Monday, 5 November 2007

MIC SAYANGKAN KUIL, UMNO ROBOH MASJID DAN SURAU


MIC - parti komponen ketiga terbesar Barisan Nasional (BN) - tidak akan menganjurkan sebarang majlis sempena sambutan perayaan Deepavali Khamis ini.
Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, keputusan itu dibuat "sebagai tanda penghormatan MIC terhadap perasaan masyarakat India yang amat sedih dengan perobohan Kuil Sri Maha Mariamman di Shah Alam".

Kuil yang berusia lebih satu abad itu terletak di Kampung Karuppiah, Padang Jawa, Shah Alam dan dirobohkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) minggu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menasihatkan semua wakil rakyat MIC - termasuk timbalan menteri dan setiausaha Parlimen - supaya tidak menganjurkan sebarang majlis pada tahun ini.

Selain Samy sebagai menteri kabinet, MIC mempunyai tiga timbalan menteri, tiga setiausaha Parlimen serta 19 Ahli Dewan Undangan Negeri. Tujuh daripada mereka adalah Exco kerajaan negeri masing-masing.

Sudah menjadi kebiasaannya, Deepavali disambut meriah oleh semua pemimpin MIC di peringkat negeri dan pusat, dengan mengadakan majlis rumah terbuka sebagai menyambut perayaan cahaya itu.

"MIC turut sedih dengan perobohan kuil tersebut. Tindakan merobohkan kuil tersebut telah melukakan hati masyarakat India di seluruh negara," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, wakil rakyat dari MIC digalakkan menyambut Deepavali secara sederhana di kalangan ahli keluarga dan saudara mara di rumah mereka.

Katanya, beliau sendiri tidak akan mengadakan "rumah terbuka" sempena sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini.


ZAM LAYAK JADI PENGEMBALA LEMBU DAN KERBAU



















Menteri Penerangan yang kerjanya menfitnah, Zainudin Maidin atau lebih suka dijolok dengan nama Zam mahu pelajar yang menuntut di luar negara agar memiliki ketahanan diri dengan mengelakkan daripada diperalat bagi tujuan memburukkan negara sendiri.

Kata beliau lagi pelajar luar negara jangan jadi hero tanpa disedari mengkhianati negara sendiri.

Beliau berkata demikian dalam seminar Malaysiaku Gemilang: Halatuju Sepanjang 50 tahun akan datang, yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung Umno 2007. Seminar tersebut dihadiri 150 pelajar teramsuklah 66 orang yang merupakan perwakilan ke perhimpunan yang bermula hari ini.

Zam cuba memujuk pelajar-pelajar kita agar masing-masing menyerahkan sahaja hidung dan tengkuk mereka sebagaimana lembu atau kerbau untuk beliau tindik dan ikat. Nanti mudahlah beliau menarik atau menyeret binatang tersebut kemana sahaja setelah hidung dan lehernya diikat. Walau ke jurang atau gaung sekalipun beliau ditarik oleh beliau.
Umpama seorang pengembala menarik lembu atau kerbau gembalaanya. Bukan niat kami untuk menyamakan pelajar dengan lembu atau kerbau, tetapi kami ingin mengingatkan pelajar jangan jadi lembu dan kerbau yang boleh dicucuk hidung oleh Zam yang bongkak dan sombong itu.

Sepatutnya para pelajar digalakkan menimba pengalaman, aktif di luar dan sentiasa memiliki pandangan yang kritis. Pengembala Zam merasakan apa sahaja pandangan kritis dan tidak pro Umno sebagai sesuatu yang mengkhianti negara, sebagaimana tuan punya lembu dan kerbau tadi yang tidak membenarkan lembu dan kerbaunya merantau mencari makan sendiri, walaupun lapar perutnya atau dahaga tekaknya.

Kita dah 50 tahun Merdeka, malangnya pemimpin Umno bertaraf Menteri ini begitu kuno dan lapuk pemikirannya, hanya mahu para pelajar kita terdedah dan dipengaruhi propoganda dan dakyah Umno sahaja dan tidak yang lain. Para pelajar dilarang berpolitik kecuali melalui Umno sahaja, yang lain anti nasional dan buruk belaka, cuma Umno sahaja yang baik dan bersih.

