Wednesday, 14 March 2007

Muktamar Bukan Pasar Borong :Surat Terbuka buat Semua



Saya terlebih dahulu mengucapkan selamat bermuktamar atau mesyuarat agong kepada semua ahli PAS di seluruh Negara yang kini sedang menghadapi musim muktamar di peringkat cawangan , kawasan dan dewan – dewan sebelum berlangsungnya muktamar penuh pada akhir bulan Mei kelak .

Semoga muktamar atau mesyuarat agong pada sessi ini berlangsung dalam suasana yang memberangsangkan ke arah membina reputasi parti yang hebat . Penuh dengan analisis dan post mortem yang jujur dan telus serta lontaran idea yang bernas dari perwakilan .

Apa yang lebih penting muktamar atau mesyuarat agong kali ini adalah peluang buat ahli memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti diperingkat masing – masing.

Persediaan Muktamar .

Muktamar merupakan medan buat pemimpin dan anggota parti menilai pencapaian semalam guna merangka strategi di hari esok . Kita diajar oleh Allah swt. sebagai seorang pejuang yang muttaqin pada hari ini agar senantiasa menghubungkan pencapaian semalam dengan langkahan yang akan dimulakan esok.

Firman Allah swt .

يا ايها الذين آمنوا اتقوا الله و لتنظر نفس ما قدمت لغد و اتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Wahai orang – orang yang beriman , bertaqwalah kepada Allah dan lihatlah apa yang telah dilakukan semalam untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah , sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

Surah al Hasyr. Ayat : 18

Justeru itu , sangat tidak wajar muktamar dibiarkan berlangsung suram dan hambar tanpa perbahasan yang mantap dan bernas hasil lontaran idea yang kritis dan dinamis .

Persediaan muktamar jangan hanya dilihat kepada penyediaan dokumen muktamar seperti minit , bag , name tag dan sebagainya tetapi mesti lebih ditumpukan kepada penyediaan idea yang mengandungi agenda dan objektif , menepati misi dan visi perjuangan kita untuk dilontarkan kepada parti di dalam sidang muktamar.

Saya secara kebetulan sering juga dijemput merasmikan mesyuarat agong PAS cawangan – cawangan malah juga PAS kawasan – kawasan demikian juga dewan – dewan .

Apa yang saya lihat , masih banyak cawangan , kawasan dan dewan yang gagal menepati erti mesyuarat agong atau muktamar yang sebenar . Mereka hanya sekadar membentang dan mengesahkan minit kemudian tergesa – gesa untuk pulang .

Mesyuarat agong itu berlangsung hampir sama dengan mesyuarat bulanan mereka , kecuali yang membezakan antara keduanya hanya pada majlis perasmian di mana mesyuarat agong ada perasmi yang diundang dari saf kepimpinan parti dan pemilihan saf kepimpinan yang baru pasa sessi mesyuarat agong yang ada pemilihan.

Fenomena ini tidak harus dibiarkan kekal tanpa penarafan semula terhadap standard muktamar atau mesyuarat agong tersebut. Sementelah pula kita berada di era globalisasi yang menyajikan pelbagai cabaran dan tentangan.

Mahu atau tidak , muktamar mesti hidup dengan menjana tenaga dan menggarap idea anggota parti agar menghasilkan satu gerakan yang hebat dan berkeupayaan tinggi mendepani segala cabaran dan menyerap segala tekanan.

Muhasabah dan analisa .

Muktamar jua ibarat makmal untuk melakukan bedah siasat terhadap aktiviti dan perjalanan parti secara telus dan jujur . Tidak menyembunyikan fakta apatah lagi menyelewengkannya.

Pemimpin dan anggota pula mesti berdada lapang dan bersikap mendengar pandangan dan cadangan serta teguran dan kritikan membina dari dua hala lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya.

Firman Allah swt.

الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة أولئك الذين هداهم الله و أولئك هم أولوا الألباب

Orang – orang yang mendengar perkataan lalu ia mengikut apa yang terbaik , mereka adalah orang – orang yang Allah berikan petunjuk dan mereka adalah orang yang memiliki daya intelektual .

