atau Orang Tionghua tidak tertipu dengan mainan politik pemimpin Umno dan MCA yang hanya mementingkan undi sebab itu bila hampir dengan pilihanraya baru mereka bertindak. Itu pun tidak memuaskan hati semua pihak.

Kerajaan BN Melaka juga jelas membazirkan dalam program-program kerajaan ini. Sebagainya contoh lawatan rombongan kerajaan negeri ke Paris yang menelan belanja RM1 juta semata-mata untuk belajar menanam pokok.

Begitu juga dalam isu pembersihan Sungai Melaka yang menelan belanja RM335 juta yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat Melaka yang jumlah orang fakir miskin masih ramai iaitu melibatkan 785 keluarga.

Kerajaan Negeri juga gagal menjelaskan hutang kerajaan pusat yang meningkat setiap tahun. Bagi tahun 2006 hutang kerajaan negeri meningkat kepada RM1.05 bilion berbanding pada tahun 2005 berjumlah RM1.03 bilion iaitu peningkatan sebanyak. Ini dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006. Mengapa tak boleh bayar sudah tentu kerana kerajaan negeri tidak duit disebabkan pembaziran melampau oleh kerajaan negeri dan agensi-agensinya.

Kerajaan Negeri juga gagal menyelesaikan masalah fakir miskin walaupun tiap-tiap tahun Puzat Zakat Melaka (PZM) berjaya memungut zakat berjumlah belasan juta. Tahun ini sahaja sehingga Oktober PZM berjaya memungut RM17.3 juta manakala tahun lalu pada jangka masa yang sama PZM memungut RM16.2 juta. Kemana perginya wang zakat ini sehingga Ketua Menteri mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mencari dana sebanyak RM14 juta untuk menyelesaikan masalah fakir miskin di Melaka. Bukan duit zakat itu boleh digunakan untuk membantu golongan fakir ini. Mana pergi duit zakat belasan juta setahun. Ini jelas menunjukkan berlaku pembaziran dan ketirisan sehingga ianya tidak dapat digunakan untuk membantu fakir miskin.

Malah tahun lalu peristiwa yang amat memalukan apabila Pejabat Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah disita berikutan kegagalan agensi itu membayar tunggakan hutang lebih RM2 juta pada bulan Jun 2006. Selain Pejabat Mohd Ali di Tingkat 11 Bangunan PKNM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu, tujuh lagi tingkat lain milik PKNM termasuk yang menempatkan pejabat pengurus besar turut disita. Kejadian membuktikan kegagalan Kerajaan Negeri dan PKNM menguruskan agensi tersebut dengan baik. Arahan sita itu dikeluarkan menerusi surat penghakiman Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Timbalan Pendaftar, Elesabet Paya Wan bertarikh 28 Jun 2006. Kegagalan membayar sewa ini disebabkan keborosan agensi terbabit menguruskan wang sehingga hutang tertunggak dengan banyak.

Banyak lagi sebenarnya isu-isu pembaziran yang melibatkan kerajaan negeri sampai tak cukup ruang untuk dimuatkan.

Di samping itu isu nasional seperti isu kedaulatan Islam, isu rasuah yang melibatkan banyak pihak, isu harga minyak dan barangan, isu keselamatan dan lain-lain juga akan kita mainkan dalam usaha menarik sokongan rakyat untuk bersama-sama menumbangkan kerajaan BN pada Pilihanraya Umum nanti.

2- Sejauh mana isu ini akan memberi kesan kepada pengundi di Melaka?

Isu-isu ini Insya Allah akan memberikan kesan yang baik kepada pengundi jika kita dapat mengolahnya dengan baik. Tetapi masalah yang perlu difiirkan dengan serius ialah bagaimana isu ini dapat sampai kepada pengundi-pengundi dengan keterbatasan media kita.

Jentera PAS di semua peringkat mesti bekerja kuat untuk memastikan semua isu-isu ini berjaya sampai kepada pengundi-pengundi samada dalam bentuk CD, Buletin, risalah, surat khabar maupun secara lisan. Maka gerakan penerangan mesti dipertingkatkan 200%.

Kita di Melaka menerbitkan Buletin PAS Melaka 2 minggu sekali bagi menyampaikan maklumat ini. Namun jika bahan-bahan seperti ini tidak disampaikan kepada pengundi maka kesan kepada pengundi tidak akan dapat kita lihat hasilnya. Malah kalau sampai kepada mereka sekalipun belum tentu 100% mereka faham dan menyokong kita. Tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha hanya Allah yang akan memberikan hidayat kepada pengundi-pengundi.


3-Adakah PAS yakin menawan beberapa kerusi pada kali ini?

