Wednesday, 26 December 2007

ESOK SATU LAGI KES YANG AMAT PENTING DIPUTUSKAN DI MAHKAMAH


Mahkamah Persekutuan - mahkamah yang tertinggi di negara ini - akan mengumumkan keputusannya esok sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah yang mempunyai bidangkuasa untuk mendengar isu perceraian yang membabitkan Subashini dan suaminya yang telah memeluk Islam serta hak penjagaan anak-anak mereka.

Panel tiga orang hakim - Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Abdul Aziz Mohamad dan Datuk Azmel Ma'amor - akan membuat penghakiman tersebut, tiga bulan selepas peguam kedua belah pihak selesai membentangkan hujah masing-masing dalam kes kontroversi tersebut.

Subashini, 28, memohon untuk menghalang suaminya, T Saravanan, 31, yang telah memeluk Islam, dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah - daripada membawa kes perceraian mereka dan hak penjagaan anak-anak mereka untuk didengar di mahkamah syariah.

Saravanan memeluk Islam pada bulan Mei 2006 bersama-sama dengan anak sulung mereka, Dharvin Joshua, 4. Beliau kemudiannya memulakan prosiding perceraiannya di mahkamah syariah serta untuk mendapatkan hak penjagaan anak lelaki kedua mereka, Sharvin, 2.

Dalam rayuan Subashini kepada Mahkamah Rayuan pada 13 Mac, Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hassan Lah - dalam penghakiman 2-1 - telah memutuskan wanita itu membawa kesnya ke mahkamah syariah. Seorang lagi panel hakim ialah Datuk Gopal Sri Ram.

Menurut penghakiman majoriti itu, mahkamah memutuskan bahawa perintah yang dipohon oleh Subashani adalah tidak perlu kerana mahkamah syariah layak dan berkempuan untuk memutuskan kes tersebut.

Bagaimanapun, pada 30 Mac, Subashini mendapatkan perintah sementara dari Mahkamah Rayuan untuk menghalang Saravanan daripada mengemukakan tuntutannya itu di mahkamah syariah.

Perintah mahkamah itu juga melarang Saravanan daripada menukar agama anak bungsunya serta melarangnya daripada membawa kes tuntutan hak penjagaan anak-anaknya ke mahkamah syariah.

Ia juga memutuskan bahawa seseorang pasangan yang telah memeluk Islam boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk menukar agama anak-anak mereka yang masih di bawah umur, kepada agama Islam, tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pasangan yang seorang lagi.

Keputusan: Tiga kemungkinan

Terdapat tiga kemungkinan keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Persekutuan esok.

1. Mahkamah mungkin menolak permohonan Subashini atas alasan teknikal - berhubung tarikh petisyen perceraian Subashini, yang dibuat dalam tempoh tiga bulan tarikh suaminya memeluk Islam.

Menurut undang-undang, petisyen itu mesti dibuat tiga bulan selepas tarikh suaminya memeluk Islam. Subashini berhujah bahawa dia tidak sedar mengenai tarikh suaminya memeluk Islam. Jika demikian, kes tersebut akan ditolak dan peguamnya boleh menfailkan petisyen perceraian itu sekali lagi.

2. Mahkamah mungkin menolak permohonan Subashini atas alasan bahawa mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa dan mengarahkannya supaya membawa kesnya ke mahkamah berkenaan. Ini membawa maksud bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidangkuasa dalam kes-kes mereka yang memeluk agama Islam, terutama apabila prosiding telah bermula di mahkamah syariah.

3. Mahkamah mungkin menerima permohonan supaya kesnya didengar oleh mahkamah sivil, suaminya tidak boleh membawa kesnya ke mahkamah syariah dan dia perlu kembali semula ke mahkamah sivil kerana perkahwinan pasangan itu dilakukan di bawah undang-undang sivil.

Selepas kes Lina Joy

Ini akan merupakan keputusan yang kedua dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berhubung perkara yang membabitkan isu-isu mengenai kebebasan beragama.

Sebelum ini, dalam kes Lina Joy, mahkamah tersebut dalam penghakimannya memutuskan bahawa isu mengenai seseorang Islam yang mahu menukar agamanya, adalah terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Lina mahu menukar agamanya kepada Kristian.

Dalam penghakimannya, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memutuskan bahawa Lina Joy - seorang Melayu - kekal beragama Islam dan status agamanya tidak boleh dipadamkan dalam kad pengenalannya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59