Friday, 30 November 2007

Abdul Rashid yang suruh Bersih serah memo pada Agong



Kuala Lumpur : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sewaktu perhimpunannya 10 November lalu atas nasihat Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Dalam memorandum tersebut, Bersih menuntut supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini.

Setiausaha Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa berkata, Abdul Rashid menasihatkan anggota rombongan Bersih supaya berbuat demikian dalam satu pertemuan di pejabat pengerusi SPR itu di Putrajaya pada 3 Julai.

Katanya, dalam pertemuan tersebut pengerusi SPR itu memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menukar peraturan dan perjalanan pilihanraya.

"Sehubungan itu, Abdul Rashid mencadangkan kepada Bersih supaya menghantar memorandum tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Awak (Bersih) hantar kepada Agonglah kerana saya (Abdul Rashid) tiada kuasa," kata Faisal dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Berikutan itu, kata Faisal, Bersih mengadakan perhimpunan yang hadiri kira-kira 40,000 dan menyerahkan memorandum tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Istana Negara oleh delegasi yang diketuai oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimapun, kata Faisal, Abdul Rashid telah menukar pendiriannya itu apabila mendapat tahu yang Bersih akan mengadakan perhimpunan untuk menyerahkan memorandum sepertimana yang dinasihatkan oleh beliau.

Dalam satu kenyataan selepas itu, Abdul Rashid berkata SPR akan memendekkan masa berkempen dalam pilihanraya umum akan datang, jika Bersih meneruskan perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, kata Faisal, Bersih akan mengedarkan pita perbualan antara Abdul Rashid dengan anggota rombongan Bersih itu di mana beliau telah menasihatkan gabungan itu menghantar memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, seorang lagi wakil Bersih, Tian Chua berkata, PKR mempunyai pengalaman pahit setiap kali berurusan dengan pengerusi SPR itu.

Beliau mendakwa, Abdul Rashid hanya mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN) dan kerana itulah kerajaan cuba untuk melanjutkan khidmatnya setahun lagi.

"Abdul Rashid akan bersara pada 31 Disember ini tetapi kerajaan mahu meminda perlembagaan untuk membolehkan khidmatnya disambung," katanya yang juga Ketua Penerangan PKR.


MELAKA PERLU DANA RM14 JUTA BANTU FAKIR MISKIN. MANA PERGINYA DUIT ZAKAT


MELAKA: Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka, Khairul Che Salleh mencadangakn Kerajaan negeri menggunakan sepenuhnya wang zakat yang diperolehi oleh Pusat Zakat Melaka (PZM) untuk membantu fakir miskin di negeri ini.

"Kerajaan negeri tidak perlu mencari dana lain kerana semua sedia maklum bahawa tiap-tiap tahun PZM memperolehi pungutan yang banyak, contohnya untuk tahun ini sehingga bulan lalu sejumlah RM17.3 juta dikutip".

"Tahun lalu sehingga bulan Oktober atau November sejumlah RM16.2 juta dikutip, jadi mana perginya duit zakat yang banyak ini. Tiap-tiap tahun berbelas-belas juta wang zakat dipungut tetapi masalah kemiskinan terus gagal diatasi atau dikurangkan" kata Khairul.

Menurut Khairul, jika duit zakat ini diuruskan dengan baik dan betul sudah tentu ekonomi Orang Islam akan bertambah baik dan jumlah fakir miskin akan berkurang dari masa ke semasa.

"Kita bimbang wang zakat ini tidak disalurkan kepada golongan asnaf yang sepatutnya menerima zakat tersebut. Kita mengharapkan Kerajaan Negeri dapat membentangkan laporan terperinci dan telus ke mana perginya wang zakat yang banyak ini" tambah Khairul lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dua laporan media arus perdana, di mana disiarkan bahawa kerajaan negeri Melaka ingin mencari dana sebanyak RM14 juta untuk membantu fakir miskin.

Satu laporan lagi menyebut bahawa PZM berjaya mengutip wang zakat sebanyak RM17.3 juta sehingga bulan lalu iaitu melebihi RM1.1 juta dari tempoh sama tahun lepas.

Dalam laporan media itu, kerajaan dilaporkan akan mencari peruntukan baru sebanyak RM14 juta tahun depan dalam usaha memastikan kemiskinan sifar di Melaka tercapai menjelang Januari 2008 iaitu dengan menyediakan pekerjaan kepada golongan miskin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata selain itu, kerajaan negeri juga akan menambah bantuan kewangan sebanyak RM35 kepada setiap keluarga miskin di negeri ini supaya mereka tidak tergolong dalam kumpulan miskin tegar iaitu melepasi pendapatan RM385 sebulan. (TAKKAN RM35 SAHAJA, APA YANG BOLEH DIBUAT DENGAN RM35 TU)

Beliau berkata, pada masa ini keluarga miskin terbabit menerima bantuan sebanyak RM350 sebulan dan sekiranya ditambah lagi RM35 mereka akan terkeluar daripada golongan miskin tegar. (KALAU SETAKAT UNTUK CUKUP KUOTA RM385 SUPAYA TERKELUAR DARI PARAS KEMISKINAN, JELAS MENUNJUKKAN KERAJAAN NEGERI TIDAK IKHLAS MEMBANTU FAKIR MISKIN. WANG RM385 SEBULAN SUDAH TENTU TIDAK DAPAT MENAMPUNG KEPERLUAN KELUARGA DI SAAT HARGA BARANGAN KEPERLUAN NAIK MELAMBUNG. CUBA KITA BAGI RM385 PADA ALI RUSTAM SEBULAN SURUH DIA BELANJA CUKUP TAK.????)