PAS Melaka yakin untuk memenangi beberapa kerusi pada pilihanraya kali ini berdasarkan perkembangan semasa jika SPR dapat berlaku adil, media tidak terlalu berpihak serta juga tiadanya unsur rasuah dan ugutan kepada pengundi. Namun jika semua penyelewengan dan penipuan masih diamalkan oleh SPR, media tidak berubah, rasuah dan ugutan masih diamalkan maka susah untuk kita ramalkan. Rakyat tidak diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih. Kalau begitu bukan sahaja Melaka di negeri lain pun susah untuk menang.

4- Bagaimana saudara melihat perkembangan golongan muda selepas himpunan Bersih dan Hindraf?

Kita melihat terdapat satu macam kebangkitan dikalangan golongan muda selepas himpunan Bersih dan Hindraf. Kalau kita imbas kembali Himpunan Bersih baru-baru ini rata-rata peserta himpunan adalah anak-anak muda di bawah umur 40 tahun. Rombongan dari Melaka sendiri 60-70 % adalah golongan muda samada lelaki atau wanita. Malah momentumnya kita lihat masih berterusan. Sebagainya dalam Kempen Bahaya BN peringkat negeri Melaka baru-baru ini kita berhimpun di Pasar Besar Melaka Sentral dan mengedarkan risalah, rata-rata peserta ramai di kalangan orang muda. Momentum ini mesti kita kekalkan agar kita tidak ketandusan petugas semasa pilihanraya nanti dan juga untuk pemimpin pelapis masa hadapan.

PAS di semua peringkat mesti memikirkan program untuk anak muda untuk mengekalkan semangat sehingga hari pembuangan undi nanti dan juga selepas pilihanraya. Mungkin Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat boleh menjalankan program pengedaran risalah tiap-tiap minggu kerana ianya boleh mengekalkan semangat anak-anak muda ini.

5- Adakah Kenaikan harga barang kali ini mampu mengugat BN?

Kenaikan harga barang memang sebenarnya isu yang betul-betul masuk ke dalam setiap isi rumah tanpa mengira bangsa, agama, umur, pekerjaan dan sebagainya. Rakyat Malaysia sepatutnya bangkit untuk menyatakan penentangan kepada kerajaan dalam isu ini. Penentangan ini boleh direalisasikan melalui peti-peti undi pada pilihanraya akan datang. Namun kita lihat rakyat masih ‘cool’ tidak nampak penentangan secara serius.

Ini disebabkan kejayaan kerajaan BN memesongkan perhatian rakyat dari isu ini. Rakyat masih merasakan mereka boleh hidup senang walaupun harga barangan melambung naik. Rakyat digula-gulakan dengan kenaikan gaji, kemakmuran negara, kesenangan ‘cari makan’, anak-anak semua ada kerja dan juga dilalaikan dengan hiburan.

Media terus memainkan peranan mengangkat martabat kerajaan, dengan memomokkan bahawa kerajaan telah berkorban untuk rakyat dengan memberikan subsidi harga minyak berbilion ringgit jadi sekarang masanya untuk rakyat berkorban pula.

Maka kita mesti menyedarkan rakyat dalam isu ini. Program-program meningkatkan kesedaran rakyat terhadap isu harga barang mesti digiatkan seperti pengedaran risalah, ceramah-ceramah kelompok dan sebagainya. Aktiviti mesti dipelbagaikan dalam usaha kita untuk menyedarkan rakyat bahawa kerajaan BN hari ini adalah kerajaan yang langsung tidak prihatin terhadap kesengsaraan rakyat.


6- Ali Rustam dilihat melakukan penyelewengan, apakah pembangkang boleh mengambil peluang daripadanya?

Penyelewengan Ali Rustam ini bukannya baru, malah telah lama berlaku. Isu yang diperkatakan di atas sepatutnya sudah lama menyebabkan Ali Rustam ‘terduduk’, namun ianya tidak banyak memberikan bekas kepada beliau.
Tetapi pembangkang Insya Allah tidak akan jemu-jemu membongkar segala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa beliau. Kita memang sentiasa mengambil peluang dari penyelewengan tersebut dengan mendedahkan secara terbuka kepada rakyat melalui ceramah-ceramah, buletin, risalah dan kenyataan-kenyataan akhbar yang berterusan. Jadi terpulang kepada rakyat samada masih mahu mengekalkan pemimpin Islam Hadhari yang jelas kontorversi atau ingin memberikan mandat kepada pembangkang terutama PAS yang membuktikan bahawa kerajaan kita bersih, adil dan telus malah sentiasa mementingkan kebajikan seperti kerajaan PAS Kelantan.


AYUH KITA KE HIMPUNAN BERSIH DEPAN PARLIMEN 11 DISEMBER



Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan mengadakan satu lagi perhimpunan rakyat pada 11 Disember ini di hadapan bangunan Parlimen bagi mengecam usaha kerajaan BN untuk menyambung khidmat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman melalui pindaan had umur lanjutan persaraan baru-baru ini dibantah keras banyak pihak.

