Monday, 19 November 2007

SIAPA YANG ADA REKOD LAWAN RAJA? PAS ATAU UMNO?



Pemimpin Umno sehari dua ini begitu sibuk dengan kenyataan dan dakwaan kononnya PAS menganjurkan himpunan Haram yang bercanggah dengan undang-undang. Mereka juga menuduh PAS dan anggota Bersih mengheret raja-raja ke kancah Politik,

Mereka juga menuduh PAS 'menjual' Yang Dipertuan Agong apabila kononnya PAS mendakwa Yang Dipertuan Agong memperkenankan hajat Bersih utuk untuk berkumpul dan berdemo di hadapan Istana Negara.

Sedangkan sebenarnya PAS menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan berkenan untuk menerima memorandum rakyat itu bukannya berkenan supaya himpunan di adakan. Inilah cara Umno berpolitik iaitu menggunakan segenap jentera dan rangkaian mereka untuk memfitnah lawan mereka dan menghuru-harakan pemikiran rakyat.

Parti mana sebenarnya yang ada rekod menentang Raja-raja Melayu? PAS, PKR atau Umno.? Sila jawab secara jujur wahai Imam Al Hadhari, jangan cuba nak tipu rakyat.

Cuba pemimpin dan penyokong Umno jawab soalan di bawah dengan jujur dan adil:-
1)Siapakah yang meminda perlembagaan tentang imuniti Raja-Raja Melayu, PAS atau Umno?
2)Siapakah yang pernah menabalkan Sultan di bawah pokok? pemimpin PAS atau Umno?
3)Siapakah yang 'menelanjangi' seluruh keburukan dan keaiban Raja-Raja Melayu semasa krisis perlembagaan dahulu? PAS atau Umno?
4)Siapakah yang melucutkan sebahagian dari kuasa raja-raja dahulu? Pemimpin PAS atau Umno?
5)Siapakah pemimpin yang pernah ditarikbalik pingat oleh Sultan? Pemimpin PAS atau Umno?

Dalam hal ini, ada dua perkara berasingan yang patut diambilkira dalam menilai rasional tindakan Bersih dan dakwaan para pemimpin Umno itu. Pertama, fungsi sebenar Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam pemerintahan negara/negeri. Kedua, rekod Umno dalam isu berkaitan kedaulatan raja-raja Melayu.

Menurut semangat Perlembagaan Malaysia, jawatan Yang Dipertuan Agong tidak diwujudkan semata-mata bagi mempastikan kesinambungan kuasa politik Melayu dari zaman dahulukala ke zaman moden. Tidak juga semata-mata untuk memenuhi kehendak emosi atau psikologi orang Melayu yang memerlukan seorang pelindung atau “payung”.

Perlembagaan Malaysia cuba memastikan kuasa-kuasa yang penting diedarkan antara beberapa pihak dan badan tertentu, dan tidak hanya terkumpul kepada pemimpin politik.

Untuk itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu ada peranan tersendiri dalam sistem kerajaan moden iaitu sebagai tempat yang paling sesuai untuk diletakkan beberapa kuasa bagi mempastikan keadilan dan kewibawaan kerajaan dalam proses politik. Kuasa itu akan memastikan semua pihak, bukan sahaja pemerintah, dilindungi kepentingan mereka.

Oleh yang demikian adalah bertepatan dengan semangat Perlembagaan Negara jika parti-parti pembangkang juga mendekati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu supaya baginda boleh diberitahu pendirian, kepentingan dan kebimbangan rakyat mengenai apa jua perkembangan dalam negara.

Dengan itu baginda boleh mengambilkira pandangan dan maklumat yang diberikan, dalam melaksanakan kuasa yang ada pada baginda. Perlu diingat bahawa Raja-raja Melayu tidak bergantung kepada pemimpin politik negara untuk memperolehi jawatannya. Justeru baginda boleh bertindak bebas dan adil.

Di satu pihak lain, rakyat masih belum lupa bagaimana para pemimpin Umno telah berusaha menghakis fungsi dan kuasa yang ada pada raja-raja Melayu. Beberapa episod hitam terhadap institusi raja di negara ini dalam dua dekad kebelakangan ini boleh dijadikan contoh. Antaranya ialah isu pindaan Perlembagaan 1983 (kuasa meluluskan undang-undang), pindaan Perlembagaan 1993 (imuniti raja-raja) dan insiden pertabalan 'sultan baru' di Kelantan.

