Thursday, 1 February 2007

AYUH BANTAH TOL SEKALI LAGI


Gabungan parti pembangkang, kesatuan pekerja dan NGO – Protes Kenaikan Tol – akan menganjurkan perhimpunan bantah kenaikan kadar tol keempat Ahad ini.

Dalam perhimpunan anjuran Protes pada 21 Januari lalu, polis menahan 21 orang yang berhimpun untuk menyertai protes tersebut.

Setiausahanya, Dr Hatta Ramli berkata, perhimpunan tersebut akan diadakan pada jam 4 petang di depan di depan Kompleks Membeli-belah IOI Mall, Puchong.
Katanya, gabungan tersebut tetap membantah keputusan kerajaan menaikkan kadar tol di lima perhentian tol di sekitar Lembah Klang serta keenganan kerajaan untuk mendedahkan semua perjanjian konsesi lebuhraya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menghadiri perhimpunan tersebut bagi membantah keputusan kerajaan yang didakwanya bersifat 'anti-rakyat' dan menggesa kerajaan membatalkan kenaikan kadar tol serta mendedahkan semua perjanjian konsesi lebuhraya.

“Gabungan berpendirian bahawa kerajaan tidak seharusnya menganggap perjanjian konsesi lebuhraya sebagai rahsia rasmi kerana ia tidak melibatkan sebarang urusan jualbeli senjatapi atau keselamatan negara, tetapi ia adalah dokumen pembinaan infrastruktur yang biasa.

Kenyataan Samy

“Oleh sebab perjanjian tersebut ditandatangani antara pihak kerajaan dan syarikat lebuhraya, maka rakyat berhak untuk mengetahui perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian,” kata Dr Ramli dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kenyataan Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu untuk menangkap mereka yang 'mencuri' perjanjian tersebut, beliau berkata, ia menunjukkan bahawa kandungan perjanjian konsesi lebuhraya adalah kebenaran yang paling kerajaan takuti diketahui rakyat.

Sebelum ini, gabungan tersebut telahpun menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, menganjurkan ceramah umum "Bantah Kenaikan Tol" serta mendedahkan perjanjian konsesi lebuhraya yang ditandatangani kerajaan dan syarikat lebuhraya.

Gabungan itu juga telah mengadakan tiga perhimpunan bantah kenaikan tol di tempat-tempat yang berlainan dan dihadiri oleh pimpinan parti pembangkang, kesatuan pekerja, pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis mahasiswa.


AIR NAJIS ANCAM 1O KELUARGA


MELAKA 1 FEB : Seramai 10 keluarga di Taman Desa Molek, Ayer Molek dekat sini berdepan dengan masalah bau busuk berikutan tandas rumah mereka tersumbat kerana tidak diselenggara pihak berwajib.

Seorang penduduk, Ismail Mahmud, 44, berkata lubang mangkuk tandas rumahnya sering dipenuhi air kumbahan dan keadaan lebih teruk lagi setiap kali hujan.

Menurutnya, air kumbahan itu akan melimpah ke lantai bilik airnya sehingga menimbulkan bau busuk dan menjijikkan.

“Kejadian itu sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu dan lebih kritikal apabila taman berkenaan mula dilanda banjir besar pertengahan Disember lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ismail mendakwa, masalah itu turut dialami 10 keluarga lain yang tinggal sebaris dengan rumahnya.

Beliau berkata, kejadian berkenaan sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada penghuni terbabit sama ada ia berpunca daripada kegagalan pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menjalankan kerja menyelenggara dengan sempurna ataupun disebabkan tersumbat.

“Berikutan masalah itu, kami sekeluarga terpaksa menggunakan tandas kedua di rumah kami untuk membuang air besar malah, jiran kami yang terbabit juga terpaksa melakukan tindakan yang sama di rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Jaafar Osman, 53, berkata sudah lebih tiga kali membuat aduan kepada IWK tetapi sehingga kini kakitangan mereka tidak pernah datang membuat pemeriksaan.

“Saya harap IWK peka dan memandang berat masalah yang kami hadapi ini dan sekali gus dapat mengatasinya seberapa segera agar kami tidak berdepan dengan bau busuk daripada air kumbahan itu untuk tempoh yang lama,” katanya

Hmetro


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59