Thursday, 18 January 2007

UPSR PERLU DIMANSUHKAN


Majlis Guru Besar Malaysia Cadang UPSR Dimansuhkan

Majlis Guru Besar Malaysia mencadangkan Kementerian Pelajaran memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang disifatkan terlalu mementingkan keputusan akademik.

Yang Dipertuanya Awang Mohmad berkata pemansuhan peperiksaan berkenaan dilihat dapat memberi kesan positif dalam membentuk jati diri atau sahsiah murid-murid."Peperiksaan tersebut dilihat amat membebankan apabila semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan murid terlalu fokus sehingga mengabaikan aspek pembangunan sahsiah atau sosial murid," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan persaraannya sebagai guru besar di sini, hari ini.

Awang, guru besar Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, di sini dan juga Yang Dipertua Majlis Guru Besar Kelantan akan bersara wajib pada 20 Jan ini.Katanya pendidikan di sekolah rendah sepatutnya lebih menumpukan aspek membentuk jati diri dan sosial murid agar mereka menjadi individu yang lebih kebal daripada gejala tidak sihat."Tetapi senario kini melihat seolah-olah UPSR terlalu penting sehingga murid terpaksa belajar terlalu lama, begitu juga dengan guru dan sekolah yang bimbang jika prestasi mereka merosot," katanya.

Beliau berkata di negara maju tidak ada peperiksaan peringkat sekolah rendah namun pelajarnya tetap berjaya dalam pelajaran."Masalah sekarang guru dan sekolah menerima tamparan hebat apabila keputusan UPSR murid tidak memberangsangkan tetapi masalah sekolah atau kemudahan yang ada tidak diambil kira," kataya.Awang berkata majlis itu kini dalam proses menyiapkan kertas kerja berkaitan cadangan itu untuk diserahkan kepada Kementerian Pelajaran. (BERNAMA)


MANA BANTUAN DARI NEGERI 'KAYA' YANG DIPERINTAH BN?


Walaupun dituduh dengan segala tuduhan seperti negeri miskin, negeri bankrap, tidak pembangunan, MB tak pandai memerintah dan sebagainya, semalam satu lagi bukti menunjukkan bahawa Kelantan lah negeri yang paling 'kaya' dan paling pemurah.

Manakan tidak dalam keadaan ditindas oleh kerajaan pusat, dinafikan hak mendapat peruntukan perkapita 'on time' Kerajaan Negeri Kelantan masih mampu dan bermurah hati mendermakan RM1 juta kepada mangsa banjir di Johor.

Manakala bantuan dan derma dari negeri lain tidak kedengaran walaupun mereka mendabik dada mereka negeri kaya dan maju.

Harakahdaily hari ini dan Berita 12.30 pagi TV3 malam tadi menyiarkan berita tentang derma RM1 juta ini.

Laporan Harakahdaily :

Atas sifat kemanusian dan rasa tanggungjawab, kerajaan Kelantan hari ini telah meluluskan bantuan sejumlah RM1 juta kepada mangsa banjir di Johor.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, memberitahu sumbangan dari kerajaan negeri itu dikeluarkan melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk meringankan bebanan penderitaan mangsa tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Jelasnya, bagi menyegerakan sumbangan tersebut kerajaan negeri akan mengirimkannya melalui Briged Amal yang akan turun ke negeri itu untuk membantu mangsa banjir.

"Briged Amal nak turun Jumaat ini, tetapi pada saya kalau boleh disegerakan hari inipun amat baik,"ujarnya.

Difahamkan sumbangan berkenaan akan disampaikan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, di mana pihak berkenaan akan mengagihkannya kepada semua mangsa yang terlibat dengan banjir.

Selain itu juga, Tuan Guru mengarahkan semua agensi kerajaan negeri mengadakan tabung bantuan bencana banjir masing-masing di seluruh negeri ini.

Tambahnya, apabila tiba tempohnya pungutan berkenaan diserahkan pada kerajaan negeri untuk diagihkan pada mangsa banjir.

Sementara itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, memberitahu pihaknya akan menganjurkan majlis memungut derma yang akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) pada 21 Januari ini.

"Saya berharap semua rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, politik hadir pada majlis itu untuk turut membantu rakyat Johor yang kini dilanda banjir," ujarnya.

