Friday, 23 March 2007

Pengurusan wang cara Islam jamin kebahagiaan keluarga


MASIH ada segelintir individu yang menganggap persoalan pengurusan dan perancangan kewangan sebagai perkara remeh sedangkan perkara itu amat mustahak untuk mengelakkan seseorang daripada dibebani hutang keterlaluan dan perasaan gusar serta tertekan ketika dihimpit kecemasan.

Kegagalan mengurus dan merancang kewangan dengan baik juga menyebabkan ada yang mudah terperangkap dengan gaya hidup berhutang sama ada dengan pelbagai tawaran kad kredit atau pinjaman daripada institusi kewangan.

Pengerusi Eksekutif Hijrah, Strategic Advisory Group Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir, berkata pengurusan kewangan yang bijak termasuklah mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan bijak serta mengikut syariah dan memastikan pendapatan diperoleh mendapat keberkatan.

Katanya, semua itu penting bukan untuk kebaikan diri semata-mata, tetapi demi memastikan dapat melahirkan keluarga yang sejahtera di samping umat beriman dan bertakwa.

“Dalam Islam jelas menyatakan mengurus dan membelanjakan harta benda dengan jalan yang betul adalah antara amanah daripada Allah. Barang siapa yang tidak berbuat demikian akan disoal pada hari pembalasan kelak.

“Berdasarkan syariah, menguruskan kewangan adalah satu keperluan dan ia bertujuan untuk mencapai kehidupan yang lebih bermakna. Unsur halal dan mendapat keberkatan Allah sudah tentu menjadi faktor utama dalam Islam apabila menjana pendapatan, perbelanjaan dan pelaburan,” katanya ketika memberi ceramah bertajuk, ‘Pengurusan Harta Secara Islam’ anjuran Bank Islam (Malaysia) Berhad (BIMB), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rohani berkata, umat Islam digalakkan mencari kekayaan dan bukan hanya berserah segala-galanya kepada qada dan qadar. Ini bermakna, individu perlu berusaha mencari harta kekayaan dan pada masa sama memastikan sumber rezeki diperoleh adalah halal dan direstui Illahi.

Beliau berkata, sumber keluarga perlu diurus untuk mencapai matlamat dan aspirasi keluarga. Cara mana sumber diurus akan mempengaruhi kualiti hidup keluarga. Malah, keluarga yang ada keselamatan ekonomi didapati mempunyai perantara yang dapat digunakan bagi mencapai kesejahteraan hidup.

“Merancang kewangan keluarga perlu dibuat dari awal dan bukan apabila sudah ada masalah timbul, baru hendak berbuat demikian. Sebaik-baiknya, wang yang ada perlu dilaburkan mengikut syariat dibenarkan Islam dan diuruskan dengan baik supaya kita berterusan mempunyai kuasa beli dan wang atau kekayaan dimiliki akan terus bertambah,” katanya.

Antara pengurusan yang baik, Rohani berkata ialah memastikan diri berdisiplin untuk membuat simpanan asas secara tetap. Bagi yang ingin membuat pelaburan pula perlulah ada kefahaman mengenai risiko dan profil pulangan bakal dikecapi.

Faktor lain yang mesti dipertimbangkan ialah menyesuaikan pelaburan dengan kewangan diperlukan, di samping mengenal pasti sasaran keuntungan dan strategi mengurangkan kerugian.

“Bagi wanita yang sudah berkahwin misalnya, mestilah sentiasa beringat dan mempunyai pengurusan kewangan sebelum berlaku perkara tidak diingini dalam rumah tangga. Walaupun tidak meminta perkara buruk berlaku dalam rumah tangga, kita hendaklah sentiasa bersedia daripada sekarang.

“Kita juga mesti ingat lazimnya, sesuatu yang baik akan dikecapi dan dimiliki ketika berada dalam saat manis, tetapi apabila berlaku keretakan semuanya berasa masam belaka,” katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa panduan dan kaedah sesuai untuk merancang kewangan. Antara yang boleh diamalkan ialah melalui kaedah ‘Sistem Sampul Surat’. Kaedah yang memerlukan individu memasukkan wang di dalam sampul surat itu bukan saja mudah, tetapi dikatakan masih diamalkan di Amerika Syarikat sebagai salah satu cara untuk menguruskan kewangan dan berbelanja cara berhemah.

