Wednesday, 30 May 2007

TIMBALAN PRESIDEN : SAH HARUN LAWAN NASA




Harun lawan Nasa.








Sudah sah bahawa akan ada pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden apabila YB Ustaz Harun Taib menawarkan diri untuk bertanding bersama-sama dengan penyandang jawatan Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

Jawatan Naib Presiden PAS pula pada muktamar kali ini menyaksikan lima calon menawarkan diri, di mana dua daripada merupakan penyandang jawatan itu.

Mereka iaitu Dato' Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu, manakala tiga muka baru pula ialah Ustaz Ahmad Awang (Ketua Penerangan PAS Pusat), Dr Mahfodz Mohamed (Pesuruhjaya Johor) dan Haji Mahfuz Omar (AJK PAS Pusat).

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat pula dicabar Ustazah Nuridah Salleh (Ketua Muslimat Wilayah Persekutuan), timbalannya, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali dicabar Wan Hasrina Wan Hassan (Ketua Muslimat Selangor).

Salahuddin Ayub kekal sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat begitu juga dengan timbalannya Ustaz Idris Ahmad, manakala bagi jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Mohd Sabki Yusof (Setiausaha Dewan Pemuda), Azman Shapawi (Terengganu) dan Mohd Zaki Ibrahim (Kelantan).

"Setakat ini keputusan muktamad akan diketahui selewat-lewatnya malam ini," kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar ketika ditemui selepas sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan JKR 10 di sini, hari ini.

Tambah beliau kemungkinan ada di kalangan calon akan menarik diri pada saat-saat akhir.

Dewan Ulama difahamkan menyaksikan pertandingan semua jawatan tertinggi.

Seramai 66 pencalonan untuk ahli jawatankuasa PAS Pusat antaranya, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Taib Azamuddin Taib, Mazlan Aliman, Ustaz Azizan Abdul Razak dan Saari Sungip. - mj


LINA JOY TETAP MURTAD. APA TINDAKAN KITA?


Walaupun Mahkamah memutuskan bahawa perkataan Islam tidak boleh dibuang dari Kad Pengenalan Lina Joy, namun hakikatnya Lina Joy masih murtad dan ratusan ribu lagi yang lain juga terus hanyut dengan dunia kemurtadan mereka. Keputusan hakim sebentar tadi tidak 'mengembalikan' Lina Joy dan 'rakan-rakan yang sewaktu' dengannya, kembali kepada Islam. Ianya hanya memutuskan bahawa hukum-hakam Islam dan perkara yang berkait dengannya adalah dalam bidang kuasa mahkamah syariah dan perkataan Islam hanya boleh dibuang oleh Jabatan Pendaftaran Negara dengan perintah dan keputusan mahkamah syariah.

Kita yakin 'pemimpin-pemimpin' dan 'pengikut-pengikut' Lina Joy ini tidak akan berdiam diri mereka akan terus berusaha untuk memurtadkan seramai mungkin orang Islam terutama anak-anak muda yang sememangnya rapuh pegangan agama mereka.

Fakta yang dinyatakan oleh Mufti Perak bahawa ada 250,000 orang yang telah murtad mesti diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Kerajaan Islam Hadhari tidak boleh berselindung lagi, mereka mesti berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkan aqidah umat Islam. Kerajaan mesti menggubal undang-undang murtad untuk membendung gejala ini.

Sebagai Umat Islam kita semua mesti menggesa kerajaan Islam Hadhari supaya menggubal undang-undang Islam berkaitan murtad ini secepat mungkin. Andaikata kerajaan Islam Hadhari masih berdegil dan keras kepala tidak mahu melakukannya, maka Umat Islam mesti menolak mereka pada pilihanraya umum akan datang.


PERMOHONAN LINA JOY DITOLAK. KEPUTUSAN HAKIM 2-1



TERKINI: ALHAMDULILLAH, ALLAHU AKHBAR Akhirnya, keputusan majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.

Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Alauddin Mohd Sheriff mengetepikan permohonan Azlina, yang lebih popular dengan nama Lina Joy, manakala seorang lagi hakim, Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.

Keputusan yang ditunggu-tunggu itu disambut dengan gemuruh takbir oleh lebih 500 umat Islam yang hadir sejak awal pagi di perkarangan Mahkamah Persekutuan, dekat sini.

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil(DPPBK) mengucapkan syabas kepada Hakim Tun Mohd Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Dato' Alauddin Mohd Sheriff kerana berjaya memartabatkan kedaulatan Islam. ALLAHU AKHBAR.

Dengan itu kita mengharapkan selepas ini tiada lagi puak-puak laknatullah yang berani mempermain-mainkan agama Islam dan Mahkamah Syariah.

Kita pasti puak-puak yang sentiasa menyokong Lina Joy tidak akan berdiam diri. Malah Lina Joy dan ratusan ribu lagi sudah murtad. Kita mesti berusaha untuk membendung gejala ini dan menyedarkan manusia murtad tersebut supaya kembali kepada Islam dan bertaubat.

Kepada Kerajaan Islam Hadhari DPPBK menyeru supaya undang-undang yang menjaga kedaulatan Islam diperkemas dan diperkuatkan demi untuk kepentingan Islam. Jangan pula kamu sebagai pemimpin lembik dan tunduk kepada kemahuan pihak tertentu yang sememangnya hendak menjahanamkan Islam dengan berselindung di sebalik undang-undang dan hak asasi manusia.

Ayuh pemimpin Islam Hadhari mari kita sama-sama membenteras gejala murtad yang kini semakin membarah dalam negara kita.


Untuk rekod, Lina Joy dilahirkan sebagai seorang Islam 43 tahun dahulu tetapi telah murtad dan masuk agama kristian pada tahun 1998.