Beliau juga turut mendedahkan, sebelum ini PAS Kelantan telah mengirimkan sejumlah RM49,000 kepada mangsa banjir di negeri itu melalui Briged Amal, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dan Badan Perhubungan PAS Negeri sendiri.

"Di samping itu juga lima tan beras sudah diagihkan kepada mereka tanda simpati kita," ujarnya.

Tuan Guru juga melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan individu terbabit pada tiga minggu lalu berhubung persiapan telah diambil untuk menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar kali kedua di negeri itu.

Tegasnya, ekoran kenyataan individu terbabit di mana beliau telah bersiap sedia untuk mengurus banjir sekiranya ia berlaku lagi menyebabkan beliau (Tuan Guru) berasa berdebar.
Tetapi tambahnya, perancangan untuk menghadapi banjir rupanya mengatasi kehendak Allah apabila manusia tidak mampu menangkis kemaraannya (banjir).

Tegasnya, ia menyebabkan individu terbabit berdiam diri mungkin telah menginsafi keterlanjuran keangkuhannya sebelum itu.

"Apa yang penting kita harus ingat setiap musibah yang berlaku mungkin ada sebabnya, adakah kerana dosa-dosa yang telah kita lakukan sebelum ini atau macam mana," ujarnya.

INILAH KEBERKATAN PEMERINTAHAN MENGIKUT CARA ISLAM. ALLAH MEMBERIKAN REZEKI DAN KEBERKATAN TANPA DISEDARI.

ALLAHU AKHBAR


BANTUAN MANGSA BANJIR PUN ADA 'DOUBLE STANDARD'


134 mangsa bah berkhemah tanpa bantuan

BATU PAHAT 18 Jan : Ketika ribuan mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan kerajaan, terdapat 134 orang penduduk Kampung Seri Tanjung dekat sini, memilih mendiami khemah yang mereka dirikan di kawasan tanah tinggi di kampung itu.

Sebanyak 11 buah khemah didirikan di kawasan lapang berhampiran ladang kelapa sawit dan selain ruang untuk tidur, mereka ada kawasan khas untuk memasak, ruang makan, ruang rehat sambil menonton televisyen dan surau, untuk didiami 89 orang dewasa, 40 orang kanak-kanak dan lima orang bayi dengan semua mereka mempunyai pertalian kekeluargaan.


Memandangkan kedudukan khemah berhampiran dengan rumah penduduk, mereka tidak ada masalah dari segi bekalan elektrik dan bekalan air paip.


Menurut Setiausaha Pusat Penempatan Mangsa Banjir Khemah Sementara Kampung Seri Tanjung, Dzainal Abidin Jalil berkata mereka mendiami khemah tersebut pada 14 Jan lepas apabila air naik antara satu dan 1.5 meter menenggelamkan kampung yang mempunyai 23 buah rumah.


Katanya mereka juga pernah mendiami khemah yang sama selama dua minggu ketika banjir pusingan pertama pada Disember lepas melanda kampung berkenaan dan kesemua khemah itu disumbangkan oleh penduduk kampung berkenaan dan mereka secara bergotong-royong mendirikannya.


"Kami bukannya ingkar dengan arahan kerajaan untuk berpindah ke sekolah yang dijadikan pusat pemindahan tetapi kami yakin khemah ini selamat... lagi pun ia didirikan di kawasan tanah tinggi," katanya kepada Bernama yang melawat kampung itu, hari ini.
Kampung yang agak terpencil dari perkampungan lain itu, kini hanya boleh dihubungi dengan kenderaan berat.


Beliau berkata penduduk mengambil inisiatif sendiri mendirikan khemah tersebut bagi mengelakkan kesesakan di pusat pemindahan berdekatan dan mereka juga enggan berpindah jauh dari kampung berkenaan kerana dibimbangi rumah mereka akan dicerobohi oleh pencuri memandangkan kedudukannya yang agak terpencil.


"Di kampung lain, kami pernah mendengar kes rumah penduduk yang ditinggalkan akibat banjir telah dipecah masuk oleh pencuri, kami tidak mahu kes sama terjadi pada kami.