Rohani berkata, melalui kaedah itu duit daripada pendapatan bersih diterima setiap bulan akan diagihkan dan dimasukkan ke dalam sampul surat untuk setiap keperluan yang sudah ditetapkan contohnya, untuk diri sendiri, ansuran rumah, ansuran kereta, bayaran bil elektrik dan air, keperluan barangan dapur dan sebagainya.

Satu lagi kaedah perancangan kewangan berkesan yang boleh digunakan ialah ‘kuasa penggandaan’ iaitu memastikan setiap pulangan yang diperoleh melalui pelaburan tidak dikeluarkan atau dibelanjakan sehingga tempoh pelaburan tamat sebaliknya, ia dijadikan simpanan tetap supaya terus berlipat ganda.

“Dalam kita mengejar kekayaan dan harta benda di dunia, jangan lupa tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Allah menyeru bahawa setiap harta diperoleh ada bahagian yang perlu dikongsikan iaitu perlu dibayar zakat dan diagihkan kepada memerlukan. Mengeluarkan zakat bukan saja menyucikan harta yang dimiliki, tetapi mengikis perasaan tamak dan mementingkan diri sendiri,” katanya.

FAKTA:

Elemen utama pengurusan harta secara Islam :-

Berusaha mencari harta kekayaan.
Mengumpul harta kekayaan.
Melindungi harta kekayaan dengan cara menyimpan dan melabur.
Mengagihkan harta kekayaan ke jalan yang diredai Allah..
Membersihkan harta kekayaan melalui pembayaran zakat.

Strategi perancangan kewangan Islam:

Perbelanjaan pendapatan
Pengurusan hutang
Pensucian harta
Perlindungan
Pelaburan
Persaraan
Pengagihan harta


dari Bharian


SHAH ALAM TIDAK MUNGKIN BANJIR 100 TAHUN


Apabila projek tebatan banjir di Sungai Damansara siap seluruhnya, masyarakat Shah Alam yang tidak tidur lena setiap kali hujan lebat, tidak lagi perlu berdepan masalah banjir untuk tempoh 100 tahun.

Inilah antara berita dan laporan yang dimuatkan didalam sebuah media hari ini. Ungkapan sedemikian sebenarnya menunjukkan betapa angkuh dan biadapnya manusia terhadap Allah. Manusia kena sedar bahawa walau sehebat mana kita sekalipun Allah lebih gagah dan perkasa. Kaum Thamud dan Aad yang membina rumah dan istana dengan memahat batu sekalipun begitu mudah dimusnahkan oleh dengan sekelip mata.

Kebongkakan pemimpin Islam Hadhari yang mengatakan mereka sudah bersedia untuk menghadapi banjir sebelum peristiwa tersebut akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Allah menguji rakyat Melaka dan Johor dengan banjir yang di luar jangkaan.

Siapa sangka Johor dan Melaka yang jarang berlaku banjir di uji oleh Allah dengan banjir besar akhir tahun lalu dan awal tahun ini.

Dari itu janganlah manusia bercakap besar dan angkuh.


HUTANG KERAJAAN NEGERI BN BERNILAI BILLION RINGGIT MENGAPA TIDAK DIGEMBAR-GEMBURKAN?


Media arus perdana dan pemimpin-pemimpin Islam Hadhari sering menuduh kerajaan Kelantan tidak tahu memerintah sehingga kedudukan kewangan negeri tersebut di dalam keadaan tenat sekarang.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah mengapa mereka tidak sibuk-sibuk bertanya dan membuat kenyataan akhbar tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri Islam Hadhari yang memang tenat sehingga terpaksa berhutang dengan Kerajaan Pusat berjumlah ribuan atau ratusan juta ringgit.

Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya lebih bijak mentadbir kewangan negeri, ini dibuktikan dengan keupayaan Kelantan membayar hutang kepada kerajaan Pusat sejak mula mengambilalih pemerintahan negeri pada tahun 1990.

