Monday, 7 May 2007

SATU LAGI 'ALAMATUL SUGRO' PILIHANRAYA : GAJI KAKITANGAN AWAM DINAIKKAN


Satu lagi 'alamatul sugro' Pilihanraya akan dilakukan dalam masa dekat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menaikkan gaji 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara. Maka sudah terlalu banyak alamat yang boleh dilihat termasuk pendedahan media secara besar-besaran kekukuhan ekonomi negara, keputusan pilihanraya kecil yang memihak kepada BN, kenyataan-kenyataan akhbar pemimpin BN supaya jentera mereka bersiap sedia dan lain-lain lagi.

Jadi diharapkan semua jentera PAS dan BA mesti bergerak 100 % bermula dari saat ini jangan nanti parlimen dibubarkan baru-baru terkial-kial bermesyuarat dan sebagainya.
Sambil menegaskan bahawa mereka berhak mendapat kenaikan gaji, Perdana Menteri berkata, perbezaan pendapatan antara pegawai rendah dan tinggi perlu diambil kira dalam menentukan formula kenaikan gaji itu kerana kos hidup yang tinggi membebankan golongan berpendapatan rendah.


"Kakitangan awam wajar diberi kenaikan gaji tetapi banyak mana setakat ini hanya (Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam) Tan Sri Ismail Adam sahaja yang tahu," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, di sini.

Kerajaan, kata Abdullah, setakat ini tidak mengetahui apa yang hendak disyorkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai perkara itu.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata, dalam ini, kedudukan kewangan negara juga perlu diambil kira dalam menentukan kadar kenaikan gaji kakitangan awam.

Ini merupakan kali pertama kerajaan memberikan jawapan "Ya" kepada soal kenaikan gaji kakitangan awam, kerana sebelum ini kerajaan hanya menyebut "sedang mengkajinya sahaja".

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan semakan semula gaji kakitangan awam dengan kenaikan 10 hingga 40 peratus memandangkan kali terakhir semakan dibuat adalah pada 1992.

Umum pagi ini

Cuepacs mencadangkan kenaikan 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1 hingga 16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam manakala 30 peratus bagi kumpulan sokongan I (Gred 17 hingga hingga 40).

Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41 hingga 54), Cuepacs mencadangkan kenaikan sebanyak 20 peratus manakala bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) pula sebanyak 10 peratus.

Perdana Menteri secara berseloroh berkata beliau memilih untuk bercakap mengenai kenaikan gaji kakitangan awam sahaja pada perhimpunan itu kerana sedar kakitangan awam "tidak mahu" mendengar subjek lain lagi.

"Ada orang cakap dah lama tak naik gaji. Ada orang cakap macam mana nak dinaikkan gaji mereka Pak Lah, sedangkan delivery system belum dipertingkatkan lagi. Ada orang cakap gaji perlu naik kerana kos hidup tinggi sekarang," katanya.

Abdullah berkata kerajaan memang sedar sudah lama gaji kakitangan awam tidak dinaikkan tetapi beberapa elaun termasuk COLA (elaun kos sara hidup) sudah diberikan untuk meringankan beban mereka.

Ini bukan bermakna tiada apa-apa pemberian daripada kerajaan walaupun gaji mereka tidak dinaikkan sebelum ini, kata perdana menteri.

Dalam pada itu, Abdullah berkata kakitangan awam pula perlu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam dengan memberi tumpuan kepada aspek kecekapan, kepantasan dan keadilan dalam melaksanakan tugas mereka.

Surat rayuan

Mereka mesti berkhidmat dengan cepat, tepat dan adil kerana cara itu sahaja boleh menjadikan pembangunan negara lebih dinamik, katanya.

"Kita tak boleh kata kita hanya nak urus 10 fail sahaja sedangkan fail di depan kita bertimbun. Kita juga tidak boleh kata kita nak urus sekian banyak sahaja surat rayuan sedangkan banyak surat rayuan yang perlu diberikan perhatian," kata Abdullah.

Ismail yang turut hadir pada perhimpunan itu ketika ditanya oleh pemberita kemudiannya berkata, kajian kenaikan gaji itu kini di peringkat akhir.

