Monday, 5 November 2007

PANEL PENYIASAT VIDEO VK LINGAM TIDAK SEHALUAN? KEMUKAKAN LAPORAN SECARA BERASINGAN



Tiga ahli panel yang menyiasat kesahihan klip video Lingam tidak akan mengemukakan laporan bersama kepada kerajaan apabila menyelesaikan tugasnya esok. Apa sudah jadi, mereka seolah-olah tidak sehaluan. Kalau macam itu tak perlulah lantik sebuah panel lebih baik, arah tiap-tiap seorang menyiasatnya secara persendirian. Jelas bahawa panel ini membazirkan duit rakyat dan hasilnya semua orang sudah boleh teka.

Sebaliknya, Pengerusi panel tersebut, Tan Sri Haidar Mohd Noor memberitahu pemberita bahawa mereka telah memutuskan untuk mengemukakan laporan secara berasingan kepada pihak sekretariat panel tersebut pada jam 3.30 petang esok.

Dua lagi anggota panel bebas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Haidar berkata, sekretariat tersebut akan menguruskan penghantaran laporan mereka kepada Jabatan Perdana Menteri - sama ada kepada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri - pada masa yang sesuai.

Sekretariat itu dianggotai oleh kakitangan dari bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana menteri.

Sebelum itu, Hadir yang juga bekas Hakim Besar Malaya, mempengerusikan mesyuarat terakhir panel tersebut selama sejam di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Mahadev dan Lee bagaimanapun terus beredar selepas mesyuarat tamat dan tidak menghadiri sidang akhbar tersebut.

Mereka bertiga dilantik menganggotai panel tersebut pada 27 September lalu dan diberi tempoh 30 hari kerja untuk menyiapkan siasatan pada 9 November ini.

Haidar enggan menjawab apabila ditanya sama ada keputusan mengemukakan laporan secara berasingan itu menunjukkan berlaku perbezaan pendapat antara mereka, tetapi mengulangi bahawa ia mengandungi "laporan masing-masing".

“Saya tidak tahu. Ia adalah laporan individu. Pihak sekretariat akan menyusun (tiga laporan itu) dan mengemukakannya (kepada kerajaan)," katanya ketika ditanya sama ada panel itu gagal mencapai kata sepakat berhubung hasil siasatannya.

Ditanya sama ada beliau berpuashati dengan siasatan yang dijalankan dan hasilnya, Haidar menjawab: “Apa yang anda maksudkan dengan 'puashati'? Jika kerajaan memutuskan untuk mengumumkan laporan tersebut, anda bacalah".

Panel tersebut sebelum ini berkata, ia tidak akan mengumumkan hasil siasatannya, tetapi menyerahkan kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada mahu berbuat demikian atau tidak.

Haidar juga berkata, panel tersebut akan mengeluarkan satu kenyataan esok selepas menyerahkan laporan-laporan berkenaan kepada pihak sekretariat, di hotel yang sama, dan pihaknya tidak bersedia untuk membuat komen tambahan kepada pihak media.

Haidar kelihatan agak keberatan untuk menjawab soalan wartawan dan sesi berakhir dalam tempoh tiga minit. Tidak ramai wartawan yang hadir kerana pihak media tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai mesyuarat hari ini.

Mesyuarat di luar Suhakam

Mesyuarat panel itu hari ini adalah yang ketiga dan yang terakhir. Untuk pertamakalinya, mesyuarat panel itu tidak diadakan di ibupejabat Suhakam, yang menyediakan pejabat mereka.

Dua mesyuaratnya sebelum ini menyaksikan kemunculan kumpulan yang menuntut supaya panel itu dibubarkan dan mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video tersebut.

Klip video selama lapan minit itu, yang didedahkan oleh PKR pada 19 September lalu, menunjukkan perbualan telefon peguam kanan Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara sehinggalah bersara pada 31 Oktober lalu), mengenai pelantikan hakim-hakim.

Ahmad Fairuz telah menafikan kaitannya dengan perbualan telefon tersebut melalui seorang menteri, manakala Lingam sehingga ini masih berdiam diri walaupun cuba dihubungi oleh pihak media untuk mendapatkan komennya.

Tiada seorang saksi pun yang tampil memberi keterangan kepada panel tersebut, kecuali dua pakar forensik digital dari sebuah agensi kerajaan yang dipanggil untuk membantunya.

Panel tersebut juga menjadi sasaran kritikan kerana kekurangan kuasa untuk menyiasat kontroversi tersebut kerana bidangkuasa hanyalah untuk menyiasat kesahihan klip video berkenaan.

Kerajaan mengumumkan penubuhan panel itu sehari sebelum 2,000 peguam berarak sejauh 3.5km di Putrajaya, menuntut supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59