Wednesday, 3 October 2007

TAMBANG KENDERAAN AWAM DINAIKKAN : RAKYAT BAKAL BERHADAPAN MASALAH LEBIH KRONIK


PUTRAJAYA : Satu demi satu barangan dan perkhidmatan akan dinaikkan dalam jangkamasa terdekat atau tahun depan. Minggu lepas Samy Vellu mengumumkan kadar tol akan dinaikkan pada 1 Januari depan.

Adalah jelas rakyat akan semakin terhimpit dengan masalah kewangan disebabkan kegagalan kerajaan mengambil langkah-langkah berkesan untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan masalah kenaikan harga barangan dan bayaran perkhidmatan.

Sudah sampai masanya kerajaan Islam Hadhari ini diajar dalam Pilihanraya Umum akan datang supaya pemimpin mereka sedar bahawa kesejahteraan rakyat adalah lebih utama dari menjaga tembolok korporat dan kroni mereka.


Hari ini, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Markiman Kobiran berkata semakan bagi kadar tambang baru kenderaan awam telah bermula yang merangkumi bukan sahaja tambang bas ekspres tetapi juga bas henti-henti, teksi, kereta sewa dan bas sekolah.

Kadar baru tambang bagi semua jenis pengangkutan awam dijangka diumumkan pada pertengahan tahun depan berikutan peningkatan kos operasi terutama bahan api yang semakin meningkat.

Katanya walaupun dasar semakan bagi kadar tambang pengangkutan awam dibuat setiap lima tahun tetapi ia juga boleh dilakukan dalam jangka masa terdekat bergantung kepada faktor-faktor yang mendesak.

"Kadar tambang akan datang mestilah bukan sahaja melambangkan kepada kos yang mesti ditanggung oleh penumpang tetapi ia juga mestilah menggambarkan bagaimana pengusaha itu sendiri boleh meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan mereka.

"Sekiranya sekadar hanya memberi beban kepada penumpang, itu bukan satu perkara yang baik untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus kesedaran kepada pemandu bas ekspres sempena musim perayaan di sini hari ini.

Kali terakhir semakan kadar tambang bagi pengangkutan awam dibuat ialah pada tahun 2005 melibatkan bas ekspres, bas henti-henti dan kereta sewa yang naik antara 0.9 sen dan 12 sen manakala kadar tambang teksi mengalami perubahan daripada segi kilometer bermula RM2 bagi satu kilometer pertama.

Kadar kenaikan yang diminta oleh persatuan pengangkutan awam ialah 600 peratus oleh persatuan teksi dan 100 peratus hingga 200 peratus oleh bas ekspres.

Markiman berkata semakan kali ini dibuat secara serentak melibatkan semua jenis pengangkutan awam bagi membolehkan kerajaan menggunakannya sebagai satu kayu ukur yang tepat mengenai bila pula kadar tambang baru boleh disemak pada masa akan datang.

Beliau juga berkata pihaknya akan membuat membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap pentadbiran dan pengurusan syarikat bas ekspres sama ada mereka mengendalikan perkhidmatan dengan betul.

"Jika tak betul, kita akan nasihatkan mereka supaya perbetulkan, dan jika dah tak boleh dengar nasihat, mereka itu tidak layak untuk kekal dalam industri bas ekspres," katanya.

Mengenai kursus kesedaran bagi pemandu bas itu, beliau berkata ia bertujuan mengingatkan mereka mengenai isu keselamatan jalan raya terutama sekali pada musim perayaan.


Panel siasat video tiada kuasa panggil saksi


KUALA LUMPUR: Dakwaan dan kebimbangan pembangkang bahawa panel penyiasat ketulenan video yang ditubuhkan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat akhirnya diakui oleh pengerusi panel tersebut iaitu Tan Sri Haidar Mohd Noor.

Mesyuarat panel yang diketuai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, dan ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan.

Mesyuarat kira-kira tiga jam itu antara lain membincangkan prosedur dan langkah-langkah yang akan diambil oleh panel tersebut untuk memastikan kesahihan rakaman klip video tersebut, pertama kali didedahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 19 Sept.