Ditanya mengenai formula kenaikan gaji itu sama ada golongan berpendapatan rendah akan menikmati lebih kenaikan berbanding yang berpendapatan tinggi, beliau hanya berkata: "Seperti yang Perdana Menteri cakap tadi. Seperti yang Cuepacs minta."

Ismail juga enggan menyatakan bila hasil kajian itu akan diserahkan kepada kerajaan untuk pertimbangan.

"Tunggulah Perdana Menteri akan umumkan," katanya.


TUN MAHATHIR 'MAHU' PAS MENANG DI KELANTAN



Maka berkata Tun Mahathir pada majlis Syarahan Perdana Majlis Tindakan Rakyat Kelantan baru-baru ini bahawa sebagai ahli UMNO dan bekas pemimpin tertinggi UMNO, beliau tidak rela melihat UMNO tumbang di tangan PAS atau mana-mana parti pembangkang. Tetapi, sekiranya ketewasan UMNO adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan kepimpinan UMNO sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka rakyat Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara Malaysia tercinta.

Nampak jelas bahawa Tun Mahathir lebih rela PAS terus memerintah Kelantan demi untuk menyedarkan kerajaan Islam Hadhari bahawa PAS yang dipimpin oleh seorang ulama' mampu memerintah dengan adil, demokratik dan telus. Walaupun dengan hasil yang minima dan diskriminasi dari pusat Tok Guru terus berjaya mentadbir Kelantan dan menjadikan Kelantan sebuah negeri disifatkan 'Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur' berbanding dengan pentadbiran Islam Hadhari yang semakin celaru dan caca marba.

Kenyataan Tun ini merupakan satu tamparan hebat kepada Imam Al Badawi Wal Hadhari yang sekarang ini syok sendiri mendabik dada ke sana ke mari bahawa akulah pemimpin agung Islam sedangkan negara sekarang parah dengan rasuah dan penyelewengan.

Satu lagi kenyataan Tun yang perlu dicongak ialah tanpa berselindung, Tun memerli keputusan pengundi di Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ijok yang sanggup menggadai maruah mereka untuk wang berjumlah RM200 dan mesin-mesin jahit. Tun menasihatkan hadirin yang hadir supaya mempertahankan maruah negara di dalam pilihan raya dengan menolak sebarang tawaran membeli undi mereka. Membeli undi adalah rasuah, pemberi dan penerima sama-sama melakukan kesalahan. Tun juga mahu para pengundi tidak membuat pilihan secara membabi buta kerana ia hanya akan memberi mandat kepada pemerintah untuk melakukan apa sahaja secara membabi buta.

Syabas Tun kerana kamu mempunyai jiwa yang besar berani menyatakan kebenaran walaupun pahit.

Dipetik dan diolah hasil nukilan Penembak Badak


SELAMAT HARI IBU



Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK) mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada seluruh ibu-ibu di negara kita khasnya ibu-ibu di Kawasan Bukit Katil. Hari Ibu atau Mothers Day akan disambut oleh rakyat seluruh dunia pada hari Ahad kedua setiap tahun. Oleh itu Hari Ibu tahun ini jatuh pada 13 Mei 2007.

DPPBK sentiasa komited memperingati hari ibu ini kerana jasa ibu-ibu kita sangat besar maknanya kepada kita malah kita semua sering sayu dan merasakan diri kita terlalu kecil apabila mengenangkannya. Seorang insan, wanita yang sanggup mengandungkan kita sembilan bulan atas kerelaannya dengan penuh penat jerih dan kepayahan semata-mata mahu melihat kita keluar sihat dari rahimnya.

Dan dalam kepedihan dan kesakitan itu apabila terpacul sahaja kita keluar, si insan bernama ibu tadi boleh melupakan segala penderitaan fizikalnya dan menyambut kita dengan senyuman penuh kegembiraan.

Mana ada manusia di dunia selain ibu yang memiliki perasaan sedemikian?

Malanglah anak yang durhaka. Malanglah anak yang mencampakkan ibu kandungnya ke rumah orang tua. Malanglah anak yang berjaya sedangkan ibunya merempat entah dimana. Malanglah anak yang melihat ibunya sebagai satu bebanan dan jijik melihatnya diwaktu tuanya.

