Wednesday, 14 November 2007

POLIS MULA NAK 'BERSIHKAN' BERSIH. 4 ORANG PIMPINAN BERSIH DIPANGGIL MENGADAP BESOK



Kuala Lumpur : Nampaknya Polis mula hendak 'memBERSIHkan' Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) apabila empat anggota jawatankuasanya telah diminta datang ke Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan di Bukit Aman, Kuala Lumpur pagi esok.

Mereka terdiri daripada Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; Ketua Jawatankuasa Biro NGO DAP, Ronnie Liu; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Syed Azman Nawawi.

Ini jelas menunjukkan Polis mula mengaturkan gerak untuk menekan Bersih. Semua ini mungkin kerana kejayaan Bersih mengumpulkan kira-kira 100,000 rakyat dalam Himpunan Aman Sabtu lalu.

Ketika dihubungi, Liu mengesahkan telah menerima surat tersebut mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, yang membenarkan pegawai polis meminta kehadiran saksi.

“Ya, kita akan ke sana pada jam 10 pagi. Surat yang kita terima semalam tidak menyatakan apa yang mereka akan soal, tetapi kita tunggulah," katanya.

Mengikut anggota sekretariat Bersih, Medaline Chang, lapan anggota jawatankuasa gabungan tersebut telah menerima panggilan dan surat daripada polis, tetapi hanya empat orang saja yang dipanggil mengikut Seksyen 111.

“Mengiktu seksyen itu, mereka wajib menemui polis. Surat-surat yang lain tidak menyebut tentang seksyen tersebut, jadi kita percaya mereka tidak perlu hadir,” katanya ketika dihubungi.

Mereka terdiri daripada Ketua Penerangan PKR, Tian Chua (kiri); Khairul Annuar Zainuddin dan Johari Abdul, serta Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok (kanan).

Pada 3 November lalu, lapan anggota jawatankuasa Bersih itu telah dihubungi untuk disoalsiasat oleh ASP Amran Jusin berhubung laporan polis yang dibuat oleh seorang individu di Setapak mengenai status organisasi tesebut yang didakwa sebuah pertubuhan haram.

Antara mereka telah diberi notis supaya menghadiri satu mesyuarat pada 9 November. Bagaimanapun, mereka sebulat suara enggan hadir kerana sedang sibuk membuat persiapan untuk mengadakan perhimpunan Bersih pada keesokan harinya.

Kata sepakat kemudiannnya dicapai untuk anggota jawatankuasa berkenaan menghadiri soal-siasat pada 12 November, iaitu selepas perhimpunan itu diadakan, tetapi ianya ditangguhkan.

Bersih - yang dilancarkan pada November 2006 - merupakan gabungan lima parti politik dan 67 badan bukan kerajaan (NGO) yang berkempen menuntut dilakukan pembaharuan dalam sistem pilihanraya di negara ini.

Kira-kira 100,000 orang berkumpul di luar Istana Negara Sabtu lalu dan kawasan sekitar Kuala Lumpur, menuntut diadakan pilihanraya bersih dan adil.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, berhubung tuntutan tersebut dan diterima oleh pegawai istana, sebelum perhimpunan itu bersurai secara aman.


SISTEM PENDIDIKAN ISLAM HADHARI TERUS MELAHIRKAN SAMSENG, MENTERI PELAJARAN MESTI LETAK JAWATAN



KUALA LUMPUR: Satu demi satu kes melibatkan pelajar yang berperangai samseng berlaku di negara kita. Ianya seolah-olah menjadi budaya yang sedang melanda pelajar kita.

Fenomena juga membuktikan bahawa sistem pelajaran kita gagal membentuk akhlaq pelajar-pelajar. Ini juga menunjukkan bahawa Menteri Pelajaran gagal menjalankan amanahnya dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Kawasan menggesa menteri terbabit meletakkan jawatan kerana beliau gagal membendung budaya buruk ini yang semakin menular. Jangan sampai nanti ramai yang mati barulah hendak mengambil tindakan yang berkesan.

