Monday, 22 October 2007

ALI RUSTAM BARU LEPAS RAMADHAN DAH BUAT ONAR


BANDARAYA MELAKA : Bagai harimau terlepas dari sangkar melompat ke sana ke mari dan bebas melakukan apa sahaja. Mungkin itulah perumpamaan yang sesuai diberikan kepada Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri yang menganjurkan pertandingan karaoke yang diadakan di Bazar Melaka 24 Jam baru-baru ini.

Mungkin Bahagian Sahabat Belia ini begitu GIAN untuk menganjurkan program yang melalaikan seperti ini dalam bulan Ramadhan maka dengan sepantas kilat sebaik sahaja Ramadhan berakhir mereka mengadakan program karaoke yang sudah pasti melibatkan percampuran lelaki dan perempuan yang melalaikan belia.

Apakah Ali Rustam selaku Ketua Menteri tidak mempunyai idea lain yang lebih bermanfaat bagi membina minda dan akhlaq belia. Apakah program seperti ini dapat membina akhlaq dan melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Selain itu program ini juga membuang masa para belia malah ianya juga menggalakkan belia berangan-angan untuk menjadi popular seperti artis-artis tempatan. Malah duit rakyat juga dibazirkan bagi menjalankan program ini.

Malah pertandingan yang berlarutan selama 24 jam sudah tentu menggalakkan muda-muda lelaki dan wanita berdua-duan tanpa mengira waktu.

Nampaknya gejala sosial dan maksiat yang semakin parah dan membarah di negeri ini sedikitpun tidak menyedarkan Ali Rustam apabila terus menggalakkan program seperti ini diadakan.

MASYA ALLAH.


MASJID TANAH KOMUNITI TERBILANG. INDAH KHABAR DARI RUPA


MASJID TANAH : 'Masjid Tanah Komuniti Terbilang' itulah slogan yang diberi kepada Parlimen Masjid Tanah oleh Ahli Parlimennya, Abu Seman Yusop. Kenyataan Abu Seman ini di buat pada sidang media semasa majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Masjid Tanah yang dipetik dari sebuah akhbar harian tempatan baru-baru ini.

Slogan itu sebenarnya hanyalah slogan untuk menyedapkan telinga mendengarnya. Hakikatnya jauh tersasar dari slogan tersebut.

Dakwaan Abu Seman bahawa slogan itu berjaya membawa banyak perubahan dalam Parlimen Masjid Tanah selaras dengan misinya di mana meletakan Parlimen Masjid Tanah sebagai pusat pembangunan modal insan yang terkemuka di Negeri Melaka merupakan slogan 'masuk bakul angkat sendiri'.

Pekan Masjid Tanah sendiri masih jauh ketinggalan. Tinjauan kami mendapati masih terdapat banyak kedai papan yang dibina puluhan tahun dahulu. Kedai papan malah telah usang dan tidak sepatutnya ujud lagi pada era tahun 2000 keatas ini. Kedai-kedai hanya layak ujud pada tahun 50-an atau 60-an sahaja.

Manakala di kampung-kampung pedalaman seperti di Berisu, Lubuk Cina, Kuala Sungai Baru masih terdapat rakyat miskin yang memerlukan bantuan dari kerajaan. Malah pendedahan sebuah akhbar harian baru-baru ini bahawa Kampung Kubang Badak di Lubuk Cina mempunyai jalan rosak dan berlubang di sana-sini; dipenuhi semak samun dan belukar;ramai warga emas yang tidak tahu membaca serta tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat membuktikan kenyataan Abu Seman hanyalah omongan kosong sahaja. Malah masih banyak kampung di kawasan itu yang masih ketinggalan dari arus pembangunan.

Di samping itu Abu Seman juga berkata slogan itu juga mengutamakan ilmu bagi melahirkan masyarakat yang berpendidikan dan berwawasan terutama dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah khususnya dan Malaysia amnya.