Himpunan itu diadakan bagi membantah usaha kerajaan menyambung perkhidmatan Abdul Rashid yang sepatutnya ditetapkan bersara pada 31 Disember ini apabila umurnya mencecah had 65 tahun.

Kerajaan dikatakan akan meminda Perlembagaan untuk melanjutkan umur persaraan anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari usia 65 ke 66 bagi membolehkan Rashid terus berkhidmat.

Usul tersebut buat kali pertamanya dibentang secara tergesa-gesa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 20 November lepas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz.

Ia akan dibacakan untuk kali kedua pada 11 Disember ini, kata satu kenyataan Bersih.

Menurut kenyataan itu, perhimpunan akan diadakan pada jam 10 pagi di perkarangan bangunan Parlimen.

Beberapa pemimpin parti pembangkang berpendapat BN amat memerlukan khidmat Rashid yang licik bagi membantu kemenangannya dalam pilihan raya akan datang.


HUJAN TIDAK HENTI-HENTI BANJIR MUNGKIN MELANDA MELAKA



Hujan yang tidak henti-henti sejak semalam mungkin akan mengakibatkan banjir seperti yang berlaku tahun lepas.

Oleh itu Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK) mengingatkan seluruh rakyat Melaka supaya berdoa kepada Allah agar bala Allah ini tidak akan menimpa Melaka sekali lagi. Selain itu DPPBK mengharapkan rakyat Melaka supaya menyediakan kelengkapan asas jika berlaku banjir supaya masing-masing tidak kelam kabut jika ujian Allah ini menimpa Melaka sekali lagi.

Tahun lepas iaitu pada 25 - 28 Disember, hampir seluruh daerah di Melaka ditimpa bala Allah iaitu banjir besar suatu fenomena yang sudah lama tidak di alami oleh rakyat Melaka. Selain Melaka, Johor juga teruk dilanda ujian Allah ini.

Sementara itu di Johor, hujan sejak 5 Disember lalu sehingga semalam menyebabkan 260 keluarga mengandungi 982 orang di sekitar Johor Baharu dan 53 orang daripada 13 keluarga di Kota Tinggi dipindahkan ke tempat selamat sehingga pagi ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Baharu Manayi Ibrahim berkata lapan pusat pemindahan sementara dibuka sejak 5 petang semalam dan sehingga kini sebanyak 11 keluarga berada di Sekolah Tokong Kampung Sungai Tiram, 41 keluarga di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 1, 18 keluarga di Balai Raya Kampung Pasir Puteh di Masai, tiga keluarga di Balai Raya Kampung Sungai Redan, Tiram, dan satu keluarga di Balai Raya Kampung Sungai Tengah.

Sebanyak 121 keluarga lagi ditempatkan di Sekolah Agama Datuk Abdul Rahman, Kampung Sentosa, Masai, 64 keluarga di Balai Raya Kampung Sentosa, Masai dan satu keluarga di Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Kota Tinggi pula berkata dua pusat pemindahan kini dibuka di Kota Tinggi selepas lapan keluarga membabitkan 32 orang di Kampung Melati Putih, Kota Tinggi, dipindahkan ke Balai Raya Kampung Melati Putih malam tadi.

Petang semalam, lima keluarga membabitkan 21 orang termasuk seorang bayi perempuan di Kampung Sungai Berangan dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sungai Berangan.

Jabatan itu kini bersiap sedia membuka lebih banyak pusat pemindahan memandangkan cuaca sentiasa mendung.


Percubaan mengheret PAS dalam isu Hindraf


Amin Iskandar menulis

Sepuluh hari selepas perhimpunan Hindraf (Hindu Rights Action Force), media arus perdana masih lagi bercerita tentangnya. Hindraf bukan sahaja telah berjaya mendapatkan perhatian di dalam negara, tetapi juga berjaya menyampaikan mesej mereka di peringkat antarabangsa.

Hindraf telah menyebabkan pemimpin kerajaan, terutamanya pemimpin Umno panik dan menggelabah. Ramai yang melenting dengan perhimpunan dan tuntutan Hindraf. Yang paling ektrim dalam menjawab isu Hindraf ini ialah Nazri Aziz dan Zainuddin Maidin. Nazri dan Zainuddin kedua-duanya bersependapat bahawa Hindraf tidak layak berjumpa denganPerdana Menteri.

Berikut adalah kenyataan Nazri:

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau berpendapat pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) tidak perlu berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang negara dengan menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara bulan lepas.

“Saya tidak ada bantahan sekiranya Perdana Menteri bersetuju untuk berjumpa dengan mereka tapi kerajaan tidak perlu tunduk kepada ugutan sesiapa kerana selama ini tiada kaum yang dipinggirkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini ketika diminta mengulas hasrat Hindraf untuk menemui Abdullah bagi berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di Malaysia (Utusan Malaysia, 4 Disember 2007).