Surah az – Zumar . Ayat : 18

Perwakilan sayugianya jua mempunyai daya menganalisa yang baik terhadap perjalanan parti dan dibahas pula secara matang dan positif .

Amat malang perwakilan yang menghadhiri muktamar tanpa sebarang analisa terhadap perjalanan parti serta tidak pula mengetahui apa yang patut dibahas dan dibincang. Pendek kata , mereka hadhir dengan kepala kosong sekadar memenuhi kouta perwakilan .

Hasilnya , cawangan dan kawasan akan terus statik tanpa sebarang anjakan paradigma yang menepati zuruf dan perkembangan pemikiran masyarakat dewasa kini , malah cawangan dan kawasan tersebut dilihat ketinggalan bahkan usang berbanding zaman yang sedang mereka harungi .

Muktamar bukan Pasar Borong .

Saya ingin tegaskan di sini , bersesuaian pula dengan muktamar kali ini adalah sessi pemilihan saf kepimpinan , agar perwakilan masak dan matang dalam mengambil sikap memilih pemimpin .

Hindarkan pemilihan secara rambang tanpa menilai kemampuan dan kelayakan individu yang dipilih dan terlebih patut dihindari sebarang bentuk lobi – melobi yang negatif .

Neraca pertimbangan para perwakilan dalam memilih pemimpin mestilah sensitif dan peka terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah jua mengambil kira kredebiliti pemimpin yang dipilih .

Firman Allah swt.

إن خير من استئجرت القوي الأمين

Sesungguhnya , sebaik – baik orang yang engkau berikan tugas adalah orang berkemampuan dan amanah .

Surah al Qasas . Ayat : 26

Memilih secara borong dan tangkap muat adalah trend yang mesti dielakkan dari terus mewarnai sikap kita memilih pemimpin di pelbagai peringkat parti.

Parti mestilah dibentuk dengan segala kemantapan dan kehebatan yang melibatkan struktur organisasi , karisma kepimpinan , kualiti anggota dan nilai aktiviti .

Perbaiki kelemahan Pasakkan Kehebatan .

Saban tahun , kita berhimpun dalam pertemuan tahunan yang disebut sebagai mesyuarat agong atau muktamar untuk mengesan kelemahan dan membina kekuatan .

Kelemahan tidak dikesan untuk kita saling salah menyalah dan tuding menuding antara satu sama lain , tetapi ianya dikesan untuk diatasi dan diperbaiki serta diinsafi agar kelemahan dan kepincangan bukan sahaja tidak dibiarkan tetapi dipastikan agar ianya tidak berulang lagi.

Semua pihak dikalangan kita bertanggungjawab menginsafi perkara ini. Jadikan kelemahan sebagai peluang memperkasa parti dan cermin menilai diri bukan orang lain .

Sebab itulah , saya harap kita tidak memusuhi kelemahan sebaliknya tangani kelemahan tersebut dengan tenang dan berhemah .

Kelemahan tidak menjadikan kita panik dan tergugat apalagi kecewa , sebaliknya tanggapilah ia sebagai peluang kedua untuk kita bangkit menaikkan taraf prestasi kita dalam perjuangan suci ini .

Kelemahan bukan dihukum tetapi dibaiki sementara kehebatan pula bukan dinanti tetapi dicari .

" Kabinet " Pilihanraya

Seperkara yang saya ingin ingatkan di sini , bahawa mesyuarat agong atau muktamar kali ini adalah bagi membentuk kabinet yang bakal menghadapi pilihanraya umum ke 12 .

Nota ini tidak boleh dipandang ringan melainkan skima pemilihan mestilah benar – benar kepada mereka yang layak dan sesuai dengan cabaran sessi yang dihadapi dan mereka pula mampu menjadi pelapis kepimpinan masa depan yang pastinya menjanjikan cabaran yang lebih sengit dan getir.

Lantaran itu , pencalonan dan pemilihan mesti melalui proses pengamatan dan penelitian yang serius . Dalam erti kata lain , kepentingan perjuangan dan parti sebagai platformnya mestilah dijadikan asas rujukan ketika meletak nilai kepada individu yang bakal dipilih sebagai pemimpin .

