Thursday, 1 November 2007

RAKYAT KELANTAN TIDAK SEBODOH YANG ANNUAR MUSA SANGKAKAN



Dakwaan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Annuar MusaXX bahawa rakyat Kelantan akan menolak PAS dan menabalkan Umno untuk menjadi kerajaan negeri yang baru selepas Pilihanraya Umum ke 12 nanti boleh diibaratkan angan-angan yang belum tentu menjadi kenyataan.

Ini kerana rakyat Kelantan jauh lebih matang dari rakyat negeri lain dalam percaturan politik. Kalau tidak masakan PAS tetap mampu mempertahankan kerajaan Kelantan pada Pilihanraya Umum ke 11 (2004) walaupun pelbagai penyelewengan dan penipuan yang dilakukan oleh BN.

Annuar dalam kenyataan medianya hari ini cukup yakin bahawa BN akan memerintah semula Kelantan dan beliau sendiri nampaknya tidak sabar-sabar untuk memasuki Kota Darulnaim sebagai Menteri Besar.

Beliau mendakwa bahawa Umno Kelantan sekarang berada pada tahap terbaik, tiada perpecahan, tiada 'cah keting' dan semuanya berpadu belaka. Namun hakikatnya hanya orang Kelantan yang tahu. Sudah ramai AJK Bahagian Umno yang keluar Umno masuk PAS atau PKR. Hatta Annuar sendiri kehilangan beberapa orang kuatnya apabila beberapa orang AJK Bahagiannya sendiri sudah bertaubat dan meninggal Umno yang sesat dan menyesatkan.

Dakwaan bahawa projek pembangunan yang menelan belanja berbilion ringgit mampu memesongkan hati orang Kelantan untuk mengundi BN merupakan dakwaan yang menghina orang Kelantan. Ini terbukti sejak 17 tahun lalu rakyat Kelantan disogokkan dengan kebendaan tetapi mereka tetap beristiqamah mempertahankan kerajaan Islam PAS.

Kita mengharapkan Annuar MusaXX supaya cermin diri dulu. Berbaik-baik dulu dengan semua Ketua Bahagian dan AJK bahagian serta veteran-veteran Umno lepas baru boleh bercakap mahu lawan PAS.

LAPORAN PENUH MSTAR SEPERTI DI BAWAH:

KOTA BAHARU: Perjuangan 17 tahun Barisan Nasional untuk menawan Kelantan daripada
PAS hampir menampakkan hasil menjelang pilihan raya umum ke-12 nanti.

Selepas tiga tahun memimpin BN dan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata beliau yakin BN mampu membentuk kerajaan negeri dengan kelebihan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 45 kerusi itu.

Beliau yakin angin perubahan dalam politik sudah meresapi penduduk negeri itu sejak pilihan raya umum 2004 yang lepas, apabila BN menang 21 daripada 45 kerusi itu.

Bilangan kerusi BN bertambah pada Disember 2005 apabila ia menang Pengkalan Pasir dalam satu pilihan raya kecil, dan ini menjadikan kedudukan sekarang: 23 PAS 22 BN.

Annuar berkata bagi mencapai matlamat membentuk kerajaan negeri yang akan datang, BN akan terus berusaha membawa pembangunan di Kelantan, dan untuk pilihan raya nanti, akan memilih calon-calon yang benar-benar berkaliber.

"Umno Kelantan menetapkan tanda aras yang tinggi kepada sesiapa yang mahu menawarkan diri menjadi wakil rakyat.

"Semua wakil rakyat BN yang akan datang, mestilah terdiri daripada mereka yang tinggi daya intelek, kali ini 99.99 peratus bakal calon BN terdiri daripada lulusan ijazah," katanya dalam satu temubual dengan Bernama di kediamannya di sini.

Annuar berkata peluang lebih luas terbuka kepada golongan muda dan profesional yang mampu membawa misi BN dalam membangunkan Kelantan dan mengurangkan keluarga miskin tegar daripada bilangannya sekarang sekitar 19,000.

