Wednesday, 14 November 2007

SISTEM PENDIDIKAN ISLAM HADHARI TERUS MELAHIRKAN SAMSENG, MENTERI PELAJARAN MESTI LETAK JAWATAN



KUALA LUMPUR: Satu demi satu kes melibatkan pelajar yang berperangai samseng berlaku di negara kita. Ianya seolah-olah menjadi budaya yang sedang melanda pelajar kita.

Fenomena juga membuktikan bahawa sistem pelajaran kita gagal membentuk akhlaq pelajar-pelajar. Ini juga menunjukkan bahawa Menteri Pelajaran gagal menjalankan amanahnya dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Kawasan menggesa menteri terbabit meletakkan jawatan kerana beliau gagal membendung budaya buruk ini yang semakin menular. Jangan sampai nanti ramai yang mati barulah hendak mengambil tindakan yang berkesan.

"Kita tidak mahu Menteri Pelajaran makan gaji buta, sehingga isu-isu yang melibatkan keselamatan pelajar gagal ditanganinya, jangan hanya sibuk berpolitik sehingga amanah dan tanggungjawab sebagai menteri diabaikan" jelas AJK DPP Bukit Katil, Khairuddin Ismail yang juga merupakan Ketua Lajnah Pendidikan Kawasan Bukit Katil.

Media hari ini menyiarkan berita seorang pelajar tingkatan tiga menghadapi tempoh dua jam paling getir ketika dia dibelasah bertalu-talu sekumpulan 20 pelajar senior dalam bilik asrama di sebuah sekolah berasrama penuh di Putrajaya.

Dalam kejadian 8 November lalu, Muhammad Ritzuan Roslan, 15, mendakwa dia dipanggil sekumpulan pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan kira-kira jam 1 pagi ke bilik mereka dengan alasan mahu membincangkan sesuatu.

Bagaimanapun, sejurus masuk ke bilik berkenaan, seorang daripada pelajar samseng itu mengunci pintu dan memadamkan lampu serta mengarahkannya berdiri di katil.

Muhammad Ritzuan mendakwa, pelajar senior kemudian menghampirinya dan bertanya mengenai kesalahan dilakukan dengan nada menggertak sebelum menendang kemaluannya.

"Selepas saya rebah dan terbaring di atas lantai, dia seterusnya menendang rusuk kanan sehingga menyebabkan saya sukar bernafas serta tidak bermaya.

"Tidak cukup dengan itu, dia kemudian mengheret saya ke bahagian tengah bilik sebelum hampir 20 pelajar senior lain bergilir-gilir menendang, menumbuk serta menyepak badan saya selama lebih sejam," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, semalam.

Menceritakan detik hitam itu, katanya, selepas seluruh bahagian muka dan badannya luka serta lebam yang teruk, dia kemudian diheret seorang daripada pelajar samseng terbabit ke tandas bersebelahan bilik itu sebelum dibelasah sekali lagi.

"Pada waktu itu, pelajar terbabit mencekik leher saya sebelum bertubi-tubi melepaskan tumbukan dan tendangan ke seluruh badan saya sehingga terbaring di lantai tandas.

"Selepas hampir sejam, pelajar senior terbabit beredar dari tandas dan mengarahkan beberapa rakannya memapah saya masuk ke bilik asrama di tingkat bawah," katanya.

Menurutnya, dia kemudian diugut serta diarah beberapa pelajar samseng terbabit supaya tidak mengadu kejadian berkenaan kepada sesiapa terutama ibu bapa dan guru.

Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca perselisihan faham di antara dia dan seorang pelajar senior berkenaan kira-kira seminggu sebelum itu.

"Pada waktu itu, saya yang sedang berada di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya, ditegur seorang lelaki dan bertanyakan sesuatu berkaitan pelajar terbabit sama ada mengenalinya atau tidak.

"Saya yang mengakui mengenali pelajar senior itu kemudian diberi lelaki berkenaan secebis nota mengandungi nombor telefon bimbit miliknya selain mengarahkan pelajar itu menghubunginya secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah peribadi di antara mereka," katanya.

Menurutnya, dia menyampaikan 'pesanan' itu kepada pelajar terbabit beberapa hari kemudian dan mereka berdua dikatakan mengatur satu pertemuan.

"Bagaimanapun, sejurus pulang daripada pertemuan dengan 'orang luar' itu, pelajar senior terbabit secara mengamuk dan menuduh saya yang menyebabkan berlaku perbalahan sesama mereka," katanya.

Ibu mangsa, Norsa'diah Abd Jalil, 44, berkata dia mula bimbang dan berasa sesuatu tidak kena sebaik terjaga daripada tidur beberapa jam selepas kejadian yang anaknya.

"Pada keesokan harinya ketika melawat Muhammad di asrama sempena cuti Deepavali, ternyata jangkaan saya benar apabila mendapati hampir seluruh muka dan badannya lebam dan luka teruk.

"Anak kedua saya yang pada mulanya mendakwa terjatuh sewaktu bermain ragbi akhirnya mengaku dia dipukul sekumpulan pelajar senior di asrama," katanya.

Norsa'diah yang terkejut dengan pengakuan anaknya itu kemudian segera melaporkan perkara itu kepada warden asrama dan meminta izin membawa pulang remaja berkenaan ke rumah.

"Selepas mendapat keizinan, saya dan suami membawanya ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Namun, saya malu apabila sekumpulan pelajar senior berkenaan memaki-hamun termasuk mengejek kami sekeluarga ketika membawa pulang Muhammad," katanya.

Menurutnya, dia menganggap kejadian yang berlaku terhadap anak lelakinya serius walaupun dia tidak dimasukkan ke wad.

"Saya tidak dapat menahan air mata selepas melihatnya mengerang kesakitan apabila berjalan akibat kecederaan di seluruh badannya yang bercalar termasuk lebam di mulut dan muka.

"Kejadian seumpama ini tidak sepatutnya berlaku terutama membabitkan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh. Pihak sekolah juga perlu memandang serius perkara ini supaya ia tidak terjadi kepada pelajar lain," katanya.

Menurut Norsa'diah, anaknya kini masih mengalami trauma dan sedang menjalani kaunseling oleh seorang doktor pakar di Hospital Serdang.

Katanya, dia turut menerima lebih 30 SMS daripada beberapa pelajar samseng terbabit yang memohon maaf dan meminta mereka sekeluarga melupakan semua kejadian berkenaan.

Difahamkan, seorang pelajar yang membelasah mangsa dipercayai anak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor.

Polis sudah memanggil sekumpulan 15 pelajar yang disyaki terbabit untuk diambil keterangan dan lapan daripada mereka mengaku memukul mangsa.

Usaha wartawan menghubungi pihak pengurusan sekolah berkenaan bagaimanapun tidak berhasil.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59