Rasa simpati , kecenderungan " kroni " , hebat berceramah , pengaruh peribadi dan sebagainya tidak wajar dijadikan sistem nilai dalam memilih pemimpin.

فإذا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قال كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قال إذا وُسِّدَ الْأَمْرُ إلى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Apabila berlaku penyelewengan amanah , maka tunggulah saat kehancurannya . Lalu sahabat bertanya , bagaimana penyelewengan itu ? Rasulullah saw bersabda : Apabila diserahkan tugas kepada mereka yang tidak layak maka tunggulah saat binasanya .

Riwayat Imam Bukhari di dalam sohihnya
Jilid 1 / Muka surat 33 . Kitabul ilmi .

Kewajipan Memilih Pemimpin .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang layak dan mampu bekerja atau berjuang dengan " tangan " bukan hanya bekerja dan berjuang dengan " mulut " .

Kewajipan kita memilih memimpin yang membawa ideologi perjuangan Islam tulen , bukan mereka yang membawa agenda peribadi , apalagi membawa ideologi yang asing daripada perjuangan Islam .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang jelas aqidah ahli sunnah wal jamaah , bukan mereka yang menganut fahaman sekular , syiah atau apa jua fahaman yang menyeleweng dari ahli sunnah wal jamaah .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang muttaqin dan faham objektif serta matlamat perjuangan suci ini. Bukan hanya dilihat melalui karisma politiknya tetapi juga wibawanya sebagai seorang mujahid yang berjuang untuk menegakkan Islam secara syumul.

Kewajipan kita memilih pemimpin yang mengambil skima pentarbiyyah parti sebagai sebuah gerakan Islam dan memiliki syaksiyyah qiadiyyah yang soleh .

Kewajipan kita memilih pemimpin yang mempunyai semangat waja dan tenaga gigih untuk berjuang mendepani cabaran luaran mahupun dalaman sehingga Islam dapat dijulang dengan jayanya.

Surat terbuka ini .....

Akhirnya saya tujukan surat terbuka ini buat semua pemimpin dan anggota parti dipelbagai peringkat sebagai peringatan termasuk diri saya yang amat dhaif ini. Semoga muktamar kita melahirkan satu lonjakan dan rangsangan berjuang yang kian hebat dari semalam .

Mencetus gelombang kebangkitan dalaman parti , mengejutkan yang alpa dan membangunkan yang masih lena untuk segera meluru mengambil posisi masing – masing dalam menunai amanah besar perjuangan mulia ini .

Salam perjuangan dari saya
Hj. Nasrudin bin Hj Hassan at Tantawi
Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan DPP Pusat.
Takbiir !


DEMO BANTAH FTA : PECAT RAFIDAH



Ribuan rakyat yang mengadakan demonstrasi bermula jam 8.30 pagi tadi menggesa Imam Al Hadhari memecat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato' Seri Rafidah Aziz kerana tunduk dengan kehendak Amerika yang mahukan Malaysia menandatangani FTA.

Rakyat yang datang dari seluruh negara menunjukkan kemarahan yang meluap-luap apabila berulang kali melaungkan suara supaya 'Nenek' Rafidah di pecat.

Berita penuh dalam Harakahdaily


IMAM HADHARI PELINDUNG RASUAH?



PETALING JAYA: Ekonomi negara dianggap oleh ahli-ahli perniagaan luar negara sebagai semakin "banyak unsur rasuah" tahun ini berbanding tanggapan tahun lepas, menurut satu tinjauan.

Tinjauan tersebut yang diadakan setiap tahun oleh firma Political and Economic Risk Consultancy (PERC), yang berpangkalan di Hong Kong, diumumkan semalam.

Ia mengumpul pandangan 1,476 eksekutif perniagaan berasal luar negara di 13 negara di rantau ini pada Januari dan Februari.


Malaysia berada di tangga ketujuh dianggap banyak rasuah dengan mata 6.25 paling korup dalam pemeringkatan mata 0 (paling tidak korup) dan 10 (paling korup).

Sewaktu dihubungi di Hong Kong, pengarah urusan PERC Robert Broadfoot berkata kedudukan Malaysia menurun sedikit berbanding indeks 2006 apabila mengutip mata 6.13 tetapi lebih baik jika dilihat indeks 2005 (6.80 mata).

