Tuesday, 17 July 2007

2 PETI UNDI BARU DI DUN BUKIT BARU MENGEJUTKAN – MAT DAN


BUKIT KATIL : Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Baru hairan bagaimana SPR sewenang-wenangnya menambah 2 peti undi dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Baru.

Timbalan Pengarah MTD Bukit Baru, Mat Dan Siron melahirkan rasa terkejut beliau apabila menyedari bahawa 2 peti undi baru iaitu Taman Tun Rahah dan Kampung Ku Sayang telah diujudkan oleh SPR sedangkan pada Pilihanraya Umum 2004 kedua-dua Peti Undi tiada. Penambahan 2 peti undi menjadikan DUN Bukit Baru mempunyai 8 peti undi berbanding 6 sebelum ini.

“Kita berasa hairan bagaimana SPR boleh menambahkan 2 peti undi baru ini sedangkan tiada persempadanan semula di buat selepas pilihanraya umum lalu. Apa yang kita faham persempadanan kawasan pilihanraya hanya akan dibuat setiap 8-10 tahun sekali.”

“Kes ini sama dengan kes di Selangor tempohari di mana SPR telah memindahkan lebih 1,000 pengundi ke Peti Undi lain tanpa notis” kata Mat Dan.

Dari kajian yang dibuat oleh MTD Bukit Baru 2 peti undi baru yang diujudkan adalah pecahan dari peti undi lama dimana Peti Undi Taman Tun Rahah adalah pecahan dari Peti Undi Bukit Katil manakala Peti Undi Kampung Ku Sayang adalah pecahan dari Peti Undi Bukit Baru (sekarang ditukar nama kepada Bukit Pulau).

Dengan penambahan 2 Peti Undi ini, DUN Bukit Baru mempunyai 8 Peti Undi iaitu Bukit Beruang, Bukit Katil, Bukit Baru Dalam, Bukit Pulau, Padang Jambu, Kampung Ku Sayang, Taman Tun Rahah,

Mat Dan juga memberitahu Blog bahawa pemecahan peti undi ini juga memberikan masalah kepada mereka kerana mereka terpaksa merombak struktur jentera pilihanraya MTD dan Unit Peti Undi (UPU) sedia ada bagi mempekemaskannya.

“Kami memang tidak menjangka ada perubahan ini, lebih-lebih perkara ini melibatkan pemecahan Peti Undi dan pembentukan Peti Undi baru, SPR memang tidak adil “ kata Mat Dan.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Ustaz Khirul Che Salleh meminta MTD seluruh Bukit Katil menyemak nama-nama peti undi di DUN masing-masing kerana dikhuatiri DUN lain juga mengalami perubahan seperti MTD Bukit Baru.

“Jangan nanti dah dekat pilihanraya baru tahu ada Peti Undi baru, dan baru hendak cari petugas” kata beliau.

Untuk rekod DUN Bukit Baru adalah salah satu DUN di dalam Parlimen Bukit Katil. Pada Pilihanraya Umum 2004, Calon PAS, Hj Bakrin Sidek telah ditentang oleh Calon BN, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam. Calon BN tersebut menang dengan majoriti lebih 4,000 undi.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59