Tuesday, 20 November 2007

LINGAM TUDUH ADIKNYA GILA



Peguam Datuk VK Lingam semalam menyifatkan adiknya yang membuat pelbagai tuduhan terhadapnya dengan dakwaan rasuah dalam bidang kehakiman, sebagai seorang yang mengalami masalah delusi.

Dalam satu kenyataan, Lingam berkata, adik lelakinya Thirunama Karasu Kandar Veluppillai, 49, mengalami masalah "halusinasi, kecenderungan kuat untuk membunuh diri, delusi dan depresi".

Dengan keadaan mentalnya yang sedemikian, kata Lingam, maka segala tuduhan Thirunama itu adalah tidak berasas samasekali.

“Dia mengalami keadaan tersebut sejak sebelum 1998 lagi," kata Lingam.

Katanya, adiknya itu mudah bertindak ganas dengan memukul adik beradiknya, isterinya dan anak-anaknya, malah telah hilang pekerjaannya di Tenaga Nasional Berhad kerana memukul rakan setugasnya.

Mac lalu, Thirunama membuat dua laporan polis yang mendakwa berlakunya perbuatan rasuah dalam bidang kehakiman dan mendedahkan maklumat mengenai hubungan baik abangnya itu dengan hakim-hakim berjawatan tinggi, sesetengahnya telahpun bersara.

Lingam mendakwa, adiknya telah membuat dakwaan yang sama terhadapnya pada 1998 dan membuat laporan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pihak polis, tetapi siasatan digugurkan memandangkan keadaan mental adiknya itu.

“Pada masa yang sama, Thirunama turut membuat tuduhan yang sama kepada beberapa individu ternama, tetapi semuanya enggan mengambil tindakan lanjut kerana mereka tahu mengenai keadaan mental adik saya itu," tambahnya.

'Telah diperalatkan'

Lingam juga mendakwa ada pihak-pihak tertentu yang memperalatkan adiknya untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Menurut peguam tersebut, beliau dan adiknya itu "tidak baik" sejak tahun 1997 kerana berbeza pendapat mengenai isu-isu keluarga.

Ini, katanya, mungkin menjadi salah satu sebab mengapa Thirunama membuat dakwaan tersebut dan membuat laporan polis terhadapnya.

Thirunama membuat laporan pertamanya di balai polis Kelana Jaya pada 16 Mac lalu terhadap Lingam dan beberapa orang lagi yang didakwanya terbabit dalam rasuah.

Dia juga membuat laporan kedua di balai polis Brickfields pada 19 Mac kerana, menurutnya, pegawai penyiasat di Kelana Jaya enggan merakamkan kenyataannya secara terperinci.

Semalam, Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP), Wee Choo Keong mendedahkan salinan laporan-laporan polis tersebut dalam satu sidang akhbar.

September lalu, Lingam menjadi tumpuan berikutan pendedahan klip video yang menunjukkannya berbincang melalui telefoen mengenai pelantikan hakim-hakim.

Orang yang dikatakan berbual dengannya itu adalah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang bersara bulan lalu. Ahmad Fairuz telah menafikan dakwaan tersebut.

Minggu lalu, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat perkara tersebut.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59