Tuesday, 17 April 2007

SIAPA TAN SRI KHALID SEBENARNYA?



Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di kawasan tersebut dari dulu hingga kini.

Khalid Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar 1956 dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Beliau seterusnya menyambung pelajaran di sebuah sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.

Beliau kemudiannya lulus dengan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.

Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini Pengerusi Dana Amanah Mellenia Berhad dan ahli lembaga pengarah Sirim Berhad. Khalid Ibrahim juga dilantik sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam Jeddah, sebuah syarikat pelaburan kewangan Islam yang tersohor.

Beliau juga merupakan Fellow Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Bekas guru dan pensyarah institut pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Penduduk Kuala Selangor selalu mengingati jasa Khalid Ibrahim yang membina pusat latihan penyelenggaraan jentera perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga kini.

Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang di Guthrie Berhad, dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.

Kedua-dua program ini berjaya menaik taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.

Atas kesedaran bahawa perubahan politik amat penting dalam memperbetulkan sistem sosio ekonomi negara ini, Khalid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2006 dan dilantik sebagai Bendahari Agung, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Selangor dan Ketua Bahagian Kuala Selangor sehingga kini.

Menaikkan taraf kehidupan rakyat dan pendidikan anak-anak muda menjadi keutamaan Khalid Ibrahim. Dibesarkan di Kuala Selangor, sekiranya beliau dipilih sebagai wakil penduduk Ijok, beliau akan berusaha untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk Ijok dengan memperkenalkan program-program ekonomi, sosial dengan penekanan khusus kepada maju diri dan pendidikan belia, supaya Ijok menjadi contoh DUN terbaik dan termaju dalam Parlimen Kuala Selangor.

Gambar di atas dah macam gambar Calon.


LATARBELAKANG DUN IJOK




KELUASAN IJOK : 91.95 KM PERSEGI
LOKASI : BARAT - UTARA SELANGOR
BILANGAN PEMILIH : 12,272
PECAHAN PENGUNDI : 12,233 BIASA, 39 POS
PECAHAN KAUM : 51.04%, 20.59% DAN 28.16%
BILANGAN DM/PUSAT MENGUNDI : 9
BILANGAN TM/SALURAN : 28 + 1 (POS)
BILANGAN LOKALITI : 154


SENARAI PUSAT MENGUNDI(Sila Klik atas imej ini melihat dengan jelas)



PUSAT PENJUMLAHAN UNDI : DEWAN ORANG RAMAI BATANG BERJUNTAI, DI JALAN KUALA SELANGOR


SAH KHALID CALON PKR DI IJOK



Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim dipilih sebagai calon parti itu dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April depan.

Walaupun pengumuman rasmi belum dibuat, tetapi biro penerangan parti itu telah menghantar emel profail Khalid kepada pihak media.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman rasmi di satu majlis di Ijok malam ini.

Pemilihan calon PKR diselubungi kontroversi kerana ada pihak dalam parti itu yang mendesak supaya diletak calon keturunan India.

Khalid akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban.

Kerusi Ijok kosong ekoran kematian penyandangnya, K Sivalingam pada 4 April lalu.

Malaysiakini


KHALID ATAU NALLA?



Khalid atau Nalla? Itulah persoalan yang bermain di dalam kotak fikiran pencinta politik yang sehingga ke saat ini masih mencongak siapa calon PKR bagi pilihanraya kecil DUIN Ijok.

Segala-galanya akan terjawab malam ini apabila pengumuman rasmi akan dibuat oleh Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim jam 8.30 malam ini, di pejabat KeADILan, Pekan Batang Berjuntai, Kuala Selangor.

Calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan semalam oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo ialah K Parthiban, 39 tahun.

Pilihan raya kecil Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dato’ K Sivalingam, 59, pada 4 April lalu.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) yang dilihat bimbang dengan senario sokongan rakyat kepada pembangkang walaupun proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Ijok akan diadakan 19 April ini. BN telahpun memulakan persiapan bagi menghadapi KeADILan dengan mula menabur projek dan janji-janji.

