Thursday, 4 January 2007

PAS KAWASAN AKAN HANTAR PETUGAS KE BATU TALAM


BUKIT KATIL, 4 Jan : PAS Kawasan Bukit Katil sebagaimana biasa akan menghantar petugas pada Pilihanraya Kecil Batu Talam yang dijadualkan pada 28 Januari ini. Penamaan calon pula akan berlangsung pada 16 Januari. Ini adalah reaksi awal Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Sdr Hamzah Abdullah ketika diminta mengulas tentang Pilihanraya Kecil tersebut.

Walaupun ianya belum diputuskan oleh PAS Kawasan, beliau yakin petugas-petugas dari Kawasan ini akan dihantar ke sana.

"Seperti Pilihanraya Kecil lain sebelum ini kita tetap komited membantu calon PAS dalam usaha untuk menumbangkan Umno/BN" jelas Hamzah bersemangat.

Mengenai peluang PAS di Batu Talam, Hamzah berkata beliau optimis undi Umno/BN akan dikurangkan memandangkan rakyat sekarang semakin sedar akan penipuan dan kezaliman yang dilakukan oleh Umno/BN.

"Undi Pos dan bilangan pengundi bukan Melayu pun tidak banyak, undi sedikit sebanyak mengurangkan kemungkinan penipuan Umno/BN tetapi kemungkinan undi hantu tetap ada kerana masih ramai nama pengundi yang mati di dalam daftar pemilih terbaru" jelas Hamzah.

Dalam Pilihan Raya Umum 2004, Allahyarham Tengku Paris telah menewaskan calon PAS, Dr Muhammad Nilam Abdul Manap dengan kelebihan 2,761 undi. Terdapat 10,886 pengundi berdaftar ketika itu


KERAJAAN GAGAL TANGANI KRISIS BANJIR


Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan sering ditohmah sebagai lemah dan gagal menangani krisis banjir yang berlaku hampir setiap tahun di Kelantan. Tetapi pada tahun ini Allah membalas tohmahan dan kata nista Umno/BN apabila 2 negeri terkuat Umno/BN iaitu Johor dan Melaka telah dilanda banjir besar dan kerajaan negeri-negeri tersebut gagal menanganinya dengan baik malah mereka seolah-olah tidak bersedia langsung.

Di Melaka misalnya, sudah hampir 30 tahun banjir tidak berlaku di sana menyebabkan kerajaan negerinya mengambil mudah seolah-olah langsung tidak membuat persediaan. Tiga daerah paling teruk dilanda banjir iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Amaran banjir tidak diberikan, bantuan lambat diterima, agihan wang ehsan yang caca marba adalah antara aduan yang sehingga hari ini gagal dijawab oleh Ali Rustam. Malah di Daerah Alor Gajah banjir dikatakan berlaku disebabkan kelemahan agensi kerajaan negeri dan kerajaan negeri sendiri yang gagal mengambil langkah awal mengawal paras air Empangan Durian Tunggal. Sehingga air melimpah dan terpaksa dilepaskan menyebab kawasan disekitarnya mengalami banjir dengan teruk.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengatakan bahawa kerajaan telahpun mengeluarkan amaran banjir seawal lima hari sebelum hampir keseluruhan negeri Johor, serta sebahagian Melaka dan Negeri Sembilan ditenggelami air bah bermula Selasa minggu lepas.

Kebenaran kenyataan menteri itu boleh dipertikaikan banyak pihak, lebih-lebih lagi oleh berpuluh-ribu rakyat yang menderita akibat bencana alam paling buruk dalam tempoh 30 tahun itu.

Dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu, Nazri seolah-olah mempersoalkan mengapa mangsa gagal mengambil langkah awal menyelamatkan diri dan harta benda sedangkan amaran telah lama dikeluarkan.

Sekiranya kenyataan Nazri itu benar, tidaklah sampai ada penduduk di bandar-bandar seperti Segamat dan Kota Tinggi terpaksa tidur di atas atap rumah masing-masing dalam hujan yang lebat kerana tidak sempat menyelamatkan diri mahupun harta benda.

Dalam keaadaan mangsa banjir memerlukan keprihatinan pemerintah, kenyataan rambang yang dibuat tanpa selidik oleh pihak atasan seperti yang dikeluarkan oleh Nazri itu tidak membantu, malah hanya menimbulkan kemarahan rakyat banyak.