Perkara-perkara pokok yang telah dipersetujui dalam perbincangan awal itu termasuklah menggunakan piawaian yang diperuntukkan bawah Akta Bukti (1950) dalam menentusahkan video berkenaan.

Selain Haidar, panel itu itu dianggotai bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan aktivis Tan Sri Lee Lam Thye.

Ia juga berhak untuk menentukan sama ada bukti-bukti lain boleh dikemukakan dalam proses berkenaan.

Selain itu, panel tersebut juga tidak diberikan kuasa untuk memberi jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat atau memaksa sesiapa untuk tampil memberi kenyataan atau bukti.

Satu lagi mesyuarat dengan keanggotaan yang sama akan diadakan dua minggu lagi setelah Jabatan Peguam Negara, polis dan BPR telah membuat persediaan bagi membantu panel tersebut yang diumumkan penubuhannya pada 25 Sept.

"Mereka akan beri kerjasama kepada kita, dan tentulah mereka perlukan masa untuk berbuat begitu. Saya harap kami dapat bertemu lagi dalam masa dua minggu setelah mereka bersedia," kata Haidar dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut yang diadakan di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat persendirian tentang video berkenaan supaya menghubungi pegawai urusetia panel berkenaan, Datuk Abdullah Sani Ab Hamid di telefon 03 88 85 10 46 (tel), 03 88 85 10 48 (faks) atau e-mel: sani@bheuu.gov.my.

Dalam sidang media sama, Shankar berkata saksi yang ingin tampil hendaklah bertanggungjawab ke atas maklumat atau bahan bukti yang dikemukakan dan memberi amaran supaya saluran berkenaan tidak disalahgunakan untuk menabur fitnah.

"Tolonglah tampil ke hadapan, tetapi tolong pastikan bahan-bahan yang anda kemukakan boleh dipercayai, relevan, dan kami akan buat keputusan sama ada ia boleh diterima pakai," katanya.

"Jangan sekadar sebut Encik X, Encik Y dan seterusnya. Tolong berikan nama, nombor kad pengenalan, dan di mana orang tersebut boleh dihubungi. Saya pernah jadi peguam bagi (akhbar) New Straits Times, jadi saya tahu serba sedikit tentang undang-undang fitnah... Seperti anda tahu, isu ini kecoh di blog dan Internet dan sebagainya.

"Kami juga perlu guna piawaian, dan piawaian yang akan kami gunakan ada terkandung dalam Akta Bukti (1950)."

Shankar turut menjelaskan bahawa panel tersebut tidak ada apa-apa kuasa undang-undang untuk memaksa sesiapa tampil memberi keterangan atau bahan bukti.

"Satu-satunya kuasa yang diberikan kepada kami adalah untuk menjalankan tugas seperti yang diarahkan dan membuat laporan kepada badan yang melantik kami. Jadi kami tidak ada kuasa untuk menjalankan angkat sumpah. Kami tidak berkuasa untuk memaksa saksi tampil... dan kami juga tidak ada kekebalan undang-undang.

Klip video selama lapan minit itu menunjukkan seorang peguam veteran berbual melalui telefon untuk mengatur pelantikan bagi jawatan-jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, seperti didakwa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pita Lingam: Protes di mesyuarat sulung panel bebas


Kuala Lumpur : Panel tiga anggota yang ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan klip video peguam Datuk VK Lingam mengadakan mesyuarat sulungnya di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur pagi ini.

Mesyuarat panel yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor itu bermula kira-kira jam 9.45 pagi. Dua lagi anggotanya ialah Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Pada kira-kira jam 10.20 pagi, kira-kira 30 orang dari kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'Jawatankuasa Pemandu untuk Membebaskan Badan Kehakiman' tiba di pejabat Suhakam.

Kumpulan itu mahu menyerahkan satu memorandum, menuntut supaya panel tersebut menghentikan mesyuaratnya, kerana bidangkuasanya yang terhad dan tidak puashati dengan keanggotaannya.

Mereka mengadakan rundingan dengan pegawai Suhakam dan memanggil Haidar untuk keluar menerima memorandum tersebut.