Kebimbangan BN semakin memuncak apabila Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor meletakkan jawatannya kerana tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Thirumoorthy, 55, seorang guru sekolah menengah, bersama 15 ketua cawangan daripada 36 cawangan MIC di kawasan pilihan raya Ijok itu meletakkan jawatan semalam.

Pilihan raya kecil Dun Ijok diadakan berikutan kematian Adunya, Dato' K.Sivalingham.Proses penamaan calon akan diadakan pada 19 April ini sementara pembuangan undi pada 28 April ini.


3 KAWASAN DI MELAKA DAPAT YANG DIPERTUA BARU


BUKIT KATIL : Tiga buah Kawasan dalam Negeri Melaka mendapat Yang Dipertua baru apabila Yang Dipertua (YDP) lama melepaskan jawatan masing-masing.

PAS Kawasan Bukit Katil yang bermesyuarat agung pada 7 April lalu menyaksikan Yang Dipertua sessi lalu, Haji Md Yassin Abdul Ghani melepaskan jawatannya kepada Timbalan Yang Dipertua sessi lalu iaitu Haji Bakrin Sidek. Manakala Timbalan Yang Dipertua(TYDP) juga menyaksikan muka baru apabila Hj Salim Tahir, Bendahari sessi lalu, dilantik pada mesyuarat agung tersebut. Kedua-dua jawatan tersebut telah dimenangi tanpa bertanding.

Di Alor Gajah, Timbalan Yang Dipertua sessi lalu, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail menyandang jawatan Yang Dipertua selepas YDP sessi lalu, Ustaz Minghat Mamut melepaskan jawatannya. Timbalan Ketua Dewan Pemuda Negeri, Ustaz Asyraf Minghat dilantik sebagai Timbalan YDP yang baru.

Begitu juga bagi PAS Kota Melaka, Ustaz Kamaruzzaman Abd Rahim telah dilantik menggantikan YDP sessi lalu iaitu Ustaz Abdul Rahman Jaafar yang menyandang jawatan TYDP sessi ini.

Manakala PAS Kawasan Tangga Batu dan Masjid Tanah mengekalkan Ustaz Khamis Saat dan Ustaz Abdul Ghani Rahman sebagai YDP masing-masing.

Di Jasin mesyuarat agung PAS Kawasan belum dijalankan tetapi sumber yang sahih menyatakan bahawa YDP sessi lalu, Mejar (B) Jasme Tompang akan mengekalkan jawatannya tanpa bertanding.


DPP BUKIT KATIL AKAN BUKA PUSAT KOMUNITI MUDA


Bukit Katil : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK) akan membuka pusat komuniti muda bagi menarik golongan muda mendekati PAS. Ini adalah selaras dengan arahan Dewan Pemuda PAS Pusat yang meminta semua Dewan Pemuda PAS Kawasan-Kawasan membuka pusat komuniti muda di seluruh negara.

Timbalan Ketua DPPBK, Ustaz Abu Bakar Ramli(gambar) dalam kenyataannya pagi ini berkata bahawa, DPPBK sekarang ini sedang mengenalpasti beberapa tempat untuk dijadikan Pusat Komuniti Muda (PKM) yang strategik dan mudah dikunjungi pemuda-pemuda setempat.

"Insya Allah kita akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan hasrat dan arahan Pemuda Pusat. Kita bercadang untuk menjadikan Pusat Komuniti sebagai tempat beriadah, rekreasi dan tempat menimba ilmu" ujar Uztaz Bakar.

"Kita sedang mengenalpasti beberapa tempat yang sudah mempunyai dewan dan tapak permainan, kita akan membuat permohonan rasmi kepada individu tertentu bagi 'mewartatakan' tempat-tempat tersebut sebagai Pusat Komuniti Muda (PKM)" jelas Ustaz Bakar yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Katil.

Sementara itu dalam Mesyuarat Dewan Pemuda Negeri malam tadi, Ketua Pemudanya Ustaz Kamaruddin Sedik menjelaskan bahawa Dewan Pemuda PAS Pusat pada mesyuarat bulanannya baru-baru ini meminta semua Dewan Pemuda PAS Kawasan membuka Pusat Komuniti Muda (PKM) bagi mendekati pemuda-pemuda setempat.