Apakah sebenarnya maksud "amaran awal" yang dikatakan oleh Nazri itu?


Dengan panjang lebar, beliau dipetik oleh media sebagai berkata, amaran dikeluarkan pada 13 Dis apabila air di beberapa batang sungai di Johor melepasi tahap berbahaya.

Tetapi, apakah bentuk amaran yang dimaksudkan oleh menteri itu? Jika amaran yang dimaksudkannya itu membabitkan memo pemberitahuan daripada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) kepada pihak menteri itu bahawa paras air sudah mencapai tahap berbahaya, itu bukan amaran namanya.

Amaran ialah apabila orang ramai diberitahu dengan jelas tentang bahaya yang semakin mendekat, sama ada melalui media, melalui masjid, surau atau badan-badan bertauliah, melalui pembesar suara, atau paling tidak melalui siren bomba.

Jika maklumat mengenai keadaan yang semakin meruncing itu hanya diketahui jabatan-jabatan terbabit seperti JPS, Jabatan Meteorologi, Bahagian Keselamatan Negara (BKN) dan Jabatan Perdana Menteri sahaja, ia tidak memberi apa-apa makna melainkan jika ia dipanjangkan pula kepada orang ramai dan kemudian digunakan sebagai asas untuk menubuhkan pasukan membantu dan menyelamat yang efisien.

Persoalannya, jika apa yang dikatakan Nazri itu benar, bahawa pihak berkuasa sudahpun tahu keadaan semakin meruncing seawal 13 Dis, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap BKN yang menjalankan kerja penyelarasan bagi bencana alam di negara ini, mengapakah beliau tidak bertindak lebih awal?

Mengapakah semua pihak, termasuk pihak JPS, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam huru-hara, tidak tahu apa yang perlu dibuat sebaik banjir melanda pada hari Selasa? Mengapa boleh berlaku kejadian mangsa banjir terpaksa bersejuk tanpa selimut, apatah lagi bantal dan tilam dan hampir kebuluran pada hari pertama dan kedua dipindahkah ke pusat pemindahan?

Selimut, alas tidur dan makanan serta minuman adalah keperluan bantuan paling asas, yang sepatutnya telah dapat disediakan oleh pihak berwajib sebaik air sungai sudah mencapai tahap bahaya -- di dalam kes ini pada 13 Dis, jika kenyataan Nazri itu tepat.

Sebagai seorang Menteri yang boleh dikira veteran dalam Kabinet, Nazri sepatutnya lebih memahami perasaan rakyat yang menderita dan tidak terlalu ghairah membuat kenyataan yang hanya menyakitkan hati mereka yang telahpun gundah-gulana.

Untuk pengetahuan menteri, telah kedengaran suara-suara sumbang rakyat yang mempersoalkan apakah perlunya kerajaan bermegah-megah atas keupayaannya menghulur bantuan kepada mangsa bencana di seberang laut, sedangkan apabila rakyat sendiri ditimpa musibah, nasib mereka seolah-olah tidak terbela.

Nazri juga perlu belajar daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang lebih berlapik apabila mengulas kenyataan beliau itu.

Najib yang sama-sama menyingsing seluar mengharungi air keruh meninjau nasib rakyat jelata sejak hari kedua banjir lagi tentu faham dan prihatin dengan perasaan rakyat jelata.

Kerana itu, apabila diminta mengulas kenyataan Nazri itu, beliau tidak mengiya atau menidakkannya, sebaliknya hanya menyatakan hakikat, bahawa banjir kali ini adalah suatu bencana yang luar biasa.

"Bayangkan di Johor, di sesetengah tempat, hujan yang turun dalam masa 24 jam itu sama seperti hujan dalam tempoh dua bulan, hujan begitu lebat sekali dan luar biasa. Rumah pula, air bila masuk sampai paras pinggang dalam masa dua tiga jam saja, jadi sesuatu yang cukup luar biasa, sebab itulah pada masa sehari dua, agak kecoh sikit, tidak menentu tetapi sekarang sudah lebih tenteram," beliau dipetik sebagai berkata.

