Thursday, 11 January 2007

SATU LAGI KAWASAN PERNIAGAAN MELAYU DI TENGAH BANDAR MELAKA AKAN LENYAP


BANDARAYA MELAKA 11 Jan : Sebuah lagi kawasan perniagaan Orang Melayu ditengah Bandar Melaka akan lenyap tidak lama lagi. Kawasan tersebut terletak di tapak gerai makan berhadapan dengan Hotel Equatorial yang terletak di kawasan strategik di Bandar Hilir.

Media hari ini melaporkan bahawa, Kerajaan negeri Melaka menerima pelaburan bagi membina dua buah hotel dan sebuah pangsapuri yang mengandungi 1,800 buah bilik di Banda Hilir yang bernilai kira-kira RM300 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pembinaan hotel-hotel terbabit adalah bagi menampung kekurangan bili-bilik hotel di negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong bermalam di Melaka.

Katanya, pelaburan-pelaburan tersebut datang daripada pihak swasta yang berminat untuk membina dua buah hotel dan sebuah pangsapuri bertaraf lima bintang di sekitar Banda Hilir.

"Syarikat yang akan melaksanakan projek-projek itu ialah Syarikat Lianbang Ventures Sdn. Bhd. yang akan berkerjasama dengan CMG Group PTE Limited, sementara syarikat lain ialah sebuah syarikat dari Dumai dan Singapura, masing-masing akan bertanggungjawab melaksanakan projek-projek berkenaan," katanya pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurutnya, dua buah hotel berkenaan masing-masing akan dibina di tapak Hotel Ambassador, Melaka Raya dan di kawasan gerai berhadapan dengan Hotel Equatorial manakala pembinaan pangsapuri pula akan dibina di kawasan berhadapan Mahkota Medical Centre.

Dari tinjauan yang dibuat, semua pengusaha gerai makan di kawasan berhadapan dengan Hotel Equatorial adalah orang melayu. Ini bermakna satu lagi kawasan perniagaan Orang Melayu ditengah Bandar Melaka akan lenyap tinggal kenangan. Sebelum ini beberapa kawasan perniagaan Orang Melayu ditengah-tengah Bandaraya Melaka juga telah 'dimusnahkan' oleh kerajaan Negeri pimpinan Umno ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman membantah sekeras-kerasnya hasrat kerajaan Negeri untuk 'menggadaikan' kawasan tersebut kepada pihak pelabur. Ini kerana katanya kepentingan Orang Melayu akan semakin terhakis dengan tindakan tersebut.

"Dah lah bilangan Orang Melayu yang berniaga di Bandaraya Melaka boleh dikira dengan hari, sekarang kawasan ini pula nak 'dihadiahkan' kepada pihak berkenaan" kata Hj Salamat.

"Kita menentang pembangunan, tetapi biarlah pembangunan tersebut memberikan keuntungan kepada Orang Melayu dan juga mengekalkan kedaulatan Orang Melayu" tambah Hj Salamat yang juga Bendahari Dewan Pemuda PAS Kawasan Negeri Melaka.


PROSEDUR MALAYSIA MENYUSAHKAN : 281 HARI DIPERLUKAN UNTUK PELABURAN DI MALAYSIA.


Laporan Bank Dunia menunjukkan untuk mendirikan kilang di Malaysia, pelabur perlu mengikuti 25 prosedur yang mengambil masa 281 hari. Fakta ini merupakan antara penyebab mengapa negara atau syarikat luar tidak berminat melabur di Malaysia.

Keadaan ini berbeza dengan di Australia yang hanya memerlukan 17 prosedur dalam 140 hari, manakala di Singapura pula 11 prosedur dalam 129 hari, di Thailand sembilan prosedur dalam 127 hari dan di Vietnam 14 prosedur dalam 133 hari.

Laporan Bank Dunia juga menunjukkan pelabur perlu mengikuti sembilan prosedur yang memakan masa 30 hari sebelum pelabur boleh membuka perniagaan di Malaysia.

Di Australia, yang diperlukan cuma dua prosedur dalam dua hari dan di Singapura enam prosedur dalam enam hari.

Jika sekiranya prosedur tidak diubah dengan segera maka tidak hairanlah kita jika pelaburan baru di Malaysia semakin menyusut dari masa ke semasa.