Si ibu terus menatang kita bagaikan emas, nyamuk atau semut yang mengigit kita sudah mengusarkan hati ibu, jerit tangis kita menggegarkan ibu dari tidur atau rihatnya. Perut kecil kita dipastikannya sentiasa berisi, najis si anak ibu yang sucikan tanpa mengenal waktu.

Dan bila semakin membesar ibu terus berperanan, baju anaknya, sekolah anaknya, sakit pening anaknya, kegemaran anaknya, Subbhanallah manakan tidak dikurniakan syurga di telapak kaki suci mu.

Malah diwaktu tua ini kita kekadang tergamam memikirkan, ibu boleh sahaja membaca wajah anaknya, sakit anak dapat dibaca, susah anak dapat dibaca, masalah anak dapat dibaca, hanya dengan merenung wajah manusia yang ia lahirkan, yang ia kandungkan sembilan bulan, si ibu dikurniakan Allah kelebihan dapat mengesan sesuatu hanya dengan menatap wajah anaknya, hebat!

Tiada detik tiada waktu berlalu tanpa si ibu memikirkan akan nasib dan kebajikan anaknya, samada semasa mengandung atau semasa membesar dan demikianlah diwaktu tua. Sedangkan si anak boleh menghabiskan masa berminggu-minggu tanpa langsung ada ruang untuk ibu dalam kotak ingatannya.

Kerana itu DPPBK menganggap siapa sahaja yang memandang rendah dan serong terhadap golongan Hawa terutama yang bakal dan telah bergelar ibu, maka dia telah durhaka kerana sekaligus mencerca dan merendahkan golongan yang telah membawanya dengan izin Allah ke dunia ini.

Hari Ibu ini mestilah kita jadikan hari bermuhasabah diri. Renungkan kembali komitmen kita terhadap insan bertaraf ahli syurga yang bergelar ibu ini. Jika ibu kita telah pergi meninggalkan kita maka janganlah putus-putus berdoa agar Allah menempatkannya dalam seistimewa-istimewa tempat. Manakala yang masih hidup, taburkanlah bakti, murahkanlah senyuman, hiburkanlah hatinya. Sesungguhnya tidak ada wang ringgit dan kekayaan yang boleh membeli jasa dan khidmat ibu kepada kita.


Selamat Hari Ibu, maafkan kami wahai ibu-ibu sekelian.

Dipetik dan diolah dari tulisan Roslan SMS


DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BUKA 2 PUSAT KOMUNITI MUDA (PKM)



Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil akan membuka 2 Pusat Komuniti Muda (PKM) secara rasmi dalam masa terdekat. 2 PKM yang akan dibuka ialah 1 di DUN Ayer Molek dan 1 lagi di DUN Ayer Keroh. Kedua-dua pusat tersebut sudah dikenalpasti, salah satunya telah beroperasi tetapi belum dirasmikan.

Timbalan Ketua DPPBK, Ustaz Abu Bakar Ramle menyatakan bahawa PKM ini akan menjadi pusat aktiviti kepemudaan seperti aktiviti sukan, pendidikan dan khidmat masyarakat.

"Insya Allah kita akan aktifkan pusat ini supaya ia menjadi 'port' pemuda-pemuda setempat" katanya selepas ditemui ketika Bengkel Perancangan Strategik DPPBK.

PKM Ayer Keroh yang diasaskan oleh PAS Cawangan Ayer Keroh dan Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) Ayer Keroh telah berjaya menarik minat remaja-remaja di mana setakat ini Kelas Tuisyen dan permainan pingpong telah bermula beberapa bulan lepas.

Dewan Pemuda PAS Pusat dalam mesyuarat bulanannya baru-baru ini telah mengarahkan Dewan Pemuda Kawasan-kawasan supaya menubuhkan Pusat Komuniti Muda di setiap DUN sebagai langkah untuk mendekati golongan muda setempat.


BENGKEL PERANCANGAN STRATEGIK DPPBK BERJAYA



Bengkel Perancangan Strategik Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK) yang berlangsung Jumaat lepas di sebuah hotel di Bandaraya Melaka berjaya menghasilkan suatu keputusan dan perancangan yang jelas, jitu dan realistik.

Program yang bertujuan membincangkan fokus, halatuju, perancangan, objektif dan Program yang akan dijalankan itu berjaya mencapai matlamatnya apabila kesemua lajnah dan unit berjaya membentangkan perancangan tahunan serta objektif/target masing-masing.

