Wednesday, 28 November 2007

PARLIMEN BUBAR HARI INI?


Kami menerima banyak sms yang bertanyakan samada benar parlimen akan dibubarkan pada hari ini.

Mereka mendakwa mendapat maklumat dari seorang pemimpin PAS Pusat bahawa kawannya yang bekerja di Jabatan Perdana Menteri memberitahu yang Imam Hadhari akan membubarkan parlimen hari ini. Namun sehingga sekarang pengumumannya belum dibuat lagi.

Tetapi mana tahu sekejap lagi Imam Hadhari akan umumkan. Semua boleh jadi. Tidak ada yang mustahil di zaman Islam Hadhari ini.

Tarikh parlimen dibubarkan hanya diketahui oleh Imam Al Hadhari dan Allah yang Maha Kuasa.

SAMA-SAMA KITA TUNGGU. YANG PENTING KITA MESTI TERUSKAN GERAKERJA KITA 24 JAM.


2 ADUN KERAS KEPALA TAK MAHU MINTA MAAF, KENA GANTUNG



KOTA BHARU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang kurang ajar dan keras kepala tidak mahu meminta maaf, digantung keanggotaan dalam Sidang Dewan Undangan (DUN) Kelantan selama enam bulan berkuatkuasa serta-merta.

Adun Bukit Bunga, Adhan Kechik, dan Paloh, Datuk Norzula Mat Diah, digantung sebaik dewan meluluskan usul menggantung dua wakil pembangkang DUN Kelantan itu.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, berkata penggantungan itu berdasarkan peruntukan diguna pakai di peringkat Parlimen Malaysia.

Menurutnya, usul penggantungan mereka dibuat selepas kedua-duanya enggan memohon maaf berkaitan kenyataan mereka di luar dewan kepada media yang mempertikai kedudukan Speaker, 21 November lalu.

"Jika mereka memohon maaf pada bila-bila masa dan memenuhi setiap perkara yang disyaratkan dalam usul berkenaan, penggantungan enam bulan akan ditarik balik," katanya.

Kenyataan media itu dibuat di luar dewan selepas Norzula digantung berikutan keengganannya mematuhi arahan Speaker supaya duduk ketika menuntut giliran berucap ketika sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Kelantan.

Kelmarin, Norzula juga terbabit dalam insiden MENENDANG Mohd Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran) selepas berlaku perang mulut antara mereka.

Tindakan menyepak atau menendang seorang wakil yang lain tidak pernah berlaku sejak negara ini Merdeka 50 tahun dalam mana-mana sidang dewan samada Dewan Negara, Dewan Rakyat maupun Dewan-Dewan Undangan Negeri.

Rekod ini akhirnya dipecahkan oleh Nozula Mat Diah. (Untuk rekod Nozula Mat merupakan Bekas Wakil Rakyat Semangat 46 semasa era Angkatan Perpaduan Ummah (APU)). Beliau memenangi kerusi DUN Paloh dalam Pilihanraya Umum 1990 dan 1995 atas tiket Semangat 46. Selepas melompat balik ke Umno bersama Ku Li dan memenangi kerusi DUN Paloh pada PRU 1999 dan 2004 atas tiket BN).

Kerajaan PAS perlu bertindak menyebarkan aksi biadap dan kurang ajar ADUN Umno itu, kalau beginilah jenis pemimpin mereka, bayangkan apa yang akan berlaku jika rakyat Kelantan cuba-cuba untuk memberikan mereka kuasa memimpin kerajaan negeri.

Aksi Nozula ini seharusnya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records, sebagai wakil rakyat yang pertama berhujah menggunakan kaki dan tidak mulut dan kewarasan akal. Mungkin ini adalah petanda awal hilangnya penghormatan rakyat Kelantan terhadap Umno di negeri itu dan ianya nanti pasti memudahkan tindakan untuk menguburkan sahaka Umno di negeri Serambi Mekah itu.

Gambar : Nozula Mat Diah (kanan) bersama Mohd. Adhan Kechik yang mewakili Barisan Nasional menunjukkan dokumen yang akan diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah pada sidang media di Kota Bharu, semalam.


HINDRAF DAN JIN KUNING


TULISAN MENARIK DI TERIMA MELALUI EMAIL

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan ..