"Polis juga mempunyai banyak tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan dan sudah tentu mereka tidak dapat kerap membuat rondaan di kampung kami. Kami juga secara bergilir-gilir mengawal kawasan khemah ini bagi memastikan keselamatannya terjamin," katanya.


Ditanya tindakan mereka jika air terus naik sehingga ke kawasan khemah, Dzainal berkata: "Insya Allah, selamat, sama-samalah kita doakan, kami yakin air tidak sampai sini".
Katanya walaupun jalan utama menghubungkan kampung itu sudah terputus untuk kenderaan ringan, mereka mempunyai jalan alternatif dalam kawasan ladang kelapa sawit itu untuk ke pekan berdekatan.


Bagaimanapun apa yang mereka persoalkan ialah kenapa pihak berkuasa tidak menghantar bekalan makanan dan barangan lain sebagaimana yang diperolehi mangsa banjir lain.


Dzainal berkata pada banjir pusingan pertama, pada setiap hari mereka menerima bekalan makanan dan keperluan lain yang dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi kini mereka menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mendapatkan keperluan harian.
Beliau berkata senarai penduduk kampung yang mendiami khemah tersebut telah diserahkan kepada JKM Batu Pahat bagi memohon bantuan barangan keperluan bagaimanapun sehingga kini bantuan belum sampai.


"Setiap kali kami hubungi JKM, jawapannya tiada bekalan diperuntukkan untuk kami di sini. Kononnya pusat penempatan sementara yang kami diami ini tidak digazetkan oleh kerajaan.
"Berilah hak kami sebagai mangsa banjir. Kami tahu kerajaan mempunyai peruntukan lagi pun banyak dermawan yang menghulurkan bantuan untuk mangsa banjir seperti kami," katanya.


Beliau berkata pihak kerajaan terutama Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan menteri berkaitan patut melawat penempatan tersebut bagi mendapat gambaran sebenar supaya bantuan makanan dan barangan keperluan lain dapat disalurkan ke situ.


TAKKAN MANGSA BANJIR PUN NAK DIJADIKAN MANGSA DISKRIMINASI PULAK


CERAMAH DATO' DR HASSAN ALI DI PAYA DALAM 25 JAN


PAS KAWASAN BUKIT KATIL AKAN MENGANJURKAN CERAMAH UMUM BERKENAAN ISU SEMASA PADA 25 JAN 2007 BERTEMPAT DI KG PAYA DALAM, AYER MOLEK BERMULA PADA JAM 9.00 MALAM. CERAMAH TERSEBUT AKAN DISAMPAIKAN OLEH NAIB PRESIDEN PAS DATO' DR HJ HASSAN MOHD ALI. SEBELUM ITU BELIAU JUGA AKAN MENYAMPAIKAN KULIAH MAGHRIB DI SURAU MARKAZ PAS BUKIT KATIL.

MUSLIMIN-MUSLIMAT DI SELURUH MELAKA DIJEMPUT HADIR UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT TERKINI TENTANG ISU-ISU SEMASA SEPERTI PEMBOIKOTAN PILIHANRAYA BATU TALAM, KES ALTANTUYA, ISU BANJIR DAN LAIN-LAIN.


RM403 UNTUK PEMBANGUNAN FIZIKAL BAGAIMANA DENGAN PEMBANGUNAN MANUSIA?


JASIN 18 Jan : Daerah Jasin telah diperuntukkan sebanyak RM403 juta melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi melaksanakan 17 projek utama di kawasan tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam memberitahu, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Jasin merancang untuk melaksanakan 10 projek utama yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM59 juta dalam tempoh RMK-9.Katanya, peruntukan melalui kerajaan persekutuan pula adalah sebanyak RM344 juta bagi melaksanakan tujuh projek utama di kawasan tersebut yang kesemuanya berjumlah RM403 juta.

