Friday, 9 November 2007

KINI BARU KAU SEDAR


















Orang dah berbuih mulut memberikan hujah bahawa pengajaran Matematik dan Sains akan merugikan pelajar terutama pelajar Melayu, pemimpin dan barua-barua kerajaan tidak mengendahkannya.

Berapa seminar, forum, debat, diskusi, kajian, ceramah dan bermacam-macam program dianjurkan oleh PAS, NGO Melayu dan sebagai semuanya membuat kesimpulan bahawa kerajaan mestilah kembali menukarkan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu demi kepentingan pelajar. Pemimpin dan barua kerajaan terurama Pemuda Umno terus buta hati dan mata.

Kini dalam perhimpunan Umno semalam, tiba-tiba Khairy Jamaluddin menantu kesayangan Imam Hadhari tiba-tiba menggesa kerajaan mengikut kehendak PAS dan NGO supaya Matematik dan Sains di ajar dalam Bahasa Melayu.

Selama ini, Pemuda Umno yang diketuai sendiri oleh Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussien agaknya tertidur sehingga setelah ramai pelajar 'terkorban' kerana gagal dalam Sains dan Matematik, barulah mereka minta kerajaan berbuat demikian.

Agaknya Khairy bermimpi dan mengigau atau mungkin juga Khairy ingin mencari populariti kerana mungkin pemimpin Umno lain sedar akan hal ini tetapi takut menyuarakannya, takut nanti dicantas.

Media melaporkan hari ini bahawa kerajaan digesa mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi mengangkasakan tamadun bangsa selain memenuhi peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Wakil Badan Perhubungan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menimbulkan isu kedudukan bahasa Melayu itu tahun lalu dan membangkitkannya sekali lagi pada Perhimpunan Agung UMNO tahun ini berkata, UMNO Johor tidak menolak penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris.

‘‘Cuma, jangan abaikan jati diri kita. Bahasa Melayu adalah jati diri untuk mengangkasakan tamadun bangsa,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pendirian UMNO Johor tersebut turut dikongsi oleh wakil Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin yang membuat gesaan yang sama ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada perhimpunan tahunan UMNO itu.

Menurut Mohd. Puad, UMNO Johor akan meneruskan perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan mahu melihat bahasa Melayu digunakan semula dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.

Dalam konteks ini, beliau mengalu-alukan keprihatinan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menangguhkan cadangan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya untuk kertas Sains dan Matematik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mulai tahun depan, kertas peperiksaan Sains dan Matematik sepatutnya dikendalikan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Kini kerajaan membenarkan kertas peperiksaan itu dibuat dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Mohd. Puad yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat memberitahu, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah dilakukan oleh UMNO sejak parti itu masih ‘bayi’ lagi dan ia juga terkandung dalam Perlembagaan parti serta Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga membidas perbuatan sesetengah pihak memanggil bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia.

‘‘Masakan kita lupa, melainkan kalau kita tidak peduli. Jadi, kita kena baca buku (Perlembagaan parti dan negara) ini.

‘‘Tapi, tak tahulah kalau kita malas nak baca. Kalau itu sikap kita, baca pun tidak, apatah lagi memahaminya, maka jauh sekali menghayatinya,” kata beliau.

Mohd. Puad berhujah: ‘‘Sebab itu, kadang-kadang kita tukar ikut suka-suka namanya. Alasannya, supaya diterima oleh semua bangsa, boleh jadi alat perpaduan negara.

‘‘Apakah kalau namanya bahasa Melayu, bermakna ia membawa perpecahan. Tunggu apa lagi, kembalikan namanya kepada bahasa Melayu.’’

Dalam perbahasan itu, beliau turut membangkitkan tindakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang disifatkan sebagai bercelaru apabila menjalankan kuliah dalam bahasa Inggeris semata-mata disebabkan terdapat seorang pelajar dari luar negara yang tidak memahami bahasa Melayu.

Dalam isu ini, beliau mengingatkan universiti dan pihak berkenaan supaya jangan bersikap lepas tangan atau ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila memberikan pelbagai alasan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam kuliah.

Beliau mengambil contoh tindakan Universiti Malaya yang sudah mengeluarkan arahan yang disifatkan suatu ugutan supaya pengajaran di setiap fakulti dibuat dalam bahasa Inggeris.

‘‘Timbul pertanyaan, apakah mengangkasakan tamadun bangsa hanya berjaya dengan bahasa Inggeris semata-mata?

‘‘Apakah dengan menggunakan bahasa Inggeris, IPTA kita akan menjadi jaguh pendidikan dunia?

‘‘Bukankah banyak faktor lain menentukan kejaguhan kita. Bukankah gahnya sebuah universiti itu kerana sumbangannya kepada tamadun ilmu yang didukung oleh mutu pengajian dan hasil penyelidikannya,’’ kata beliau.

Mohd. Puad berkata, UMNO Johor mahu masalah itu diselesaikan.

Katanya, jika universiti terus dengan gelagat yang tidak berpegang kepada akar budaya dan bahasa negaranya, bagaimana orang Melayu hendak membina tamadun bangsa.

Tegas beliau: ‘‘Kita melihat dalam ruang lebih luas, pandangan lebih jauh ke hadapan. Kita mahu maju dengan acuan sendiri. Malah tidak ada negara di dunia yang maju dengan meminjam bahasa orang lain.’’

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59