Wednesday, 17 October 2007

Panel bebas dikritik kerana tangguhkan mesyuarat


Panel bebas yang menyiasat kesahihan klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam mengenai pelantikan hakim-hakim, menjadi sasaran kritikan kerana menangguhkan mesyuarat keduanya hari ini.

Ketua pembangkang, Lim Kit Siang bertanya mengenai kemajuan siasatan panel bebas itu yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor. Dua lagi anggotanya ialah bekas hakim, Datuk Mahadev Shankar dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lim berkata, kini hanya tinggal 10 hari sahaja lagi untuk panel bebas itu mengemukakan laporannya mengenai kesahihan kilp video Lingam pada 27 Oktober depan.

Sehubungan itu, katanya, siapakah yang akan percaya bahawa panel yang diketuai oleh Haidar itu mampu berbuat demikian selepas 'diam' sejak tiga minggu lalu.

Dalam satu kenyataan, Lim berkata, panel tersebut bergantung sepenuhnya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk melakukan kerja-kerja dan enggan memanggil pakar teknikal untuk mengesahkan kesahihan klip video itu, tanpa perlu menuntut pendedahan identiti sumber klip video tersebut.

Kerajaan telah menubuhkan panel tersebut pada 26 September selepas pendedahan klip video selama 8 minit itu yang menunjukkan Lingam sedang berbual, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2000 mengenai pelantikan hakim-hakim "yang sehaluan'.

Berikutan itu, dua ahli PKR telah membuat laporan mengenainya kepada BPR yang kemudian mengeluarkan notis kepada kedua-duanya supaya mendedahkan sumber klip video tersebut atau berdepan dengan pendakwaan.

Panel bebas tersebut - yang diberi tempoh sebulan untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut - mengadakan mesyuarat pertamanya dua minggu lalu dan dijadualkan bermesyuarat hari ini dengan BPR, Pejabat Peguam Negara dan pihak polis untuk mengumpulkan maklumat.

Bagaimanapun, menurut Lim, akhbar berbahasa Cina - Sin Chew Daily dan China Press -melaporkan bahawa panel tersebut telah menangguhkan mesyuarat keduanya, yang dijadual diadakan di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur, ke tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Akhbar China Press melaporkan bahawa mesyuarat itu ditangguhkan kerana BPR tidak dapat menyiapkan siasatannya terhadap klip video Lingam itu.

Bagaimanapun, BPR tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, seorang pegawai Suhakam berkata beliau tidak tahu sebab pembatalan mesyuarat tersebut dan berkata pejabat kosong pagi ini kecuali beberapa orang wartawan yang hadir.

Lim juga menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang penjelasan rasmi dibuat berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 Oktober lalu bahawa panel itu tidak akan memanggil sebarang saksi.

Menurut Lim lagi, panel tersebut harus sedar bahawa ia kurang kredibiliti dan keyakinan rakyat kerana bidang tugasnya yang sempit dan integriti Haidar disebabkan jawatannya dulu dan sekarang.

Oleh itu, katanya, apa yang boleh dilakukan oleh ketiga-tiga anggota panel tersebut ialah semuanya meletakkan jawatan dan meminta Perdana Menteri supaya menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kes klip video tersebut.

Usaha Malaysiakini untuk menghubungi anggota panel tersebut untuk mendapat komen mengenai penangguhan mesyuarat kedua itu tidak berjaya.

Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59