Beliau memberitahu, sepuluh projek yang telah dirancang dalam RMK-9, ini termasuk pembinaan Dewan Orang Ramai yang bernilai RM15 juta, menaiktaraf Taman Awam Laman Puteri Gunung Ledang (RM10 juta), pembinaan stesyen bas Merlimau (RM8 juta), pembinaan pusat komersial Sungai Rambai (RM8 juta), pembinaan Pejabat Baru MPJ (RM7 juta), pembinaan rumah kedai Bemban (RM3 juta) dan pembinaan rumah kedai Umbai (RM2 juta).Selain daripada itu, katanya, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan Terminal Kenderaan Berat Merlimau, pembinaan Pasar Besar Merlimau dianggarkan bernilai RM2 juta dan pemodenan sistem pengangkutan awam dalam Bandar Jasin bernilai RM1 juta.

Mohd. Ali berkata demikian semasa berucap di Majlis Pengisytiharan Naiktaraf Majlis Daerah Jasin Kepada Majlis Perbandaran Jasin yang diadakan di Mini Stadium Jasin di sini, malam tadi.
Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob telah mengisytiharkan naiktaraf Majlis Daerah Jasin kepada Majlis Perbandaran Jasin.

Persoalannya sekarang bagaimana dengan pembangunan manusia. Berapa juta diperuntukkan? Tidakkah Ali Rustam tahu bahawa kadar maksiat, kadar jenayah, bilangan penagih dadah semakin hari semakin meruncing.

Pembangunan fizikal akan hancur dan tidak berguna sekiranya manusia tidak dibangunkan. Kita tidak menentang pembangunan tetapi pembangunan fizikal mesti seiring dengan pembangunan insan.

Fikirkanlah wahai Ali!!!! Jangan hanya fikirkan projek-projek pembangunan fizikal semata-mata.



KHIR TOYO PATUT DIPECAT, BUKAN HANYA PEGAWAI DIAMBIL TINDAKAN


YDP MDSB Pindah Ke JPA, 15 Pegawai MPAJ Dirujuk Ke Badan Disiplin

Yang DiPertua (YDP) Majlis Daerah Sabak Bernam, Ahmad Samuri Mohd Dahlan, yang melanjutkan lesen premis hiburan keluarga di Sekinchan yang kemudian dikesan menjalankan kegiatan perjudian haram, dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta merta.

Sementara 15 pegawai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula akan dirujuk ke Badan Disiplin pihak berkuasa tempatan itu bagi menyiasat kewujudan sebuah taman tema di Pandan Perdana dekat Ampang yang beroperasi tanpa lesen selama lapan tahun.

Itulah tindakan yang diambil di atas kesalahan yang dilakukan. Seperti biasa bila sesuatu perkara berlaku pegawai-pegawai lah yang menerima padah tetapi orang politik tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

Dalam hal ini sepatutnya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga dikenakan tindakan kerana gagal memantau dan memastikan para pegawainya bertugas dengan baik dan berintegriti.

Semua orang tahu Khir Toyo telah dikaitkan dengan pelbagai dakwaan dan penyelewengan. Sudah bertong-tong laporan di buat kepada BPR, sudah berapa banyak penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan Wakil-wakil rakyat Selangor dan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan yang gagal ditangani Khir Toyo serta seribu satu masalah berlaku di Selangor tetapi Khir Toyo tetap teguh 'bersemayam' di 'singgahsana' tanpa dijentik sekalipun.

Kalau di tanya kepada Pak Lah tentang tindakan yang hendak beliau ambil terhadap Khir Toyo, mungkin Pak Lah akan jawab SAYA TIDAK TAHU atau SILA LAPORKAN KEPADA SAYA DENGAN LENGKAP.

INILAH CERITA HINDUSTAN NAMANYA


RAKYAT MESTI SOKONG USAHA PEMBANGKANG BOIKOT PILIHANRAYA YANG TIDAK TELUS


MELAKA 18 JAN - Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Yuhaizad Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia menyokong usaha pembangkang khususnya PAS dan PKR memboikot pilihanraya selagi sistem pilihanraya yang dikendalikan SPR tidak diubah sehingga ianya benar-benar telus dan adil.

"Rakyat seharusnya menyokong usaha ini kerana dengan pilihanraya yang adil dan telus sahajalah negara kita dapat diselamatkan kerana kerajaan yang dipilih oleh rakyat nanti adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan adil" kata Yuhaizad kepada blog ini sini pagi ini.

"Sekiranya sistem ini tidak diubah maka sudah tentu kerajaan yang ada hari ini akan kekal kerana mereka akan sentiasa menang dalam pilihanraya kerana sistem itu sendirilah yang membantu kemenangan mereka" jelas Yuhaizad lagi.

