Friday, 21 September 2007

Rasuah semakin subur dan menjadi-jadi



Roslan SMS menulis

Saya begitu sedih membaca berita ini diakhbar-akhbar tempatan pagi ini. Jika inilah rupa para pegawai kanan polis kita, maka sahihlah kenyataan Tun Hanif Omar tempoh hari bahawa 40% para pegawai kanan polis kita boleh ditahan jika dilihat dari lifestyle atau cara hidup mereka sahaja.

Dalam akhbar hari ini dilaporkan betapa seorang pegawai polis berpangkat Superintendent, berusia awal 50an (menurut Utusan) 40an (menurut The Star) kini disiasat oleh BPR kerana dikatakan memiliki harta haram sebanyak RM6 juta (menurut Utusan) RM9 juta (menurut The Star).

Belia dipercayai menghimpunkan harta sebanyak itu selama bertugas di Pahang dan Johor. Beliau kini berkhidmat di Bukit Aman.

Bayangkan seorang kakitangan kerajaan, dalam tempoh berkhidmat boleh menjadi seorang jutawan! Sebelum itu akhbar tempatan juga pernah melaporkan seorang pegawai kanan (yang lebih kanan dari Superintendent ini) telah gagal mengisytiharkan hartanya sebanyak RM27 juta! Pegawai ini dikatakan menjadi pengarah sebuah syarikat perladangan yang terbabit dalam pembangunan tanah di Sabah. Beliau juga sedang disiasat BPR.

Bagaimanakah masa depan negara kita jika para pegawai dan kakitangannya terlibat dalam aktiviti rasuah yang keji dan diharamkan oleh agama ini? Ini baru dua orang pegawai, yang lainnya bagaimana? Ada pegawai yang saya kenal memiliki rumah banglo dan kereta mewah sedangkan mereka masih dalam perkhidmatan, dari manakah punca wang mereka ini?

Rasulullah saw bersabda: Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.

Mengapakah para pegawai kita ini mudah terbabit dengan rasuah? Mungkinkah kerana melihatkan pegawai atasannya juga demikian, maka mereka juga terjerumus di dalamnya? Mungkinkah kerana tekanan hidup, mahu mewah dan bergaya sebagaimana yang lain (yang turut rasuah juga)? Mungkinkah kerana kuasa mereka terlalu besar, dan tiada badan pemantau yang memantau aktiviti mereka?

Yang jelasnya kepimpinan yang ada gagal menangani gejala ini dan akibatnya ia menjadi berleluasa sehingga kini berada diluar kawalan. Jika seorang Superintendent polis boleh mmiliki harta mencecah RM6 juta, bagaimana dengan pegawai di jabatan lain, timbalan meneteri, menteri-menteri, menteri besar, perdana menteri?

Saya ingat YBM Tengku Razaleigh Hamzah dalamw awancaranya di WTV8 pernah berkata, dahulu kita memperlekehkan negara jiran kita, kita katakan rasuah terlalu menjadi-jeadi di sana, sehingga pegawai di kaunter imigresen pun perlu disogok untuk keluar masuk ke negaranya. Kini negara itu jauh lebih baik dari kita, tetapi kita bagaimana?

Mungkin Islam Hadhari ada penyelesaiannya?!

Roslan sms


Tubuh Tribunal Siasat Video VK Lingan dan Fairuz - Imran



Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman merayu Raja-raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu yang jelas menekan rakyat dan menjejaskan kedaulatan negara dan undang-undang.

"Saya merayu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mencari jalan dengan sungguh-sungguh untuk menubuhkan satu tribunal yang diyakini semua pihak berhubung insiden keganasan Polis di Batu Buruk dan dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim," katanya.

Ustaz Imran berkata kedua-dua isu nampaknya tidak ditangani dengan adil dan professional oleh kerajaan dan Polis sehingga semua kenyataan pemimpin kerajaan dan Polis serta laporan akhbar bercanggah antara satu sama lain. Malah kenyataan saksi kejadian dengan dakwaan pemimpin dan Polis jelas berlawanan.
“Siapa yang betul sebenarnya dalam hal ini, berdasarkan kes-kes terdahulu jelas pemimpin dan Polis selalu mengubah fakta”, tambah Ustaz Imran.
Beliau juga melihat isu terbaru melibatkan pendedahan rakaman perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.amat merbahaya kepada institusi undang-undang negara.

Ustaz Imran merayu agar sebuah tribunal ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut dan mencadangkan hendaklah ianya dianggotai oleh mereka yang benar-benar diyakini rakyat dan bukan seperti tribunal dalam kes pemecatan Tun Salleh Abas. Tribunal tersebut akhirnya dikecam dan diperlecehkan.
"Tribunal ini mesti ditubuhkan bagi menyelamatkan institusi kehakiman negara dari dipandang rendah dan hina.
"Malah, jika tidak diambil tindakan sewajarnya, satu hari nanti Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mungkin terpaksa melihat institusi kehakiman menjadi pasaraya tempat shopping atau membeli-belah hakim," katanya.

Seboleh-bolehnnya, kata beliau, janganlah satu hari nanti rakyat melihat perbuatan membeli-belah hakim seperti membeli daging babi di pasar.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan klip video yang menunjukkan seorang peguam veteran sedang berbual dengan seseorang untuk mengatur pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi di badan kehakiman.

