Wednesday, 10 January 2007

RAKYAT DERITA KENA BANJIR PEMIMPIN BERSUKA RIA DALAM PERCUTIAN


(GAMBAR : PAK LAH GEMBIRA MERASMIKAN RESTORAN ADIKNYA IBRAHIM BADAWI DI KALA RAKYAT BERSEDIH)

Pada saat dan ketika rakyat menderita akibat musibah banjir baru-baru ini para pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bercuti samada di luar atau di dalam negara.

Pak Lah diberitakan merasmikan pembukaan sebuah restoran nasi kandar di Australia ketika negeri-negeri di selatan Semenanjung Malaysia teruk dilanda banjir.

Menurut satu laporan akhbar Asia Times – sebuah akhbar percuma di Perth – Abdullah berada di bandaraya itu untuk merasmikan restoran‘Puteri Nasi Kandar’ pada 29 Disember.

(GAMBAR : SEDAPNYA MAKAN-MAKAN DI KALA RAKYAT DERITA)

Laporan yang bertajuk ‘A meal fit for a princess’ disiarkan bersama dengan beberapa gambar yang menunjukkan Abdullah merasmikan restoran tersebut dan sedang merasa makanan di situ.

Seorang pembaca akhbar tersebut – rakyat Malaysia – memberitahu malaysiakini: “(Ketika sebahagian negeri) Johor ditenggelami air (yang meragut) 17 nyawa, saya tidak dapat menerima (laporan dan foto tersebut).”

Menurut laporan itu, restoran berkenaan milik bersama saudara lelaki Perdana Menteri – Ibrahim – dan seorang ahli korporat Malaysia, Lim Ewe Jin.

Lim – pengasas Kumpulan Lejadi yang menyediakan perkhidmatan pengswastaan dan pengurusan air – juga merupakan pengasas bersama Powertek Bhd – syarikat penjana kuasa bebas (IPP) di Malaysia.

Tujuh belas orang terkorban manakala lebih 90,000 orang lagi dipindahkan ketika kemuncak bencana alam itu akibat hujan lebat sehingga menenggelamkan banyak pekan dan perkampungan di lima buah negeri.

Pantau dari luar negeri

Abdullah mengadakan lawatan sehari ke Johor – negeri yang paling teruk dilanda banjir – pada 23 Disember selepas lawatan rasmi ke Venezuela. Beliau kemudiannya dilaporkan berlepas ke Australia untuk bercuti.

Bagaimanapun, Abdullah dilaporkan berkata, beliau sentiasa menghubungi Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempengerusikan jawatankuas bantuan dan pengurusan bencana negara.

Semalam, akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang memetik beliau sebagai berkata, tiada masalah yang timbul dan Najib telah menjalankan tugasnya manakala beliau (Abdullah) sendiri turut memantau keadaan dari seberang laut.

Abdullah berkata, beliau juga pernah mempengerusikan jawatan tersebut ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan oleh itu, beliau sudah biasa dengan mekanismanya dan dapat memantau perkembangannya.

Abdullah dilaporkan memberi penjelasan tersebut apabila beliau diminta mengulas mengenai mangsa-manga banjir yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana beliau masih bercuti di luar negara sedangkan keadaan banjir di dalam negara berada di tahap yang membimbangkan.

Kenyataan beliau itu hanya dilaporkan dalam akhbar-akhbar harian berbahasa Cina.

Bulan lalu, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau menggesa Abdullah mengambil tindakan memecat menteri-menteri yang bercuti ketika negara dilanda bencana.

Antara Menteri-menteri yang bercuti pada masa tersebut adalah Muhyiddin Yasin (Pertanian dan Industri Asas Tani - Ahli Parlimen Pagoh), Syed Hamid Albar (hal Ehwal Luar - Ahli Parlimen Kota Tinggi), Ong Ka Ting (Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Ahli Parlimen Tanjung Piai), Hishammuddin Hussein (Pelajaran - Ahli Parlimen Sembrong), Khaled Nordin (Usahawan dan Pembangunan Koperasi - Ahli Parlimen Pasir Gudang), Chua Soi Lek (Kesihatan - Ahli Parlimen Muar) and Azalina Othman Said (Belia dan Sukan - Ahli Parlimen Pengerang). Semua mereka mewakili kawasan yang teruk dilanda banjir.

Dilaporkan juga beberapa orang anggota Exco Kerajaan Negeri Johor juga sedang bercuti pada masa bencana tersebut.

Media juga melaporkan bahawa 40 ahli Majlis Kerajaan Tempatan Kluang juga berada di Shanghai dalam rangka lawatan ke China.