Kira-kira satu jam kemudiannya, Haidar bersetuju untuk membenarkan seorang wakil kumpulan tersebut masuk ke bilik mesyuarat untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak setuju, dan sebaliknya menuntut supaya lebih ramai wakil mereka dibenarkan masuk.

Ketika kumpulan tersebut sedang berunding dengan pegawai Suhakam - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Abu Kasim Mohamad - tiba di situ.

Bagaimanapaun, mereka tidak dapat masuk ke bilik mesyuarat kerana kehadiran kumpulan berkenaan, dan dibawa masuk ke bilik lain.

Pada jam 10.50 pagi, Gani mencelah masuk ke bilik mesyuarat, melalui kumpulan tersebut, yang melaungkan ‘Tidak mahu panel bebas, kami mahu suruhanjaya diraja'.

Kira-kira 20 kemudiannya, Ketua Pengarah ACA, Datuk Ahmad Said Hamdan tiba di pejabat Suhakam yang sesak dengan para pemberita dan jurugambar.


Malaysiakini


TAHNIAH PENTERNAK BABI, TAKZIAH ORANG MELAYU


Pengumuman kerajaan Negeri Melaka yang bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir pemindahan lebihan ternakan babi di Paya Mengkuang, Alor Gajah, Melaka sehingga 31 Mac tahun depan merupakan suatu kejayaan kepada penternak babi.

Kita tidak mempertikaikan hak mereka untuk menyelamatkan periuk nasi mereka. Andaikata babi-babi itu dimusnahkan begitu sahaja pada 4 Oktober ini sudah pasti ramai di antara mereka yang kerugian ratusan ribu di samping kehilangan punca rezeki untuk menyara kehidupan mereka.

Penternak babi nampak jelas tidak tunduk kepada tekanan pihak kerajaan yang bertindak semata-mata atas desakan politik. Penternak-penternak ini mempertahankan hak mereka dengan kudrat dan air mata sehingga sanggup membuat pagar manusia bersenjatakan 'sangkar' babi untuk menghalang Polis dan pihak berkuasa menghapuskan ternakan mereka awal bulan lalu. Mereka terpaksa 'bertempur' berjam-jam lamanya demi mempertahankan hak mereka.

Semua orang memang tidak boleh berkompromi dengan masalah pencemaran dan kekotoran tetapi di masa yang sama kerajaan juga mesti bertimbang rasa dengan rakyat. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan. Malangnya kerajaan BN seolah-olah hendak berperang dengan penternak babi ini pada awal bulan lalu apabila mengerahkan seluruh jentera kerajaan yang berkenaan untuk menghapuskan babi dan kandangnya.

Suasana pagi tegang dan panas. Kerajaan sepatutnya malu untuk berkelahi dengan rakyat di saat sambutan 50 tahun kemerdekaan masih segar bugar diingatan rakyat.

Mereka lupa bahawa babi dan penternak juga merupakan rakyat yang seharusnya dilayan dengan baik. Undang-undang alam sekitar, kerajaan tempatan, parit dan tali air serta lain-lain sudah lama termaktub tetapi mengapa ianya tidak dikuatkuasakan. Mengapa penternak-penternak babi ini tidak diajar kaedah yang betul bagi mengatasi masalah-masalah tersebut. Mengapa penternak tidak diberi bantuan bagi memastikan mereka cuba modal untuk merawat dan membersihkan kotoran air kumbahan ladang babi ini.

Kita juga berasa hairan mengapa baru sekarang mereka sibuk untuk mengusir babi-babi tersebut, bukankah babi-babi itu sudah hidup mungkin lebih dari 7 keturunan di situ. Penternak-penternak mewarisi industri tersebut dari nenek moyang mereka. Mengapa baru sekarang 'hidung' kerajaan menghidu bau hanyir dan busuk. Apakah hidung tersumbat selama 50 tahun lalu.

Semua orang memang tidak suka dengan bau busuk dan persekitaran yang kotor. Langkah-langkah untuk mengatasinya sepatutnya telah lama di ambil samada secara revolusi atau evolusi. Malangnya selama ini kerajaan seolah-olah terlepas pandang mungkin disebabkan kawasan tersebut jauh dan tidak mempunyai nilai komersil yang tinggi.