"Apakah benar apa yang diperkatakan oleh beliau itu, atau beliau hanya cuba nak naikkan namanya terutama pada musim menjelang pilihanraya umum ini" tanya Imran Abdul Rahman seorang aktivis masyarakat yang ditemui di sini baru-baru ini.

"Isu babi pun belum selesai 100% lagi, nak cerita pasal komuniti terbilang. Yang terbilangnya bukan komuniti tetapi pimpinan Umno dan kroni-kroni mereka" kata Imran yang juga merupakan Pengerusi Jentera Pilihanraya Parlimen Masjid Tanah.

Pemerhari politik di negeri ini mendakwa bahawa Abu Seman sekarang ini sedang sibuk untuk melobi bagi mendapatkan kerusi Ketua Menteri Melaka selepas Pilihanraya Umum akan datang. Ini kerana Ali Rustam dikatakan berminat untuk beralih untuk menduduki kerusi Menteri Pusat. Antara kempen yang dijalankan ialah mencari publisiti dengan isu babi dengan menggambarkan bahawa Ali Rustam gagal menanganinya.

Selain itu slogan 'Masjid Tanah Komuniti Terbilang' ini juga dilihat merupakan antara kempen untuk menaikkan namanya.


KISAH VIDEO KLIP VK LINGGAM : CERITA HINDUSTAN EDISI KETIGA


Filem Hindustan Sensasi Edisi 3 sedang dalam proses 'shooting' sekarang. Filem pertama iaitu Kisah Anwar meliwat dulu begitu berjaya sehingga Anwar dipecat dan disabitkan kesalahan di Mahkamah. Filem kedua kisah pembunuhan Altantuya masih diperingkat 'shooting' juga.

Belum habis 'shooting' Filem Hindustan Edisi 2 habis, timbul pula filem sensasi Edisi 3 iaitu Video Klip VK Lingam. Kini Filem ini memaparkan bagaiman si pelapor akan dikenakan tindakan manakala si pelaku rasuah atau 'MALAUN' dalam dalam Video Klip dan orang-orang yang disebut namanya dalam Video Klip bebas 'bergentayangan' melata di atas bumi. Inilah Filem Hindustan Edisi terbaru versi Malaysia.

Kisahnya begini.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz, dilaporkan sebagai berkata bahawa Panel Khas yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat kesahihan video VK Lingam akan memutuskan bahawa tidak ada kes untuk dibawa sekiranya tidak ada pihak yang mahu tampil ke hadapan membantu penyiasatannya.

Dan hari ini akhbar tempatan melaporkan bahawa Ketua Pengarah BPR memberi kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu beliau samada tampil ke hadapan menyerahkan keseluruhan video asal VK Lingam itu ataupun menerima padahkerana pihaknya akan menggunakan Seksyen 22 Akta Pencegahan Rasuah terhadap beliau. Seksyen tersebut adalah mengenai keenganan mana-mana individu menyerahkan bukti setelah diperintahkan oleh pihak BPR.

Anehnya si dajal yang didedahkan dalam perbualan video itu bebas kesana kemari sedangkan pihak yang membuat pendedahan pula diligan dan diancam. Beginikah tindakan kita yang kononnya mahu memiliki mentaliti dunia pertama?

Dato Seri Anwar telah menegaskan berkali-kali bahawa video yang asal termasuklah siperakamnya sendiri bersedia tampil ke hadapan memberi keterangan dengan syarat kerajaan menubuhkan sebuah badan penyiasat bertaraf Suruhanjaya Di Raja. Berdasarkan kenyataan Nazri dan perkembangan terbaru ini, memang sukar untuk kita diyakinkan bahawa pemerkosaan ke atas badan kehakiman sebagaimana yang didedahkan oleh rakaman video itu akan benar-benar terbongkar. Maka semakin gelaplah nasib dan masadepan bahadan kehakiman kita.