Manakala Zam pula berkata:

“Bukan taraf seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan sebuah pertubuhan yang hina dan mempunyai taraf yang rendah kerana bertindak seperti samseng jalanan dengan melanggar undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, bukanlah taraf bagi seorang Perdana Menteri untuk bertemu dengan golongan yang telah menimbulkan huru-hara dan menggunakan cara kekerasan untuk mengugut kerajaan (Utusan Malaysia, 4 Disember 2007).

Hairan bin ajaib. Hindraf pada mulanya diserang oleh kerana mereka dikatakan telah membelakangkan pemimpin negara akibat dari tindakan menghantar memorandum kepada kerajaan British. Dan sekarang apabila mereka mahu bertemu dengan Perdana Menteri, mereka diperlekehkan pula oleh pemimpin kerajaan. Ternyatalah bahawa perhimpunan Hindraf telah berjaya memberikan kesan yang mendalam kepada pemimpin Umno.

Percubaan mengheret PAS

Selepas perhimpunan Hindraf, ramai pihak telah menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Kerajaan BN dikatakan gagal untuk memerintah Malaysia dengan baik oleh kerana selepas 50 tahun Merdeka, masih ada lagi kaum minoriti yang mengatakan mereka dipinggirkan. Dengan hanya satu perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf telah menyebabkan keharmonian antara kaum yang sentiasa diwar-warkan oleh kerajaan BN di peringkat antarabangsa, mula diragui.

Sejak awal lagi Umno melalui Ketua Pemudanya, Hishamuddin Tun Hussein telah mengeluarkan kenyataan meminta PAS menyatakan pendirian mereka berhubung dengan isu Hindraf. Mengapa Ketua Pemuda Umno itu beriya-iya mahukan PAS terlibat sama dalam kemelut Hindraf?

Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah untuk mengheret PAS terlibat sama dalam masalah Umno. Jika Umno dapat mengheret PAS dengan menggunakan isu Melayu dan agama Islam, secara tidak langsung pencabar utama Umno itu akan bersama-sama membantu menyelesaikan masalah yang berlaku akibat daripada politik perkauman yang diwarisi daripada penjajah British itu.

Kerajaan campuran

Khabar-khabar angin juga telah bertiup mengatakan bahawa PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerajaan campuran dalam pilihanraya umum akan datang. Dari segi sejarah politik Malaysia, ini pernah berlaku. Selepas berlakunya tragedi berdarah 13 Mei 1969, PAS telah menyertai BN dalam tahun 1974. Malahan, Tan Sri Datuk Asri bin Haji Muda pernah dilantik menjadi Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Ini yang mendorong khabar-khabar angin bahawa PAS dan Umno akan mendirikan kerajaan campuran. Asas kepada khabar angin ini ialah orang Melayu telah dicabar.

Namun Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah menafikan bahawa ada usaha di antara PAS dan Umno untuk mendirikan kerajaan campuran. Beliau berkata bahawa pimpinan PAS ada bertemu dengan pimpinan Umno untuk membincangkan mengenai isu kepentingan Melayu-Islam tetapi tidak pernah berbincang mengenai kerajaan campuran.

PAS ternyata sudah bijak dalam menangani provokasi. Gandingan golongan Ulama dan golongan profesional telah menunjukkan bahawa parti Melayu yang menjadi pencabar utama kepada Umno itu tidak lagi mudah untuk dipengaruhi dengan isu-isu dan masalah-masalah Umno.

Selepas berjaya membuka mata dunia dengan kecekapan anggota Unit Amal dalam memastikan perhimpunan Bersih pada 10 November berjalan dengan aman, PAS sekali lagi menunjukkan kebijaksanaan mereka berpolitik dalam isu Hindraf ini dengan tidak melenting secara melulu.

Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS, Roslan Shahrir mengatakan bahawa Umno, MIC dan BN telah terperangkap dalam isu Hindraf oleh kerana selama ini, undi daripada Masyarakat India merupakan tunggak kepada kekuatan BN. Sebagai contoh ialah apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil Ijok di mana BN dapat mengalahkan PKR dengan bantuan undi masyarakat India.

Selain daripada itu, Presiden PAS sendiri telah menggeluarkan kenyataan mengenai isu Hindraf. Berikut adalah petikan kenyataan beliau.

“PAS dengan ini menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan mainan pihak media yang didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional yang cuba mencetuskan ketegangan kaum bagi tujuan meraih undi rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan pimpinan parti-parti pembangkang sebagaimana semasa "Operasi Lalang" tahun 1987 dahulu.”

Nampaknya usaha Umno untuk mengheret PAS untuk bersama-sama mereka dalam menangani isu Hindraf telah gagal. Apa lagi selepas ini?


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59