Kalau begitulah pemikirannya yang jumud dan beku itu, mengapa tidak dicadangkan kerajaan haramkan sahaja parti-parti politik lain. Biar Umno sahaja yang tinggal kekal di Malaysia. Biar kita jadi negara satu parti macam Parti Kominis Cina, bukankah lebih mudah dan senang. Tak payah susah-susah mengugut dan memberi kata-dua kepada pelajar. Mereka dengan sendiri nanti akan rela mencucuk hidung mereka sendiri. Mungkin Zam boleh usulkan hal ini dalam perhimpunan partinya itu nanti.


PANEL PENYIASAT VIDEO VK LINGAM TIDAK SEHALUAN? KEMUKAKAN LAPORAN SECARA BERASINGAN



Tiga ahli panel yang menyiasat kesahihan klip video Lingam tidak akan mengemukakan laporan bersama kepada kerajaan apabila menyelesaikan tugasnya esok. Apa sudah jadi, mereka seolah-olah tidak sehaluan. Kalau macam itu tak perlulah lantik sebuah panel lebih baik, arah tiap-tiap seorang menyiasatnya secara persendirian. Jelas bahawa panel ini membazirkan duit rakyat dan hasilnya semua orang sudah boleh teka.

Sebaliknya, Pengerusi panel tersebut, Tan Sri Haidar Mohd Noor memberitahu pemberita bahawa mereka telah memutuskan untuk mengemukakan laporan secara berasingan kepada pihak sekretariat panel tersebut pada jam 3.30 petang esok.

Dua lagi anggota panel bebas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Haidar berkata, sekretariat tersebut akan menguruskan penghantaran laporan mereka kepada Jabatan Perdana Menteri - sama ada kepada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri - pada masa yang sesuai.

Sekretariat itu dianggotai oleh kakitangan dari bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana menteri.

Sebelum itu, Hadir yang juga bekas Hakim Besar Malaya, mempengerusikan mesyuarat terakhir panel tersebut selama sejam di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Mahadev dan Lee bagaimanapun terus beredar selepas mesyuarat tamat dan tidak menghadiri sidang akhbar tersebut.

Mereka bertiga dilantik menganggotai panel tersebut pada 27 September lalu dan diberi tempoh 30 hari kerja untuk menyiapkan siasatan pada 9 November ini.

Haidar enggan menjawab apabila ditanya sama ada keputusan mengemukakan laporan secara berasingan itu menunjukkan berlaku perbezaan pendapat antara mereka, tetapi mengulangi bahawa ia mengandungi "laporan masing-masing".

“Saya tidak tahu. Ia adalah laporan individu. Pihak sekretariat akan menyusun (tiga laporan itu) dan mengemukakannya (kepada kerajaan)," katanya ketika ditanya sama ada panel itu gagal mencapai kata sepakat berhubung hasil siasatannya.

Ditanya sama ada beliau berpuashati dengan siasatan yang dijalankan dan hasilnya, Haidar menjawab: “Apa yang anda maksudkan dengan 'puashati'? Jika kerajaan memutuskan untuk mengumumkan laporan tersebut, anda bacalah".

Panel tersebut sebelum ini berkata, ia tidak akan mengumumkan hasil siasatannya, tetapi menyerahkan kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada mahu berbuat demikian atau tidak.

Haidar juga berkata, panel tersebut akan mengeluarkan satu kenyataan esok selepas menyerahkan laporan-laporan berkenaan kepada pihak sekretariat, di hotel yang sama, dan pihaknya tidak bersedia untuk membuat komen tambahan kepada pihak media.

Haidar kelihatan agak keberatan untuk menjawab soalan wartawan dan sesi berakhir dalam tempoh tiga minit. Tidak ramai wartawan yang hadir kerana pihak media tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai mesyuarat hari ini.

Mesyuarat di luar Suhakam

Mesyuarat panel itu hari ini adalah yang ketiga dan yang terakhir. Untuk pertamakalinya, mesyuarat panel itu tidak diadakan di ibupejabat Suhakam, yang menyediakan pejabat mereka.