UUM KENA BAYAR RM70 RIBU KEPADA RIZAL : BUKTI UNVERSITI DI MALAYSIA BERSIFAT 'DRACONIAN'


BUKIT KATIL 11 Jan : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil mengucapkan tahniah kepada Mohd Rizal Mohamad @ Anan yang menerima wang pampasan dari UUM di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hj Salamat Aman dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa ketegasan Mohd Rizal sewajarnya dijadikan contoh oleh semua mahasiswa dan rakyat Malaysia demi untuk menyedarkan pihak berkuasa universiti dan kerajaan bahawa kebebasan bersuara adalah hak mutlak semua orang.

"Keputusan ini juga mestilah dijadikan iktibar oleh Menteri Pengajian Tinggi dan Pentadbir Universiti supaya mengembalikan kebebasan bersuara kepada mahasiswa seperti tahun-tahun 60-an dahulu" kata Hj Salamat di sini pagi ini.

"Kesudian Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengalah dan sanggup membayar sejumlah tersebut membuktikan bahawa Mohd Rizal tidak bersalah dan berhak untuk bersuara dengan bebas sebagai mahasiswa dan rakyat Malaysia" tambahnya lagi.

Keputusan itu juga membuktikan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)) merupakan akta 'draconian' dan zalim yang menekan kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa dan ianya wajib dimansuhkan.

Mohamad Rizal adalah mahasiswa yang telah dikenakan tindakan oleh pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana bertanya soalan kepada Astora Jabat dalam satu forum di Masjid Universiti tersebut pada tahun 2000.

Mohamad Rizal yang tegas membawa kes tersebut ke Mahkamah akhirnya berjaya membuktikan bahawa tindakan UUM terhadapnya adalah salah dan bertentangan dengan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

Keputusan ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada Menteri Pengajian Tinggi dan pentadbir universiti-universiti lain yang merelakan diri menjadi alat penghalang kebebasan dengan mengugut mahasiswa dengan undang-undang dan Aku Janji.


BA BOIKOT PILIHANRAYA KECIL BATU TALAM


KENYATAAN BA YANG DIBACAKAN OLEH TIMBALAN PRESIDEN PAS USTAZ NASHARUDDIN MAT ISA

PEMBOIKOTAN PENGLIBATAN DALAM PILIHAN RAYA KECIL DUN O6 BATU TALAM

Pilihan raya bersih dan bebas merupakan satu asas utama dalam sebuah demokrasi yang sihat dan wibawa. Sistem pilihan raya adalah mekanisme penting untuk memberikan keabsahan dan mandat kepada kerajaan yang memerintah.

Kebebasan ini memberi ruang kepada pengundi untuk menunaikan hak asasi mereka dalam proses politik bagi menentukan calon-calon mereka dalam memilih kerajaan yang mereka kehendakki.

Berpandukan kepada pengalaman pahit dalam beberapa pilihan raya yang lalu dan khasnya Pilihan raya Umum ke-11, sesungguhnya kami meyakini bahawa pilihan raya yang telah dijalankan adalah sarat dengan penipuan, penyelewengan dan pembohongan yang sekali gus menjejaskan kredibiliti dan maruah kerajaan yang memerintah.

Serentak dengan itu, rakyat semakin resah dan bosan dengan ketempangan dan kecurangan proses demokrasi ini, yang kini dilihat adalah jauh dari memberikan keadilan dan persaingan serta pertandingan di padang yang sama-rata.

Kami senaraikan antara kepincangan dan ketempangan yang berlaku:

i. Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.
ii. Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.
iii.Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.
iv.Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.
v. Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.
vi. Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.


Berlatarbelakangkan kesemua faktor yang digariskan di atas, maka kami meyakini pilihan raya kecil DUN 06 Batu Talam akan menyaksikan berulangnya penyelewengan yang merosakkan kesucian (sanctity) proses demokrasi. Kenyataan Pengerusi SPR yang menyebut bahawa daftar pemilih yang telah diwartakan pada 30 November 2006, berjumlah 10,748 telah dibersihkan menjadi 10,524 selepas daripada perwartaan itu kini menimbulkan kecurigaan.

Proses pembersihan tersebut tidak boleh dikatakan telah dijalankan secara telus kerana ianya dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Segala kecurigaan kami telah disahkan melalui kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan baru-baru ini bahawa ”undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan sosial yang telah berubah”.

Dengan ini, kami pimpinan BA, menegaskan pendirian untuk menolak dan memboikot penyertaan dalam pilihanraya kecil bagi DUN 06 Batu Talam.

Presiden Parti Islam SeMalaysia,
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang,


Presiden Parti Keadilan Rakyat
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59