Tuesday, 26 June 2007

LAGI BUKTI MELAKA DARUL MAKSIAT. APA ALI RUSTUM BUAT?


MELAKA: Media hari ini melaporkan bahawa Pantai Klebang merupakan tempat maksiat. Maksudnya banyak betul tempat maksiat walaupun negeri ini kecil.

Media tersebut melaporkan bahawa sikap segelintir golongan remaja yang mengunjungi kawasan Pantai Klebang, di sini, dan melakukan maksiat secara terang-terangan di khalayak ramai menyebabkan penduduk dan pengunjung pantai berkenaan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Tinjauan media itu di kawasan pantai yang terletak di bahagian belakang kawasan pelancongan pesisir pantai itu mendapati pasangan terbabit tanpa segan silu duduk bercumbu-cumbuan.

Malah, bagi pasangan yang datang dengan kenderaan, mereka bebas melakukan apa yang tidak dilihat oleh orang ramai yang berkunjung di situ.

Seorang pengunjung yang enggan dikenali berkata, keadaan mereka agak keterlaluan kerana ia jelas menunjukkan mereka tidak hormat terhadap pengunjung lain.

Katanya, pada sebelah petang, kebanyakkan mereka yang berkeluarga akan membawa anak bersiar-siar di kawasan itu.

“Namun, apabila `disajikan’ dengan `pertunjukan’ seperti itu, kawasan pantai ini menjadi tidak sesuai untuk dikunjungi.

“Kawasan ini memang agak sunyi berbanding di kawasan hadapan dan sesuai untuk beriadah, tetapi kehadiran mereka menganggu pengunjung lain.

“Mereka tidak malu duduk berpeluk, bersandar dan bermanja-manja tanpa mempedulikan orang lain. Ini amat memalukan.

“Saya berharap sesuatu dapat dilakukan pihak berkuasa bagi memastikan gejala kurang sihat itu dapat dihapuskan,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani, berkata pihaknya akan mempergiatkan lagi pemantauan di kawasan terbabit terutama pada sebelah petang.

Sebelum ini, katanya, sudah beberapa kali pasangan melakukan perbuatan tidak sopan ditahan Jaim di situ.

“Untuk mengatasi masalah ini, kita mahu kerjasama orang ramai terutama penduduk di situ supaya menegur perbuatan sumbang yang dilakukan golongan terbabit,” katanya.

Inilah bahana apabila kerajaan Islam Hadhari tidak langsung mengambil langkah untuk mengatasi masalah kegiatan maksiat ini. Kerajaan Islam Hadhari lebih sibuk memantau ceramah-ceramah agama di surau dan masjid, sementara Polis pula disibukkan dengan tugas memantau ceramah dan demonstrasi sehingga tugas asasi dikesampingkan.

Pemimpin pula wirid harian mereka hanyalah memikirkan di mana hendak dibina bangunan tinggi, jalanraya dan sebagainya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59