Dua mesyuaratnya sebelum ini menyaksikan kemunculan kumpulan yang menuntut supaya panel itu dibubarkan dan mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video tersebut.

Klip video selama lapan minit itu, yang didedahkan oleh PKR pada 19 September lalu, menunjukkan perbualan telefon peguam kanan Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara sehinggalah bersara pada 31 Oktober lalu), mengenai pelantikan hakim-hakim.

Ahmad Fairuz telah menafikan kaitannya dengan perbualan telefon tersebut melalui seorang menteri, manakala Lingam sehingga ini masih berdiam diri walaupun cuba dihubungi oleh pihak media untuk mendapatkan komennya.

Tiada seorang saksi pun yang tampil memberi keterangan kepada panel tersebut, kecuali dua pakar forensik digital dari sebuah agensi kerajaan yang dipanggil untuk membantunya.

Panel tersebut juga menjadi sasaran kritikan kerana kekurangan kuasa untuk menyiasat kontroversi tersebut kerana bidangkuasa hanyalah untuk menyiasat kesahihan klip video berkenaan.

Kerajaan mengumumkan penubuhan panel itu sehari sebelum 2,000 peguam berarak sejauh 3.5km di Putrajaya, menuntut supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.


MEDAN MEMBODEK, 'MENJILAT', MENYOGOK DAN MENJOLOK BERMULA



Kehadiran seramai 2,522 orang perwakilan Umno di Kuala Lumpur pastinya bukan setakat untuk menghadiri perhimpunan agung parti, mulai malam ini hinggalah Jumaat depan, malahnya akan menjadi membodek, menjilat, menyogok dan menjolok dengan lebih hebat dan agresif.

Barua-barua dan 'campaign manager' pemimpin yang tidak bermaruah dalam Umno akan menggunakan apa sahaja senjata untuk memenangkan boss mereka,walaupun ramai di kalangan mereka tidak layak untuk memimpin kerana pelbagai masalah laur dan dalam yang hanya diketahui secara tepat oleh Allah S.W.T

Kehadiran perwakilan itu amat dinanti-nantikan oleh barisan kepimpinan Umno, khususnya di peringkat tertinggi, kerana pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya umum akan datang.

Dengan jangkaan pilihanraya umum akan diadakan awal tahun depan, maka pemilihan pucuk pimpinan Umno pula dijangka diadakan hujung tahun depan. Pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun ini tetapi ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum akan datang.

Perlembagaan Umno membenarkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan mulai perhimpunan kali ini. Ini bermakan Umno mempunyai sehingga awal 2009 untuk mengadakan pemilihan parti.

Bagaimanapun, seperti kebiasaannya, pemilihan Umno akan diadakan dalam perhimpunan yang akan datang, iaitu hujung tahun depan.

Oleh itu, ketika perhimpunan kali ini membahaskan isu-isu parti dan isu negara, di sebalik tabir pula, akan berlangsung kempen meraihkan sokongan daripada para perwakilan sebagai persedian menghadapi pemilihan Umno nanti. Sudah tentu wang merupakan senjata utama Barua-barua ini.

Macam-macam cara akan digunakan. Antaranya sponsor hotel, belanja makan di Hotel mewah, janji untuk melancong, janji untuk bagi projek, peluang perniagaan dan seribu satu macam sogokan yang sudah tentu membeliakkan mata para perwakilan yang juga sesetengah amat 'lapar' untuk membaham habuan tersebut walaupun ianya jelas berlawanan dengan agama dan etika demokrasi.

Mintalah apa sahaja sudah tentu ianya akan dipertimbangkan malah mungkin ianya boleh diluluskan on the spot, sebab semuanya di tangan Umno. Undang-undang letak tepi.

Sibuk 'luar dalam'

Oleh itu, pemerhati politik menjangkakan, perhimpunan kali ini akan sibuk 'luar dalam' bagi para pemimpin dan perwakilan Umno.

Menurut mereka, yang di dalam akan sibuk mendengar perbahasan, manakala yang di luar pula akan sibuk mengatur strategi masing-masing untuk meraihkan sokongan bagi 'bos-bos' masing-masing bagi menghadapi pemilihan parti akan datang.