Sifat mahu mengaku kelemahan inilah yang sedikit sebanyak dapat mengubat lara di hati mangsa. Mereka tidak perlu mendengar menteri atau wakil pemerintahan yang bercakap seolah-olah menidakkan kesukaran yang telah mereka tempoh.

Sangat penting bagi pemerintah mengakui bahawa pihak yang sepatutnya telah sedikit sebanyak "gagal" menangani masalah banjir kali dan tidak dapat memenuhi harapan rakyat. Hanya dengan cara ini sahaja keupayaan boleh diperbaiki dengan mengambil iktibar daripada kesilapan mereka minggu lalu supaya kesilapan sama tidak berulang.


PILIHANRAYA KECIL BATU TALAM 28 JAN - MENGUNDI, 16 JAN - PENAMAAN CALON


PUTRAJAYA, 4 Jan - Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam ialah pada 16 Jan ini, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 28 Jan.

Seramai 10,525 pemilih termasuk 14 pengundi pos, layak mengundi berdasarkan daftar pemilih terakhir yang diwartakan pada 30 Nov 2006, dan diperakui semula hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada satu sidang akhbar di sini.

PAS akan menjadikan pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Pahang yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, sebagai medan "warm up" menghadapi tahun pilihan raya.

Sementara itu Naib Presidennya Datuk Husam Musa berkata melalui pilihan raya kecil itu juga PAS mahu menjadikannya sebagai saluran untuk menghantar mesej kepada kerajaan Barisan Nasional supaya mempertimbangkan keputusan menaikkan pelbagai kos hidup.

Beliau yang juga anggota Exco Kelantan berharap pengundi Cina dan Melayu yang cara tradisinya menyokong PAS supaya mempertingkatkan sokongan itu bagi membolehkan mesej itu dihantar kepada kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan tol, harga minyak, gas memasak dan tarif elektrik.

"Saya yakin kepimpinan PAS Pusat akan membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya ini walaupun sebelum ini ada cadangan untuk memboikotnya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Bharu semalam.

Beliau yakin PAS akan bertanding di kawasan itu berasaskan ia merupakan kerusi tradisi PAS walaupun barisan pembangkang belum membuat keputusan muktamad berhubung parti mana yang akan bertanding.

Katanya penyertaan dalam pilihan raya itu juga bertujuan mengurangkan majoriti Barisan dan dengan sokongan semua pengundi, matlamat itu akan tercapai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan dari Barisan Nasional pada 27 Dis lepas kerana barah paru-paru dan usus.

Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Paris menang selepas mendapat 5,414 undi menewaskan calon PAS Dr Mohamed Nilam Abdul Manap yang meraih 2,653 undi bagi majoriti 2,761 undi. Manakala dalam Pilihanraya Umum 1999 Dr Mohamed Nilam tewas majoriti 931 undi kepada Tengku Paris, di mana Tengku Paris memperolehi 4353 dan Dr Nilam mendapat 3,422 undi.


Culik di Melaka, budak perempuan, 2, dibiar sendiri di Seremban


SEREMBAN 4 JAN : Seorang kanak-kanak perempuan, 2 tahun, mangsa culik ditemui selamat di kawasan Rawat dan Rehat Seremban, Lebuh Raya Utara Selatan di sini, petang ini, kata Ketua Polis Daerah Seremban ACP Hasanudin Hasan.

Beliau yang mengesahkan bahawa kanak-kanak perempuan berumur dua tahun itu diculik di rumahnya di Melaka, ditemui orang ramai berlegar-legar di kawasan itu tanpa haluan.

"Orang ramai yang gagal mengesan ibu bapanya di kawasan itu kemudian menghubungi pihak polis pada kira-kira pukul 4 petang," katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak itu telah datang mengambil anak mereka itu di IPD Seremban kira-kira pukul 8.30 malam ini.

"Siasatan sedang dijalankan berhubung kejadian itu," katanya, yang enggan mengulas lanjut.


BLOG INI AKAN BEROPERASI SEPERTI BIASA HARI INI


BLOG INI AKAN BEROPERASI SEPERTI BIASA BERMULA HARI INI SETELAH MENGALAMI MASALAH TEKNIKAL AKIBAT BANJIR DAN LAIN-LAIN SEBAB YANG TIDAK DAPAT DIELAKKAN.

PIHAK KAMI MEMOHON KEMAAFAN DI ATAS SEBARANG MASALAH.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59