Monday, 10 December 2007

Perhimpunan Bersih: Mat Sabu, Tian Chua dan 12 lagi ditahan


Polis semalam melancarkan gerakan menahan dua pemimpin tinggi pembangkang dan berbelas orang lagi yang mengambil bahagian dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu.

Pemimpin terkemuka PAS, Mohamad Sabu ditahan di Perak manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula ditahan di Johor.

Ketika dihubungi pada jam 4.45 petang semalam, isteri Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini bahawa suaminya sedang dibawa oleh polis dari Ipoh ketika beliau selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya.

Manakala Tian Chua pula ditahan di luar pejabat Suaram di Johor Bahru pada jam 5.15 petang oleh sepasukan polis dari Kuala Lumpur.

Seorang pemimpin PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengesahkan tangkapan para penyokong Bersih di beberapa buah negeri.

Seramai 14 orang ditahan mengikut Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram. Sepuluh daripada mereka ditangkap lebih awal ekoran perhimpunan tersebut dan dibebaskan dengan ikatjamin polis.

Ikatjamin mereka berakhir pada hari Isnin dan mereka yang ditahan hari ini dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.

Difahamkan majoriti mereka yang ditahan itu adalah anggota pasukan pengawal dari parti PAS yang ditugaskan untuk mengawal lulintas dan menjaga disiplin orang ramai ketika perhimpunan anjuran Bersih itu.

Gerakan tangkapan hari ini diadakan menjelang satu lagi perhimpunan yang dirancang diadakan Selasa ini di mana Bersih mahu menyerahkan memorandum bantahan kepada Parlimen.

Bersih mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan yang dijadual dibentangkan pada hari berkenaan, yang jika diluluskan, akan membolehkan tempoh perkhidmatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dilanjutkan setahun lagi. Pindaan tersebut bertujuan melanjut tempoh perkhidmatan anggota SPR kepada 66 tahun.

Larangan perhimpunan

Pada 10 November lalu, kira-kira 40,000 orang menyertai perhimpunan Bersih untuk menuntut diadakan pilihanraya yang bersih dan adil.

Mereka berhimpun di luar Istana Negara dan memorandum telah diserahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wakil istana, sebelum bersurai secara aman.

Walaupun perhimpunan itu pada umumkan berjalan secara aman, tetapi pihak polis bertindak menembak gas pemedih mata dan pancutan air kimia untuk menyuraikan orang ramai di stesen LRT Masjid Jamek.

Menurut laporan, 29 orang ditahan sewaktu perhimpunan tersebut dan 24 daripadanya dibebaskan pada hari yang sama.

Perhimpunan Bersih itu diikuti oleh satu lagi perhimpunan tiga minggu kemudiannya di mana 30,000 penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) membanjiri Kuala Lumpur kerana membantah dakwaan berlakunya diskriminasi kaum dan agama.

Minggu lalu, 31 penyokong Hindraf didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dalam perhimpunan 25 November, di mana 16 daripada mereka turut menghadapi menyertai perhimpunan haram.

Tindakan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan berterusan hari ini apabila lapan orang, termasuk lima orang peguam, ditahan kerana menyertai perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia di Kuala Lumpur.

Di samping itu, difahamkan, pemimpin PKR, N Gobalakrishnan akan menjadi orang yang ke-32 didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok atas tuduhan cubaan membunuh, berkaitan dengan perhimpunan Hindraf itu.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59