Tuesday, 6 November 2007

MASIH ADA YANG MAKAN SEKALI SEHARI, RUMAH NAK ROBOH DI NEGERI KEDAH MAJU 2010



Kedah kononnya akan menjadi negeri maju menjelang 2010. Bila dikatakan negeri maju maka apa yang tergambar ialah kehidupan rakyat yang senang dan sejahtera, pendapatan rakyat yang hebat dan sebagainya.

Hakikatnya cita-cita Menteri Besar Kedah, Mahdzir Khalid hanyalah angan-angan kosong kerana masih ramai rakyat Kedah yang miskin, kais pagi makan pagi, tidak ada rumah yang sempurna dan sebagainya.

Media hari ini sekali lagi membongkar kesusahan sebuah keluarga di Kedah. Kemiskinan menyebabkan seorang ibu tunggal, Manis Yusof, 49, bersama anaknya Shazri Husin, 9, terpaksa mengikat perut selain mengharapkan belas ihsan jiran terdekat untuk membeli makanan.

Manis yang tinggal di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena, mendakwa disebabkan kedaifan itu mereka sering makan sekali sehari.

"Kami makan apa yang ada saja asalkan ada beras. Kami juga tidak mampu membeli makanan sedap seperti daging atau ayam kecuali yang disumbangkan jiran pada setiap kali hari raya," katanya.

Manis yang kematian suami sejak setahun lalu tinggal di rumah usang yang dipenuhi lubang dan tidak sesuai diduduki kerana keadaannya yang uzur dan boleh roboh pada bila-bila masa.

"Purata pendapatan saya dalam sebulan cuma RM80. Jumlah itu hanya cukup untuk membeli beras manakala lauk-pauk pula terpaksa berjimat-jimat," katanya yang bekerja sebagai pembantu gerai di pekan sehari di sekitar Pokok Sena di sini, dengan upah RM5 sehari.

Menurutnya, dia sudah tidak tahan tinggal di rumah itu kerana dipenuhi lubang selain tiangnya reput dan berbahaya untuk diduduki.

"Jika hujan, kami terpaksa menumpang teduh di rumah jiran berdekatan. Jika tidak memang tidak boleh tidur kerana hampir seluruh dinding rumah berlubang dan dimasuki air," katanya.

Katanya, beberapa tahun lalu dia pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tetapi sehingga kini tidak diketahui statusnya.

"Saya juga pernah meminta bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mendapatkan rumah baru bagaimanapun masih tidak mendapat keputusan walaupun permohonan itu sudah lama dibuat," katanya.

Kemiskinan juga menyebabkan Manis terpaksa menyerahkan dua anak perempuannya untuk dipelihara keluarga angkat.

"Saya terpaksa menyerahkan kedua-dua anak saya untuk dipelihara orang lain kerana tidak mampu menjaga mereka," katanya.

Jirannya, Norma Yaacob, 38, berkata rumah Manis juga tidak mempunyai bekalan air dan terpaksa meminta air dari rumah jiran terdekat untuk kegunaan harian.

Anak Manis, Shazri, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Bukit Payung sering menumpang kereta gurunya pergi dan balik sekolah serta turut mendapat program bantuan makanan sekolah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi jiran Manis, Abdul Malek Idris melalui talian 019-5277487.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59