Monday, 30 July 2007

LAGI 'PRODUK' ISLAM HADHARI YANG 'HEBAT'



Semenjak Islam Hadhari diperkenalkan bermacam-macam peristiwa dan kejadian jenayah berlaku yang kadang-kadang tidak masuk akal. Malah kejadian jenayah tersebut dilakukan oleh remaja dan budak sekolah.

Media hari ini sekali lagi melaporkan kejadian jenayah yang melibatkan murid sekolah. Yang dahsyatnya kes jenayah ala genster ini dilakukan oleh murid perempuan. Sungguh hebat ajaran Islam Hadhari ini sehingga mampu melahirkan gengster muda perempuan.

Ini semua tidak lain tidak bukan disebabkan pimpinan Islam hadhari yang sememangnya tidak suka kepada pengajian dan pendidikan Islam sehingga akhirnya melahirkan remaja yang rosak dan ganas.

Laporan media itu menyebut bahawa sembilan pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Muadzam Shah dekat Rompin, didakwa bertindak ala Mafia dengan membelasah dan merakam gambar bogel seorang rakan mereka menggunakan telefon bimbit.

Kejadian berlaku di sebuah Felda dekat Muadzam Shah apabila mangsa berusia 16 tahun dalam perjalanan ke rumah rakannya kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Bagaimanapun, dia dihalang sembilan pelajar perempuan berusia 16 tahun dari sekolah sama sebelum seorang daripada mereka menghampirinya.

Menurut sumber, pelajar terbabit bertanyakan kepada mangsa mengenai sama ada dia pernah mengutuknya, termasuk memperli dirinya ‘gemuk’ tetapi mangsa menafikannya.

Bagaimanapun, pelajar terbabit yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu membelasah mangsa sebelum disertai lapan rakannya yang menanti peluang bagi melepaskan geram.

“Mangsa dibelasah bertubi-tubi termasuk ditumbuk dan ditampar sebelum diterajang sehingga tergolek di tepi jalan hingga menyebabkan mangsa cedera dan lebam di beberapa bahagian badan.

“Tidak puas dengan perbuatan itu, sembilan pelajar terbabit membogelkan mangsa dengan menanggalkan baju dan seluar dalamnya hingga tidak tinggal seurat benang.

“Mangsa yang tidak berdaya melawan atau melarikan diri hanya membiarkan colinya dipotong menggunakan gunting,” katanya.

Selepas itu, katanya, seorang daripada pelajar terbabit merakam gambar bogel mangsa menggunakan telefon bimbit ketika dia tersadai di tepi jalan.

Penyerang ‘Minah Rewang’ itu kemudian beredar sebelum mangsa yang kesakitan dan menangis memakai baju yang ditanggalkan lalu pulang ke rumah.

“Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada keluarganya dan mereka membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, pada hari sama.

“Akibat dibelasah sembilan pelajar perempuan itu, mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS) di Rompin kerana kecederaan di badan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Abdullah Sani Salat, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Menurutnya, polis sudah menahan sembilan pelajar perempuan di rumah mereka sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan kerana merusuh dan semua barang yang ditemui di tempat kejadian dirampas.


MELAKA MAJU 2010 : KAMPUNG MASIH MUNDUR DAN TERABAI


Kerajaan negeri melaung-laungkan bahawa Melaka akan mencapai taraf negeri maju 2010. Tetapi malangnya disaat pemimpin berangan-angan begitu, rakyat diabaikan, kampung mereka terus mundur dan ketinggalan.

Wakil Rakyat yang dulunya berjanji macam-macam langsung tidak nampak batang hidung.

Itulah negeri Islam Hadhari. Ini terbukti dari laporan media hari ini.

Seorang penduduk mengeluh, “Mana wakil rakyat kami? Sejak pilihan raya hingga sekarang, langsung tidak menjenguk kami. Kami ini masih bawah jagaannya,” kata Mohd Rozi Khamis, 31.

Menurutnya, walaupun penduduk kampung ini hampir keseluruhannya warga emas, janganlah ‘dipulaukan’ seolah-olah Kampung Kubang Badak, Lubok Cina, dekat sini, tidak wujud dalam peta negeri Melaka.