Sudah lama tidak menulis, terasa sedikit gian; apatahlagi penulis yang paling aku gemari iaitu Saudara Hishamudin Rais tidak menulis dalam beberapa jangka waktu terdekat ini membuatkan aku sengaja gatal nak menulis. Buat rakan-rakan yang senantiasa sibuk; maaf aku pohon jika tulisan sedikit panjang; mungkin boleh dicetak dan baca kemudian atau simpan untuk bacaan kemudian hari.

Sayugia semalam diberi keizinan dan kelapangan oleh Allah swt untuk berdiskusi dan bertukar pandangan dengan rakan-rakan yang secara kebetulan mungkin terdiri dari anggota keselamatan dan pegawai kerajaan.

Berbual-bual berkaitan isu Hindraf 25 November (selepas ini disebut Hindraf), Bersih 10 November (selepas ini disebut Jin Kuning). Maka perbualan tersebut yang bersangkutan daripada satu isu ke isu yang lain membuatkan perbualan bermula jam 9 malam melewati jam 1 pagi.

Tujuan aku berkongsi bukan semata ingin mengutuk sesiapa tetapi mungkin dapat berkongsi pandangan terutama pandangan pegawai kerajaan dan mungkin pegawai keselamatan yang mungkin kebetulan bertugas semasa himpunan Jin Kuning dan himpunan Hindraf.

Isu pokoknya bermula tatkala rakan tersebut mempertikaikan kenapa himpunan tersebut diadakan. Dengan himpunan demikian ramai yang kemungkinan mencetuskan suasana kejadian yang tidak diingini. Bermula cerita dengan himpunan Hindraf yang kononnya untuk menuntut 4 trillion Pound dari kerajaan British untuk warganegara India yang kononnya tidak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat di bumi Malaysia nan Gemilang ini. Tetapi antara lain semasa himpunan Hindraf tersebut kata-kata oleh demontrans kononnya mengutuk Melayu dan Agama Islam.

Wallahualam, aku tidak mengetahui. Aku pun bukan faham bahasa Tamil walaupun kononnya menurut hikayat dari tok nenek aku dahulu bahawa moyang aku memanglah seorang India dari Tanah India. Moga Allah cucuri rahmat dan peliharalah roh moyang aku yang memeluk Islam dan berkahwin dengan orang sini.

Aku cuma ingin menarik perhatian rakan-rakan tentang yang aku utarakan tadi. Baik! Jika demikianlah kononnya himpunan Hindraf tersebut demikian rupa; kenapa semasa Hindraf berkumpul di Putrajaya tempoh hari; suasana aman dan terkawal. Adakah alasannya jumlah demontrans yang berbeza atau ada kemungkinan perasaan rakan-rakan kaum Hindu sudah mencapai tahap kemarahan yang kemuncak atau ada kemungkinan mereka sudah di'racuni' oleh sekumpulan manusia?

Nah, jika yang meracuni mereka tersebut adalah Saudara Anwar Ibrahim (DSAI), penasihat Keadilan maka ambillah tindakan. Kenapa harus membiarkan 'suntikan' racun tersebut berleluasa? Nah, demikian juga jika racun tersebut disuntik oleh Dato' Seri Hadi Awang; demikianlah juga tindakan wajar perlu diambil. Dan jika ada unsur-unsur keracunan itu berlaku disebabkan oleh Samy Vello, Lim Kheng Yeik, Pak Lah atau beruk-beruk di hutan bakau - silalah ambil tindakan sewajarnya.

Kenapa perlu demontrans Hindraf bertindak hingga merosakkan peralatan DBKL, hak orang awam? Itu juga perlukan siasatan! Adakah mereka ini betul-betul penyokong Hindraf atau beruk-beruk jalanan yang terselit racun atau tugas mereka memang untuk meracuni orang lain.

Maka aku membawa rentetan peristiwa tersebut dengan peristiwa di Batu Buruk, peristiwa di Melaka bilamana Polis (FRU) bertindak berundur dan menaiki trak mereka semula apabila di'gertak' dan di'protes' oleh penternak-penternak babi. Malah bukan itu sahaja, penternak babi BERJAYA membuatkan Kerajaan Malaysia memberi masa sehingga MAC 2008 untuk proses penyingkiran jumlah babi di Melaka.