Banyak tindakan yang boleh dibuat oleh rakyat bagi menggesa kerajaan dan SPR mengubah sistem ini. Antaranya jelas beliau ialah mengumpul tandatangan dan menghantar memo menggesa kerajaan dan SPR merombak sistem pilihanraya yang ada. Selain dari itu banyak lagi tindakan yang boleh difikirkan sesuai oleh rakyat tetapi Yuhaizad enggan menyatakan dengan jelas apa tindakan tersebut yang disifatkan oleh beliau lebih berkesan.

"Kita tunggu dan lihat apa yang akan di buat oleh pembangkang, kita serahkan kepada pemimpin tertinggi pembangkang untuk bertindak" jelas Yuhaizad dengan berhati-hati.

Seperti yang diketahui umum pembangkang telah mula menunjukkan kesungguhan untuk menyedarkan rakyat bahawa sistem Pilihanraya Malaysia adalah tidak telus dan berat sebelah apabila pembangkang memulaukan Pilihanraya Kecik Batu Talam. Tindakan ini mendapatkan sokongan padu dari NGO, kesatuan sekerja dan pihak-pihak lain.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan akan memulaukan pilihan raya umum akan datang tetapi segala keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan bila tiba masanya.

‘‘Kemungkinan itu ada kalau tidak diperbaiki, jangan fikir ia tak mungkin (dilakukan). Tetapi saya tidak kata ‘ya’,” kata beliau.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri membayangkan kemungkinan itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.

PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihan raya kecil Batu Talam 28 Januari ini kerana tidak mahu bertolak ansur dengan perjalanan sistem pilihan raya dan SPR yang dicemari penyelewengan, kepincangan dan penipuan.

Ditanya tentang penyertaan PAS dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir Disember lalu, beliau berkata, pilihan raya kecil itu adalah kes yang berlainan namun mempunyai kaitan.

Di Pengkalan Pasir, katanya, PAS cuba mempertahankan kerusinya yang dirasakan penting kerana ia boleh menggugat kerajaan Kelantan apabila PAS dan Barisan Nasional memiliki jumlah kerusi yang hampir seimbang.

‘‘Perjalanan pilihan raya di Pengkalan Pasir mengukuhkan keputusan Pas untuk tidak menyertai pilihan raya di Batu Talam kerana wujud kes pengundi hantu, penyamaran dan politik wang yang berleluasa,” ujarnya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan.

Pengerusi SPR itu juga mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR.
Abdul Rashid dilihat sebagai memberikan gambaran bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, tidak adil dan tidak saksama apabila berkata, selain memberi lebih kuasa kepada SPR, kajian semula itu juga bertujuan menjadikan proses pilihan raya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.

Beliau juga dilihat menggambarkan bahawa SPR tidak dapat menjamin keadilan dalam pilihan raya apabila berkata, undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan keadaan sosial yang telah berubah.


MANA WANG RM500?


Taman Merdeka, Batu Berendam 18 Jan : Mangsa-mangsa banjir di Melaka mempersoalkan kemanakah perginya wang RM500 seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak.

Salah seorang mangsa yang ditemui, Mahani Osman 37, dari Taman Merdeka berkata, beliau telah menyerahkan laporan polis kepada wakil penduduk kerana difahamkan laporan itu menjadi dokumen untuk bagi membolehkan pemberian wang RM500.


"Saya dah hantar laporan itu 2 minggu lepas tapi duit tu masih tak diterima, kalau tak mau bagi janganlah war-warkan, sebab nanti orang tertunggu-tunggu" kata beliau ketika ditemui di perkarangan rumahnya di sini semalam.


"Dengar cerita derma datang dalam bentuk wang mencurah-curah datang, tapi mana perginya duit tu" soal beliau lagi.


Difahamkan sebahagian besar mangsa telah menerima wang ehsan banjir sebanyak RM 200 setelah beberapa kali mereka menuntutnya di Pejabat ADUN atau tempat-tempat penyerahan sementara. Ada di antara mangsa yang menerima duit tersebut setelah hampir sebulan banjir berlalu.



Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59