Sunday, 15 April 2007

APAKAH SATU LAGI PILIHANRAYA KECIL AKAN BERLAKU?


Seorang lagi YB dimasukkan ke was ICU kerana terlibat dengan kemalangan. Apakah satu lagi Pilihanraya Kecil bakal berlaku? Setelah 2 pilihanraya kecil berlaku dalam masa terdekat iaitu Batu Talam dan Machap apakah pemimpin BN sekali lagi terpaksa berkampung untuk menipu rakyat sekali lagi?

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Pahang, Choong Ching Yan, cedera parah setelah kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 57 Jalan Kuala Lumpur - Ipoh dekat Rawang petang semalam.

Jurucakap polis trafik Kuala Kubu Baru berkata dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Choong yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur tidak sempat mengelak sebuah lori dari arah bertentangan yang tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke lorong sebelah.

"Mangsa terlanggar lori itu sebelum dilanggar pula oleh sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak kerana mengekori tidak jauh dari kenderaan yang dipandunya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Difahamkan lori satu tan yang membawa muatan gas itu dalam perjalanan dari Kuala Kubu Baru ke Seremban manakala Choong dalam perjalanan pulang ke Cameron Highlands selepas menghadiri mesyuarat di Kuantan, demikian menurut laporan Bernama.

Jurucakap polis itu berkata akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, Dharal Khalafa Musa, 22, mati dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan serius di kepala.

Katanya, Choong yang memandu kereta Honda CRV cedera parah di kepala serta belakang badannya dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh hari ini.

"Keadaan beliau kini dilaporkan stabil manakala pemandu lori hanya mengalami cedera ringan," katanya.


Laporan polis, BPR dibuat terhadap Ketua Menteri S’wak


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak membuat laporan polis dan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung dakwaan skandal sogokan membabitkan RM32 juta.

Laporan tersebut dibuat oleh Pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Abidin Wan Senusi di balai polis pusat Kuching dan ibupejabat BPR, yang menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut yang dilaporkan oleh akhbar Japan Times.
Akhbar tersebut melaporkan ‘sogokan’ berpuluh juta ringgit telah dibayar oleh kartel perkapalan Jepun, dalam tempoh tujuh tahun, kepada sebuah syarikat Hong Kong yang dikaitkan dengan Taib dan keluarganya.

Perkara tersebut dikesan oleh pihak berkuasa percukaian Jepun yang menganggap bayaran tersebut ‘tidak sah’ kerana perkhidmatan yang diberikan oleh ejen Hong Kong itu – yang dipercayai wujud atas kertas sahaja – tidak sepadan dengan jumlah bayaran tersebut.

Eksport kayu balak Sarawak dikuasai oleh kerajaan negeri melalui Dewaniaga Sarawak yang diketuai oleh adik lelaki Taib.

Akhbar Japan Times melaporkan, firma-firma Jepun mungkin dikenakan bayaran lebih 400 juta yen (RM11.6 juta) tunggakan cukai serta hukuman yang berat kerana ‘menyembunyikan’ dana tersebut daripada pengetahuan pihak berkuasa.

Atas permintaan PM

Sementara itu, Wan Zainal Abidin memberitahu pemberita, laporan tersebut dibuat ekoran reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap dakwaan tersebut.

“Kami melakukannya ekoran kenyataan Perdana Menteri bahawa laporan perlu dibuat untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Pada 12 April lalu, Abdullah berkata, beliau belum lagi menerima sebarang laporan mengenai perkara itu dan juga membayangkan beliau meragui kredibiliti laporan akhbar Japan Times itu.

Abdullah dilaporkan oleh akhbar the Star sebagai berkata, mereka yang membuat laporan tersebut boleh memberi maklumat mengenainya kepada kerajaan kerana siasatan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan kepada laporan akhbar.

Dalam satu lagi perkembangan, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berkata, beliau telah menulis kepada Taib untuk meminta penjelasannya berhubung dakwaan yang dibuat dalam laporan tersebut.

“Perkara ini telahpun dilaporkan seluruh dunia. Oleh itu, integriti kerajaan negeri bergantung kepada penjelasan memuaskan dari (Tan Sri) Taib,” kata Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa.

Taib mungkin saman

Sementara itu, Taib memberi amaran mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap pertubuhan media luar negara dan tempatan berhubung laporan tersebut bagi ‘membersihkan namanya’.

Taib merupakan ketua menteri yang paling lama berkhidmat dan dipercayai salah seorang ahli politik yang terkaya – keluargannya memiliki kepentingan perniagaan yang besar di Sarawak sejak beliau memegang kuasa 26 tahun yang lalu.

Antaranya termasuk syarikat tersenarai Cahaya Mata Sarawak (CMS) – yang terbabit dalam bidang pembankan, perkhidmatan kewangan dan pembinaan.

Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59