Seorang pemerhati politik menjangka para perwakilan dari negeri-negeri yang ramai bilangan perwakilannya, berdasarkan kepada jumlah bahagian masing-masing, akan menjadi tumpuan para tukang kempen.

Setiap bahagian menghantar sebelas perwakilan. Antara negeri yang ramai jumlah bahagiannya ialah Johor (26 bahagian), Sabah (25), Perak (24), Selangor (22), Kedah (15), Kelantan (14), Pulau Pinang (14) dan Wilayah Persekutuan (13).

Pastinya 'orang' naib-naib presiden Umno - Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri) dan Tan Sri Muhyiddin Yasin (kanan) - serta ahli Majlis Tertinggi Umno - perlu bekerja keras sepanjang empat hari perhimpunan agung Umno kali ini untuk mendapatkan sokongan maksimum dari para perwakilan.

Sehubungan itu, ada pihak yang berpendapat bahawa perhimpunan kali ini juga merupakan masa yang terbaik untuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk melancarkan kempennya bagi merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno yang akan datang.

Hishamuddin dilihat akan mendapatkan sokongan sepupunya Najib, bagi menguatkan kedudukan Najib untuk menentang Pak Lah. Khairy juga secara tidak langsung mahukan Hishamuddin bertanding jawatan Naib Presiden untuk memberinya laluan menjadi Ketua Permuda Umno dan seterusnya mengidamkan jawatan menteri bagi menjadikan perancangan lebih mudah di capai.


DOKTOR DAJAL


KUALA LUMPUR: Doktor tanggungjawabnya berusaha mengubati dan mengurangkan penyakit seseorang. Tetapi ada juga doktor yang boleh disifatkan dajal pemusnah masa depan anak muda sehingga sanggup berniaga barangan yang membinasakan seseorang. Apa yang penting bagi doktor ini ialah 'fulus'.

Ini mungkin disebabkan semua orang termasuk doktor diajar oleh Islam Hadhari supaya menjadi kaya dan mendapat duit banyak tetapi tidak diajar bagaimana menjadi kaya dengan hasil yang HALAL dan diredhai ALLAH S.W.T.


Harian Metrok menyiarkan cerita di bawah :-

Seorang doktor klinik swasta di Seremban dikesan mencampurkan cecair ubat batuk dengan dua pil psikotropik bagi pesakit kanser dan jiwa untuk menghasilkan ‘resipi lalok’ paling mudah dan cepat bagi penagih dadah dan pelajar.

Campuran itu yang dianggap ringkas di kalangan penagih dadah hanya memerlukan mereka memasukkan sebutir pil dihidrokodein dan diazepam dalam botol kecil ubat batuk dekstrometorfan sebelum digoncang berulang kali sehingga larut.

Kaedah itu yang mengambil masa antara dua hingga tiga minit apabila diminum membuatkan penagih khayal sepanjang hari.

Difahamkan, pil dihidrokodein digunakan sebagai ubat penahan sakit kepada pesakit kanser manakala pil diazepam digunakan untuk mengatasi masalah sakit jiwa atau sukar tidur.

Kegiatan licik doktor terbabit terbongkar selepas sepasukan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi dibantu anggota polis Bahagian Narkotik Negeri Sembilan melakukan serbuan di kliniknya di Seremban, semalam.

Sumber Farmasi berkata, hasil maklumat orang ramai, pihaknya melakukan intipan bagi memastikan modus operandi doktor terbabit.

Katanya, berdasarkan tinjauan, pelajar dan penagih dadah yang ingin mendapatkan cecair khayal itu berpusu-pusu mendapatkan bekalan di klinik terbabit antara jam 3 petang hingga 10 malam.

“Penagih atau pelajar terbabit biasanya tidak perlu berjumpa doktor di bilik rawatan, sebaliknya hanya diminta menyerahkan wang di kaunter sebelum seorang pembantu klinik menyerahkan dua biji pil dan ubat batuk.

“Penagih terbabit keluar dari klinik dan membuka penutup botol ubat batuk itu sebelum memasukkan dua pil terbabit ke dalamnya,” katanya.