Akhirnya kita mendapat jawapan dari mulu Ketua Menteri sendiri bahawa desakan politik menjadi penyebab kerajaan bertindak demikian. Kerajaan takut kehilangan undi Melayu pada pilihanraya nanti. Pada masa yang sama MCA pula takut kehilangan undi Cina disebabkan DAP telah mula menjadi tempat rujukan penternak babi di sini.

Maka akhirnya bagi menyelamatkan undi Melayu dan Cina maka tarikh 31 Mac di pilih. Masalahnya sekarang rakyat di persekitaran kandang babi di Paya Mengkuang, Man Lok, Bukit Beruang dan lain-lain terpaksa meneruskan 'karier' mereka menghidu bau busuk tersebut sehingga 31 Mac.

Kenyataan Najib bahawa isu ini sudah selesai merupakan kenyataan untuk menyedapkan hati rakyat yang pada hakikatnya tidak sedar mereka terus diperdayakan oleh taktik licik BN.

Akhirnya Orang Melayu akan menyanjung pemimpin Umno kononnya berjaya menyelesaikan kes ini manakala MCA pula akan terus dilabelkan sebagai pembela Cina kerana babi tidak dimusnahkan sehingga 31 Mac.

Namun begitu pihak penternak kena sedar bahawa 'kemenangan' ini bukan mutlak kerana akhirnya mereka terpaksa tunduk kepada kerajaan dan mata pencarian mereka akan terjejas teruk selepas 31 Mac 2008.

Sebelum ini, penternak di kawasan berkenaan diberi tempoh hingga Khamis ini (4 Oktober) untuk mengurangkan jumlah ternakan mereka kepada 48,000 ekor.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai isu babi, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

TAHNIAH UNTUK PENTERNAK BABI TAKZIAH UNTUK ORANG MELAYUYANG TERPAKSA HIDU BAU SEHINGGA TAHUN DEPAN

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
Email : kpnmelaka@gmail.com


PAS MELAKA TERBITKAN BULETIN 2 KALI SEBULAN



MELAKA : Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka akan menerbitkan Buletin PAS Melaka secara berkala 2 kali sebulan.

Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri, Khirul Che Salleh dalam kenyataannya pagi ini menegaskan bahawa Buletin diterbitkan bertujuan untuk menjawab isu-isu semasa dan fitnah yang dilemparkan oleh BN dan Umno kepada pembangkang.

"Insya Allah buletin ini akan diterbitkan hujung minggu ini dan ianya akan diedarkan ke seluruh Negeri Melaka".

Khirul juga berkata selain itu buletin ini akan membongkar penyelewengan dan kelemahan kerajaan negeri Melaka dalam urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat serta juga lain-lain isu yang berkaitan.

Beliau juga mengalu-alukan sumbangan berita dan artikel untuk dimuatkan di dalam buletin di mana ianya boleh dihantar melalui email : penjana@gmail.com dan SMS 019-682 1318

Sebelum ini Lajnah Penerangan telah berjaya menerbitkan akhbar PAS Melaka,iaitu PENJANA Edisi 15.


Rebut peluang pengampunan di malam Lailatul Qadar


Oleh : Dato' Dr Haron Din

Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.

Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.

Janji-janji Allah pada hamba-Nya

Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan.

Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.

Harakahdaily


ISU VIDEO VK LINGAM : TUBUH SURUHANJAYA ATAU HADAPI USUL TIDAK PERCAYA


Kedegilan kerajaan tidak untuk tidak menubuhkan Suruhanjaya Diraja dalam kes Video VK Lingam-Fairuz semakin meningkatkan kemarahan rakyat.

Terbaru Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mendesak suruhjaya itu ditubuhkan segera jika tidak beliau akan mengusulkan undi tidak percaya kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Abdul Halim. Walaupun ianya mungkin tidak memberi kesan kepada insan-insan degil tersebut namun usul itu akan mencalarkan imej negara.

Ketua pembangkang itu memberi amaran bahawa beliau akan mengemukakan usul tersebut jika sekiranya kerajaan masih berdegil dan sememang akan berdegil dan bongkak.

Dalam satu kenyataannya semalam, Lim berkata, usul tidak percaya terhadap Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim akan dikemukakannya apabila sidang Parlimen disambung pada 22 Oktober depan.