CERAMAH DR HARON DIN DAN SAIFUDIN NASUTION JUN INI


2 ceramah akan dianjurkan dalam Kawasan Bukit Katil pada awal Jun ini. Ceramah-ceramah tersebut adalah seperti di bawah :-

Penceramah : Dato' Prof. Dr Haron Din
Tarikh : 6 Jun 2007
Tempat : Madrasah Ar Rahmah, Solok Gaong.
Waktu : 8.00 malam (Isyak berjemaah)


Penceramah : Saifuddin Nasution Ismail
Tarikh : 9 Jun 2007
Tempat : Rumah Hj Abu Samah, Rumah Awam Bukit Katil.
Waktu : 9.00 malam

SELURUH RAKYAT MELAKA DIJEMPUT HADIR


Mahfuz: Saifuddin masih ahli PAS


Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah memberitahu PAS Kawasan Pokok Sena bahawa mereka mahu melantik seorang ahli parti itu Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengarah Strategi PKR, kata ketua PAS Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, Saifuddin juga tidak pernah memberitahu beliau atau pemimpin PAS Pokok Sena yang lain bahawa beliau ditawarkan jawatan tersebut.

"Ini berita yang baru saya dengar. Sehingga hari ini, Saifuddin masih seorang ahli PAS kerana beliau telah menyertai parti ini Januari lalu.

"Saya tidak tahu, pada masa sama, beliau masih lagi ahli PKR tetapi yang saya tahu ialah Saifuddin merupakan bekas pemangku ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR bagi kerusi Lunas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahfuz , yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Saifuddin sebagai pengarah strategi PKR seperti yang diumumkan oleh penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kongres nasional PKR di Seremban, Ahad lalu.

Bagaimanapun, PAS, kata Mahfuz tidak menghalang Saifuddin untuk menjadi pengarah strategi PKR kerana jika ia lebih baik kepada masa depannya, beliau perlu menerima tawaran tersebut.

Sijil penyertaan

"Saifuddin tidak pernah membuat permohonan untuk meninggalkan PAS, sebaliknya beliau pernah berjanji untuk terus komited dengan parti.

"PAS kawasan Pokok Sena sedang mengatur satu program untuk menyampaikan satu sijil penyertaan kepada Saifuddin kerana menyertai PAS kawasan ini," katanya lagi.

Saifuddin ketika ini menjadi pengurus Yayasan Tok Kenali yang ditubuhkan oleh kerajaan PAS Kelantan yang berpusat di Kota Baru.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Saifuddin yang dilantik sebagai pengarah strategi PKR.

Malaysiakini


IMAM AL HADHARI LANGSUNG TIDAK BIMBANG IMPLIKASI KES LINA JOY



Hari ini hari penentuan samada kes-kes murtad akan berlaku terang-terangan selepas ini atau ianya berlaku senyap-senyap seperti sebelum ini. Andaikata rayuan Lina Joy untuk membuang perkataan Islam dalam kad pengenalannya diterima oleh Mahkamah Persekutuan maka selepas ini berduyun-duyun manusia murtad menzahirkan diri mereka bahawa mereka sudah murtad dengan segala kemegahannya membuang perkataan Islam dalam kad pengenalan mereka.

Namun berita kes ini ditutup oleh media arus perdana untuk menghapuskan sensitiviti umat Islam dan mungkin juga alasannya untuk mengelakkan suasana tidak baik di kalangan rakyat. Seringkali alasan menjaga ketenteraman awam menjadi penyebab berita-berita PENTING terhadap kepentingan Islam di tutup dari pengetahuan umat Islam.

Akhirnya umat Islam terus hanyut dengan dunia fantasi mereka tanpa peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling hatta agama dan negara hampir tergadai pun mereka tidak perasan.

Lebih malang lagi Imam Al Hadhari Wal Badawi langsung tidak runsing dengan implikasi yang bakal berlaku jika Lina Joy menang dalam perbicaraan nanti. Imam Hadhari hanya sibuk dengan tugasan hariannya dan tidak menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menjaga kedaulatan Islam. Imam Al Hadhari tidak pun menyentuh isu yang sangat penting ini dalam ucapan atau kenyataan akhbarnya.

Bagi rakyat yang mengundi dan mengangkat BN menjadi pemerintah fikir-fikirkanlah. Andalah sebenarnya yang memberikan kuasa kepada Islam Hadhari. Apakah dosa kerajaan Islam Hadhari membiarkan gejala murtad, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal tidak dikongsi sama oleh anda???????


HATI-HATI DI JALANRAYA






Kemalangan jalanraya di Alor Setar semalam yang meragut lapan nyawa



Sejak Jumaat lalu keadaan jalanraya utama menjadi sesak dan sibuk kerana ramai yang mengambil peluang cuti persekolahan untuk melancong dan balik kampung. Sebagaimana biasa di Malaysia bila tiba musim cuti maka bertambahlah kadar kemalangan jalanraya yang sebahagiannya melibatkan kehilangan nyawa.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK) mengharapkan semua pengguna jalanraya sentiasa berhati-hati, sabar, tenang dan mematuhi undang-undang supaya semuanya berjalan lancar dan mendapat perlindungan dari Allah.

Pengguna-pengguna juga dinasihatkan supaya memeriksa kenderaan masing-masing agar ianya dipastikan dalam keadaan yang sempurna dan baik demi keselamatan diri sendiri, penumpang dan pengguna jalanraya yang lain.


Semoga sentiasa mendapat perlindungan dari Allah S.W.T walau di mana jua.


HARI PENENTUAN


Hari ini adalah hari penentuan Kes Lina Joy. Mohon semua pelawat dan pengunjung blog ini agar sama-sama berdoa untuk kemenangan Islam.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59