"Ini kerana rakyat Kelantan sendiri tinggi pengetahuannya. Rata-rata golongan muda lulusan universiti, ramai yang ada ijazah sarjana dan PhD.

"Jadi, wakil rakyat kita mestilah terdiri daripada mereka yang mampu membawa suara rakyat yang terpelajar dan yang tinggi tahap intelek dan ilmu pengetahuan mereka," katanya.

Bagaimanapun, menurut Annuar, tenaga lama dan pemimpin akar umbi serta wakil rakyat sedia ada yang cemerlang tetap akan dikekalkan.

Beliau berkata perubahan sokongan rakyat kepada BN sekarang sebahagian besarnya didorong faktor kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak pernah menganaktirikan Kelantan daripada semua segi, termasuk aspek pembangunan negeri itu yang masih ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain.

"Orang Kelantan tertawan dengan sikap dan pendekatan Pak Lah. Walaupun Kelantan diperintah pihak yang berlainan ideologi politik dengan kerajaan pusat, rakyat negeri ini tidak pernah diabaikan.

"Pantang ada masa, Pak Lah akan turun melawat Kelantan, melihat perkembangan projek yang dibawa ke negeri ini. Beliau sendiri sering mengakui bahawa rakyat negeri ini dekat dengan hatinya. Bagi saya ia satu penghormatan kepada orang Kelantan.

"Berbilion ringgit diperuntukkan untuk bermacam-macam projek pembangunan di Kelantan. Peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan juga bukan calang-calang," katanya.

Terbaru ialah pelancaran pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Ia benar-benar membuktikan keikhlasan pusat untuk memaju dan memakmurkan Kelantan seiring dengan negeri-negeri lain," kata Annuar.

Beliau berkata BN dan Umno Kelantan tidak hanya berpeluk tubuh tetapi akan memastikan faktor "feel good" (rasa senang dan gembira) diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita sedar PAS menang disebabkan Umno Kelantan mengalami perpecahan. Berdasarkan sejarah, PAS juga pernah jatuh setelah mereka berpecah. Kalau PAS benar-benar kuat, tentu kerusi yang didudukinya semakin banyak. Ini bermakna Umno dan PAS ini lebih kurang sahaja kuat," katanya.

Yang penting, kata Annuar, ialah pihak mana yang mampu bangkit semula dan memperteguhkan perpaduan dalam parti yang akan mendapat kepercayaan rakyat.

"Saya gembira Umno Kelantan kini berada pada tahap terbaik. Solid (padu). Semua peringkat dari atas sampai ke bawah, kita kini benar-benar bersatu. Kita perhati, kaji di mana kelemahan yang ada, kita baiki," katanya.

Katanya, bibit perpecahan dicantas dari awal menyebabkan budaya "cah keting" iaitu saling menjatuhkan sesama sendiri, yang sering berlaku dalam Umno Kelantan suatu masa dulu, telah diselesaikan.

"Dulu, perpecahan berlaku kerana pemilihan yang kerap dalam parti. Sekarang tidak lagi. Begitu juga dalam pilihan raya, pemilihan calon bukan lagi suatu masalah bagi kita," katanya.

Annuar, 51, yang mula menjadi wakil rakyat pada usia 28 tahun, berkata beliau telah menyiapkan senarai calon BN bagi pilihan raya yang akan datang dan akan diserahkan kepada Abdullah selaku pengerusi BN dan Presiden Umno untuk dinilai.

"Kali ini kita bariskan calon yang dimahukan rakyat. Juga tidak akan ada calon mengejut, tukar calon di saat akhir dan sebagainya yang boleh merosakkan parti.

"Semua masalah dalaman parti telah kita selesaikan, kalau ada pun, tiada yang tidak dapat kita tangani. Umno Kelantan kini semakin kental. Jentera pilihan raya juga sudah lama bersedia, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, kita bergerak.

"Kalau boleh, biar pilihan raya umum ini dipercepatkan. Kita di Kelantan sudah bersedia dan rakyat bersedia bersama kita," katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59