Golongan miskin tegar di negeri ini adalah seramai 785 keluarga iaitu membabitkan seramai 348 keluarga di Melaka Tengah, 234 keluarga di Alor Gajah dan 203 keluarga di Jasin. (RAMAI LAGI JUMLAH FAKIR MISKIN DI MELAKA RUPANYA. MANA PERGINYA WANG ZAKAT SABAN TAHUN PUNGUT BELASAN JUTA RINGGIT. BUKANKAH IANYA BOLEH DIBERIKAN KEPADA FAKIR MISKIN UNTUK MEMBANTU MEREKA MENERUSKAN USAHA PERNIAGAAN DAN SEBAGAINYA)


KERAJAAN MELAKA LEMBAP



Melaka : Kerajaan Negeri Melaka jelas lembap dan lemah dalam mengagihkan wang pampasan banjir apabila 341 pemilik rumah yang terlibat dengan banjir masih belum menerima pampasan.

Setahun sudah berlalu tetapi perkara masih gagal diselesaikan.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Ustaz Abu Bakar Ramlee, kerajaan sebenarnya tidak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah ini. Agensi-agensi kerajaan pula dilihat sambil lewa menjalankan kerja mereka.

"Macamana sebuah kerajaan yang mempunyai segenap kelengkapan dan jentera kerajaan ramai anggotanya gagal mengesan dan mengenalpasti mangsa banjir. Masa dah berlalu hampir setahun duit bantuan masih belum diterima sepenuhnya".

".Kalau mereka nak buat kerja betul-betul bukan susah, pergi sahaja rumah ke rumah di setiap taman dan kampung, ambil maklumat dan lepas tu sahkan.Tetapi malangnya kerja-kerja bancian seperti itu tidak dilakukan. Ini jelas menunjukkan kerajaan lemah dan lembap" tegas Ustaz Abu Bakar.

Sementara itu seorang mangsa banjir yang tidak mahu namanya disiarkan menjelaskan bahawa seorang jirannya pula menerima bantuan banjir lebih dari sepatutnya.

Menurutnya, jirannya itu menerima wang pampasan banjir lebih dari yang diperolehi oleh mangsa lain. Beliau mengharapkan kerajaan negeri dapat menyiasat perkara ini kerana dikhuatiri berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa sehingga ada mangsa yang menerima bantuan lebih dari sepatutnya.

Media milik kerajaan negeri hari ini melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka masih berusaha mengesan seramai 341 pemilik rumah di negeri ini yang terlibat dalam bencana banjir tahun lepas untuk proses bayaran pampasan bernilai RM700 sekeluarga yang kini masih belum dapat diserahkan.

Pemilik rumah atau nama bagi alamat rumah yang disenaraikan dikehendaki menghadirkan diri ke Unit Pembangunan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Aras 1, Bangunan Wisma Negeri, Kompleks MITC, Ayer Keroh.

Pemilik rumah atau nama yang disenaraikan itu perlu membawa dokumen asal iaitu kad pengenalan, laporan polis, bil cukai taksiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang terkini (jika dikenakan cukai), bil elektrik atai air dan dokumen perjanjian jual beli rumah.

Mereka dikehendaki hadir selewat-lewatnya sebelum 15 Disember 2007 jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari atau 2.30 petang hingga 5 petang untuk pengesahan.

Talian bagi Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah : 06 2327026 / 06 2327024 / 06 2327052 / 2327114.
Berikut adalah senarai pemilik rumah yang terlibat dalam bencana banjir yang berlaku pada tahun 2006


MB PERAK LEBIH BERMARUAH DARI MB BN LAIN


Menteri Besar (MB) Perak, Tajol Rosli Ghazali jelas lebih bermaruah dari MB Barisan Nasional (BN) negeri lain.

Perkara ini dibuktikan apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) berkuat kuasa hari ini.

Beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan penyiasatan kes berjalan lebih lancar terhadap kejadian kompleks dua tingkat milik PTNP yang runtuh sama sekali di Pulau Banding, Tasik Temenggor pada 12 November lalu. Tajol juga bersedia untuk memberi jawapan kepada pihak yang membuat siasatan.

Sementara itu, Mohd. Tajol pada sidang media semalam menjelaskan, siasatan mengenai runtuhan bangunan tersebut akan menjadi lebih sukar jika beliau masih memegang jawatan Pengerusi PTNP.

Menteri Besar percaya dengan tidak lagi memegang jawatan tersebut, siasatan akan menjadi lebih telus dan beliau sendiri bersedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak ekoran kejadian itu.

Malah katanya, dengan berbuat demikian beliau juga mempunyai lebih banyak masa dan boleh memberi tumpuan untuk membuat pengawasan dan pengawalan pelbagai projek di bawah PTNP.

Mohd. Tajol memegang jawatan itu sejak PTNP ditubuhkan pada 2004 dan walaupun melepaskan jawatan, segala apa yang berlaku di Perak tetap di bawah tanggungjawabnya selaku Menteri Besar.

Kesediaan Tajol melepaskan jawatan ini jelas membuktikan beliau mempunyai maruah tidak sebagaimana MB BN negeri-negeri lain yang langsung tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa juga masalah yang melanda kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan negeri.

"Jangankan letak jawatan MB letakkan jawatan pengerusi agensi-agensi terbabit pun jauh sekali." kata Salleh seorang penyokong PAS di Taman Merdeka, Melaka.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59