Sunday, 25 November 2007

NEGARA ISLAM HADHARI SEMUA ADA DAN SEMUA BOLEH



Cerita di bawah di petik dari Harian Metrok hari ini. Dari artikel di bawah jelas bahawa Negara Islam Hadhari Malaysia cukup lengkap dengan tempat maksiat pelbagai bentuk dan fesyen. Tempat-tempat maksiat sebegini diberi lesen dan diHALALkan oleh Islam Hadhari.

Tidakkah kerajaan Islam Hadhari ini dilantik oleh pengundi-pengundi yang memangkah BN pada Pilihanraya Umum 2004 lalu. Apa pandangan anda, adakah pengundi yang memangkah BN yang mengHALALkan lesen judi dan tempat maksiat ini juga turut mendapat 'SAHAM' mengHALALkan tempat maksiat dan Judi ini.


GEORGETOWN: Hanya dengan bayaran serendah RM60, kaki judi beragama Islam mendapat lesen besar untuk melepas gian di dalam kasino manakala kaki maksiat juga bebas menjalankan aktiviti tanpa bimbang ditahan pihak berkuasa.

Inilah ‘kemudahan’ yang ditawarkan sebuah kapal persiaran mewah yang beroperasi dari pelabuhan negeri ini dengan perkhidmatan dua kali sehari pada waktu pagi dan malam bagi pelayaran sepanjang 11 jam.

Difahamkan, kapal yang membuat pelayaran dikenali ‘Island Trip’ (Pelayaran Pulau) itu mempunyai lesen sah tetapi yang dikesalkan ialah perkhidmatan dan aktiviti perjudian serta maksiat disediakan di atasnya turut dibuka kepada orang Islam.

Hasil pengalaman wartawan Metro Ahad menaiki pelayaran berkenaan selepas mendapat aduan daripada orang ramai, dapat dirumuskan ‘Island Trip’ lebih kepada satu platform untuk kegiatan judi dan maksiat bebas daripada kawalan pihak berkuasa dan bukan khidmat pelancongan sebenar.

Pada mulanya penumpang akan menaiki sebuah bot laju dan dibawa ke kapal berkenaan yang berlabuh kira-kira setengah batu nautika dari pantai pulau ini.

Sebaik tiba di atas kapal, penumpang diminta menyerahkan kad pengenalan dan pasport untuk aspek keselamatan sebelum dibawa menjamu hidangan makan malam di restoran di tingkat lima kapal berkenaan.

Kapal sepanjang kira-kira 200 meter dengan lebar 30 meter dan mempunyai seramai 100 kru pelbagai negara itu kemudian dikatakan bergerak ke perairan antarabangsa.

Tinjauan mendapati di sebalik ada tanda amaran supaya umat Islam tidak memasuki kasino di luar premis berkenaan, namun pengawal keselamatan dan kakitangan bertugas hanya mengambil sikap ‘pejam mata’.

Malah, pemantauan mendapati kira-kira 25 peratus daripada 400 penumpang kapal itu adalah orang Islam dengan sebahagian besar mereka ligat mempertaruhkan nasib di kasino.

Kasino dipercayai memberi pendapatan terbesar kepada kapal itu kerana setiap pelanggan diberikan kupon RM20 percuma seolah-olah galakan penumpang berjudi.

Ini menyebabkan ramai umat Islam mengambil kesempatan berjudi berikutan undang-undang yang ketat di Malaysia dengan umat Islam tidak dibenarkan memasuki kasino di Genting Highlands.

Kasino di tingkat dua kapal itu memiliki 15 meja pertaruhan. Ia membabitkan permainan ‘Banker & Player’, ‘Roulette’ dan ‘Black-Jack’.

Selain itu, di tingkat dua dan lima kapal berkenaan turut menempatkan kira-kira 100 mesin jackpot di tempat terbuka dengan sesiapa saja boleh bermain. Malah, di papan kenyataan kasino mengenai pemenang jackpot sepanjang minggu lalu, dua nama orang Islam tertera di situ.

Bagaimanapun, berbeza dengan mereka beragama lain yang gambar mereka terpampang di dinding berkenaan, umat Islam yang menang jackpot antara RM18,000 hingga RM25,000 itu tidak ada gambar mereka.

Bagi pelayaran malam, kasino itu dibuka kira-kira jam 11 malam, iaitu sejam selepas pelayaran. Ia dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang cukup ketat bagi memantau pergerakan penumpang selain kakitangan kapal juga menggunakan walkie-talkie.

Malah, penumpang juga dilarang merakam gambar sama ada menerusi kamera atau kamera telefon bimbit di dalam kasino atau sudut jackpot.