Menurutnya, botol ubat batuk itu digoncang sebelum diminum serta-merta di luar klinik terbabit.

“Sebaik membuang botol kosong itu ke kaki lima klinik, pelajar atau penagih yang mula khayal akan beredar,” katanya.

Menurutnya, kegiatan itu amat dikesalkan kerana klinik terbabit seolah-olah menjadi pusat pengedaran dadah berlesen kepada golongan bermasalah.

Dalam serbuan berkenaan, doktor berusia 40-an terbabit ditahan untuk disoal siasat.

“Hasil pemeriksaan mendapati dia menggunakan stor tersembunyi di belakang kliniknya sebagai lokasi untuk menyembunyikan pelbagai ubat khayal psikotropik selain puluhan ubat batuk.

“Sebanyak 85,000 pil diazepam dan 27,000 pil dihidrokodein dan lebih 50 botol ubat batuk dekstrometorfan dirampas,” katanya.

Siasatan mendapati pil dihidrokodein dijual pada harga RM2.50 sebiji dan pil diazepam dijual pada harga RM1 sebiji kepada penagih dadah.

“Namun, dua pil berlainan jenis itu dijual secara pakej bersama ubat batuk pada harga RM20. Difahamkan, pil dihidrokodein digunakan sebagai ubat penahan sakit kepada pesakit kanser manakala pil diazepam digunakan untuk mengatasi masalah sakit jiwa atau sukar tidur.

“Ketika ditanya berhubung penemuan botol ubat batuk yang berselerakan di luar klinik, doktor terbabit memberi alasan hanya membekal ubat khayal itu tanpa mahu mengambil risiko membancuhnya sendiri,” katanya.

Doktor terbabit, kata sumber itu, didapati tidak serik melakukan kegiatan sama walaupun pernah ditahan pihak berkuasa sebanyak empat kali.

“Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman iaitu RM10,000 atau empat tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Difahamkan sepanjang operasi itu, lebih 10 penagih dadah datang ke klinik terbabit untuk mendapatkan bekalan diberkas sebelum dibawa ke balai polis berhampiran untuk melakukan ujian air kencing.


KES BEKAS ADUN SG RAMBAI : SATU LAGI CERITA HINDUSTAN


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani menjelaskan bahawa beliau tidak pernah meminta sumbangan dari seorang pemaju untuk menyokong kelulusan bagi permohonan mendapatkan tanah seluas 30.71 ekar di Mukim Merlimau, Jasin untuk projek perumahan.

Sebaliknya, tegas beliau, pemaju tersebut - Lui Tong Lam, 44 - melalui syarikatnya Asas Fleksi Sdn Bhd, yang secara sukarela menyumbangkan RM130,000 untuk mengisi tabung Umno Melaka dan Umno bahagian Jasin pada tahun 2003.


Itulah pengakuan lucu bekas ADUN Sg Rambai itu yang seolah-olah membuat kenyataan di hadapan budak-budak tadika. Kenyataan beliau itu seolah-olah ingin memperbodohkan kita semua.Kenyataan itu juga sama juga dengan sebuah episod dalam filem hindustan bollywood.

Beliau membuat kenyataan itu setelah tersepit disebabkan satu laporan polis yang dibuat pada 30 Oktober lalu oleh Lui Tong Lam yang mendakwa telah menyumbang RM130,000 termasuk RM50,000 untuk tabung politik Umno bahagian Jasin berhubung permohonan tanah di atas.

Seterusnya Aziz mendakwa bahawa beliau dan Umno bahagian Jasin tidak pernah meminta derma atau sumbangan dari Lui, tetapi sebaliknya Lui yang beriya-iya mahu berbuat demikian.

Mana mungkin seorang ahli perniagaan sebodoh itu memberi hadiah secara sukarela jika tidak ada apa-apa keuntungan secara langsung atau tidak langsung kepada perniagaanya. Sudah tentu Lui sanggup mengeluarkan RM130,000 semata-mata kerana ada habuan besar sebagai pulangan.