"Kita tidak mahu Menteri Pelajaran makan gaji buta, sehingga isu-isu yang melibatkan keselamatan pelajar gagal ditanganinya, jangan hanya sibuk berpolitik sehingga amanah dan tanggungjawab sebagai menteri diabaikan" jelas AJK DPP Bukit Katil, Khairuddin Ismail yang juga merupakan Ketua Lajnah Pendidikan Kawasan Bukit Katil.

Media hari ini menyiarkan berita seorang pelajar tingkatan tiga menghadapi tempoh dua jam paling getir ketika dia dibelasah bertalu-talu sekumpulan 20 pelajar senior dalam bilik asrama di sebuah sekolah berasrama penuh di Putrajaya.

Dalam kejadian 8 November lalu, Muhammad Ritzuan Roslan, 15, mendakwa dia dipanggil sekumpulan pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan kira-kira jam 1 pagi ke bilik mereka dengan alasan mahu membincangkan sesuatu.

Bagaimanapun, sejurus masuk ke bilik berkenaan, seorang daripada pelajar samseng itu mengunci pintu dan memadamkan lampu serta mengarahkannya berdiri di katil.

Muhammad Ritzuan mendakwa, pelajar senior kemudian menghampirinya dan bertanya mengenai kesalahan dilakukan dengan nada menggertak sebelum menendang kemaluannya.

"Selepas saya rebah dan terbaring di atas lantai, dia seterusnya menendang rusuk kanan sehingga menyebabkan saya sukar bernafas serta tidak bermaya.

"Tidak cukup dengan itu, dia kemudian mengheret saya ke bahagian tengah bilik sebelum hampir 20 pelajar senior lain bergilir-gilir menendang, menumbuk serta menyepak badan saya selama lebih sejam," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, semalam.

Menceritakan detik hitam itu, katanya, selepas seluruh bahagian muka dan badannya luka serta lebam yang teruk, dia kemudian diheret seorang daripada pelajar samseng terbabit ke tandas bersebelahan bilik itu sebelum dibelasah sekali lagi.

"Pada waktu itu, pelajar terbabit mencekik leher saya sebelum bertubi-tubi melepaskan tumbukan dan tendangan ke seluruh badan saya sehingga terbaring di lantai tandas.

"Selepas hampir sejam, pelajar senior terbabit beredar dari tandas dan mengarahkan beberapa rakannya memapah saya masuk ke bilik asrama di tingkat bawah," katanya.

Menurutnya, dia kemudian diugut serta diarah beberapa pelajar samseng terbabit supaya tidak mengadu kejadian berkenaan kepada sesiapa terutama ibu bapa dan guru.

Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca perselisihan faham di antara dia dan seorang pelajar senior berkenaan kira-kira seminggu sebelum itu.

"Pada waktu itu, saya yang sedang berada di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya, ditegur seorang lelaki dan bertanyakan sesuatu berkaitan pelajar terbabit sama ada mengenalinya atau tidak.

"Saya yang mengakui mengenali pelajar senior itu kemudian diberi lelaki berkenaan secebis nota mengandungi nombor telefon bimbit miliknya selain mengarahkan pelajar itu menghubunginya secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah peribadi di antara mereka," katanya.

Menurutnya, dia menyampaikan 'pesanan' itu kepada pelajar terbabit beberapa hari kemudian dan mereka berdua dikatakan mengatur satu pertemuan.

"Bagaimanapun, sejurus pulang daripada pertemuan dengan 'orang luar' itu, pelajar senior terbabit secara mengamuk dan menuduh saya yang menyebabkan berlaku perbalahan sesama mereka," katanya.

Ibu mangsa, Norsa'diah Abd Jalil, 44, berkata dia mula bimbang dan berasa sesuatu tidak kena sebaik terjaga daripada tidur beberapa jam selepas kejadian yang anaknya.