Artikel Oleh: Roslan SMS.


CERITA ANJING


Anjing sahut seruan azan subuh

Oleh : Rozmal Malakan

Pada subuh Jumaat 14 Sep, 2007 bersamaan 2 Ramadhan 1428 Hijrah di surau Alamanda, Senawang terdapat beberapa ekor anjing liar sedang lepak di padang bersebelahan dengan surau tersebut.

Ketika muazzin sedang melaungkan azan, saya kedengaran salah seekor anjing tersebut menyalak dalam nada yang berlainan. Setiap kali muazzin menghabiskan satu lafaz azan, anjing tadi akan menyahut dengan nada yang ganjil.


Bukan nada salakan ketika bulan purnama, bukan nada salakan anjing yang nampak penceroboh, bukan nada salakan anjing sedang memikat, bukan nada salakan anjing yang sedang bergaduh. Dan lebih menariknya bila lafaz azan yang ada kalimah Allah, anjing tadi akan menyalak dengan salakan yang lebih panjang dan lebih sayup.

Memang setiap makhluk di muka bumi ini sentiasa berzikir, memuji kebesaran Allah swt, kecuali manusia yang ingkar. Kalau anjing pun sahut seruan azan, takkan orang Islam tak nak sahut seruan azan, lebih-lebih lagi azan subuh.

Kebelakangan ini memang terdapat banyak anjing di taman ini. Dan mereka ini setakat ini tidak mengganggu penduduk, cuma menyelongkar tong sampah yang tidak ditutup rapat. Walaupun aduan telah dibuat kepada majlis perbandaran untuk mengawal anjing-anjing yang berkeliaran, kita tidaklah mahu anjing tersebut dibunuh atau diseksa. Walaupun anjing untuk kita mazhab Syafie ini adalah merupakan najis mughallazah (berat), tidaklah patut untuk kita menghina dan menganiaya anjing kerana mereka ini makhluk Allah.

Malah anjing ada disebutkan dalam Kisah Ashabul Kahfi di dalam Al Quran, dimana anjing dalam cerita pemuda-pemuda Islam yang melarikan diri dari pemerintah yang zalim dan kejam telah menjadi sahabat setia pemuda-pemuda tersebut. Begitu juga kisah zaman silam bagaimana seorang perempuan pelacur yang hanya membantu memberikan air kepada seekor anjing yang sangat dahaga telah bertaubat dan dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Kalau binatang seperti anjing pun kita disuruh melayaninya dengan penuh kasih sayang, apatah lagi manusia yang datang dari bapa yang sama iaitu Nabi Adam, manusia yang seagama dengan kita, manusia yang sebangsa dengan kita, manusia yang senegeri dengan kita, manusia yang sekampung dengan kita.

Sempena Ramadhan ini, pereratkanlah persaudaraan dan kasih sayang sesama manusia. Jauhilah sikap hasad dengki, zalim menzalimi, dendam berdendam, tamak haloba sehingga menidakkan kepentingan orang ramai.

Salam Ramadhan Al Mubarak dan Idul Fitri.


KOMEN TENTANG 'ANGKASAWAN' NEGARA


Catatan ini kami terima daripada Saudara MatNoq tentang 'angkasawan' negara ......


Syukur kehadrat Allah swt kerana segala doa yang
dipanjatkan dimakbulkan dengan keberangkatan pulang
angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor
Sheikh Mustapha dengan selamatnya.