"Indeks tanggapan rasuah ini kami telah jalankan sejak 20 tahun, walaupun tanggapan dengan realiti adalah dua perkara berlainan, tetapi dalam soal rasuah, ia menjadi sangat penting," katanya.

"Syarikat-syarikat selalu membuat keputusan pelaburan mereka berdasarkan tanggapan, bukan kenyataan sebenar. Jika sesebuah syarikat melihat situasi di sesebuah negara itu sukar, ia mungkin tidak akan melabur," katanya.

Menurut Broadfoot, mereka yang ditinjau pandangan dalam indeks ini termasuklah pengurus-pengurus syarikat dan bank multinasional.

Dalam indeks tahun ini, Filipina dianggap ekonomi yang paling korup dengan mata 9.40, diikuti Thailand dan Indonesia, kedua-duanya 8.03.

Kedudukan Malaysia ini membimbangkan presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Tan Sri Ramon Navaratnam walaupun beliau sedar indeks tanggapan tidaklah sempurna.

"Bagaimanapun tinjauan ini petunjuk terbaik bagaimana orang berfikir dan menilai rasuah di sesebuah negara," katanya.

"Saya tidak akan mengabaikan tinjauan ini sebagai tanggapan semata-mata kerana tanggapan yang konsisten mencerminkan kenyataan sebenar," tambahnya.

KEPUTUSAN INI JELAS MENUNJUKKAN BAHAWA KATA-KATA IMAM AL HADHARI UNTUK MEBENTERAS RASUAH HANYALAH OMONGAN KOSONG. BUKAN SAHAJA TINJAUN YANG DIBUAT PERC SAHAJA YANG MENUNJUKKAN GEJALA RASUAH SEMAKIN TERUK, MALAH INDEKS CPI TAHUN LEPAS JUGA MEMBUKTIKAN IMAM AL HADHARI GAGAL ATAU SEMEMANGNYA TIDAK MAHU BERTINDAK UNTUK MENGATASI MASALAH RASUAH.

KES-KES YANG MELIBATKAN KETUA PENGARAH BPR, TIMBALAN MENTERI, ADUAN TERHADAP KHIR TOYO, SAMY VELLU, RAFIDAH AZIZ DAN LAIN-LAIN GAGAL DITANGANI DENGAN MEYAKINKAN JELAS MENUNJUKKAN GEJALA RASUAH SEOLAH-OLAH DILINDUNGI.


SPR BEBAL TIDAK MAHU AKUI ADANYA PENGUNDI HANTU



PUTRAJAYA: "Di Malaysia tidak pernah ada pengundi hantu. Semua pengundi, kaki mereka jejak ke tanah, jadi mereka bukan pengundi hantu," tegas setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruzaman Mohd Noor dengan nada separuh berjenaka pada temubual dengan media semalam.

Beliau bagaimanapun serius mahu semua pihak, terutama parti politik pembangkang agar menghentikan dakwaan mereka mengenai kewujudan "pengundi hantu" dalam proses pilihan raya di negara ini.

Katanya perkara ini perlu diperjelaskan kepada orang ramai bagi mengelakkan mereka terus dikelirukan dengan dakwaan berterusan lebih-lebih lagi memandangkan cakap-cakap tentang pilihan raya kini semakin panas.

Setiap orang yang tersenarai dalam Daftar Pemilih tanpa mengira di mana nama mereka didaftarkan, tegasnya, adalah pengundi sah di sisi undang-undang, dan tidak ada pihak boleh mempersoalkan hak mereka, walaupun mahkamah. (Undang-undang inilah sebenarnya yang melindungi kewujudan pengundi hantu. Ianya digubal khas untuk mengHALALkan kejahatan mereka)

"Dari segi undang-undang, mereka pengundi yang sah. Tidak ada sesiapa boleh mempertikai hak mereka, termasuk mahkamah sekalipun.

"Ini kerana Daftar Pemilih yang telah disah dan diwartakan adalah satu undang-undang dan tidak ada pihak boleh mempersoalkannya sehinggalah ia disemak semula," jelasnya kepada mStar Online.

Kamaruzaman menunjukkan contoh kertas undi pos dalam pilihan raya negeri Sarawak Mei 2006.