Tidak perlu Aziz bermain silap mata dan memberi seribu alasan kerana semua orang tahu bahawa pemimpin Umno sebahagian besarnya memang kaki 'ngap' samada secara 'direct atau ' indirect'..


SURAT KEPADA SI ZALIM IMAM AL BADAWI WAL HADHARI


Kepada

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia

Assalamualaikum wrt wbt

Buku ISA 'Ia Sah Aniaya'

"Gerakan Mansuhkan ISA mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri 1428 H. Sempena Aidilfitri ingin kami mengingatkan Dato' Seri bahawa mengekalkan undang-undang ISA iaitu menahan seseorang tanpa bicara adalah berdosa dan mencabul hak asasi manusia.

"Allah berfirman: "Tidak ada jalan atas orang yang menzalimi manusia dan membuat kerosakan di bumi dengan tidak benar, kecuali bagi mereka azab yang pedih." (Asy-Syura: 42)

"SUHAKAM atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 2003 telah membuat kajian mengenai kezaliman ISA dan memutuskan agar kerajaan memansuhkan ISA.

"Untuk menegaskan lagi perjuangan menuntut ISA dimansuhkan, GMI mengirimkan buku 'Ia Sah Aniaya' terbitan GMI kepada Dato' Seri. Ia adalah testimoni kezaliman, penyeksaan dan penganiayaan yang berlaku di bawah ISA.

"Kami harap Dato' Seri membacanya dengan teliti dan seterusnya bertindak supaya kerajaan tidak terus membisu tentang tuntutan rakyat yang mahukan undang-undang zalim ini dihapuskan."

Di sebalik setiap penahanan ISA yang ditandatangani oleh Abdullah adalah penganiayaan terhadap isteri dan anak-anak kepada tahanan. Begitu banyak kisah sedih, pahit dan menggerunkan yang tidak diketahui umum.

Jika ada satu mahkamah yang boleh membicarakan 'dosa' yang ditanggung oleh Abdullah terhadap keluarga tahanan ISA, adakah hukuman yang setimpal dengan 'dosa' yang beliau lakukan dengan hanya menandatangani setiap penahanan ISA?

Untuk kali ini saya ingin menceritakan kisah sedih yang berlaku terhadap isteri tahanan ISA yang berlaku pada 14 Disember 2002. Saya tidak dapat menahan sedih mendengar kisah isteri tersebut apabila dia menceritakan kepada saya. Untuk tidak membebankan beliau lagi, saya hanya menggunakan nama samaran untuk wanita ini.

Masa suami Rosnah ditahan mereka sedang nyenyak tidur, maklumlah jam pukul 4.30 pagi. Pada ketika itu, mereka terdengar bunyi bising dari luar rumah dan membuatkan mereka terjaga dari tidur.

Rosnah sangka beliau bermimpi. Apabila dilihat di luar rumah rupanya antara empat atau lima buah kereta berada di sekeliling rumah mereka. Mereka terkejut akan kedatangan orang-orang yang tidak dikenali.

Rupa-rupanya SB datang ala-samseng, tidak memberi salam dan terus menggoncang pagar besi rumah mereka. Kuat dan ganasnya tindakan mereka sehingga mengejutkan semua jiran mereka yang berhampiran.

Suami Rosnah terus bangun dan turun membuka pintu. Rosnah tidak mengetahui apa-apa kerana beliau masih di tingkat atas rumah. SB mula menggeledah semua bilik dan semua barang dalam setor diselongkar. Tapi tiada satu pun barang yang diambil.

Pukul 6 pagi azan subuh pun berkumandang dari masjid. SB pun terus menggari tangan suami Rosnah. Suami Rosnah meminta agar beliau dibenarkan solat subuh dahulu tetapi SB samseng tersebut tidak membenarkan dan terus membawanya pergi dengan mengambil empat buah buku bank suaminya, satu kepunyaan Rosnah dan dua telefon bimbit.

Begitulah adegan ganas SB menangkap seorang tahanan ISA.

Tinggallah Rosnah dalam keadaan trauma dan ketakutan bersama 4 orang anak berumur 10 tahun, 9 tahun, 6 tahun dan 5 tahun. Rosnah sedang mengandung 7 bulan. Rumah beliau ditinggalkan dalam keadaan amat berselerak seperti setelah dimasuki perompak. Barang-barang bertaburan di merata ruang rumah.