Selain kasino dan jackpot, ruang arked permainan video di tingkat lima kapal itu turut menempatkan lima mesin slot kuda yang diharamkan di Malaysia dengan polis menggempur aktiviti perjudian haram itu secara besar-besaran tiga tahun lalu.

Selain aktiviti perjudian, kapal itu turut menyediakan khidmat urutan berharga RM66 untuk setiap 45 minit. Empat wanita Thailand berusia dalam lingkungan awal 20-an didapati bekerja di premis berkenaan.

Siasatan kemudian mendapati wanita terbabit menawarkan juga perkhidmatan seks dengan bayaran antara RM150 hingga RM200. Bagaimanapun, `perkhidmatan tambahan’ itu dipercayai dilakukan secara persendirian tanpa ada kaitan dengan kapal itu.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada penumpang kapal itu, ‘tarian bogel’ turut disediakan pada malam tertentu. Bagaimanapun, ketika wakil akhbar ini menaiki kapal itu, pertunjukan lucah itu tidak diadakan sebaliknya hanya ‘sexy show’ dengan penari agak seksi.

Kapal itu turut menyediakan bilik dengan kadar bayaran RM60 untuk sepanjang pelayaran dan bilik rehat (RM15) untuk mana-mana penumpang melelapkan mata sekiranya penat atau mengantuk.

Bilik berkenaan dipercayai mendapat sambutan hangat daripada pasangan bercinta di kalangan orang Islam untuk melakukan maksiat tanpa perlu berasa bimbang serbuan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (JAI).

Difahamkan, pada hujung minggu, tempahan bilik perlu dibuat lebih awal berikutan permintaan tinggi.

Antara kemudahan lain disediakan termasuk refleksologi, salun, bilik tayangan filem, kedai cenderahati serta bistro yang beroperasi 24 jam untuk menikmati hiburan.

Tinjauan mendapati kebanyakan penumpang dewasa berusia antara 20-an hingga 60-an dengan kebanyakan ‘warga emas’ banyak menghabiskan masa di kasino.

Bagaimanapun, bagi pasangan muda, mereka hanya kelihatan ketika mula menaiki kapal dan kemudian waktu bersarapan sebelum pulang.

‘Pelindung’ operasi

GEORGETOWN: Alasan beroperasi di perairan antarabangsa dan tidak mengeluarkan sebarang dokumen hitam putih, termasuk resit kepada penumpang dipercayai menjadi ‘pelindung’ kapal persiaran mewah mampu bertahan sejak lima tahun lalu tanpa operasi mereka diganggu.

Ini kerana operasi kapal berkenaan hanya tersebar di kalangan kaki judi dan maksiat yang bimbang melakukan kegiatan mereka di dalam negara berikutan penguatkuasaan tegas pihak berkuasa.

Seorang pekerja industri yang hanya dikenali sebagai Didy, 45, mengaku ramai rakannya sering membawa teman wanita mereka menaiki bot berkenaan untuk ditiduri kerana selamat tidak ditangkap khalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam (JAI).

“Kewujudan kapal ini mungkin agak asing kepada kebanyakan orang, tetapi bagi ‘kaki judi'’ dan ‘kaki betina’ memang ini tempat kesukaan mereka. Memang tak akan kena tangkap basah.

“Kalau tak ada ‘girlfriend’, mereka akan main judi kerana bayaran untuk naik kapal ini bukannya mahal cuma RM60 pagi dan RM70 malam,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) mengaku sukar mengambil sebarang tindakan terhadap umat Islam yang dilaporkan melakukan maksiat termasuk berjudi di atas kapal persiaran.

Ketua Unit Penguatkuasanya, Faizal Ibrahim, berkata pihaknya tidak boleh mengambil tindakan kerana sukar untuk mendapatkan sebarang bukti yang menunjukkan golongan itu berbuat demikian.

Menurutnya, pelbagai andaian boleh ditafsirkan sama ada kehadiran umat Islam di atas kapal berkenaan semata-mata untuk bercuti atau sebaliknya kerana pergerakan mereka sukar dikesan.

Katanya, lebih merumitkan kawalan keselamatan yang terlalu ketat oleh pihak pengurusan kapal akan menimbulkan kesulitan kepada penguat kuasa agama untuk mengambil sebarang tindakan ke atas mana-mana individu.

“Sama ada umat Islam berjudi atau melakukan maksiat sukar untuk dikenal pasti kerana segala aktiviti berkenaan didakwa berlaku di perairan antarabangsa.

“Setakat ini, Jaipp belum menerima laporan tetapi tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka melakukannya di perairan negara mengikut enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996,” katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59