Sunday, 16 December 2007

BEBASKAN SEMUA TAHANAN ISA


PAS menuntut semua tahanan ISA yang sedang ditahan di Kem Tahanan Kamunting dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di mana-mana mahkamah.

PAS tidak menyokong apa yang dibangkitkan oleh Hindraf tetapi parti itu mengutuk keras penggunaan ISA untuk menahan lima pemimpin pergerakan tersebut kelmarin, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

“Penyalahgunaan ISA adalah tidak wajar bagi sebuah negara demokrasi yang mempunyai undang-undang untuk mendakwa kesalahan mereka jika kerajaan benar-benar mempunyai bukti.

“Tindakan ini menunjukkan bahawa kerajaan BN takut untuk melalui proses undang-undang yang adil iaitu mendakwa mereka di mahkamah,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.

Menurut Mahfuz, penggunaan ISA oleh kerajaan juga merupakan suatu bentuk rampasan kuasa mahkamah di negara ini.

Katanya, PAS berpandangan bahawa pemimpin Hindraf telahpun didakwa di bawah Akta Hasutan sebelum ini.

“Bahkan ada pemimpin mereka dikenakan ikatjamin sehingga RM50,000. Sepatutnya kerajaan meraikan proses undang-undang ini dan membuktikan kesalahan mereka di mahkamah,” tambahnya.

Menurutnya lagi, penggunakan ISA tidak menyelesaikan masalah tersebut kerana ia akan menimbulkan kemarahan orang India dan penganut Hindu, sekali gus memanaskan hubungan antara kaum di negara ini.

‘Sengaja diperbesarkan’

“Penahanan ini akan “mengherokan” pemimpin Hindraf dan mereka akan dianggap pahlawan oleh penganut Hindu,” kata Mahfuz.

Beliau berkata, PAS percaya penahanan ISA ini tidak terhenti setakat pemimpin Hindraf sahaja, sebaliknya akan merebak kepada pemimpin pembangkang yang lain.

“Penahanan pemimpin Bersih di Parlimen minggu lepas dan pendakwaan ke atas pimpinan pembangkang yang lain serta peguam di Mahkamah Seksyen Jln Duta, dengan Peguam Negara berusaha mempengaruhi mahkamah supaya tidak membenarkan ikat jamin ke atas mereka, menggambarkan percubaan awal menggunakan ISA pintu belakang.

“PAS percaya setelah percubaan ini gagal maka penggunaan ISA yang sebenar akan dikuatkuasakan kerana Umno/BN sudah terdesak untuk menghadapi pilihanraya dan mereka berusaha untuk melemahkan pembangkang secara belakang tabir,” tambahnya.

Beliau mendakwa, isu-isu perkauman yang ditimbulkan Hindraf sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penyelewengan kerajaan dan kemunafikan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59