BANTAH SEMINAR KUMPULAN ANTI HADIS : UMNO SENDIRI TAK PERCAYA HADIS



Semalam Pergerakan Pemuda Umno Bayan Baru, Pulau Pinang khabarnya menganjurkan satu demontrasi dan menyerahkan memorandum membantah seminar anjuran Kumpulan Anti Hadis di Hotel Sri Malaysia, Bayan Baru.

Sepanjang tempoh berhimpun bermula jam 2.00 petang di Pekarangan Masjid Bayan Baru yang hadir tidak sampai 50 orang.

Itupun 50 peratus daripadanya bukan di kalangan kepimpinan Umno dan ahli mereka tetapi sebaliknya individu yang ingin melihat telatah Umno melakukan tindakan menentang arus dalam sebuah kerajaan yang kononnya mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi.

Kita pun pelik dengan sikap Pemuda Umno Bayan Baru ini kerana apa yang kita tahu Umno sendiri tidak percaya kepada Hadis dan Al-Qur'an sebab itulah sebahagian besar tuntutan Islam dalam hal pelaksanaan Hukum Islam dalam pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya tidak dilaksanakan di negara kita.

Sepatutnya Pemuda Umno Bayan Baru menganjurkan demonstrasi di Putra Jaya dengan menggesa Imam Al Hadhari menggunakan Islam sebagai undang-undang negara. Ini kerana Imam Al Hadhari sehingga ke hari ini masih menggunapakai undang-undang kafir sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia.

Pemuda Umno Bayan Baru sepatutnya sedar bahawa kewujudan kumpulan anti Hadis di Malaysia seolah-olah direstui oleh kerajaan sebab itulah mereka dibiarkan bebas mengembangkan aliran pemikiran mereka. Malah ada di kalangan mereka merupakan ahli dan penyokong kuat Umno. Siapa tidak kenal Kassim Ahmad, bukankah beliau penyokong Umno kerana beliau tahu Umno juga tidak percaya Hadis dan Al-Qur'an.


KES THIRU : SAMY TAK BIMBANG, DUIT DAN JAWATAN BOLEH 'LEBURKAN' THIRU



Walaupun Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor, S. P. Thirumoorthy mengesahkan peletakan jawatannya dalam parti itu semalam, ianya tidak membimbangkan Samy Vellu dan MIC kerana duit dan jawatan sudah pasti mampu untuk memujuk Thiru supaya duduk diam-diam. Malah sekiranya senjata kotor ini tidak dapat 'melunturkan' maka satu lagi senjatan ampuh mereka iaitu ugutan sudah tentu mampu untuk menundukkan Thiru dan penyokognya.

Samy, MIC dan BN memang terkenal dengan politik kotor seperti ini. Bukan sahaja ianya digunakan untuk pemimpin mereka yang cuba belot malah ianya sudah pasti akan digunakan untuk memancing undi. BN tidak kisah samada ianya mematuhi undang-undang atau tidak, matlamat mengatasi segala-galanya kerana negara ini umpama 'mak bapak mereka punya'.


Semalam Thirumoorthy, 55, dan 12 ketua cawangan MIC bagi kawasan Kuala Selangor meletakkan jawatan kerana tidak puashati dengan pemilihan K. Parthiban, 38, untuk bertanding dalam pilihan raya mewakili BN. Thiru beranggapan bahawa Samy dan MIC meminggirkan orang lama yang telah banyak menyumbang kepada parti termasuk BN.

‘‘Pemilihan calon muda ini seolah-olah menutup peluang kami yang sudah lama dalam parti untuk bertanding selain dilihat tidak menghargai pengorbanan kami sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau turut menyatakan dirinya masih lagi berpegang kepada prinsip dan menyokong BN walaupun tidak lagi berada dalam parti itu.

Saya berharap BN memenangi kerusi di Ijok nanti,” ujarnya.


AHLI DAN PENYOKONG PAS MESTI PASTIKAN ANAK-ANAK DAN SAUDARA MENDAFTAR SEBAGAI PEMILIH



SPR semalam mengumumkan bahawa seramai 4.9 juta rakyat Malaysia akan menghadapi risiko tidak boleh mengundi pada pilihan raya umum ke-12 akan datang, jika mereka tidak mendaftar sebagai pemilih selewat-lewatnya Ogos ini.