Istilah "pengundi hantu" kerap digunakan oleh parti pembangkang untuk menggambarkan pengundi yang mereka fikir tidak layak mengundi di sesuatu kawasan.

Mereka juga kerap mendakwa golongan ini sengaja dihantar ke sesuatu kawasan itu bagi menjamin kemenangan calon tertentu.

Menurut Kamaruzaman, keadaan ini sebenarnya terjadi kerana ramai pengundi tidak menukarkan alamat apabila berpindah, menyebabkan nama mereka kekal tersenarai dalam Daftar Pemilih di kawasan lama walaupun tidak lagi bermastautin di sana.

Daftar Pemilih di negara ini disemak semula setiap tiga bulan bagi membersihkannya daripada pengundi yang telah meninggal dunia, berpindah alamat dan memasukkan senarai pengundi baru.

Kamaruzaman berkata, pihak tertentu tidak boleh menyalahkan SPR atau pihak lain melainkan diri sendiri apabila terdapat nama pengundi yang mereka rasa tidak layak berada dalam Daftar Pemilih di kawasan mereka.

"Mereka, bukan SPR yang leka. Mereka sepatutnya membuat bantahan tentang kewujudan nama orang yang mereka rasa tidak layak mengundi di sesuatu kawasan itu apabila Rang Daftar Pemilih dipamerkan untuk bantahan dan tuntutan.

"SPR hanya mendaftarkan pengundi mengikut bukti alamat yang dikemukakan. Kita tidak ada kuasa untuk membuat sebarang perubahan," katanya.

Tambahnya, jika ada bantahan atau tuntutan, SPR boleh siasat dan jika ia berasas, suruhanjaya itu boleh membuat perubahan.

"Bagi Rang Daftar Pemilih baru, setelah dipamerkan dalam tempoh yang ditetapkan tidak mendapat bantahan atau tuntutan, kita akan sahkan, kemudian kita wartakan," jelas beliau.

"Apabila segala proses yang ditetapkan undang-undang ini telah dilakukan, dan daftar itu telah diwartakan, tidak ada lagi pihak, sama ada parti pembangkang, orang perseorangan, malah mahkamah pun yang boleh mengubahnya lagi."

Diajukan soalan kemungkinan ada golongan yang sengaja mendaftar di sesuatu kawasan atas sebab-sebab tertentu, walaupun mereka tidak pernah tinggal, bekerja atau bermastautin di kawasan berkenaan, Kamaruzaman berkata tugas SPR mendaftarkan pengundi berdasarkan alamat dalam MyKad.

SPR tidak akan menolak pendaftaran ini tetapi boleh menyiasat apabila ada bantahan, tambahnya.

"Kerana itu sangat penting bagi orang ramai memeriksa Rang Daftar Pemilih apabila ia dipamerkan di 841 tempat sebelum disahkan dan diwartakan, agar mereka boleh membuat bantahan atau tuntutan. Kalau dah diwartakan, jangan buat bising lagi," katanya.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana ada pihak-pihak terus menyalahkan SPR apabila nama pengundi yang telah meninggal dunia masih kekal dalam Daftar Pemilih, dan seterusnya menuduh konon wujud konspirasi untuk menyalahgunakan nama itu.

"Setiap hari ramai orang mati. Dan setiap hari juga kita semak daftar orang yang disahkan mati di pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jika mereka pengundi, kita buat nota di akhir nama mereka, dan apabila Daftar Pemilih disemak semula, nama mereka akan dikeluarkan.

"Sistem ini bagaimanapun masih tidak tepat, kerana kita masih menerima aduan mengenai kewujudan nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia bertahun-tahun dalam Daftar Pemilih kita yang dikemaskini.

"Kita tidak tahu di mana silapnya, tetapi memang banyak aduan seperti ini masih kita terima hingga hari ini. Banyak nama pengundi yang didakwa oleh saudara-mara mereka telah meninggal dunia tidak ada dalam pangkalan data JPN, jadi kita tidak dapat mengesahkannya.

"Jadi kita sangat berharap saudara-mara si mati dapat membantu dengan membawa bersama sama ada sijil kematian atau permit pengkebumian sebagai bukti agar nama mereka yang telah meninggal dunia dapat dicabut apabila Daftar Pemilih dikemas kini kelak," katanya.

