Friday, 5 January 2007

PENGAGIHAN BANTUAN MANGSA BANJIR DI MELAKA CACA MARBA


BUKIT KATIL, MELAKA 5 JAN : Bantuan 'wang ehsan' untuk mangsa banjir di Daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka disifatkan 'caca marba' kerana sehingga kini walaupun sudah lebih 2 minggu banjir berlaku masih ramai yang belum menerimanya.

Perkara ini didedahkan oleh Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Hamzah Abdullah di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di sini pagi ini.

"Sistem pengagihan duit amat lemah di mana ramai dari mangsa yang mendaftar di Pusat Pemindahan dan tempat-tempat pendaftaran masih tidak menerima wang mereka" ujar Hamzah.

Di fahamkan mangsa-mangsa banjir terpaksa beratur 2-3 jam di Seri Negeri untuk mendapatkan bantuan, tetapi setelah tiba giliran mereka, nama mereka tiada dalam senarai.

Perkara ini didedahkan oleh Mohd Azman, 36 dari Taman Merdeka. Beliau terpaksa beratur kira-kira 3 jam tetapi apabila diperiksa oleh petugas namanya tiada dalam senarai dan beliau terpaksa pulang dengan hampa.

Salah seorang mangsa yang ditemui iaitu Puan Mahani Osman, 37 dari Taman Angkasa Nuri berkata suami beliau telah mendaftar sebanyak 2 kali tetapi apabila pergi untuk mendapatkan wang tersebut, beliau diberitahu namanya tiada dalam senarai.

Seorang lagi mangsa banjir, Salleh Othman, 51 dari Taman Merdeka pula berkata sistem pengagihan bantuan kepada mangsa banjir amat mengelirukan kerana mangsa di minta mendaftarkan diri beberapa kali tetapi wang bantuan lambat diperolehi.

"Ada yang tinggal di Pusat Pemindahan pun sampai sekarang tak dapat bantuan" jelas beliau kesal.

Manakala seorang lagi mangsa yang tidak mahu dikenali dari Taman Thamby Chik Karim, Batu Berendam berkata bantuan persekolahan untuk anaknya juga masih belum diperolehi sedangkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Melaka, Dato' Wira Mohd Ali Rustam telah menjelaskan bantuan tersebut akan disalurkan dengan segera.

Banjir yang melanda Melaka bermula pada 19 Disember sehingga 24 Disember lalu disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh 30 tahun dimana ribuan penduduk di Daerah Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah dipindahkan di 45 buah Pusat Pemindahan di daerah-daerah tersebut.


DEMO BANTAH TOL NAIK AHAD INI. AYUH KERAHKAN SEMUA RAKYAT


Sebagai rakyat yang prihatin akan permasalahan yang membelenggu kita semua, marilah sama-sama kita menyertai demo yang telah dirancangkan oleh pimpinan kita yang peka kepada masalah rakyat.

Gabungan parti pembangkang, kesatuan dan pertubuhan bukan kerajaan akan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan kadar tol di lima tol sekitar Lembah Klang Ahad ini.

Gabungan yang dikenali ‘Protes Kenaikan Tol’ akan mengadakan perhimpunan itu pada jam 4 petang di depan Kompleks Membeli-belah Sunway Piramid, Subang Jaya.

Sehubungan itu, setiausahanya, Dr Hatta Ramli menyeru orang ramai supaya turun beramai-ramai bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan kerajaan itu.

“Gabungan amat kecewa dengan kerajaan kerana tidak memberi sebarang maklum balas sehingga hari walaupun satu memorandum bantahan kenaikan tol diserahkan kepada Perdana Menteri tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gabungan juga, tegasnya, telah mengadakan satu ceramah umum untuk membantah kenaikan tol pada hari yang sama.

Dedah kontrak

“Gabungan berpendapat bahawa sikap kerajaan yang tidak mempedulikan tuntutan rakyat dalam isu kenaikan tol telah bercanggahan dengan pendirian Perdana Menteri yang ingin dengar kata-kata benar daripada rakyat,” tambahnya.

Tiga tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan adalah:

– Pendedahan kesemua kontrak di antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya.

– Kenaikan kadar tol yang diumumkan mulai 1 Januari lalu harus digantung.

– Pendedahan semua pendapatan yang diaudit, yang dipungut oleh setiap syarikat konsesi lebuhraya.

Gabungan itu, kata Dr Hatta, menuntut kerajaan menjawab persoalan dan tuntutan rakyat dengan jujur kerana kenaikan tol itu akan membebankan warga Lembah Klang serta melibatkan kontrak antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59