Walaupun ada pihak mempertikai e-mail aku sebelum
pelancaran dahulu (sebenarnya mereka tidak memahami
hasrat aku - aku cuma ingin membuka minda kalian
kenapa NASA tidak mahu iktiraf dan ROSKOMOS mahu
iktiraf). Dan pemikiran ini sebenarnya masih lagi
tergantung kerana dalam pelancaran pulang ROSKOMOS
masih menyatakan Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh
Mustapha sebagai flight participant; sepatutnya
sebagai 'Rakan Kongsi' mereka perlu 'menjaga hati'
terutamanya apabila Dato' Seri Najib dan Puan Seri
Rosmah Mansor berada di sana menyambut keberangkatan
pulang Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Tahniah kepada Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh
Mustapha; aku sepanjang raya tahun ini memang
mengadap saluran 588 untuk mengikuti perkembangan
terkini tentang Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh
Mustapha - tidak ketinggalan. Bukan mudah hendak
kuatkan hati dan semangat ke angkasa kerana
seolah-olah kita 'sign' mati (teringat pelancaran
roket oleh NASA dahulu).

Semoga dengan ini tercapai hasrat; yang yang paling
penting aku pernah tekankan semoga dengan perginya
Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke angkasa
dapat menambah iman beliau.

Ini seolah-olah menjadi kenyataan tatkala dalam
sidang video bersama PM; tatkala PM bertanya tentang
bagaimana cara beribadah di angkasa .. Sheikh
Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menjawab : "Dato'
Seri, bagi saya, Islam Is The Way Of Life .......";
antara lain beliau berkata "Tatkala melihat bumi dan
lain-lainnya dari angkasa saya merasakan diri saya
dekat dengan Allah..."

Bukan mudah rakyat awam, golongan marhaen untuk
mengucapkan benda-benda begini pada pandangan aku.
Hanya mereka yang dapat dikategorikan sebagai taat
kepada agama, tok-tok guru, Ahmadinejad Presiden
Iran, para ulama dapat mengutarakan ayat-ayat
tersebut. Ayat-ayat tersebut tidak diutarakan oleh
para artis, kaki kelab malam the Beach, Zouk, The
Boss dan lain-lain ....

Demikianlah juga; marilah kita mengambil kesempatan
dengan berjayanya ekspedisi pertama Rakyat Malaysia
ke angkasa lepas ini dengan menguatkan TEKAD dan
AZAM kita untuk MENGUNDI PARTI CAP ROKET dalam
Pilihanraya Umum yang kemungkinan akan diadakan
dalam bulan November nanti ... atau mungkin parti
CAP Lambang-lambang Angkasa seperti MATAHARI, BULAN,
BINTANG, BULAN SABIT, SOYUZ, SOFAZ ...

lambang-lambang seperti TUPPERWARE, KOLE, PAYUNG,
KAYU, BESI, KUNCI, BAS, DACING bolehlah diabaikan


SIBUK BERPOLITIK MENENTANG PELAJAR SENDIRI, NC DAN TNC UNIVERSITI LUPA NAK TARBIAH KAKITANGAN


KUALA LUMPUR: Oleh kerana terlalu sibuk berpolitik menentang pelajar sendiri Naib Canselor (NC) dan Timbalan Naib Canselor(TNC) sebuah IPTA terlupa untuk mentarbiah staffnya sendiri supaya menjadi tauladan kepada pelajar. Akibatnya seorang seorang pensyarahnya ditangkap khalwat di sebuah pangsapuri di Taman Sri medan, Jalan Klang Lama, baru-baru ini.

Lebih parah lagi pensyarah lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bersama pasangannya berusia 25 tahun yang juga kakitangan di IPTA terbabit.

Inilah bahananya apabila NC dan TNC lebih suka menjadi 'yes man' kepada Umno sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan dan keldai. Program-program bercorak agama di sekat sehingga staff dan pelajar semakin menjauhi agama.


Media melaporkan bahwa ketika serbuan dilakukan jam 3 pagi itu, sekumpulan pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terpaksa mengetuk pintu beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki.

Menurut sumber, selepas pemeriksaan dilakukan, lelaki terbabit bersama pasangannya ditahan selepas mereka gagal menunjukkan bukti yang mereka mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau hubungan mahram ketika diperiksa dan ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis.