Nah, isu pokok tersebut kembali kepada persoalan akarnya. POLITIK! Anggota Keselamatan walau daripada mana cawangan pun terpaksa bertunjangkan kepada ahli politik. Masalahnya ahli politik kita di Malaysia Gemilang ini tidak dapat membezakan tahap keprofesionalan mereka sebagai seorang ahli politik kepartian dan mungkin sebagai seorang penjawat jawatan dalam kerajaan. Contohnya, Pak Lah tidak dapat membezakan tugasnya sebagai seorang Presiden Umno dan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam NEgeri merangkap lagi Menteri Kewangan.

Lanjut aku membawa kepada persoalan, jika demikianlah penjawat awam seperti polis dan pendakwaraya betul-betul memainkan tugas mereka dengan adil dan saksama; bagaimana mereka boleh terlepas dengan begitu bodoh sekali. Jika Polis, Kerajaan beria-ia menyatakan Hindraf memainkan unsur perkauman kenapa sewaktu membawa 3 orang pemimpin mereka ke mahkamah mereka boleh 'terlupa' untuk menyediakan afidavit lengkap berupa teks yang merujuk ketua-ketua Hindraf tersebut melakukan hasutan dalam bahasa Tamil. Sudah pasti Cawangan Khas yang mengintip 'hujah hasutan' ketua Hindraf tersebut bukannya Inspektor Mazlan atau Chief Inspektor Haleeza mahupun SI Misai! Tentu tidak wajar yang mengintip tersebut bernama Musa Hassan! Sudah pasti namanya mereka berbunyi Chief Inspektor Subra, Detektif Maniam. Maka timbullah isu hasutan tersebut. Tentulah pihak polis faham bahasa Tamil! Nah, seolah-olah menunjukkan pihak polis sendiri 'terpaksa' mengikut arahan pihak atasan. Persoalan, prosedur mudah boleh terlepas begitu sahaja.

Maka, tersimpullah perkara ini seperti kejadian FRU berdepan dengan Babi dan penternak Babi di Melaka. Lihatlah bagaimana pemimpin Cina begitu mengambil berat hak bangsa Cina. Walaupun demikian rupa melanggar peraturan; kerajaan terpaksa 'tunduk' dan memberi 'laluan' kepada tuntutan mereka. Ini adalah kerana semasa kes tersebut, ramainya Pemimpin Cina turun padang. Bukan pemimpin DAP sahaja, malah buletin berita tv3 menyatakan ada pemimpin MCA sendiri turun padang! Dan kita lihat bagaimana Sammy Vello sendiri turun padang tatkala Kuil Haram hendak dirobohkan oleh satu majlis bandaran. Bukan cerita mulut ke mulut tetapi cerita dari buletin berita! Nah, akhirnya mereka berjaya menuntut pihak pemaju mendirikan kuil secara 'halal'.

Jadi di sini, pihak penguatkuasa undang-undang sebenarnya terikat sangat kuat dengan kuasa ahli POLITIK!

Nah, kembali kepada persoalan himpunan tadi dengan membawa masuk perihal himpunan Jin Kuning. Rakan-rakan yang bertugas sebagai anggota keselamatan dan pegawai kerajaan mempersoalkan kenapa perlu pihak-pihak Jin Kuning berbuat demikian rupa.

Teruk sangatkah 'rumah' Malaysia ini. Jika rosak sekalipun bumbung, alang, lantai, atau dinding; kenapa sampai perlu 'merobohkan' 'rumah' tersebut sampai bukan jiran sekampung sahaja yang tahu. Ini sampai jiran kampung lain pun tahu. Jadi, maksudnya kenapa perlu sampai himpunan Jin Kuning demikian rupa; memalukan Malaysia Gemilang di mata dunia.

Nah, aku suka menjawap persoalan ini. Jika demikianlah 'rumah' tersebut rosak demikian rupa, memanglah wajar dibaiki dengan cara begitu. Malangnya tidakkah kita dapat berfikir bahawa 'rumah' yang rosak itu memang bocor atapnya dan berlubang dindingnya. Maka sudah pastilah pembaikan atap dan dinding perlu dilakukan dengan segera. Malangnya, 'tuan rumah' tidak mengambil inisiatif untuk membaikinya dengan kadar segera menyebabkan hujan yang boleh dikatakan turun setiap hari sekarang, menyebabkan kerosakan sedia ada menjadi teruk. Sekarang bukan hanya atap, dinding berlubang tetapi dek kerana hujan panas, hujan panas, membuatkan pertumbuhan kulat menjadi pantas. Anai-anai pulak sudah pantas merebak. Dan 'tiang seri' rumah tersebut pun sudah di makan anai-anai. Maka penghuni rumah terpaksa 'pindah keluar' dan menuntut 'tuan rumah' membaiki rumah tersebut. Persoalannya, baiki dengan cara bagaimana? Bina rumah baru? Mungkin satu cara. Dan pembinaan tersebut WAJIB mengambil kira jumlah anak yang ada sekarang, jumlah menantu, jumlah cucu dan cicit hatta mungkin mengambil kira jumlah isteri.