INILAH PERANGAI PEMIMPIN BN SEBENARNYA, MEREKA HANYA MELUTUT KEPADA RAKYAT PADA MASA KEMPEN PILIHANRAYA TETAPI SELEPAS MEREKA MENANG RAKYAT DIKETEPIKAN, BATANG HIDUNG PUN TAK NAMPAK.


PAS HAMPIR PASTI BERTANDING DI BATU TALAM


RAUB, 10 Jan -Pesuruhajaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS Pahang sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, beliau bekata demikian dipetik dari laporan Bernama hari ini.

Kenyataan Tuan Ibrahim menunjukkan bahawa spekulasi PAS memboikot Pilihanraya Kecil mungkin tidak menjadi kenyataan. Spekulasi ini bertiup kencang apabila pimpinan tertinggi PAS sehingga ke hari ini masih belum memberikan kata putus samada ingin bertanding atau memulaukannya.

Adalah dijangkakan keputusan ini akan diumumkan dalam program ceramah dua tokoh utama pembangkang, yang akan diadakan malam ini di Markaz PAS Sega di sini. Dua tokoh yang akan memberikan amanat mereka malam ini ialah Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Awang dan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR) Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mengenai calon, Tuan Ibrahim berkata PAS meletakkan prinsip memberikan keutamaan kepada anak tempatan kerana mereka lebih dekat dengan penduduk dan memahami masalah yang dihadapi.

Antara calon-calon yang disebut-sebut akan mewakili PAS ialah Dr Muhammad Nilam Abdul Manap, Calon PAS pada Pilihanraya Umum 1999 dan 2004. Beliau merupakan anak jati Batu Talam berpendidikan Ijazah Pergigian, Universiti Malaya dan mempunyai Klinik Gigi di Raub. Dr Nilam merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Raub.

Sementara itu Parti DAP Pahang mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan sama ada akan memberikan "bantuan dan kerjasama" sekiranya PAS bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam pada 28 Jan ini.

Pengerusinya Leong Ngah Ngah berkata pihaknya belum menerima apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan parti berhubung kerjasama atau bantuan sebagai rakan pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

"Biasaannya bila ada pertandingan kita di parti pembangkang memberikan kerjasama, tetapi setakat hari ini DAP Pahang belum menerima apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan parti di peringkat pusat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Triang dan satu-satunya anggota pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Pahang berkata Batu Talam adalah kawasan orang Melayu dan parti PAS berhak bertanding.

"PAS negeri belum menghubungi kita sehingga kini walaupun kita pernah bersama-sama saling membantu pada pilihan raya sebelum ini. Pilihan raya kecil ini tidak boleh dipandang ringan kerana semua jentera kerajaan BN (Barisan Nasional) akan turun padang dan menumpukan perhatian ke kawasan tersebut," katanya.

DAP Pahang dan PAS Pahang sebenarnya mempunyai hubungan yang baik sejak dahulu lagi, lebih-lebih pada tahun 1999-2004 apabila ADUN PAS dipilih sebagai Ketua Pembangkang di DUN Pahang ketika itu. Sejak itu DAP dan PAS Pahang sering mengadakan program bersama terutamanya di kawasan Parlimen Bera.

Pilihan raya kecil Batu Talam diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Dis lepas kerana barah usus, dan SPR menetapkan 16 Jan ini sebagai tarikh penamaan calon dan 28 Jan hari pengundian.


UNIT TERUS MENDAPAT SANJUNGAN


Unit Amal terus mendapat sanjungan dan pujian di atas kegigihan mereka membantu mangsa-mangsa yang diterima musibah seperti banjir, gempa bumi, Tsunami dan lain-lain. Mereka bukan sahaja dikenali dan disanjungi di Malaysia malah nama mereka juga harum di Indonesia, Iran dan lain-lain.

Baru-baru ini 'team' Unit Amal Melaka telah bertungkus lumus membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir di Melaka. Antaranya mereka telah membasuh rumah mangsa, tadika, PASTI dan lain-lain.

Hari ini Unit Amal mendapat sanjungan dari pemimpin Umno tempatan pula. Harakahdaily melaporkan bahawa seorang ahli jawatankuasa Umno daerah Batu Pahat terharu dengan keprihatinan dan pengorbanan Unit Amal Malaysia yang sanggup membersihkan bangunan, sekolah dan rumah mangsa banjir di kawasan mereka tanpa membezakan fahaman politik.

Seorang ahli Unit Amal Dungun yang hanya mahu dikenali sebagai Sarifuddin dan bertugas di Sri Medan pada 3 hingga 9 Januari lalu berkata, Pengerusi JKKK di situ tidak menyangka orang PAS sanggup melakukan kerja pembersihan bangunan Kemas (Kemajuan Masyarakat).

