Saturday, 22 September 2007

POLIS BERPOLIGAMI DIPECAT, YANG RASUAH TERUS DIBIARKAN HIDUP MEWAH


PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan polis yang berpoligami membawa padah apabila dia dibuang kerja kerana gagal memaklumkan hal terbabit kepada ketua jabatannya.

Pegawai kanan polis terbabit adalah antara tiga pegawai polis yang dijatuhkan hukuman akibat kesalahan serius oleh Suruhanjaya Polis yang bermesyuarat di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) di sini, semalam.

Mesyuarat lebih sejam itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Dalam Negeri.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Ketua Setiausaha (KSU) KKDN, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Masalahnya poligami bukanlah suatu kesalahan besar malah Islam mengharuskannya. Malangnya Polis terutama yang berpangkat besar yang mengamalkan rasuah (seperti didakwa Tun Hanif 40 % Pegawai Polis terlibat rasuah) tidak disiasat dan dibiarkan terus mewah.

Inilah tindakan caca merba kerajaan dan PDRM.


KES ROGOL MENINGKAT, POLIS SIBUK PANTAU PROGRAM PEMBANGKANG


KUALA LUMPUR: Kes jenayah terus meningkat dari sehari ke sehari. Namun Polis terus sibuk memantau program pembangkang. Sehingga hampir setiap kali ceramah dan demonstrasi ratusan malah ribuan Polis ditugaskan untuk memantau program tersebut.

Akhirnya Polis hilang tumpuan. Media hari ini menyiarkan fakta yang mengejutkan apabila statistik jenayah terbaru menunjukkan peningkatan mendadak membabitkan kes rogol apabila 2,431 wanita dilaporkan diperkosa sepanjang tahun lalu, berbanding 1,931 mangsa pada 2005.

Peningkatan 26 peratus itu lebih membimbangkan apabila 70 peratus daripada mangsa remaja berusia di bawah 18 tahun dengan 54 peratus di bawah usia 16 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata statistik turut menunjukkan 56 peratus daripada mangsa perkosaan adalah pelajar, manakala 25 peratus lagi penganggur.

Menurutnya, kebanyakan mangsa diperkosa teman lelaki selepas bersetuju keluar melakukan temu janji.
“Setakat ini Selangor mencatatkan kejadian tertinggi iaitu 17 dan 19 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah rogol, yang turut membabitkan kes sumbang mahram, setiap tahun,” katanya selepas menghadiri majlis taklimat kepada Wanita MCA oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak di Auditorium Bukit Aman di sini, semalam.

Menurutnya, kes sumbang mahram turut menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya 294 kes pada 2005 kepada 332 kes pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 67 peratus mangsa sumbang mahram di bawah umur 16 tahun dengan 59 peratus daripadanya pelajar sekolah,” katanya.

Sementara itu, kes penderaan kanak-kanak mencatat penurunan 25 peratus daripada 189 kes dilaporkan pada 2005 kepada hanya 141 kes pada 2006.

Bagaimanapun, kes penderaan terbabit hanya membabitkan kes yang dilaporkan kepada polis dan tidak termasuk kes yang terus diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, bagi kes keganasan rumah tangga, beliau berkata jumlah kes meningkat sebanyak enam peratus iaitu daripada 3,093 pada 2005 kepada 3,264 pada 2006 dan kebanyakannya berpunca masalah kewangan, perselisihan faham dan cemburu.

“Statistik ini menunjukkan lebih sembilan wanita menjadi mangsa keganasan keluarga setiap sehari,” katanya.

Menurutnya, susulan peningkatan jenayah seksual dan keganasan rumah tangga itu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mewujudkan unit baru, Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak atau D11, yang dianggotai pegawai wanita bermula 16 Mei lalu.

“Ia ditubuhkan bagi memantapkan dan meningkatkan tahap kecekapan dalam menangani masalah yang berkaitan dengan kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga.

“Jabatan itu dianggotai 101 anggota wanita yang terlatih untuk mengendalikan kes seksual, penderaan dan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, Unit Perlindungan Kanak-kanak (CPU) dengan kaedah rakaman keterangan kanak-kanak melalui rakaman video turut diperkenalkan.

Wan berkata, kes jenayah semakin meningkat setiap tahun dan beliau berharap ibu bapa lebih mesra dengan anak-anak supaya kegiatan mereka mudah diawasi.

Ditanya berhubung siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, beliau meminta masyarakat memberi masa kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembunuh terbabit.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59