Maka, jika rumah tersebut terpaksa dibini mengikut piawaian rumah Abang Z, Adun Pelabuhan Kelang; mata jiran mana tak terpandang. Jiran kampung sebelah pun mungkin akan terpandang; manakan tidak jika tingkat paling tinggi dapat dilihat nun jauhnya berkilometer.

Rakan-rakan pegawai penguatkuasa undang-undang dan kerajaan tadi tersenyum. Seorang rakan yang agak berumur bertindak menyampuk. Kenapa perlu membazir membina rumah demikian rupa. Bukan membazir! Jika kita berkemampuan seperti Abang Z, Adun Pelabuhan Kelang; apa salahnya! Apatahlagi jika pembinaan 'rumah baru' bukannya memerlukan kos mahal. Mungkin Kos keadilan dan kesaksamaan saja diperlukan. Mungkin tiada sebarang sen perlu dihabiskan cuma sekadar arahan! Mungkin, aku bukan pegawai kerajaan atau menteri kerajaan - cumanya jika untuk hak kesakmaan dan keadilan kita amat berkira tentang kos; kenapa tidak kita berkira tentang kos untuk melancarkan sesuatu projek yang nilainya berjuta-juta. Mungkin kerajaan harus bertindak menyekat kos yang tinggi mungkin dalam penyelenggaraan api air untuk Perdana Menteri termasuk kolam ikan koi. Mungkin dapat meniru sikap Khalifah Umar Ibnu Aziz yang memadamkan lampu yang dibayar oleh duit perbendaharaan tatkala anaknya masuk berbincang perihal keluarga.

Rakan-rakan tersebut seperti tidak berpuas hati lagi. Di sebalik mengembangkan perumpaan rumah tadi yang seolah-olah tidak dapat dihujah lagi; mereka membuat perumpaan sepohon pokok. Jika anda tidak mahu akan sebutir dua buah yang rosak di pohon tersebut; janganlah sampai menebang pokok. Buang sahaja buah yang rosak itu. Seorang rakan yang sedang beria-ia menubuhkan cawangan parti politik menyampuk - iya, marahkan nyamuk, bukan kelambu lagi dibakar, rumah langsung dibakarnya.

Aku tersenyum. Aku hanya menyimpulkan bahawa jika benar buah itu rosak maka wajarlah buah itu dibuang atau ranting buah itu dicantas. Tetapi kita perlu membuat penilaian. Benarkah buah itu sahaja rosak. Jika si penanam tersebut melihat pohon nangkanya yang berbuah; asal buahnya sedikit besar, buruk dan berulat. Maka dibuang. Tumbuh lagi. Kali ini disarung akan buah nangka tersebut. Namun berulat lagi. Jika puluhan kali demikian rupa, maka sudah pasti ada masalah dengan pohon nangka tersebut. Alternatif menggantikan pohon tersebut harus diambil. Itu pohon nangka!

Jika pohon tersebut pokok Pong-pong, bagaimana? Memang pohon tersebut memberi teduhan, tetapi tiada guna, bukan? Buahnya nak buat apa? Masak Lemak Cili Api pun tak boleh. Nah, jika ada alternatif untuk menukar ke pohon yang juga berfungsi memberi teduhan, di samping memberi sumber makan apa salahnya menebang pohon Pong-pong tadi dan diganti misalnya rambutan, Avokado, Mempelam dan sebagainya.

Menyampuk seorang rakan yang agak veteran; jika demikian tanaman gantinya bila orang macam abang nak tuai hasilnya. Nah, demikianlah silap kita. Jika kita hanya memikir setiap saham kita labur untuk kita tuai hasilnya; silaplah. Seperti orang tua-tua di kampung, menanam pohon tanaman bukan semata-mata untuk mereka nikmati hasilnya, malahan hasilnya mungkin untuk anak cucu mereka nanti. Hatta mungkin pahala yang mungkin tercuit sedikit tatkala burung-burung MURAI hinggap dan mencubit sedikit makan tersebut.