SEBENARNYA PEMBANGKANG TELAH MEMBUAT BANTAHAN UNTUK KESEKIAN KALINYA TETAPI SPR MASIH BERDEGIL. ANTARA BANTAHAN YANG DIKEMUKAKAN IALAH :-

1) UJUDNYA NAMA-NAMA PENGUNDI YANG TELAH LAMA MATI DALAM DAFTAR PEMILIH DAN LEBIH MALANG LAGI ADA ORANG HIDUP YANG MENGUNDI ATAS NAMA SI MATI INI DENGAN MEMBAWA KAD PENGENALAN SI MATI. PERKARA INI SUDAH BANYAK KALI DIREKODKAN OLEH AGEN-AGEN TEMPAT MENGUNDI. MENGAPA SPR TIDAK MENJAWAB ISU INI?

2) ADA PENGUNDI YANG NAMA MEREKA DISENARAIKAN LEBIH DARI SATU KALI DALAM DAFTAR PEMILIH DI DALAM KAWASAN YANG SAMA ATAU BERLAINAN. DENGAN ERTI KATA LAIN MEREKA BOLEH MENGUNDI LEBIH DARI SATU KALI. MENGAPA SPR TIDAK MAHU MENGGUNAKAN KAEDAH CAP JARI UNTUK MENGATASI MASALAH INI?

3) ADA NAMA PENGUNDI YANG SAMA TETAPI BERBEZA SATU NOMBOR KAD PENGENALAN ATAUPUN NO KAD PENGENALAN SAMA CUMA BERBEZA SATU HURUF PADA NAMANYA. MANA MUNGKIN NO KAD PENGENALAN YANG SAMA DIPUNYAI OLEH DUA ORANG. INI DIDAPATI DALAM DAFTAR PEMILIH DI NEGERI MELAKA DAN LAIN-LAIN. JUMLAHNYA BERATUS-RATUS ORANG.

4)BANYAK LAGI SEBENARNYA BUKTI YANG JELAS MENUNJUKKAN UJUDNYA PENGUNDI HANTU SEPERTI DIBUKTIKAN PADA PERBICARAAN KES PILIHANRAYA KECIL LIKAS DAN PENGKALAN PASIR. MALANGNYA SPR MENUTUP MATA DAN MEMEKAKKAN TELINGA. APA PARA PEMIMPIN SPR DAN KERAJAAN TIDAK TAKUT KEPADA HUKUMAN ALLAH KERANA JELAS MEREKA MENIPU?

KITA MENGHARAPKAN MEREKA-MEREKA INI AKAN MENDAPAT BALASAN SETIMPAL DARI ALLAH JIKA MEREKA TIDAK MAHU BERTAUBAT DAN MEMOHON MAAF DARI SELURUH RAKYAT MALAYSIA KERANA PENIPUAN MEREKA.


SATU LAGI KES RASUAH DIBONGKAR


Dia mengaku telah melakukan kesalahan. Insaf dengan perbuatannya itu, dia membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dua tahun lalu. Tetapi apa yang memeranjatkannya ialah BPR gagal mengambil sebarang tindakan.

Adam Yong Abdullah (Gambar), seorang mualaf, telah mengaku bersubahat dengan pegawai kanan kerajaan dan beberapa orang yang lain untuk menerima habuan dan rasuah melebihi RM600,000 pada tahun 2002 daripada dana awam yang diperuntukkan untuk membantu usahawan bumiputera.

Adam – yang mendakwa mencari pengampunan terhadap kesalahan yang dilakukannya itu – berkata dia sendiri menerima RM50,000 sebagai bayaran ‘komisyen’ daripada julan tiga lot kedai pada harga yang tinggi, kepada kerajaan.

Lot kedai tersebut adalah sebahagian daripada unit kedai di Plaza Melaka Raya – kompleks membeli-belah enam tingkat yang dibina pada akhir 1990-an.

Ketika menjelaskan peranannya dalam bayaran rasuah tersebut, Adam, 51, berkata beliau memeluk Islam tiga tahun lalu. Selepas itu, beliau bersumpah untuk membersihkan dirinya dan bersedia menghadapi akibatnya.