Suami dibawa entah ke mana. Setelah seminggu suami Rosnah diculik, Rosnah menghadapi tekanan yang tidak dapat dibayangkan. Beliau membuat pemeriksaan kandungan. Doktor mengesahkan bayi kandungan beliau telah meninggal dunia dalam rahim.

Rosnah terpaksa memandu kereta bersendirian ke hospital untuk melahirkan anak yang sudah tidak bernyawa. Sepanjang penahanan suaminya, beliau terpaksa menanggung penderitaan anak-anak sakit hingga dimasukkan ke hospital dan beliau pula mendapat penyakit ketumbuhan di dalam rahim, buah pinggang dan batu karang.

Rosnah terpaksa menanggung beban pengurusan perniagaan suaminya agar mereka terus dapat hidup walaupun ditinggalkan suami yang entah bila akan bebas.

Alangkah kejamnya ISA menganiaya insan yang tidak bersalah. Adakah Datin Seri Jeanne Abdullah sedar akan penganiayaan ini?

Adakah Jeanne Abdullah sedar 'berdosa' suami Jeannelah yang membawa kesengsaraan kepada ratusan malah ribuan mangsa tahanan ISA?

Harakahdaily.


MAT SABU BAKAR SEMANGAT RAKYAT MELAKA UNTUK SERTAI HIMPUNAN RAKYAT



Permatang Pasir : Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu ‘turun padang’ mempromosi himpunan 100,000 rakyat pada 10 November ini di Melaka Jumaat lalu.

Haji Mohd Sabu yang berceramah di Surau Hj Ali dekat sini, memakai 'baju T' berwarna kuning berlogo ‘Bersih’ sebagai promosi kepada Himpunan Rakyat 10 November ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dalam ceramahnya beliau sekali lagi menegaskan, pimpinan tertinggi PAS telah memutuskan untuk menyertai Pilihan raya sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951 lagi, tetapi malangnya ‘demokrasi’ di negara kita telah mati dan yang paling ‘teruk’ iaitu dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004 lalu.

Katanya, dalam pilihan raya itu semua jentera kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan telah diperalatkan oleh Umno/Barisan Nasional dan hasilnya BN telah memperolehi kemenangan besar.

Tegasnya ekoran daripada itu pimpinan PAS telah memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membersihkan sistem demokrasi dan bersama 64 pertubuhan termasuk NGO serta parti-parti politik pembangkang ditubuhkanlah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau singkatanya ‘Bersih’.

PAS kata beliau, mempunyai dua wakil di dalam bersih, iaitu Dr Syed Azman Nawawi dan Dr Zulkifli Ahmad. Bersih sebagai sebuah NGO yang dianggotai oleh semua lapisan rakyat menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendesakan kepada kerajaan supaya mengujudkan sistem demokrasi tulen di negara ini.

Empat tuntutan utama bersih ialah Menghapuskan Undi Pos, Mencelup / menandakan jari pengundi yang selesai membuang undi dengan dakwat , membersihkan daftar pemilih dan membebaskan media.

“Dari empat tuntutan utama Besih itu hanya satu yang diterima oleh kerajaan iaitu pengunaan dakwat sebagai penanda kepada pengundi yang sudah selesai membuang undi.

Menuntutnya kebebasan media cetak dan eletronik adalah antara perkara asas didalam sistem demokrasi tetapi dinegara ini kesemua media utama dikuasai oleh Umno/BN.

Justeru rakyat tidak dibekalkan dengan maklumat secukupnya bagi membolehkan mereka membuat penilaian sewajarnya terhadap parti politik yang menyertai pilihan raya.

“Negera kita jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand dari segi bebasan media ini,” ujarnya.

Ceramah tersebut telah mendapatkan sambutan yang menggalakkan dari rakyat negeri Melaka yang dahagakan maklumat alternatif lebih-lebih mereka ingin tahu perkembangan tentang Himpunan 100,000 rakyat yang dijadualkan pada 10 November ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59