Ini merupakan suatu fakta yang sewajarnya direnungi oleh semua ahli dan penyokong PAS. Tindakan serta merta mesti di ambil oleh mereka supaya memastikan semua anak, saudara-mara dan jiran-jiran mereka mendaftar sebagai pemilih. Tindakan ini adalah wajib bagi memastikan usaha untuk menukar kerajaan berjalan lancar.

Walaupun kuat bekerja macamana sekalipun andai seseorang itu tidak mendaftar sebagai pemilih ianya tidak bermakna kerana ia tidak dapat 'diterjemah' semasa pilihanraya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pihaknya terpaksa mengingatkan golongan itu kerana pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Menurut beliau, kerajaan yang memerintah tidak pernah membubarkan Parlimen genap lima tahun, sebaliknya lebih cepat daripada tempoh tersebut iaitu sekitar empat tahun.

‘‘Kita sengaja menetapkan Ogos sebagai tempoh mereka perlu mendaftar kerana SPR memerlukan masa antara tiga hingga ke empat bulan lagi untuk memasukkan data mereka ke dalam senarai pemilih terbaru dan ini merupakan kehendak undang-undang.

‘‘Kerja-kerja tersebut hanya akan selesai pada bulan Disember dan kita tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum boleh berlaku tidak lama selepas itu.

‘‘Bagaimanapun ia terserah kepada kerajaan yang memerintah kerana mandat sedia ada akan berakhir pada Mei 2009,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih di Suria KLCC di sini, hari ini.

Gerakan tersebut mempunyai tiga tujuan iaitu menggalakkan lebih ramai rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pemilih, menggalakkan pemilih berdaftar yang berpindah membuat pertukaran alamat serta menggalakkan pemilih berdaftar membuat semakan untuk tujuan pembetulan.

Ab. Rashid mengakui suasana pilihan raya umum semakin dirasai kerana kebanyakan pemimpin parti mula membincangkan perkara tersebut.

‘‘Apabila mereka (pemimpin parti) mula meminta anggota peringkat akar umbi supaya menggerakkan segera jentera pilihan raya, apa yang anda fikir tentang perkara ini,’’ katanya.

Beliau berkata, keadaan itu yang menyebabkan SPR melancarkan gerakan perdana kerana mahu memberi satu mesej bahawa mereka yang tidak mendaftar dalam tempoh empat bulan lagi akan terlepas peluang untuk mengambil bahagian pada pilihan raya umum ke-12.

‘‘Daripada pengamatan saya segala-galanya boleh berlaku sebaik sahaja kami selesai memasukkan nama pengundi terkini ke dalam senarai pemilih terbaru.

‘‘Saya percaya anda semua boleh bayangkan apa yang akan berlaku selepas itu (kemungkinan berlaku pilihan raya umum),’’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Selangor merupakan negeri paling tinggi rakyatnya tidak mendaftar sebagai pemilih iaitu seramai 745,515 orang, diikuti Johor (583,000) dan Perak (410,000).

Beliau berkata, 80 peratus daripada mereka berusia dalam lingkungan usia 21 hingga 30 tahun dan tinggal di kawasan bandar.

Katanya, mereka juga adalah daripada kalangan generasi muda yang mungkin terlalu sibuk bekerja atau mungkin tidak mahu ambil peduli tentang tanggungjawab sebagai pengundi.

‘‘Sepatutnya golongan seperti ini meluangkan sedikit masa untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih dan tempat tempat paling mudah ialah di pejabat pos,’’ katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ab. Rashid berkata, berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga Disember tahun lalu, terdapat 15.1 juta rakyat negara ini yang berumur 21 tahun dan ke atas, layak mendaftar sebagai pemilih.

‘‘Namun begitu apabila SPR membuat semakan daftar pemilih, hanya 10.2 juta yang telah mendaftar sebagai pengundi manakala 4.9 juta masih belum berbuat demikian.

“Daripada 10.2 juta yang telah mendaftar pula, empat juta daripadanya tidak lagi tinggal di alamat asal seperti mana yang tercatat dalam kad pengenalan,’’ katanya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59