Kenapa pulak aku berkongsi perbualan aku dengan rakan-rakan pegawai kerajaan semalam ini dengan kalian semua? Mungkin ada yang menyampah dengan emel demikian panjang ini. Atau mungkin ada yang menyampah dengan emel dari aku yang tidak terlepas berbicara soal politik.

Sebenarnya kita terutamanya kaum Melayu harus sedar. Dan aku cuba membawa pemikiran rakan-rakan aku semalam untuk meneliti negara-negara maju contohnya Amerika, UK, dan Australia termasuklah Negara Eropah lain. Tidak dinafikan bahawa mereka ada kelebihan dan kekurangan mereka masing-masing. Namun, tidakkah kita mahu mengambil contoh kelebihan mereka untuk diadaptasikan dalam budaya kita seperti cara pemikiran?

Nah, aku bawakan soal keadilan semua pihak di negara-negara tersebut memberi dan menerima pandangan. Setiap pihak, setiap parti misalnya mendapat hak sama rata untuk memberi penerangan kepada rakyat. Dan ini membuatkan rakyat mereka mendapat maklumat daripada pelbagai sudut dan dengan cara ini membuatkan rakyat mereka kreatif dan bijak dalam membuat sebarang penilaian. Contohnya dalam pilihanraya. Mari kita lihat pilihanraya Australia yang baru 1 minggu melabuhkan tirainya. Tidakkah kita dapat berbuat demikian rupa? Acapkali menukar kerajaan yang memimpin mereka, Australia lebih maju daripada kita, bukankah?

Walaupun Presiden dan Senat Amerika Syarikat diwakili oleh parti yang berbeza, Amerika tetap di situ. Masih hidup! Masih bernyawa! Kita di Malaysia Gemilang takut dan ditakuti malah telah disuntik dengan 'racun' bahawa penukaran kerajaan akan melemahkan negara seolah-olah jika kita menukar kerajaan peta Malaysia Gemilang akan hilang! Takut seolah-olah kita akan ditelan dek Singapura misalnya. Atau mungkin di telan dek Israel.

Nah, jika kita bebas dan mengamalkan demikian rupa keadilan dan kesaksamaan memberi dan menerima maklumat; adakah perlu himpunan jin kuning demikian rupa? Mungkin tidak perlu langsung!!

Ada mahu ditimbulkan bahawa hak kesaksamaan di negara tersebut pun tidak wujud contohnya kaum kulit hitam banyak hidup merempat. Betul, mungkin betul tetapi aku tetap merasakan bahawa itu isu lain yang boleh diperbetulkan. Tetapi kita ambil mana contoh yang baik dan tinggalkan contoh yang tidak baik. Kenapa sukar?

Kita berbilang kaum dan agama. Tidak seperti negara lain. Ditimbulkan pulak oleh rakan-rakan tadi.

Ini masalahnya kita. Anda sebagai pegawai kerajaan juga bertindak dan berucap meniru-niru percakapan ahli politik tadi; yang tidak dapat membezakan dia sebagai seorang ahli politik sebuah parti dengan jawatan dia dalam kerajaan mungkin sebagai seorang menteri yang menjaga sampah sarap dan bangunan bertingkat.

Berbahaslah, berhujahlah. Jika semua mendapat hak kesaksamaan sama rata apalagi kita nak takut. Perihal keistemewaan orang melayu? Entah, aku pun tak pasti apa istemewanya menjadi seorang Melayu. Dalam Youtube sendiri penuh adegan memalukan orang Melayu dengan itu ini; termasuklah adegan dirakam anggota polis menerima rasuah walaupun diselit dibaju 'Saya Anti Rasuah'.

Namun, kesimpulan perbincangan semalam bersama teman-teman pegawai kerajaan termasuklah mereka yang bertugas semasa Himpuan Hindraf dan Jin Kuning tempoh hari menerbitkan kepada persoalan pemakanan. Pemakanan yang tidak halal menurut rakan-rakan dari kalangan pegawai kerajaan tadi; akan menerbitkan masyarakat yang huru hara.