"Dia berterima kasih sangat dengan bantuan Unit Amal," jelasnya.

Beliau berkata, sesetengah ahli Umno meluahkan rasa terharu dengan kesanggupan Unit Amal. Sebelum ini mereka tidak menyangka PAS akan membantu orang Umno.

Menurut beliau, Unit Amal turut membantu anggota polis membersihkan Balai Polis Pagoh yang dilanda banjir.

Seramai 50 anggota Unit Amal dari Terengganu membantu membersihkan rumah, bangunan milik Kemas, masjid, sekolah, balai polis di seluruh daerah Sri Medan, Pagoh dan Yong Peng.

"Lima belas anggota Unit Amal membersihkan setiap rumah dalam masa 40 minit dan mereka dibahagi kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan bertugas di Sri Medan manakala yang lain di Pagoh dan Yong Peng," katanya.

Beliau berkata, anggota Unit Amal sudah biasa dengan kerja-kerja lasak dan bersedia pada bila-bila masa membantu tanpa bayaran.


UNDI PROTES MASYARAKAT CINA BATU TALAM DITAGIH


"Jika wakil rakyat MCA – parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) – gagal menangani isu kenaikan kadar tol, mereka akan menanggung akibatnya dalam pilihanraya umum yang akan datang, kata seorang pemimpin bahagian parti itu."

"Mereka kata mereka ada penyelesaiannya. Jika kita buat bising, mereka akan tuduh kita cetuskan masalah bagi mereka. Jika mereka tidak selesaikan masalah ini, mereka akan tanggung akibatnya dalam pilihanraya umum akan datang,”


Itulah dua kenyataan yang dibuat oleh seorang pemimpin Bahagian MCA yang tidak mahu dsiarkan namanya kepada media baru-baru ini.

Ini merupakan kata-kata amaran yang agak keras ditujukan kepada pemimpin MCA pusat yang sehingga hari ini masih membisu seribu bahasa walaupun ahli-ahli MCA di Selangor turut berdemonstrasi membantah kenaikan tol baru-baru ini.

Kita mengharapkan kesedaran yang sama juga ditunjukkan oleh kaum Tionghua dalam DUN Batu Talam. Mereka mempunyai kuasa undi untuk mengajar kerajaan dan pemimpin BN supaya menimbangkan semula kenaikan kadar Tol, harga minyak dan sebagainya. Walaupun pengundi Tioghua di Batu Talam tidak terlibat secara langsung dengan kenaikan kadar tol mereka sepatutnya turut bersimpati dengan rakan-rakan mereka di Selangor dan Kuala Lumpur yang terpukul dengan kenaikan kadar tol tersebut.

Inilah masanya untuk rakyat mengajar kerajaan yang zalim ini. Ayuh ahli-ahli MCA, mari kita turun ke Batu Talam untuk merayu pengundi di sana supaya mengajar kerajaan BN supaya memahami masalah rakyat.

Jangan kamu sia-siakan kuasa yang ada pada kamu.


MAT TAIB BAGAIKAN BERCAKAP DENGAN TUNGGUL


Maka berkatalah Mat Taib semalam bahawa UMNO tidak menjadikan pembangunan sebagai modal bagi meraih sokongan rakyat untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam.

Mat Taib atau lebih manis dengan panggilan Mike Tyson berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO menghadapi pilihan raya kecil Batu Talam di Raub semalam.

Cakap-cakap Mat Taib yang bergelar senator ini seolah-olah bercakap dengan tunggul kayu buruk yang tidak tahu apa-apa.

Bukankah semua orang tahu bahawa pada setiap kali pilihanraya Umno akan menggunakan pembangunan sebagai senjata ampuh untuk memancing undi. Bukan itu sahaja malah duit, kain batik dan lain-lain habuan dunia juga menjadi gula-gula mereka untuk 'membeli' pengundi.

Lebih teruk lagi Umno juga sanggup mengugut pengundi untuk mendapat undi. Antara ugutan mereka adalah, 'kalau undi PAS bantuan ditarik balik, anak tak dapat biasiswa/pinjaman, wang welfare ditarik balik' dan macam-macam lagi.

SPR (SURUHANJAYA PENIPU RAKYAT) juga menjadi tukang kempen dan agen daftar pemilih mereka. Nama-nama pengundi hantu, nama bertindih, mengundi dua kali, mengundi bagi pihak orang lain dan sebagainya sudah menjadi adegan wajib dalam setiap kali pilihanraya umum atau kecil.

