Monday, 26 November 2007

RUMAH SIAP AIR TIADA


MELAKA: Suami isteri dari Kampung Limbongan, di sini, yang mendiami rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kecewa kerana tidak mendapat bekalan air sejak rumah berkenaan siap dibina enam bulan lalu.

Suri rumah, Fazilah Sheikh Mohamed, 25, mendakwa, beliau dan suaminya, Abd Karim Bechik, 40 serta tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun menghadapi kesulitan untuk mandi, buang air, memasak dan mencuci pakaian setiap hari berikutan tidak mempunyai bekalan air di rumah mereka.

Beliau mendakwa sudah memaklumkan perkara itu kepada kontraktor yang membina rumah mereka tetapi dia diminta membayar deposit meter air di pejabat Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Katanya, dia sudah membayar deposit berkenaan tetapi kakitangan SAMB menyuruhnya memasang saluran paip terlebih dahulu sebelum meter air dipasang.

"Kami sekeluarga terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa tanpa bekalan air dan terpaksa menyambung getah paip dari rumah ibu yang terletak bersebelahan.

"Masalah itu sudah berlaku enam bulan dan kedua-dua pihak tidak mengambil inisiatif untuk membantu mereka bagi mengatasi masalah pemasangan saluran paip itu," katanya kepada media ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, katanya, beliau dan suaminya kecewa dengan mutu bahan binaan yang diguna kontraktor terbabit semasa membina rumah PPRT itu.

Katanya, beberapa bahagian dinding simen rumahnya didapati retak dan terdapat kayu yang sudah dimakan anai-anai.

Menurutnya, beberapa struktur kayu seperti kayu penyokong anjung dalam rumah termasuk tiang dan bendul di dapur dan bilik diperbuat daripada kayu lama yang diambil dari rumah lama di tapak tanah keluarganya.

"Kontraktor seolah-olah menggunakan kayu lama. Oleh itu, Saya sangat kecewa dengan tindakan kontraktor terbabit.

"Kami seolah-olah dianiaya oleh kontraktor berkenaan. Betapa sukarnya untuk mendapatkan rumah PPRT dan bila dah dapat, mutu pembinaan dan tiada saluran paip akan mendukacitakan kami," katanya.

Fazilah berharap pihak berkenaan dapat membantunya sekeluarga bagi mengatasi masalah itu supaya dapat hidup mereka selesa seperti orang lain.

Sementara itu Setiausaha Lajnah Penerangan Negeri Melaka, Khirul Che Salleh kesal dengan sikap bertanggungjawab pihak-pihak yang membina rumah ini.

"Mentang-mentanglah rumah ini untuk orang miskin mereka buat ala kadar sahaja, cuba rumah ini dibuat untuk orang berpangkat sudah tentu ianya dibina dengan cermat dan kemas".

"Kita mahu pihak berwajib menyiasat kes ini dengan teliti kerana kita takut adanya unsur-unsur penyelewengan dan rasuah, kalau betul ada pihak yang terbabit sila bawa mereka ke muka pengadilan", kata Khirul yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59