Semalam Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kedudukan kewangan kerajaan negeri kini tenat sehingga menyebabkan beberapa projek yang dirancang di negeri itu lambat dilaksanakan atau tidak dapat dilaksanakan langsung.

Nik Aziz berkata walaupun kerajaan negeri mempunyai kewangan yang terhad, ia masih mencukupi untuk pelaksanaan beberapa projek yang dirancang termasuk projek pembinaan jalan raya bertingkat merentasi laluan rel keretapi di sini, yang diumumkan lebih setahun lepas.

"Projek di Kelantan ini, ada, bukan tak ada. Ada benda yang kita buat tetapi kita tak suka sebut mengenainya, tapi bila kita tak sebut, orang bising kata kerajaan tak ada projek.

"Bagi saya, biarlah apa orang nak kata, katalah. Tapi lihatlah, hari ini kita adakan majlis pecah tanah pembinaan jalan raya bertingkat, ini satu lagi projek untuk kepentingan rakyat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembinaan jalan raya bertingkat merentasi laluan rel keretapi sedia ada di pusat bandar jajahan Pasir Mas, di sini.

Turut hadir ialah beberapa Exco kerajaan negeri termasuk pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman serta pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Datuk Husam Musa.


TANAH RUNTUH DI PUTRA JAYA: PEMUDA GESA SIASATAN MENYELURUH


Walau sehebat mana manusia, mereka pasti tidak dapat menandingi kuasa Allah S.W.T. Itulah hakikat yang mesti diterima oleh manusia.

Bandar Putra Jaya yang digembur-gemburkan sebagai cantik, indah dan mewah dan dibina dengan duit rakyat yang banyak juga tidak terlepas dari kuasa Allah.

Pagi semalam kira-kira 1,200 penduduk dipindahkan selepas sebahagian tebing setinggi 12 meter runtuh ke atas kawasan letak kenderaan dan menimbus 23 buah kereta.

Tanah itu hampir-hampir terkena sebuah rumah yang menempatkan taman asuhan kanak-kanak di satu blok kediaman di situ.

Bagaimanapun tiada sesiapa dilaporkan cedera dalam kejadian pukul 4 pagi tadi.

Penduduk dari 330 unit tiga blok bangunan apartmen 15 tingkat di Precinct 9 di sini diarah berpindah serta-merta oleh polis selepas kejadian tersebut.

Difahamkan satu jawatankuasa khas dibentuk bagi mengkaji keselamatan tebing tersebut kerana terdapat sebuah takungan air, yang menyimpan 40 juta liter air, di atas bukit itu.

Seorang pegawai berkata jawatankuasa itu akan menjalankan ujian tanah dan beberapa lagi ujian bagi menentukan punca kejadian dan untuk memastikan keselamatan kawasan berkenaan.

Pangsapuri mewah itu menempatkan kakitangan kerajaan di beberapa kementerian di bandar baru pentadbiran itu.

Kira-kira 150 anggota polis dikerahkan di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Satu pasukan mencari dan menyelamat SMART dengan 12 anggota dan 36 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, bersama lima anjing pengesan, turut dikejarkan di tempat kejadian.

Apa yang menghairan mengapa kajian terperinci tidak dibuat sebelum pembinaan pangsapuri mewah ini sehingga terjadi kejadian tanah runtuh yang amat merbahaya ini.

Sebenarnya inilah yang selalu berlaku di Malaysia, iaitu kajian tentang keselamatan sesuatu kawasan untuk pembinaan tidak dilakukan dengan terperinci dan telus.

Sementara itu DPP Kawasan Bukit Katil menggesa satu siasatan menyeluruh dan terperinci mesti dilakukan untuk mengetahui sebab utama berlakunya kejadian ini. Jika terdapat sebarang penyelewengan pihak terbabit mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

"Kejadian sungguh memalukan negara kerana Putra Jaya adalah pusat pentadbiran negara, sudah pasti kejadian ini menimbulkan imej tidak baik kepada negara luar" jelas Setiausaha DPP Bukit Katil, Khairuddin Ismail dalam kenyataannya pagi ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59