"Selepas memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan di rumah terbabit, seorang wanita yang berpakaian lengkap didapati sedang tidur di dalam sebuah bilik.

"Selepas disoal siasat, lelaki terbabit mendakwa dia bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah IPTA dan turut memegang beberapa jawatan penting di situ," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, kediaman yang diduduki itu adalah rumah teman wanita pensyarah terbabit dan dia mendakwa mereka sudah lebih kurang lima tahun berkenalan.

Katanya, selepas menerima aduan daripada orang awam Jawi melakukan tinjauan terlebih dulu sebelum melakukan serbuan.


INGATAN : PUASA 6 CEPAT SIKIT JANGAN TERLAMBAT


Puasa enam Syawal hadiah ingatan Nabi Muhammad pada umatnya

Oleh : Ustaz Zainudin Hashim

Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini.

Baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifat-sifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).

Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun Minallah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).

Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah.

Ganjaran setahun dengan amalan puasa enam

Begitulah halnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun." (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mi'raj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.

Izin suami penting untuk puasa enam

Walaupun dijanjikan pahala setahun dengan melaksanakan puasa enam Syawal, seorang isteri perlu mendapatkan izin suaminya terlebih dahulu, kerana puasa enam tersebut adalah sunnat, sedangkan mentaati suami yang berkeinginan adalah wajib diutamakan, melainkan suami reda dengan pelaksanaan puasa tersebut.

Apatah lagi jika seorang isteri yang tertinggal puasa Ramadan kerana uzur syar'ie, dia digalakkan untuk mengqada'nya pada bulan Syawal diniatkan untuk qada' puasa di samping ibadat puasa sunat pada masa yang sama, insya-Allah dengan cara itu dia tidak akan terlepas untuk mendapatkan pahala setahun berpuasa.

Bagaimana dengan sikap kita terhadap baginda Rasulullah?

Kalau disebutkan di atas tadi bahawa, baginda sering mengenang dan mengingatkan umatnya dalam segenap tindakannya, bagaimana pula dengan diri kita yang serba kurang dan kerdil bila berhadapan dengan Allah SWT.

Apakah setiap tindakan, perbuatan, kenyataan, perakuan yang terbit dari diri lidah kita yang tidak bertulang itu memperlihatkan kita benar-benar mengenang dan mengingati Nabi ajaran Muhammad s.a.w.

Benarkah kita mengingati Nabi ketika membuat keputusan mesyuarat tidak sedikit pun menyingung peribadi atau ajaran baginda.

Dalam banyak masalah yang dihadapi oleh umat Islam dalam negara kita hari ini termasuk masalah remaja, mereka jarang sekali menyelesaikannya dengan kaedah yang ditunjukkan oleh baginda menerusi wahyu al-Quran, masalah perzinaan sebagai contoh, bila sabit kesalahan dengan saksi-saksi yang ada, sepatutnya bagi orang yang berzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati dan yang belum kahwin disebat, tetapi ajaran Nabi Muhammad ini ditukar kepada undang-undang denda dan penjara.

Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan mereka mendapatkan syafaat (recommend) baginda pada hari kiamat sedang baginda sentiasa memikirkan bagaimana untuk umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT?

Tepuk dada tanda iman!


T-SHIRT HIMPUNAN 100 RIBU DAH DIJUAL DI KEDAH DI TEMPAT LAIN DAH ADA KE?


Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) telah mula menjual pakaian rasmi sempena Himpunan 100 ribu umat di ibu kota 10 November depan, iaitu t-shirt berwarna kuning dengan harga yang istimewa.

T-shirt tertera nama Bersih dan dibelakangnya tertera empat tuntutan utama Bersih terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan Malaysia bakal dipakai oleh semua peserta yang akan menyertai himpunan aman itu nanti.