“Manusia boleh menutup mata, telinga dan mulut saya, tetapi bolehkah manusia menyembunyikan perbuatan itu daripada Tuhan yang maha kuasa?” katanya ketika ditemubual malaysiakini.

Apabila diberitahu bahawa dia boleh dihukum mengikut undang-undang, Adam memberitahu malaysiakini bahawa dia bersedia menanggung akibat perbuatannya itu.

Rancangan untuk menipu kerajaan itu cukup mudah. Syarikat tempat Adam bekerja menjual hartanah kepada kerajaan pada harga yang tinggi – kira-kira dua kali ganda daripada nilai pasaran.

Dalam proses tersebut, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan broker yang memeteraikan urusniaga tersebut, akan menerima bayaran yang lumayan. Adam juga telah menerima bahagiannya.

Rasuah setengah juta ringgit

Adam mendakwa wang rasuah RM607,500 telah disalurkan melalui seorang broker, yang dikatakan rapat dengan seorang pegawai tinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang kini telah bersara.

Katanya, kedua-dua mereka ini merupakan orang penting dalam urusan penipuan tersebut.

Menurut Adam, harga bagi tiga lot kedai tersebut telah dinaikkan begitu tinggi oleh kedua-duanya sehingga mencapai jutaan ringgit kepada RM4.05 juta dan dijual kepada Lembaga Kemajuan Negeri Melaka di bawah program kementerian tersebut untuk membeli lot kedai untuk disewakan kepada usahawan bumiputera.

Ia terbukti bukan satu keputusan pelaburan yang bijak oleh kementerian berkenaan. Hari ini, kompleks membelibelah itu seperti sebuah bandar hantu – kira-kira 30 peratus daripada 200 lot telah dijual atau disewakan, tetapi hanya 10 peratus daripadanya sahaja yang ada penghuni.

Bagi kementerian itu pula, hanya tiga daripada 12 unit yang dibelinya telah dapat disewakan setakat ini.

“Malangnya, (pegawai berkenaan) tidak betul-betul mengkaji sama ada bangunan tersebut ada potensi menarik pengunjung. Ianya satu dasar yang baik, tetapi tersilap beli,” kata Adam yang mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Rancangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah untuk membeli lot kedai dan menyewakannya kepada usahawan bumiputera pada kadar sewa yang murah untuk memberi mereka peluang untuk maju dalam dalam perniagaan mereka.

Terdapat beberapa kerat sahaja penyewa bumiputera sahaja sehinggakan dua daripada lot tersebut terpaksa disewakan kepada bukan bumiputera – sebuah restoran India dan kedai peniaga Cina menjual barangan sembahyang.

Penerima habuan

Menurut dokumen yang diberikan oleh Adam, Lembaga Kemajuan Negeri Melaka, atau PKNM, merupakan badan rasmi untuk kementerian membeli lot kedai tersebut, dengan menggunakan dana daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

PKNM pada mulanya membeli sembilan unit lot kedai di Kompleks Membelibelah Melaka Raya pada awal 2000. Adam tidak terbabit dalam urusniaga tersebut kerana dia hanya menyertai syarikat yang bertanggungjawab terhadap kompleks membelibelah itu sebagai penasihat korporat pada Oktober 2001.

Pihak pengurusan kompleks tersebut, menerusi Adam ketika itu, telah menawarkan kepada agensi kerajaan itu supaya membeli unit-unit tambahan, tetapi ditolak oleh PKNM.

Bagaimanapun, PKNM mengubah fikiran beberapa bulan kemudiannya. Adalah dipercayai seorang broker dan seorang pegawai kanan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, telah berjaya meyakinkan EPU supaya membeli lebih banyak lot kedai di kompleks membelibelah yang bermasalah itu.

Pada Februari 2002, pegawai tinggi kementerian berkenaan telah menulis surat kepada EPU bagi mendapatkan kelulusan untuk membeli tiga lagi lot kedai di tingkat bawah.

EPU memberi jawapan seminggu kemudiannya, dengan mengatakan pihaknya “tidak ada halangan” dan PKNM kemudiannya menyempurnakan urusniaga tersebut.