"Kabinet (dalam mesyuarat mingguannya) esok(Rabu) tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya untuk melakukan apa yang betul untuk negara dan generasi akan datang [...] dengan membubarkan penal tiga anggota untuk menentukan kesahihan klip video (Datuk VK) Lingam.

“(Dan menggantinnya dengan) sebuah suruhanjaya diraja yang mempunyai kuasa yang luas untuk menyiasat badan kehakiman bagi memulihkan kenyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap badan kehakiman Malaysia," katanya.

Klip video itu, yang didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minggu lalu, menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ahmad Fairuz, untuk mengatur pelantikan hakim-hakim kanan 'yang sehaluan'.

Pendedahan tersebut telah menggemparkan masyarakat perundangan, dan Majlis Peguam - yang mewakili 13,500 peguam - mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat sepenuhnya dakwaan tersebut.

Kerajaan kemudiannya menubuhkan panel bebas tiga anggota yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor. Dua lagi anggotanya ialah Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Alasan dakwaan

Sementara itu, Lim turut menyenaraikan alasan untuk mendakwa Ahmad Fairuz atas dakwaan salahlaku dan kegagalannya sebagai ketua hakim, termasuk:

Gagal untuk menunaikan tanggungjawabnya apabila dilantik menjadi Ketua Hakim Negara lebih empat tahun lalu, untuk merombak semula Kod Etika Hakim 1994 bagi memulih keyakinan rakyat terhadap kebebasan, kesaksamaan dan integriti badan kehakiman.

Mencemar imej badan kehakiman apabila gagal untuk mengambil tindakan dan mengesahkan dakwaan yang dibuatnya bahawa ada hakim yang menerima rasuah.

Gagal untuk mengambil tindakan terhadap hakim-hakim, termasuk dari Mahkamah Persekutuan, yang menghalang perjalanan keadilan dengan tidak menyediakan penghakiman bertulis - dengan satu kes seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang mempunyai kira-kira 35 tunggakan penghakiman bertulis sejak dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

Ahmad Fairuz mencadangkan supaya dimansuhkan sistem common law dan menggantikannya dengan sistem perundangan Islam.


Kebuntuan selama tujuh bulan berhubung pelantikan Hakim Besar Malaya yang sesuai selepas persaraan Datuk Siti Norma Yaakob pada 5 Januari 2007.

Skandal klip video Lingam yang mengaitkan beliau dalam satu pendedahan mengenai tindakan tidak wajar untuk mengatur pelantikan hakim dan mengatur penghakiman dan keputusan mahkamah.

Nazri salah

Lim juga menyanggah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz bahawa pelakuan hakim-hakim tidak boleh dibahas di Parlimen.

“Beliau salah. Tiada dalam peraturan tetap Parlimen atau Perlembagaan yang menghalang salahlaku para hakim dibahaskan di Parlimen, (dengan syarat) ianya mestilah melalui usul substantif yang perlu mematuhi prosedur khas," katanya.
Lim juga menegaskan bahawa tiga bekas hakim turut menyuarakan sokongan mereka terhadap penubuhan suruhanjaya diraja itu dan penubuhan suruhanjaya kehakiman mengenai pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim.

Pandangan bekas hakim-hakim Mahkamah Rayuan - Datuk Shaik Daud Ismail, Datuk KC Vohrah dan Datuk VC George - itu dilaporkan oleh akhbar The Star Ahad lalu.

Ahmad Fairuz telah menafikan bahawa beliau adalah orang yang bercakap dengan Lingam dalam klip video tersebut.


ISU BABI: KERAJAAN PATUT LANJUTKAN HINGGA 50 TAHUN LAGI


KAMI PAPARKAN EMAIL/KOMEN YANG KAMI TERIMA DARI SEORANG PENGUNJUNG "Saya cadangkan supaya Kerajaan melanjutkan tempoh selama 50 tahun lagi. Baru genap 100 tahun. Barulah lah dapat masuk rekod Guiness world record sebagai Sebuah Negara Islam yang dapat menternak babi selama 100 tahun. Apa macam ada setuju semua gang?".


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59