Dan aku menambah, dengan pemakanan yang TIDAK HALAL juga menyebakan hati kita 'BENAK' (kata orang Kedah); atau dalam lain perkataan TIDAK TERBUKA untuk menerima dan menilai sesuatu perkara, sesuatu isu, menyebabkan pemikiran kita menjadi sempit dan tidak dapat berfikir mana baik dan buruknya.

Perbincangan tamat dengan ikrar rakan-rakan pegawai kerajaan tersebut untuk memberi undi dalam pilihanraya kali akan datang kepada pihak yang dapat membawa perubahan.

Cumanya .. semoga rakan-rakan pegawai kerajaan tadi dapat mengundi dan undi mereka tidak diselewengkan .. al-maklumlah .. UNDI POS.

wallahualam ..

//MATNOQ


HUKUMLAH SEMENTARA KAMU DAPAT MENGHUKUM



Hukumlah sementara kamu dapat menghukum, Kamu hanya dapat menghukum di atas dunia, tetapi ALLAH dapat menghukum kamu bila-bila masa hatta sesudah kamu mati. Itukah ungkapan yang sesuai kita tujukan kepada pemimpin yang angkuh dan mabuk kuasa.

Hukuman yang dikenakan ke atas orang yang tidak dibuktikan bersalah merupakan sesuatu yang bertentangan dengan Islam dan hak asasi manusia. Islam memberikan sepenuhnya keadilan terhadap orang yang dituduh. Si tertuduh akan diberikan kesempatan membela diri di mahkamah terbuka.

Berlainan dengan ISA akta zalim yang digunakan pakai oleh kerajaan BN sehingga ke saat ini. ISA seringkali digunakan untuk menahan tahanan politik atas alasan keselamatan negara. Namun si tahanan tidak pernah diberikan ruang untuk membela diri. Ianya merupakan suatu kezaliman yang tidak boleh dimaafkan.

Lebih malang lagi kebanyakan tahanan ISA dituduh dengan macam-macam fitnah ketika dalam tahanan. Malah mereka didera secara fizikal, seksual, mental dan sebagainya. Fakta ini diceritakan sendiri oleh bekas tahanan ISA antaranya Saari Sungip, Dr Badrul Amin Baharon dan lain-lain. Ini merupakan kezaliman yang tidak dapat dimaafkan.

Semalam, Imam Hadhari dengan angkuh berkata bahawa ISA akan digunakan sekali lagi jika ianya diperlukan. Beliau merujuk kepada 2 himpunan rakyat yang mengumpulkan puluhan malah ratusan ribu anjuran BERSIH dan HINDRAF baru-baru ini.

Imam Al Hadhari langsung tidak menunjukkan tanda-tanda menyesal mengenakan akta Zalim ISA ke atas rakyat yang tidak dibuktikan bersalah.

ISA sejak sekian lama dikritik oleh rakyat dan masyarakat antabangsa kerana kebanyakan mangsa ISA adalah tahanan politik yang ditangkap demi semata-mata untuk kepentingan politik Umno.

Antara pemimpin politik yang pernah dizalimi ISA adalah Mohd Sabu, Syed Hussin Ali, Mahfuz Omar, Suhaimi Said, Ezam Mohd Nor, Dr Badrul Amin, Saari Sungip dan ramai lagi.

Hanya satu yang ingin kita katakan, HUKUMLAH SELAGI KAMU DAPAT MENGHUKUM, KAMU HANYA DAPAT MENGHUKUM DI ATAS DUNIA SAHAJA. TAKUTLAH AKAN HUKUMAN ALLAH DI AKHIRAT.


ISTANA BARU : SIASAT KOS PROJEK SEBELUM IA DIMULAKAN - MAHFUZ



Ketua penerangannya, Mahfuz Omar berkata, PAC perlu menjalankan siasatan sebelum projek terbabit dimulakan dan bukannya selepas ia siap dibina seperti amalan sekarang.

PAC dipengerusikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad.

Menurut Mahfuz, pembinaan projek tersebut dijadual bermula Jumaat ini

"Kalau projek sudah siap, nak siasat buat apa lagi kerana ia sudah tidak berguna," katanya dalam sidang media di ibupejabat PAS di ibu negara hari ini.