"Pada keesokan harinya ketika melawat Muhammad di asrama sempena cuti Deepavali, ternyata jangkaan saya benar apabila mendapati hampir seluruh muka dan badannya lebam dan luka teruk.

"Anak kedua saya yang pada mulanya mendakwa terjatuh sewaktu bermain ragbi akhirnya mengaku dia dipukul sekumpulan pelajar senior di asrama," katanya.

Norsa'diah yang terkejut dengan pengakuan anaknya itu kemudian segera melaporkan perkara itu kepada warden asrama dan meminta izin membawa pulang remaja berkenaan ke rumah.

"Selepas mendapat keizinan, saya dan suami membawanya ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Namun, saya malu apabila sekumpulan pelajar senior berkenaan memaki-hamun termasuk mengejek kami sekeluarga ketika membawa pulang Muhammad," katanya.

Menurutnya, dia menganggap kejadian yang berlaku terhadap anak lelakinya serius walaupun dia tidak dimasukkan ke wad.

"Saya tidak dapat menahan air mata selepas melihatnya mengerang kesakitan apabila berjalan akibat kecederaan di seluruh badannya yang bercalar termasuk lebam di mulut dan muka.

"Kejadian seumpama ini tidak sepatutnya berlaku terutama membabitkan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh. Pihak sekolah juga perlu memandang serius perkara ini supaya ia tidak terjadi kepada pelajar lain," katanya.

Menurut Norsa'diah, anaknya kini masih mengalami trauma dan sedang menjalani kaunseling oleh seorang doktor pakar di Hospital Serdang.

Katanya, dia turut menerima lebih 30 SMS daripada beberapa pelajar samseng terbabit yang memohon maaf dan meminta mereka sekeluarga melupakan semua kejadian berkenaan.

Difahamkan, seorang pelajar yang membelasah mangsa dipercayai anak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor.

Polis sudah memanggil sekumpulan 15 pelajar yang disyaki terbabit untuk diambil keterangan dan lapan daripada mereka mengaku memukul mangsa.

Usaha wartawan menghubungi pihak pengurusan sekolah berkenaan bagaimanapun tidak berhasil.


BUKTI KAMARUDDIN MD NOR BERBOHONG


KEGAGALAN PAS BANGUN KELANTAN 85 ANGGOTANYA SERTAI UMNO

PASIR PUTEH : Kegagalan Pas membangunkan Kelantan walaupun diberi mandat memerintah lebih 18 tahun lepas sehingga kini mendorong 85 anggotanya dari peti undi Kampung Dalam Ru (bohong 1) Semerak menyertai UMNO malam tadi. Mereka diketuai oleh Nawawi Yusoff, 36, bekas Setiausaha Pas kawasan (bohong 2) berkenaan dan anggota jawatankuasanya (bohong 3) Zamri Mohd Nor, 43.

“Lebih 10 tahun saya berada dalam Pas tiada apa-apa yang dapat kecuali kain pelikat sehelai (bohong 4) ,” kata Nawawi kepada pemberita selepas upacara penyerahan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh,Datuk Kamarudin Mohd Nor baru-baru ini.

Nawawi menyeru anggota Pas lain supaya mengikut jejak langkahnya bagi mencapai misi Barisan Nasional(BN) untuk menawan Kelantan pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Rakannya, Zamri pula berkata, tiada gunanya lagi beliau terus menyokong Pas (bohong 5) kerana perjuangan parti itu jelas tidak menguntungkan orang Melayu yang semakin ketinggalan dalam arus kepesatan ekonomi negara.

Semetara itu Kamarudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak berkata, dengan penyertaan mereka akan menguatkan lagi kedudukan UMNO untuk mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya lebih 600 undi pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata dalam tempoh 2004 sehingga sekarang lebih 2000 anggota Pas telah menyertai UMNO di 214 cawangan di seluruh bahagian berkenaaan yang kini keahliannya sudah mencecah 24,600.