Ugutan, rasuah politik, penipuan dan sebagainya sudah sinonim dengan kempen Umno untuk mendapatkan undi. Strategi dan cara berkempen mereka berlandaskan prinsip 'MATLAMAT MENGHALALKAN CARA'.


PRK BATU TALAM : PENGUNDI HANTU INDIA BERSEMADI DI PETI UNDI ORANG ASLI



Setelah ribuan pengundi hantu ditangkap pada pilihanraya umum dan kecil sebelum ini, SPR sekali lagi gagal meyakinkan rakyat tentang ketelusan daftar pemilih bagi DUN Batu Talam. Kali ini 120 nama pengundi kaum India berada dalam daftar pemilih bagi peti undi Ulu Sungai iaitu peti undi 100 % orang asli.

Ini sudah tentu akan mempengaruhi keputusan pilihanraya tersebut kerana majoriti satu undi pun cukup untuk memberikan kemenangan kepada seseorang calon.

Sebelum ini banyak pihak menyifatkan tindakan SPR sengaja melengahkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil Batu Talam adalah disebabkan adanya unsur-unsur untuk memanipulasikan daftar pemilih DUN tersebut.
Jika SPR gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap kepincangan ini maka SAHLAH SPR adalah SURUHANJAYA PENIPU RAKYAT.


SIAPA CALON PAS. PENGUMUMAN MALAM INI?


PAS dijangka mengumumkan calonnya yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam pada 28 Januari ini dalam majlis ceramah malam ini.

Pengumuman itu akan dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin utama kedua-dua parti.

Ketika dihubungi malaysiakini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Mejar (B) Abdul Aziz Yaakob mengesahkan majlis tersebut akan diadakan di Kampung Sega di Raub, jam 9 malam esok.

Ditanya sama ada calon PAS akan diumumkan di majlis tersebut, beliau yang juga Pengarah Pilihanraya PAS negeri berkata: “Saya hanya diarahkan untuk membuat persiapan bagi menjayakan majlis berkenaan.”

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, PAS Pahang telah menyerahkan tiga nama untuk dipilih menjadi calon sekiranya PAS jadi bertanding dalam pilihanraya kecil Batu Talam.

Mereka termasuk bekas calon PAS bagi kawasan tersebut dalam pilihanraya umum 2004, Dr Mohamad Nilam Abdul Manap.

Abdul Aziz berkata, dua nama lagi yang dicadangkan merupakan golongan profesional dan ahli perniagaan tetapi enggan menyebut identiti mereka sehingga diumumkan kelak.

Identiti calon

Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihanraya kecil Batu Talam.

Bagaimanapun, Abdul Aziz enggan memberitahu dua lagi identiti calon yang dicadangkan oleh PAS Pahang itu melainkan ia telah diumumkna secara rasmi oleh parti.

Abdul Aziz berkata, pada dasarnya PAS Pusat telah bersetuju dengan senarai calon yang dikemukakan itu.

“Tetapi bagi kita (PAS Pahang) ketiga-tiga calon itu merupakan calon terbaik yang boleh mencabar Barisan Nasional (BN) kelak.

“Yang lebih penting lagi ketiga-tiganya adalah anak tempatan Batu Talam,” katanya.

Mengenai peluang PAS kali ini, Abdul Aziz berkata, peluangnya tetap ada kerana banyak isu yang membabitkan penduduk Batu Talam, selain suasana yang berbeza berbanding pilihanraya umum 2004.

Isu utama

Antara isu utama, katanya, ialah kegagalan kerajaan menunaikan janji mereka dalam pilihanraya umum lalu, termasuk pembinaan jambatan di Kampung Gersing, penempatan peneroka baru Felda dan pembinaan sekolah baru.

“Orang Umno sendiri datang mengadu bahawa mereka bosan dengan pelbagai janji tetapi tidak ditunaikan seperti pembinaan jambatan di Kampung Gersing.

“Pengundi Batu Talam juga semakin cerdik dan mereka tidak lagi hanya menerima apa sahaja janji yang dibuat oleh BN,“ katanya lagi.
Sementara itu, ketika dihubungi, Dr Mohamad Nilam mengesahkan beliau antara yang dicalonkan untuk mewakili PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

“Jika parti meminta saya bertanding lagi kali ini, saya sedia menerimanya tetapi biarlah parti yang mengumumkannya terlebih dahulu,” katanya.

Pilihanraya kecil Batu Talam diadakan berikutan kematian wakilnya, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu. Suruhanya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 16 Januari dan hari pembuangan undi pada 28 Januari ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59