Peguam berkenaan, Datuk V K Lingam, dipaparkan sedang berbual melalui telefon dengan seorang individu yang didakwa hakim berkeduduan tinggi dan isi perbualan mereka antaranya menyentuh nama-nama tokoh politik, yang juga seorang menteri, dan tokoh perniagaan terkenal.

Video yang didakwa dirakam pada 2002 itu diserahkan kepadanya baru-baru ini, kata Anwar di sidang media hari ini.

Di sidang media itu, video selama kira-kira lapan minit itu ditayangkan dan transkrip isi perbualan tersebut diedarkan kepada media.

"Kami percaya perbualan tersebut dirakam di kediaman VK Lingam di Kelana Jaya," dakwa Anwar.

Dalam video tersebut, peguam berkenaan dapat dilihat dan didengar bercakap dengan seseorang yang didakwa hakim kanan, dan percaturan mereka ini boleh mempengaruhi proses perbicaraannya, jelas Anwar.

Beliau berkata lagi, pihaknya telah mengesahkan identiti lelaki dalam video tersebut sebagai VK Lingam dan juga ketulenan video berkenaan.

Peguam itu kelihatan berbual tentang perancangan untuk memastikan hakim kanan tersebut -- melalui usaha seorang ahli perniagaan yang bergelar Tan Sri dan seorang menteri -- untuk melobi jawatan Ketua Hakim Negara dan kenaikan pangkat beberapa hakim lain.

Anwar berkata, ketika mengulas kandungan video berkenaan, jika isi perbualan ini benar-benar terjadi, maka ia memberi implikasi wujudnya konspirasi untuk memusnahkan sistem perundangan.

Konspirasi itu, tambahnya, "untuk mempengaruhi hakim-hakim kanan agar membuat keputusan penghakiman yang tidak berdasarkan undang-undang."

Anwar bagaimanapun enggan mendedahkan sumber dan individu yang bertanggungjawab merakam video itu.

"Pendedahan ini menguatkan apa yang saya yakini sebelum ini bahawa ada konspirasi politik, rasuah besar yang melibatkan badan kehakiman, untuk menjatuhkan saya," katanya, dengan menuduh menteri berkenaan turut terlibat dalam usaha menjatuhkan kerjaya politiknya pada 1998.


Manusia gila merogol membunuh kanak-kanak bermaharajalela, Kerajaan dan Polis gagal membendungnya?



Sudah sampai masanya, masyarakat, pihak berkuasa dan pemimpin negara mengambil serius dan melaksanakan tindakan agresif bagi membendung gejala 'sakit' lagi kronik dan tidak berperikemausiaan orang yang zalim terhadap kanak-kanak.

Kisah pilu Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun bukanlah isu baru, malah negara telah merakamkan tujuh tragedi sedih yang telah melibatkan kanak-kanak Malaysia yang tidak berdosa yang dirogol dan dibunuh kejam.

Pada Disember 2004, seorang kanak-kanak malang ditemui orang ramai dalam keadaan menyayat hati dan sedang menangis di tepi sebuah tangki air di sebuah semak di Kampung Chendering, Kuantan. Mangsa dipercayai menjadi korban nafsu seorang lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dalam semak di kampung itu kira-kira pukul 8.30 malam.

Sehari sebelum itu, mayat Siti Syazwani, 9 pula ditemui mati 100 meter dari rumahnya- dirogol dan dibunuh oleh seorang pekerja asing Indonesia.Mayatnya ditemui mati dalam parit di ladang kelapa sawit Tikam Batu, Sungai Petani dengan hanya berbaju kurung, tersembam ke dalam parit sedalam 2 meter.

Kisah setrusnya begitu menggemparkan negara, sehingga rata-rata masyarakat mecadangkan pelakunya dibunuh atau dikasi kemaluannya lantaran tindakan mereka terhadap Nurul Huda Abd Ghani,Murid Tahun 4 yang dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelakidi Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg. Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004.

Selain itu bulan yang sama,Haserawati Saridi, 10- dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Menggatal, Sabah.
Pada 6 November 2002 pula Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, 2- diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel pada jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus.

Ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.
Dua remaja berusia 19 tahun pula telah merogol kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun sehingga terkeluar usus ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Maluri, Kepong 13 Ogos 2001.

Dan akhir pada 23 Oktober 2000,Nur Shuhada, 6 ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman 3 tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan.

Apa yang dikesalkan ialah kegagalan pihak kerajaan dan Polis bertindak dengan berkesan membendung gejala ini dari berterusan. Lapan kejadian menyayat hati yang dicatatkan diatas amat merunsingkan kita semua. Penjenayah terbabit seolah-olah berkeliaran di mana di seluruh pelusuk negara.

Undang-undang ciptaan manusia yang digunapakai di Malaysia sekarang ternyata tidak menggerunkan penjenayah dan perogol. Kita mengharapkan kerajaan Islam Hadhari kembali kepada undang-undang Islam ciptaan Allah yang mempunyai keberkatan dan Insya Allah mampu membendung gejala ini. Penjenayah itu sendiri akan gerun dan takut untuk melakukan kesalahan kerana insaf dan sedar hukuman yang akan dihadapinya jika disabitkan kesalahan.

Masyarakat Malaysia diseru supaya melindungi kanak-kanak daripada manusia gila yang sedang berada dimana-mana yang sentiasa mengundang kecelakaan maruah dan nyawa anak-anak kita. Tindakan drastik dan bersepadu mesti diambil bagi memastikan keselamatan rakyat terutamanya kanak-kanak tidak terancam. ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59