Dalam isu pindaan Perlembagaan 1983, para pemimpin Umno telah melakukan beberapa tindakan di luar peruntukan Perlembagaan, sekaligus membelakangi raja-raja. Antaranya, BN telah secara rahsia membawa pindaan itu ke kabinet dan kemudiannya ke Parlimen, tanpa terlebih dahulu mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.

Sedangkan menurut Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan: "Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja."

Pindaan Perlembagaan itu telah dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kemudian diluluskan pada Ogos 1983. Di antara pindaan dibuat ialah berkaitan Fasal 66 (5). Peruntukan asal berbunyi, "Rang Undang-undang akan dikuatkuasakan apabila Yang di-Pertuan Agong menandatanganinya."

Peruntukan tersebut dipinda kepada, "Rang Undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu berkuatkuasa sebagai Undang-undang."

Turut dipinda ialah peruntukan pada Fasal 150 (1), di mana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga dalam negara ini, maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut.

Kedua-dua pindaan itu jelas menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menjadikan PM orang yang paling berkuasa. Cerita mengenai pindaan itu kekal rahsia sehinggalah bekas Setiausaha Agung Umno, Dato' Senu Abdul Rahman memecahkannya di satu sidang akhbar pada 5 Oktober 1983. Ia kemudiannya merebak menjadi krisis Perlembagaan apabila raja-raja Melayu membantah pindaan itu dan tidak bersedia menandatanganinya. Pindaan itu akhirnya dipinda semula.

Pada 1993, Umno sekali lagi mengusik institusi Raja-raja Melayu apabila mencadangkan pindaan Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal kekebalan atau imuniti raja-raja. Benar, di dalam Islam pun tidak ada pihak yang sepatutnya dianggap kebal di sisi undang-undang. Bagaimana pun, dalam usaha mencapai hasrat pindaan itu, Umno telah melakukan kesilapan lagi – ia bertindak terlalu biadab dalam menelanjangi dan mengaibkan Raja-raja Melayu.

Media massa milik kerajaan dimanipulasi secukupnya bagi meruntuhkan wibawa raja-raja Melayu secara terbuka dan meluas. Cerita memburuk-burukkan peribadi raja diulangsiar dan dibesar-besarkan. Rakyat diapi-apikan sentimen dan emosi bencikan raja dengan pembongkaran kehidupan istana yang mewah dan membazir.

Beberapa menteri kabinet mendedahkan tentang pemilikan harta oleh raja-raja. Antaranya membabitkan pemberian konsesi balak ribuan hektar kepada raja tertentu. Didedahkan juga bahawa tiap-tiap sultan telah ditawarkan 100,000 unit saham Telekom dan berbagai lagi. Filem-filem Melayu lama yang mengisahkan tentang kezaliman dan kebodohan raja-raja Melayu diulang tayang di kaca tv.

Tidak cukup dengan itu, ada pemimpin Umno yang terlalu dirasuk perasaan bencikan raja sampaikan tergamak mengadakan majlis pertabalan "Sultan Baru" di negerinya. Kejadian itu berlaku di Kelantan, apabila Datuk Seri Annuar Musa "menabalkan" Tengku Ibrahim Petra sebagai "Sultan Kelantan".

Ketiga-tiga episod yang melibatkan penghinaan terhadap martabat raja-raja Melayu itu dicetus dan dimainkan para pemimpin Umno. Dalam ketiga-tiga episod itu, pihak pembangkang memainkan peranan sangat bermakna dalam mempertahankan kemuliaan institusi raja. Rakyat negara ini tidak akan lupa dengan episod-episod itu.

Kini, Umno cuba tampil ke tengah masyarakat sebagai pihak yang kononnya menjaga kedaulatan dan kemuliaan raja-raja. Di masa sama pembangkang pula dituduh sebagai pihak yang cuba mencemar institusi raja.

Para pemimpin Umno jangan ingat imej dan reputasi buruknya terhadap raja-raja Melayu dapat dibaiki semudah itu. Dia perlu ingat, bukan semua Melayu yang mudah lupa!

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59