Setiusaha DPPBK, Jasry Jaafar ketika dihubungi menjelaskan bahawa beberapa program besar akan dijalankan antaranya penubuhan Pusat Komuniti Muda (PKM), Pertandingan Sukan dan Kebudayaan, Khidmat Masyarakat, Ekspedisi Dakwah dan lain-lain.

Beliau melahirkan perasaan yang gembira di atas komitmen yang ditunjukkan oleh semua AJK yang hadir dan masing-masing menunjukkan kesungguhan untuk memacu perjuangan pemuda bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang bakal menjelang.


PILIHANRAYA UMUM : DAP MAHU PERTANDINGAN SATU LAWAN SATU


DAP akan cuba mengusahakan supaya pertandingan satu lawan satu akan berlaku di semua kerusi yang ditandingi oleh pembangkang.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lum Guan Eng semalam.

“Kalau boleh, tentunya kami mahu menerima semua cadangan jawatankuasa negeri tetapi kami juga mahu berunding dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) bagi memastikan pertandingan boleh diadakan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita.

Beliau juga mengumumkan bahawa DAP bercadang untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen dan 115 kerusi negeri dengan memberi tumpuan terhadap Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Lim berkata demikian kepada pemberita di luar kongres khas DAP di Kuala Lumpur semalam.

Kongres satu hari itu meminda perlembagaan parti untuk membolehkan badan pembuat keputusannya, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), menangguhkan pemilihan parti peringkat kebangsaan dan negeri sehingga 12 bulan bagi membolehkan ia memberi tumpuan terhadap pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan tidak lama lagi, walaupun mandat kerajaan sekarang hanya berakhir pertengahan 2009.


PKR, PAS desak Seri Paduka pecat pengerusi, setiausaha SPR



Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS akan mendesak Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, dalam tempoh tiga bulan akan datang, penyokong PKR dan PAS dari seluruh negara akan berhimpun di Istana Negara untuk mendesak Yang di-Petuan Agong memecat kedua-dua mereka.

"Abdul Rashid dan Kamaruzaman merosakkan proses demokrasi dengan membenarkan pencabulan, ketidakadilan dan penyelewengan dalam setiap kali pilihanraya diadakan.

"Terlalu banyak kecurangan yang dilakukan oleh SPR dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil. Mereka membenarkan pengundi hantu, orang mati tetapi nama masih ada dalam daftar pemilih dan nama pengundi yang hilang dari senarai pemilih," kata Azmin lagi.

Beliau menegaskan demikian dalam ceramah di Gombak, dekat ibu negara malam tadi. Hadir sama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Azmin Ali dan calon PKR di Ijok, Tan Sri Khalid Ibrahim serta kira-kira 1,000 orang.

Sementara itu, berucap di ceramah yang sama, Nasharuddin berkata pilihanraya kecil Ijok telah berjaya mengukuhkan lagi kerjasama antara PAS dan PKR.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua parti tersebut boleh menjadikan Ijok sebagi tempat untuk membakar semangat rakyat menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Gerakan rakyat

"Kita sedang memantau gerakan rakyat di negara ini dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

Pemimpin utama PAS dan PKR akan turun padang untuk memberitahu rakyat mengenai buruknya demokrasi di Malaysia," katanya.

Nasharuddin berkata, satu perhimpunan rakyat akan diadakan di Kota Baru 2 Jun ini untuk memberitahu kerajaan supaya tidak menganggu demokrasi di negara ini.

"Biarkan demokrasi ditentukan oleh rakyat dan bukannya melalui campurtangan dan gangguan dari pemerintah," katanya.

PAS dan PKR, katanya, akan mencari jalan dan berusaha untuk memulihkan demokrasi yang menurutnya telah rosak di negara ini.

Nasharuddin berkata, PAS dan PKR menyertai pilihanraya Ijok untuk mengesahkan memang adanya penyelewengan dan ketidakadilan dalam pilihanraya di Malaysia.

"Kita boikot pilihanraya Batu Talam (Pahang) kerana kita tahu SPR tidak adil, dan ia memang benar-benar berlaku di Ijok," katanya.

Malaysiankini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59