Isyarat ketuk meja

Adam mendakwa harga beliannya telah dinaikkan begitu tinggi – kira-kira dua kali ganda daripada harga sebenarnya bagi ketiga-tiga unit lot kedai itu. Unit-unit tersebut akhirnya dijual pada harga RM4.05 juta.

Katanya, rundingan mengenai harga pembelian itu diadakan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 23 Mei 2002 dan “ditetapkan” oleh individu-individu penting yang terbabit dalam urusniaga tersebut.

Sebelum mesyuarat itu diadakan, Adam diberitahu oleh pegawai kanan kementerian tersebut bahawa kerajaan bersedia membayar setinggi RM4 juta bagi tiga lot kedai tersebut.

Di samping Adam dan pegawai tinggi kementerian itu, mereka yang menghadiri mesyuarat penting itu termasuk anggota dari pasukan penilaian dan pegawai kanan yang lain.

Sewaktu mesyuarat tersebut, pegawai kanan berkenaan berpakat dengan Adam, untuk mengetuk meja apabila rundingan harganya mencapai RM4.05 juta – sebagai isyarat kepada Adam bahawa dia menerima tawaran harga tersebut bagi pihak syarikatnya.

Adam mendakwa, komisyen sebanyak 15 peratus telah dibayar kepada beberapa orang yang terbabit dalam urusniaga tersebut, termasuk pegawai-pegawai kerajaan, penilai, broker dan dia sendiri.

“Ia telah diuruskan di mana 15 peratus atau RM607,500 daripada harga belian itu akan dibayar sebagai ‘komisyen’ – lima peratus masing-masing kepada seorang pegawai tinggi kementerian itu dan broker tersebut, dan bakinya diagihkan antara pegawai beberapa agensi kerajaan negeri yang terbabit dalam urusniaga tersebut,” dakwanya.

Daripada jumlah itu, dia menerima RM50,000 dalam bentuk tunai.

Memeluk Islam

Adam berkata dia tidak tahu sama ada wang yang diterimanya itu datangnya daripada bahagian broker berkenaan atau daripada jumlah keseluruhan yang telah diketepikan itu. Dia berhenti daripada syarikat tersebut apabila kontraknya tamat pada Oktober 2002.

Selepas memeluk Islam dua tahun kemudiannya dan atas keinsafan terhadap apa yang telah dilakukannya itu, Adam membuat laporan kepada BPR di Melaka pada Januari 2005.

Ketika dihubungi, BPR Melaka mengesahkan bahawa satu laporan telah dibuat dan kini dalam proses siasatan.

Ditanya mengapa siasatan kes tersebut mengambil masa yang panjang, seorang pegawai di situ berkata, ibupejabat BPR di Putrajaya telah memulangkan kertas siasatan dengan arahan supaya mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Kami telah menyiapkan siasatan, tetapi ibupejabatnya menganggap ianya tidak lengkap. Pegawai penyiasat telah meneruskan siasatan terhadap kes tersebut. Ia masih berjalan,” katanya.

Seorang pegawai Lembaga Kemajuan Negeri Melaka pula meminta malaysiakini supaya menghantar soalan bertulis apabila dihubungi untuk mendapatkan komen. Soalan bertulis itu telah dihantar tetapi sehingga belum ada jawapannya.

Perhatian rakyat

BPR yang dipertanggungjawab untuk menyiasat dakwaan rasuah, kini menjadi tumpuan perhatian rakyat.

Bulan lalu, seorang bekas pegawai kanan BPR telah membuat dakwaan rasuah dan salahlaku seksual terhadap Ketua Pengarah badan itu sendiri, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Bekas pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan, membuat dakwaan itu dalam laporannya yang dihantar kepada beberapa pihak, termasuk Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Bakri Omar.

Zulkipli – yang menjadi ketua pengarah sejak enam tahun lalu – telah menafikan dakwaan tersebut.

Sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pihak polis dan Pejabat Peguam Negara, telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan Ramli terhadap Zulkipli itu.

Dalam satu temubual dengan malaysiakini, Ramli berkata tindakan tidak diambil terhadap banyak siasatan BPR kerana campurtangan daripada pegawai kerajaan.

Dari Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59