Kamarudin yakin lebih ramai lagi anggota Pas akan menyertai UMNO menjelang pilihanraya yang mungkin diadakan pada tahun depan berdasarkan parti pembangkang itu sudah kehabisan isu di samping berlaku pergolakan dalam parti itu sendiri — (Bernama)

Bersama ini saya paparkan kenyataan media penafian berita tersebut oleh Setiausaha Majlis Tindakan Dun Semerak, Awang Ismail yang dihantarkan kepada saya.

PERKARA: Laporan Orang PAS Masuk Umno di UPU Dalam Rhu, Semerak Sebagaimana Yang Dilaporkan Oleh TV1 dan BERNAMA.

Unit Peti Undi(UPU) Dalam Rhu merupakan kawasan pertarungan di mana dalam PRU 11 lalu, PAS hanya kalah sebanyak 23 undi sahaja. UPU ini mempunyai 5 cawangan iaitu Dalam Ru Kedai Sari, Dalam Rhu Pacakan Kubur, Dalam Ru Sempadan, Dalam Rhu Cabang tiga Raja(Cawangan Yangg Terlibat) dan Telaga Papan Hulu. Mempunyai 3 orang Penghulu iaitu Zainuddin bin Awang –Penghulu Dalam Ru dan Rafandi bin Kadir- Penghulu Telaga Papan manakala Mohd Nor bin Awang adalah Ketua Cawangan Cabang Tiga Raja. Ketua UPU, Ustaz Ismail Yaacob.

Nawawi bin Yusuff adalah bekas Setiausaha PAS cawangan(BUKAN KAWASAN) Cabang 3 Raja Dalam RU Semerak. Beliau merupakan seorang ahli yang bermasalah sebelum ini. Pada tahun 2004 beliau tidak dilantik memegang apa-apa jawatan apatah lagi beliau memberi alasan “nak dok atas pagar, nak cari makan.

Ramadhan yang lalu beliau telah menaja parti keadilan Dalam Rhu bersama dengan Nik Mustafa Mohd Nor dan Zamri Mohd Nor dan beberapa orang lain. Cuba untuk melancarkan Jentera Pilihanraya Keadilan di Semerak tetapi gagal lalu cari jalan masuk UMNO. Keluarga sebelah Isteri beliau adalah PAS dan beliau sendiri berasal dari Jertih, Terengganu daripada Keluarga UMNO.

Mengenai dakwaan beliau bahawa tidak mendapat apa-apa semasa di dalam PAS kecuali kain pelikat sahaja adalah suatu pembohongan yang amat nyata kerana pihak kerajaan PAS khususnya Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah Jajahan Pasir Putih telah menyelesai dan luluskan tanah rentahan keluarga dan isteri beliau.

Manakala Zamri Mohamad Nor tidak ada apa-apa jawatan dalam parti PAS. Pada tahun 1998 Kerajaan Negeri telah meluluskan sebidang tanah kepada beliau tetapi telah dijual. Pada tahun 2004 beliau telahpun menyokong UMNO.

Hanya 5 orang sahaja yang menyerahkan borang pada malam ceramah tersebut. Mereka adalah pengundi dalam DUN Besut yang diketuai oleh Azmi yang memang penyokong UMNO tetapi belum jadi ahli UMNO.

Senarai yang selebihnya adalah nama yang diambil daripada penyokong Umno yang telah mengisi borang Takaful Merdeka(Skim Insuran yang telah dilaksanakan oleh Umno selepas Kerajaan Kelantan melaksanakan Skim Takaful Kifalah) dan sekali gus borang ahli UMNO.

Untuk makluman juga, seramai 128 orang ahli dan penyokong Umno telah menjadi ahli PAS di UPU ini selepas PRU 11 yang lalu. Usaha yang bersungguh-sungguh oleh Penyelia DUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim telah mengejutkan Umno dan sehubungan itulah mereka cuba untuk memberi gambaran bahawa Umno juga berjaya membawa masuk orang PAS ke dalam Umno.