Salah seorang Ahli Jawatankuasa Bersih di Kedah, Mohd. Nasir Mustafa berkata, jualan t-shirt ini sempena majlis sambutan Aidilfitri PAS Kedah di Jerlun pada 20 Oktober lalu amat memberangsangkan dan beliau berharap semua PAS Kawasan dan Dewan Pemuda PAS Kawasan dapat memberikan kerjasama terbaik untuk mengedarkan t-shirt ini sebagai tanda protes.

Kepada yang ingin membuat tempahan atau sebarang pertanyaan lanjut mengenai t-shirt berkenaan terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan utara boleh menghubungi beliau di talian 012 421 5955.


Konvensyen Melayu Melaka Maju 2010 : Ekonomi Melayu akan terus layu jika dasar rasuah dan kroni diteruskan


BANDARAYA MELAKA : Selagi amalan rasuah dan kronisme diamalkan oleh kerajaan BN dan Umno terus diamalkan selagi itulah hasrat untuk meningkatkan ekuiti Melayu dalam ekonomi negara tidak akan tercapai. Ini kerana peluang perniagaan hanya berlegar di kalangan suku-sakat Umno dan kawan-kawan mereka sahaja.

Maka hasrat untuk mencapai 30 % penguasaan ekonomi bagi Orang Melayu seperti yang dicita-citakan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan terus menjadi angan-angan kosong.

Walau sebanyak manapun konvesyen atau seminar di adakan ianya akan hanya gah dari segi seminar dan kertas kerja tetapi pelaksanaannya hanyalah omongan kosong.

Semalam media melaporkan bahawa Konvensyen Melayu Melaka Maju 2010 di adakan bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Konvensyen anjuran Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung selama dua hari itu dilaporkan lebih memberikan penekanan terhadap Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri selain Pencapaian Indikator Melaka Maju 2010, Status Pencapaian Melayu Maju dan Pembangunan Negeri termasuk beberapa bengkel turut diadakan.

Menurut Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi dan Sosial Bumiputera Negeri Melaka, Datuk Hasnoor Sidang Husin, program ini dikatakan mampu mengukur pencapaian Bumiputera Melaka dalam pelbagai sektor utama sehingga kini.

Hasnoor berkata konvensyen itu turut menyediakan dasar dan strategi bagi mencapai matlamat sekurang-kurangnya 60% Bumiputera dalam sektor ekonomi menjelang tahun 2010 malahan konvensyen ini turut membincangkan pelan tindakan bagi mencapai objektif Melayu Melaka Maju 2010.

Kita ingin mengingatkan Kerajaan Negeri Melaka dan Ali Rustam supaya menghapuskan semua jenis rasuah dan kronisme di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan negeri. Jangan pilih bulu dari segi pembahagian kontrak; pemilihan dalam jawatan-jawatan penting kerajaan negeri dan agensinya; jangan menindas peniaga-peniaga kecil bumiputera; jangan 'merobohkan' tapak-tapak perniagaan Orang Melayu dalam Bandaraya Melaka dan sebagainya.

Selagi amalan-amalan di atas tidak dihentikan maka selagi itulah Orang Melayu khususnya di Melaka akan terus ketinggalan dari segi ekonomi. Kekuatan ekonomi hanya akan diperolehi oleh 'UMNOPUTERA' bukan bumiputera. Hanya segelintir sahaja Orang Melayu yang senang sedangkan majoritinya susah.

Semua orang tahu bahawa Kerajaan Negeri Melaka merupakan sebuah kerajaan yang begitu hebat amalan kronismenya apabila semua kontraktor, klinik dan syarikat swasta yang dikatakan cenderung kepada pembangkang sudah pasti tidak akan menikmati kontrak kerajaan negeri. Begitu juga semua pemohon-pemohon jawatan di agensi kerajaan negeri juga mestilah ahli Umno.

Selain itu kerajaan negeri juga bertindak 'meranapkan' beberapa tapak perniagaan Orang Melayu di kawasan Bandaraya Melaka.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59