Katanya, ramai anak-anak muda di kampung itu terpaksa berpindah ke Senawang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur apabila melihat prasarana yang ada di kampung itu amat mendukacitakan.

Beliau berkata, jalan yang rosak dan berlubang di sana sini, dipenuhi belukar menyebabkan mereka takut untuk tinggal di kampung itu.

“Anak-anak ini hanya pulang ke kampung masing-masing setahun sekali iaitu pada musim perayaan dan khuatir tinggal lama berikutan keadaan semak samun dan gelap.

“Malah, jika penduduk ingin ke jalan besar iaitu Jalan Lubok Cina, mereka terpaksa menggunakan kenderaan seperti motosikal berikutan jarak dari kampung berkenaan ke jalan itu kira-kira 6.4 kilometer.

“Ini menyebabkan penduduk kampung terutama warga emas jarang keluar kerana tidak sihat atau tidak mempunyai kenderaan,” katanya.

Kampung Kubang Badak, Lubok Cina dikenali ramai apabila berlakunya kes pembunuhan dua beranak iaitu Ramah Md Shah, 68, pada 27 Jun lalu diikuti anak angkatnya, Rohani Baba, 31, pada 17 Julai lalu.

Dia berkata, warga emas di kampung berkenaan seolah-olah tidak dipedulikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Siput, Lubok Cina dan tidak pernah melantik penduduk kampung itu untuk menjadi ahli jawatankuasanya.

Katanya, penduduk kampung itu perlu dilantik menjadi ahli jawatankuasa JKKK kerana mudah menyalurkan masalah kepada penduduk tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sementara itu, Norlela Mohd Ali, 35, berkata pada hari pengebumian Ramah, penduduk terpaksa meminta jasa baik seorang kontraktor untuk menaburkan batu kerikil di jalan kampung berkenaan kerana berlubang.

“Malah, saya terpaksa mengambil beberapa batang kayu untuk menutup jalan yang berlubang kerana khuatir kereta jenazah terbalik ketika membawa jenazah Ramah untuk dikebumikan.

“Cubalah bayangkan berapa azabnya kehidupan kami seolah-olah kami tidak wujud dan tinggal di kampung ini. Malah kami terpaksa memotong rumput sendiri di kiri kanan jalan kampung berkenaan secara gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata, walaupun baru pulang ke kampung berkenaan empat tahun lalu, namun tidak ada perubahan yang dapat dilihat.

Menurutnya, ada warga emas di kampung itu sepatutnya menerima bantuan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi tidak menerimanya berikutan diabaikan wakil rakyat dan JKKK.

“Walaupun ada yang berjanji memberi bantuan tetapi janji tinggal janji,” katanya.

Sementara itu, Norpiah Md Jan, 61, berkata kebanyakan penduduk warga emas ini tidak pandai membaca dan menulis serta mudah ditipu orang lain.

Katanya, sejak menetap di kampung berkenaan, hanya Allahyarham Tun Ghafar Baba pernah melawat ke desa berkenaan ketika menjadi Ketua Menteri Melaka antara 1959 dan 1963.

“Walaupun tinggal dalam kawasan terpencil dan tersorok, penduduk kampung juga inginkan perubahan termasuk jalan dan lampu awam.

“Jika penduduk kampung lain dapat menikmati pasarana yang disediakan kerajaan, kenapa kami tidak boleh begitu. Kenapa biarkan lampu jalan bernyala pada siang hari dan bergelap pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Alias Badur, 65, yang pernah menjadi ahli jawatankuasa JKKK Kampung Siput, berkata pihaknya ada memohon untuk membina jambatan bagi menghubungkan penduduk Kampung Kubang Badak dengan Kampung Sungai Siput.

Katanya, apa yang diketahui pembinaan jambatan itu sudah diluluskan beberapa tahun lalu tetapi tidak diketahui kenapa ia tidak dibuat sehingga sekarang.

Menurutnya, jika jambatan itu didirikan, ia akan mempercepatkan perjalanan untuk kedua-dua penduduk kampung berkenaan dan kebanyakan tanah yang ada di Kampung Kubang Badak adalah milik penduduk Kampung Sungai Siput.

Sebelum ini, ada jambatan kayu dan lama kelamaan jambatan itu reput dan tidak diganti dengan yang baru.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59