Mahfuz membuat sidang tersebut bagi menjelaskan kegagalan Kementerian Kerjaraya menjawab surat PAS mengapa kos projek Istana Negara terlalu tinggi dan pemberian kontrak kepada kontraktor yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Katanya, kos pembinaan Istana Negara yang terletak di Jalan Kucing di ibu negara itu berharga RM600 juta berbanding harga asal RM400 juta.

Beliau berkata, kontraktornya iaitu Maya Maju Sdn Bhd bukan sahaja tidak mempunyai lesen Kelas A tetapi juga tidak berdaftar dengan PPK.

Pandang serius

Mahfuz yang juga bekas ketua Pemuda PAS berkata, beliau merancang untuk membuat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai penyelewengan yang berlaku dalam projek pembinaan Istana Negara itu.

"Tetapi saya lebih gembira jika kerajaan menghentikan sementara cadangan pembinaan istana tersebut sehingga badan siasatan bebas dibentuk oleh Parlimen untuk menyiasat projek tersebut," katanya.

Katanya, PAS telah dua kali menghantar surat kepada Kementerian Kerjaraya bagi mendapatkan penjelasan tetapi sehingga ini belum menerima sebarang jawapan.

Mahfuz berkata, PAS memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja membabitkan wang rakyat tetapi juga keselamatan Yang di-Pertuan Agong dan pekerja istana.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab jika berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap istana itu. Kerajaan tidak boleh mendakwa kontraktor kerana ia tidak berdaftar dengan PKK," katanya.

Mahfuz berkata, beliau telah meminta Ahli-ahli Parlimen PAS membangkitkan isu pembinaan Istana Negara itu di persidangan Dewan Rakyat.


UNDI BN KALAU MAHU MINYAK NAIK



Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Hj Bakrin Sidek berkata, rakyat negara ini yang mahu harga minyak terus dinaikkan pada masa depan perlu mengundi BN sekali lagi pada Pilihanraya akan datang.

Menurut Bakrin, BN sudah pasti akan menaikkan harga minyak sebaik sahaja mereka diberikan mandat untuk memerintah negara. Ini kerana kerajaan BN memang terkenal dengan sifatnya yang tidak menghiraukan kesengsaraan rakyat.

"Pemimpin tidak kisah samada rakyat susah atau senang, yang penting duit kerajaan dapat diselamatkan untuk buat projek, bila ada projek ada 'masyuk', kalau duit kerajaan digunakan untuk menampun subsidi minyak nanti tak ada projek lah" kata Bakrin dengan sinis.

"Sudah harga minyak naik, harga barangan akan turut naik kerana minyak naik, yang susah rakyat, menteri tidak kisah minyak free, road tax free" tambah beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil.

Bakrin juga memberikan peringatan bahawa jika rakyat tidak mahu minyak dinaikkan sewenang-wenangnya rakyat mestilah memilih PAS dan pembangkang pada pilihanraya akan datang jika tidak semua kita akan menerima padah dengan kenaikan harga minyak kelak.

Pemerhati politik rata-rata berpendapat bahawa kerajaan BN sudah pasti akan menaikkan harga minyak jika mereka terus dipilih menerajui kerajaan pada Pilihanraya Umum akan datang.

Malah Harga bahan bakar di Malaysia mungkin naik lebih daripada 20 peratus pada awal tahun depan dan sekaligus turut menaikkan kadar inflasi kepada 3.2 peratus pada tahun 2008, kata sebuah badan pemikir hari ini.

Awal tahun ini, Imam Al HAdhari, Pak Lah berkata subsidi bahan api perlu dikurangkan, satu isyarat bahawa harga bahan itu akan naik lagi walaupun negara akan mengadapi pilihanraya umum tahun depan.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, ia menjangka harga bahan bakar akan naik 30 hingga 40 sen daripada harga RM1.92 seliter sekarang.

Kadar tol lebuhraya juga dijangka naik Januari ini, selepas kadarnya dinaikkan sebanyak 60 peratus setahun lalu.

"Saya rasa ia akan dinaikkan tidak lama lagi...mungkin selepas pilihanraya bersama dengan kenaikan kadar tol. Ini adalah perubahan yang membebankan," kata Pengarah MIER Mohamed Ariff Abdul Kareem.

"Kedua-dua kenaikan tersebut 'akan meningkat kos menjalankan perniagaan dan kadar inflasi boleh mencecah 3.2 peratus tahun depan," katanya kepada pemberita.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59