Dan yang paling ditakuti oleh ADUN Semerak, Datuk Kamaruddin Mohd Nor ialah ura-ura beliau tidak lagi menjadi calon di DUN tersebut dalam Pru 12 nanti. Ini kerana banyak sangat yang beliau berjanji sedangkan tidak ditunaikan seperti janji beliau untuk mewujudkan kilang yang memberi peluang kerja kepada 800 orang di Semerak dalam pilihanraya yang lalu.

Apapun itulah permainan media milik Umno bila dekat dengan pilihanraya. Propaganda akan terus dimainkan dan diganda-gandakan. Ianya tiada tujuan selain untuk melemahkan sokongan kepada PAS. Begitu juga ianya tiada lain selain supaya rakyat melupakan acara “perlumbaan kenaikan harga barang” yang mula dirasai oleh rakyat. Oleh itu rakyat perlu didodoikan dengan bayang-bayang indah apa yang Umno akan buat di masa hadapan.

ntbnwordpress


SPR ADIL : HUJAH KETUA UMNO BAHAGIAN MACAM JKKK


PASIR PUTEH : Hujah Ketua Umno Pasir Puteh, Kamaruddin Mohd Nor bahawa Kerajaan Pas tidak mungkin boleh memerintah begitu lama di Kelantan sekiranya benar dakwaan para pemimpin parti itu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya, sama seperti hujah Pengerusi JKKK kampung.

Tidakkah Kamaruddin tahu bahawa sudah beberapa kali pengundi hantu di tangkap oleh ahli PAS pada Pilihanraya umum maupun Pilihanraya Kecil. Malah Mahkamah juga memutuskan terdapatnya pengundi hantu di DUN Likas, Sabah yang akhirnya menyebabkan ADUN Likas dilucutkan jawatannya beberapa tahun lalu.

Selain itu adakah Kamaruddin Mohd Nor buta atau pekak sehingga kita sedar betapa berat sebelahnya SPR sehingga membuat persempadanan kawasan pilihanraya yang tidak munasabah di mana ianya semata-mata untuk memberikan kelebihan kepada BN. Mengapa Kamaruddin buta hati, inilah akibat apabila bersama-sama duduk 'sekandang' dengan penipu dan penzalim, diri sendiri jadi buta kayu.

Malah SPR juga dilihat tidak mahu bersifat telus, adil dan demokratik apabila segala dakwaan rasuah semasa kempen pilihanraya tidak diendahkan walaupun bukti tersedia di depan mata seperti kes seorang tukang kempen BN yang ditangkap kerana cuba menyogok calon PAS pada PRU 2004. Pendek kata banyak sekali hujah dan fakta yang boleh ditulis disini yang menunjukkan dengan jelas bahawa SPR tidak telus. Kamaruddin sendiri sebenarnya mengetahui semuanya tetapi mungkin kerana untuk menjaga periuk nasi dan tamakkan kuasa beliau membutakan mata dan memekakkan telinga. Malang sungguh menjadi orang Umno.

Kamaruddin sebagai seorang yang terpelajar harus faham bahawa kalaulah tidak kerana ketidakadilan dan kerakusan SPR maka sudah tentu kerusi Kamaruddin sendiri, DUN Semerak itu pun belum tentu dimenangi oleh Kamaruddin. Bukan hanya 23 kerusi yang PAS boleh menang malah mungkin BN sendiri hanya tinggal batu nesan kalau semua adil dan telus.

Kamaruddin juga tak perlu dabik dada menyatakan bahawa 2,000 ahli PAS masuk Umno kerana ini taktik lama dan tradisi lebih-lebih dekat dengan pilihanraya umum ini. Kalau nak dikirakan bilangan orang PAS yang menyertai Umno pada setiap kali pilihanraya kita kira PAS sekarang hanya tinggal 2 orang ahli sahaja iaitu Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59